Jumaat, 27 Julai 2012

Ramadhan Yang Dirindui.

Ramadhan ke-7. Terawith ke -8.  Hari-hari dalam Ramadhan adalah hari-hari ganjaran. Hari-hari kejayaan jika kita tulus mencarinya. Mencari pahala.Bukan dosa. Dalam Islam 'mudah'.  Untuk mencari pahala mungkin sekadar bercakap. Paling tidak memberi salam. Berselawat. berzikir. Berterima kasih. berbahasa dan berbudi. Membaca al-Quran biarpun hanya satu ayat. Membaca yang berfaedah dan baik. Melihat dan menonton yang berfaedah dan baik. Tidur, jika itu lebih baik. Ziarah pusara keluarga.Doa. Larang jika membawa mudhorat. Itu belum lagi jika kita bersedekah, berkongsi tenaga secara sukarela. Cari dan fikirlah apakah pahala yang mahu dibuat dan mahu ditunaikan.Masakan orang yang sentiasa ingin mencari pahala akan melakukan dosa. Fikirkan dengan kudrat yang masih ada, kita masih berupaya mencari dan mencari pahala pada setiap saat. Setiap minit. Setiap jam. setiap hari, setiap minggu pada romadhan kali ni. Mungkinkah ini adalah ramadhan terakhir untuk kita meskipun kita berdoa akan ada ramadhan untuk kita pada tahun-tahun berikutnya.

Selamat berpuasa.Ketika orang melangkah kita sudah berjalan. Ketika orang berjalan kita sudah berlari. Ketika orang berlari kita sudah mengapai kemenangan. Kita saban masa boleh menghitung pahala kerana kita sungguh-sungguh menghindari dosa.

 khas untuk tatapan anak-anakku tercinta.

Selasa, 3 Julai 2012

Damai.

Sedang saya berbual dengan isteri di anjung rumah tiba-tiba seekor kelicap kecil hingga di pohon teh. Kecil amat. warnanya kebiruan. jambulnya merah. Berparuh kuning. Nikmatnya dikurniai mata untuk dapat melihat. Inilah pertama kali saya melihat burung seumpama itu.  Kunjungnya menyebabkan saya ternanti-nanti akan kehadiran untuk ke sekian kalinya. Namun kelibat tidak juga kelihatan. Kata isteri saya " demikianlah jika nikmat ditarik kembali".  Apapun saya bersyukur kerana unggas itu masih sudi datang ke Sri Negeri.Situasi ini segar bugar semula sejak tiada lagi penjerat burung yang  ditarbiahkan apabila pondok jaga tidak berpenghuni dibina di pintu jalan masuk. 

Kicau burung yang galak. Renggahan katak jika hujan. Sesekali kucing liar berbulu tebal dengan ekor mengembang hadir merenget meminta habuan. Di sini habuannya sentiasa ada untuk meneruskan hidupnya yang lara.