Sabtu, 27 September 2008

Padah Lidah Yang Meludah.

Kerana pulut santan binasa. Demikianlah nilai yang perlu dibayar oleh Teresa Kok. Demikianlah padahnya lidah yang kerap meludah. Pokoknya, jika api sentiasa ditiup marak maka nasinya tentulah akan berkerak. Bakarlah berpada-pada jangan dinyala bara berhaba. Rupa-rupanya Teresa dan Kit Siang tahu untuk merayu agar polis yang sentiasa dicela oleh mereka untuk menjaga dan memberi perlindungan. Maknanya untuk aman dan bahagia kepada diri maka kita juga perlu amankan orang lain. Kiranya kepada orang lain kita lempar batu maka akhirnya kita akan dilemparkan molotov cocktail.

Ini bukan bermakna saya bersetuju dengan perbuatan untuk membelakangi undang-undang. Tidak sama sekali. Tetapi Teresa acapkali memilih agenda yang mencetuskan rasa marah yang terpendam dan disimpan sebagai dendam. Kemarahan yang tersimpan itu akhirnya akan terzahir dengan kekejaman yang melampau. Teresa perlu belajar untuk hidup damai di Malaysia. Jangan rampas hak dan kebebasan orang lain semata-mata untuk memiliki habuan secara tidak beretika dan berpelembagaan. Kita minum air dari aliran yang sama walaupun berlainan saluran paip. Jangan potong saluran paip orang lain kerana haloba dan ingin mendapat aliran untuk suku sakat kita sahaja. Lihatlah cermin dan renungi diri serta lihatlah di mana cariknya pakaian yang diperaga. Jangan terlalu celupar dan menunding jari. Di muka cermin jejari yang kita tudingkan itu akan menghala kepada diri kita sendiri.

Ini bukan budaya bangsa Malaysia. Kita gagal dididik untuk menjadi modal insan yang mulia. Jangan rampas kebahagiaan insan yang tidak kita sukai. Jangan. Maki hamun bukan didikan Islam. Meskipun kita tidak tahu apakah anutan agama penulis nota di atas namun hakikatnya ia mempamerkan penulis nota itu sebagai modal insan bermartabat rendah. Terima kasih polis kerana masih akur dengan amanah untuk memberi perlindungan kepada Teresa biarpun saudara-saudara tidak bahagia melayan wirawati kelas ketiga ini. Semasa dia bahagia saudara-saudara dicela dan dihina tetapi ketika dia berduka dan sengsara maka saudara-saudaralah tempat dia mencari perlindungan. Terima kasih. Selamat menghayati nikmat Syawal.

Tiada ulasan: