Rabu, 3 September 2008

Syukur 1

Sesekali pulang ke kampung kami, aku teruja dengan bau jerami dan harum padi . Sesudah itu aku akan terpukau pula dengan bau selut lanyau yang sukar ditulis dan dianalisis secara rinci nikmatnya. Setiap musim membajak, menanam dan menuai aku tetap menghirup udara nyaman sebegitu dan menikmatinya sehingga ke hujung deria yang masih lagi dianugerahi ini. Nikmatnya sukar ditintai dan dilukis. Yang pasti aku tetap menyedut hingga ke hujung nafas dan menghembuskannya dengan penuh kasih sayang secara perlahan-lahan

Aku teringat lintah. Keli. Haruan. Puyu Sepat Benua. Sepat Kedah. Belut. Aku teringat keladi bunting. Keladi agas. Semuanya akan hadir satu persatu ketika di kampung. Aku bersyukur kerana nikmat itu tetap dapat aku rasai hingga saat ini.

Tadi pagi 3 September 2008 aku bertemu dan berbual dengan Tuan Haji Salleh bin Haji Ahmad, imam masjid Kampung Gelam. Setiap kali pertemuan dengannya aku pasti memfokuskan perbincangan kepada salasilah keturunan kami. Dia adalah pakar rujuk untuk mengetahui rintitan sejarah keluarga. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan Islam. Ayah dan ibuku Islam. Datuk dan nenekku Islam. Moyang-moyangku Islam. Tapi di pangkal keturunan salasilah kami itu dimulai dengan ketua sami di salah satu wilayah di Negara Thai kira-kira satu milenium lalu. Deretan generasi itulah yang diwarisi hingga ke hari ini. Pada carta organisasi salasilah itu muncul tokoh ulama, tokoh politik dan pahlawan yang bertebaran di seluruh Kedah, Pattani, Satun, Songkla, Yala, Pulau Pinang dan Setoi . Salah seorang daripada mereka ialah Tok Moris. Tok Moris dengan 3 saudara kandungnya adalah utusan Sultan Kedah yang bertanggungjawab untuk membawa balik Puteri Sultan yang diculik ke NegaraThai.

Sukusakat itu juga bertembung dengan Abdullah Fahim iaitu datuk kepada DS Abdullah Ahmad Badawi. Saya terkedu. Termenung sejenak. Ini kerana DS Abdullah menjadi sasaran saya hampir bertahun sudah. Saya mendesak dan memintanya melepaskan jawatan. Pada masa depan saya tidak lagi akan berbuat demikian kerana menghormati keturunan saya meski pun saya tidak sehaluan dengannya. Namun saya tetap teguh dengan berpendirian bahawa beliau patut melepaskan jawatan agar dia tidak mencalar keturunannya.

Saya bukan berhasrat untuk menumpang darah pahlawan dan ketokohan keturunan kami. Tidak. Saya sekadar insaf dan bersyukur kerana saya Islam. Bukan Buddha seperti usul asal salasilah kami. Sayangnya data tentang salasilah itu hilang ketika salah seorang keluarga kami meminjamnya untuk penyediaan tesis Sarjana Muda Sejarah semasa beliau belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia 1980 dahulu. Memang malang, kerana dokumen sepenting itu hilang tanpa meninggalkan salinan. Jika tiada lagi Imam Haji Salleh maka akan hilanglah sejarah keturunan kami untuk dikaji dan ditulis. Moga saya, saudara-saudara saya dan anak-anak sempat mengutip sebahagian yang masih tersimpan dalam ingatan Haji Salleh. Saya bersyukur.

Kita berupaya menapak menyusuri sepanjang pantai dan laluan denai tetapi setiap kali kita menoleh kita seringkali pula kehilangan tapak-tapak itu kerana dipadam oleh usapan ombak dan sapuan badai. Di laluan denai yang pernah kita lalui itu, lama dan jarak masa akan pasti dibelukari oleh semak samun dan khazanah rimba raya yang turut merubah laluan itu. Anak-anakku, ingatlah kita semakin sibuk untuk segera mencari diri kita sebelum kita terlambat dilekai oleh hasutan dan godaan. Bersyukurlah kerana kita memperolehi nikmat Islam dan nikmat iman.

Tiada ulasan: