Rabu, 31 Disember 2008

Selamat Tinggal 1429/2008

1429/2008 penuh celaru. Politik telah merentap sisa-sisa bahagia rakyat Malaysia. Para politikus galak mencari habuan dan kuasa. Rakyat adalah tunggul-tunggul yang dipijak untuk dijadikan tapak lompatan. Mulut para politikus menyimpan kata keraguan. Benar atau dusta. Ungkapan para politikus tiada lagi sopan bersulam budi bahasa yang berupaya menampilkan bangsa yang berbudaya, beretika dan berilmu kelas pertama. Para ahli 'Yang Berhormat' seakan hilang pertimbangan dalam kemelut mencari indentiti politik murni. Lalu diolah bahasa menjadi caci-maki untuk warisan yang kelak tentunya akan diteladani oleh anak cucu dan rakyat. Malaysia pada 1429/2008 menghimpun reba, hiba, celaka, sengketa dan sengsara. Damai dan bahagia telah direntap oleh kerakusan berpolitik.

Ekonomi 2009/2010 dijangka menguncup. Sara hidup meningkat. Para politikus 1429/2008 habiskan jutaan ringgit cukai rakyat untuk berkereta baru. Terengganu, Selangor dan Perak mendahului senarai juara. Pasti, pada 1430/2009 akan ada langkah susulan dari negeri-negeri lain. Atas nama perubahan dan kelainan gaya urus maka ada para pemimpin politikus telah membuat lonjakan hingga hilang 'perkongsian'yang sekian lama damai tanpa kemelut biarpun ia berasaskan kepada 'kontrak sosial'. Para politikus yang mempunyai kuasa kerana memperolehi pinjaman kuasa itu daripada rakyat menjadi lebih lajak dari laju. Biarpun kadangkala 'menang sorak kampung tergadai'.

1429/2008, Minyak petrol menurun melepasi kehendak sebahagian politikus tersohor. Tiada terima kasih daripada para politikus kecuali rakyat marhaen. Peranan untuk menurunkan harga makanan dan bahan keperluan hidup tetap di takah lama. Tiada kempen jalanan. Tiada poster bantahan. Rakyat dibiarkan mengeluh. Ikat perut. Terima seadanya. Bersyukur.

Lapan bulan sesudah Rabiulakhir/1429, April 2008 tanpa perjuangan untuk rakyat luar bandar. Tiada kerancakan pembangunan. Jalan raya dan jalan kampung berlopak. Pesawah semakin miskin kerana gondang mas, tikus dan padi angin. Sesudah banjir mereka tidak memperolehi habuan seperti mangsa runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa. Politikus hilang dari arena perjuangan akar umbi dengan meninggalkan janji-janji 'bulan dipagari bintang' semasa pilihan raya lalu kepada para pemilihnya yang setia menanti dan menanti. Lapan bulan penuh sepi tanpa lawatan untuk merawat rakyat.

Selamat tinggal 1429. Selamat tinggal 2008.

"Jika ada kemahuan akan dicari jalannya, tetapi jika 'tiada' akan dicari segala alasan".

"Berjanji itu mudah tetapi menunaikan janji itu biasanya menjadi sukar"

Ahad, 21 Disember 2008

Nikmat

Nikmat. Sesuatu yang amat mudah dicari tetapi kadangkala kita lupa bahawa ia telah ditemui dan dikecapi. Nikmat anugerah Allah Maha Kaya. Melimpah ruah. Akan sentiasa kita temui kiranya kita berilmu dan selongkari. Tanpa ilmu kita miskin nikmat.

Ketika jahil dahulu, pada zaman remaja, saya beranggapan bahawa saya tidak pernah merasai nikmat kehidupan. Kejahilan itu menyebabkan saya menjadi anak petani yang kurang bersyukur kerana dilahirkan dalam kelompok kedaifan itu. Apa yang dialami ialah kesusahan dan kemiskinan. Tidak pernah ketika itu mana-mana guru menyogok kita bahawa kemiskinan dan kesusahan itu juga adalah suatu nikmat. Malah kita jahil kerana kita sering melihat kesusahan dari kaca mata penderitaan, kemiskinan, kekurangan, kelemahan dan kecacatan. Tetapi apabila kita dewasa atau didewasakan maka barulah kita terfikir akan rentetan-rentetan nikmat yang kita kecapi.

Ketika penyair Latiff Mohideen merayau di kota Jogjakarta awal tahun 70-an dulu. Beliau sering mahu menikmati beza wangian. Beliau cuba menikmati bau kobis busuk dengan najis kuda. Beza bau hanyir longkang dengan bau baju lapuk bertapuk. Malah entah apa-apa lagi yang hanya beliau sahaja yang dapat rasai nikmatnya. Saya sendiri tersenyum sinis apabila mengingati betapa nikmatnya Latiff mengunyah bilis mentah dari dalam kocek seluar sepanjang kembaranya dulu. Demikianlah anehnya nikmat yang tersulam dalam diri seseorang. Benarlah... 'Manakan sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu'.

Kini sesudah hampir 40 tahun menyendiri dari alam sawah tiba-tiba nikmat yang dulunya amat lumrah meresap dan menjiwai saya telah hadir kembali. Nikmat yang sepatutnya amat saya rasai dahulu kini meraba diri biarpun pada situasi yang ada bezanya. Nikmat dahulu cuma riang ria kerana upah. Kerja langsai. Dipuji ibu dan ayah. Lihat kesuburan padi membesar melampaui ketinggian diri. Memperolehi hasil yang setanding dengan daya usaha. Terlepas daripada ganguan tiak dan tikus.

Sekarang semua nikmat itu sekadar menjadi rindu-rinduan. Hanya ingatan sahaja yang berupaya mengembalikan nikmat itu. Teringat tin minyak tanah yang digantung untuk digoyang bagi menghalau burung ciak raya. Teringat air sawah yang diraup dengan tangan untuk diminum semasa perjalanan pulang dari persekolahan. Teringat bubur kacang 5 sen semangkuk di kantin.

Teringat musim layang-layang. Musim menangkul (tangguk ikan). Menunggu longgok padi. Memburu puyuh. Memburu belalang goh. Memanjat keriang. Main cakpelong. Kunyah cenderai, buah larak, buah rotan, cermai, asam dan janggus (gajus). Sesekali terjun sungai dan mencari buah nipah. Nikmat buah nipah ialah kentut sepanjang hari.

Kini nikmat yang masih berbaki itu hanya sekadar bau lumpur dibajak dan aroma bunga padi ketika bunting. Tiada lagi harum wangi emping digoreng. Apalagi untuk merasai nikmat nasi beras tumbuk. Lesong serindit pun sudah tiada. Untuk sekadar menghilangkan kerinduan ini saya kembali membaca 'Ranjau Sepanjang Jalan'. Terima kasih cikgu Shahnon kerana cikgu lebih awal diberi nikmat ini. Terima kasih kepada cikgu Yusof Hassan kerana memberikan saya ilmu dalam 'RSJ' untuk bekalan hidup. Setiap kali disebut 'RSJ" maka setiap kali pula ingatan saya kepada cikgu-cikgu semakin marak. Terima kasih cikgu.

Catatan:
Prof. Dato' Shahnon Ahmad
Prof. Dato' Yusoff Hassan

Rabu, 17 Disember 2008

Tunjuk Hebat



Penyokong Perdana lawan Penyokong Toyota Camry.

Perdana V6, murah dalam lengkongan RM 102,000 sahaja
Toyota Camry pun murah jika dibandingkan dengan kereta import yang sekelas dengannya.

Kos penyelenggaraan Perdana V6 murah jika baru tetapi semakin lama semakin mahallah.
Kos penyelenggaran Toyota Camry murah kerana ia baru dibeli.

Dulu MB, MB, bilang akan terus guna Perdana V6. Sekarang sudah tukar fikiran.
Itu yang dinamakan perubahan. Kita mesti keluar dari kotak. Berani bertukar.

Pengangkutan untuk rakyat?
Kerajaaan Pusatkan ada. Bas, kereta api, MAS, Air Asia semua bagus. Apa susah lagi. Sekarang mereka tak mahu kereta. Semua pakat jual kerana harga getah tak sampai RM1. Rakyat tak perlu datang jumpa kita kerana apabila kita ada kereta baru kita lebih kerap pergi jumpa rakyat.
Jom kita tengok mana kereta lebih anggun. Kita kena tunjuk hebat.

Mansaari:
Kita pilih mereka, mereka tidak pernah tipu kita hanya kita sahaja yang merasai kita ditipu. Oleh itu mereka tidak bersalah. Yang bersalah adalah kita yang prasangka dan cemburu apabila melihat kehebatan orang lain. Kita semakin disuruh bisu, diam dan terima seadanya.
Alhamdulillah.

Isnin, 15 Disember 2008

Tak Tumbuh Tak Melata

Jangan bunuh pokok. Racunilah parasitnya. Bajai semula. Biarlah ia akhirnya tumbuh subur, berdaun, berbunga, berputik dan berbuah. Itulah iktibar untuk UMNO.

Lama sudah ia berbuah lebat. Nikmatnya menjadi rebutan hingga nafsu tidak upaya dikawal. Nafsu itulah yang menyebabkan UMNO kurus kering. Tidak lagi bermaya. UMNO itu tidak pernah pun bersalah tetapi nafsu ahli-ahlinya menyebabkan UMNO sakit tenat. Pokok persoalannya, yang kuat nafsu itu adalah ahli UMNO yang menjadi pemimpin kecil dan pemimpin besar dalam pertubuhan itu. Nafsu yang marak adalah kerakusan merebut habuan dan kuasa dengan cara haram. Semaklah. Itulah yang menjadi bualan, jajaan dan celaan terhadap orang UMNO.

Parasit dalam UMNO memang sedia diketahui oleh semua ahli dan rakyat yang bukan menjadi ahli. Parasit dalam UMNO dijadikan baja yang ditabur oleh penentang UMNO ke perdu parti masing-masing untuk menyuburkan pengaruh. UMNO kian hari kian kurus, layu dan bergoyang tetapi para pemimpinnya masih juga berebutan habuan dan kuasa yang kian pupus.

Bercakap untuk menyubur dan memulihkan UMNO acapkali kedengaran tetapi langkahnya tetap tiada. Malahan parasit kian hari kian merebak. Hampir semua penulis blog dan tetamu blog memberi komentar, cadangan dan syor untuk tindakan peneraju UMNO, namun tindakan masih menjadi bahan beku yang tersimpan di peti ais. Para pemimpin UMNO tidak mempunyai banyak masa ataupun tidak memperuntukkan masa membaca kritikan dan cadangan rakyat. UMNO semakin hilang punca.

Sekiranya UMNO kalah di Kuala Terengganu kelak, maka parahnya akan menjadi semakin ketara. Mac 2009 juga berjerebu. Persaingan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden , Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ahli Majlis Tertinggi dan Puteri paling tidak akan mencambahkan parasit. Itu juga tidak mudah diracuni agar segera terawat.

Politik wang. Rasuah politik. Habuan. Ini juga menjadi parasit dalam UMNO. Yang peliknya situasi ini menjadi lumrah dan diketahui tetapi ia tetap berlaku. Amat jijik. Guna wang untuk mencalonkan diri sebagai pemimpin adalah suatu sikap pemimpin yang jijik dan hina tetapi ia tetap juga berlaku. Pemimpin seperti itu tetap juga dicalon dan dipilih. Pelaburan yang dibuat untuk merebut jawatan kelak akan menjadikan pemimpin itu sebagai penyangak yang merampas habuan rakyat. Yang penting baginya ialah untuk mengaut laba sebagai modal rasuah pada masa depan. Maka rasuah itu terus menjadi parasit dalam UMNO.

Kekoroan pemimpin UMNO dalam memperjuangkan kepentingan Melayu juga dilihat sebagai parasit. Pemimpin UMNO takut bersuara. Takut bertindak. Lantang bersuara tetapi kendur kemudiannya. Takut kepada pemimpin parti-parti dalam BN atau terlalu menjaga hati. Takut parti-parti tersebut lompat katak. Watak negarawan yang dihormati telah hilang dan digantikan dengan watak pendekar kampung.

Rawatlah UMNO ketika PAS juga tidak lagi menjadi pejuang Melayu dan Islam. PAS tidak berlaku adil kepada orang Melayu penganut Islam. PAS hanya berlaku adil kepada Keadilan dan DAP. PAS tidak lagi adil kepada PAS. Parasit UMNO juga mula berjangkit kepada PAS. Orang Melayu Islam semakin keliru dan celaru dengan parti yang menunjangi kepentingan mereka. Keadilan sudah semangkuk sepinggan dengan DAP. Melayu seperti ikan dalam serkap.

Sabtu, 13 Disember 2008

Bola Sepak Nasional

Kalah. Kadang-kadang menang atau jarang-jarang menang. Itulah rumusan rambang tentang Pasukan Bola Sepak Nasional Malaysia. Sentiasa merudum. Setiap peminat bola sepak memasang impian agar pasukan Malaysia menjadi jaguh Asia Tenggara kalau pun tidak upaya menggapai ke tahap Asia. Situasi seperti ini peminat-peminat Kedah akan membahasakan 'siap jaghah' atau 'bawa jaghah', manakala peminat bahagian tengah negara kita membahasakannya dengan 'bungkus'. Mudah kata ialah 'siap untuk kalah'. Keyakinan semakin terhakis.

Kekalahan tegar perlu diatasi. Alasan dan tuduh menuduh tidak membawa misi kejayaan kepada negara. Sistem penyediaan pasukan negara patut telah lama berubah. Bukan salah pemimpin FAM tetapi salah sistem. Ubahlah sistem itu.

Pasukan nasional kita mesti dilatih sepanjang tahun secara berterusan. Ada rangkaian pelapis. Sistem pemilihan pemain mestilah mengambil kira soal gaji. Elak daripada mencuri pemain pasukan negeri. Jika ingin seseorang pemain negeri ia hendaklah dibeli secara kekal. Bukan lagi 'jika perkhidmatan diperlukan pemain itu akan diambil, jika tidak ia akan diketepikan. Jika sistem sekarang terus dipraktikkan maka kita sebenarnya memenjara minda pemain untuk tidak memberi tumpuan total kepada pasukan nasional kerana tubuh badan pemain itu adalah milik pasukan negeri. Kalah atau menang tidak memberi kesan kepada perkhidmatannya kepada negara kerana seseorang pemain itu akan pulang ke pangkuan pasukan negeri.

Pasukan bola sepak nasional patut disediakan sebagai sebuah pasukan elit yang turut terlibat dalam sistem pertandingan liga bola sepak kelolaan FAM. Itupun jika tidak bersalahan dengan peraturan FIFA. Cadangan ini hanya salah satu pandangan sahaja. Pandangan para jurulatih negeri patut juga diambil kira. Adakan konvensyen untuk mengenal pasti potensi pemain. Kumpulkan sebanyak mungkin pemikiran ke arah menyediakan sistem pemilihan, sistem latihan, sistem gaji, sistem pemilihan jurulatih dan sistem perkhidmatan pemain serta pegawai. Adakan panel pemilih di kalangan jurulatih negeri untuk menentukan kelayakan seseorang pemain negara.

Sistem sedia ada, FAM hanya bertugas memilih dan melantik seorang jurulatih yang pada pendapat FAM berpotensi, dibayar gaji, kemudian membiarkan beliau memilih pemain mengikut seleranya, caranya, gayanya dan hanya berasaskan kepada sudut penilaiannya sahaja. Situasi seperti itu tentulah terbatas dan ia sekadar bersandarkan kepada pengalaman yang ada pada seseorang jurulatih secara individu.

Dalam bola sepak kita bebas dan kita sentiasa bersatu tanpa hasutan politik. Untuk itu kita patut menjadi juara dan pemain kita sepatutnya menjadi wira. Kita bertegang semasa di padang kerana ganguan emosi untuk menang. Jika kalah kita terhidang dengan isu rasuah yang menjejaskan maruah. Prasangka. Segala yang tidak benar dijadikan alasan untuk menjadikan ia sebagai benar. Peliharalah martabat bangsa.

Jumaat, 12 Disember 2008

Catatan Peringatan 2008 IV

Ugut dan desak. Parti 'PPP' ugut akan keluar BN jika ISA tidak dimansuhkan. Nyata akhir-akhir ini terdapat rakan kongsi Barisan Nasional mula tunjuk belang. Saya sudah agak lama mengesan dan memerhati lagak parti ala temekong mabuk. Pada ketika senang berarak dan berkerumun sambil menayang misai di muara sungai. Tetapi ketika perit kalah dan susah saling segok-menyegok. Sigung-menyigung. Cukup menarik apabila kita dapat mengenali kawan semasa senang dan kawan semasa susah.

Tidak lama sebelum ini parti Gerakan juga membuat ugutan yang sama iaitu untuk keluar dari BN jika agenda mereka tidak dilayan. Lebih lucu apabila Gerakan cuba pula mencaturkan rumah tangga UMNO . Gerakan mengatur agenda untuk mengadakan suatu bentuk forum khusus mengenai UMNO. Gerakan seolah-olah cuba menyembunyikan sebab musabab kekalahannya yang total. Diinjak-ijak. Digelitil lumat dan dicampak ke laut. Namun demi maruah para pemimpinnya membaling mercun tetapi sembunyi tangan. Agaknya untuk mengejut UMNO. Strategi paling mudah. Saya teringat peribahasa Cina iaitu 'jika kita ingin naik maka kita kena pijak kawan'.

Pada hemat saya jika PPP dan Gerakan hendak keluar dari Barisan Nasional maka inilah masa dan ketika yang tepat. Carilah hala tuju sendiri. UMNO mesti mencari rakan akrab yang baru. UMNO patut pilih PAS. PAS juga tidak perlu angkuh ketika menang. Demi Islam dan Melayu, kita tiada pilihan. Mesti bersatu walaupun sukar dan berlainan prinsip. Dalam Pilihan Raya ke-13 kelak, Melayu Islam tidak boleh kalah lagi. Jika kita jadi minoriti maka kita akan jadi boneka dalam kerajaan. Jika kita lemah kerana kalah mungkin kita masih dijadikan rakan kongsi tetapi bertaraf kuli. Diri menjadi pepatung, suara wira menjadi bisu dan bacul.

PAS perlu belajar ketika berkongsi kuasa dengan DAP dan Keadilan. Masa masih panjang tetapi dalam perkongsian yang sesingkat ini pun telah tersadung ranjau, maka jangan terlalu leka seperti UMNO. Amanah mesti ditunai. Jadilah kerajaan negeri yang mewakili Melayu Islam, yang berwibawa, tempat rakyat bergantung harap untuk sejahtera.

Negeri-negeri yang dikuasai UMNO juga mesti perkasa demi Melayu Islam. Buang segala keburukan lalu. Tanpa ketamakan pasti kita akan berada di landasan yang lurus. Biarlah untuk hanya sekali sahaja terpijak arang tetapi jangan sesekali sepanjang jalan menapak hitam. Di Malaysia sekiranya Melayu perkasa maka Islam akan menjadi perkasa tetapi jika Melayu koro maka Islam akan terhina. Demi Islam, Melayu perlu bersatu.

Sabtu, 6 Disember 2008

Catatan Peringatan 2008 III

Bahasa Melayunya ' Mengucapkan SELAMAT HARI JADI' yang lain Cina mali. Bukan perkauman. Tidak. Gembira melihat Guan Eng ketawa. Tentu orang Melayu di Pulau Pinang juga gembira.

Saya memang nakal. Acapkali suka bermain dengan kata-kata. Kali ini saya ingin membuat catatan ingatan menjelang berakhirnya 2008 tentang Lim Guan Eng.

YAB Lim Guan Eng berjanji akan menghapuskan miskin tegar di Pulau Pinang dalam masa setahun sahaja ketika dia mengambil alih kuasa memerintah daripada kerajaan sebelumnya dengan dakwaan tajam bahawa kerajaan dahulu gagal, tidak berkesan, tiada kesungguhan dalam usaha mengatasi masalah tersebut.

Guan Eng enggan tinggal di rumah kerajaan kerana tidak mahu menggunakan wang rakyat untuk kerja ubah suai rumah berkenaan. Pada sudut pandangan Mat Sabu, Guan Eng adalah sahabatnya semasa di kem tahanan. "Dia hanya pakai 'seluar catok' walaupun dah berjawatan Ketua Menteri semasa saya mengunjunginya di rumah," akui Mat Sabu penuh bangga.

Guan Eng canang akan melaksanakan corak pemerintahannya ala Khalifah Umar Abdul Aziz. Melayu gembira sungguh. Warong kopi menjadi medan bualan perihal Guan Eng.

Guan Eng berdebat dengan Koh Tsu Koon. Melayu bertepuk kerana Cina sama Cina bergocoh. Namun Melayu lupa Cina lebih kuat bertepuk tangan apabila Anwar berdebat dengan Shabery Cheek.

Guan Eng buang papan tanda kemudian serap masuk aneka tulisan ikut kaum pada papan tanda jalan di Pulau Pinang. Guan Eng tidak peduli dengan bantahan. Tegar macam Lim Kit Siang juga.

Guan Eng halang agar kerja membina landasan kereta api kedua dihentikan kerana dikatakan penyebab banjir. Tot-tot bukan, Guan Eng diam.

Guan Eng belanjakan RM30,600 untuk diberi kepada para hafiz dengan sedikit ucapan, maka sahamnya di mata hati orang Melayu Islam meningkat.

Masih banyak yang hendak dicatat. Cukuplah. 'Melayu Layu di Pulau Pinang'.

Jumaat, 5 Disember 2008

Peringatan 2008 II

Tahun 2008 mengesot ke garisan terakhir. 2008 mengheret luka hati nurani Melayu yang belum juga terubat. PAS dan UMNO belum memperolehi titik temu untuk saling bermesyuarah demi Melayu dan Islam. Sedangkan semakin hari kedua-dua parti ini semakin hilang prinsip perjuangan.

PAS bukan sahaja gagal membela orang Melayu malah semakin menggadai wadah perjuangannya yang berteraskan Islam. PAS menjadi parti teramat koro dalam Pakatan Rakyat. Gagal merealisasikan prinsip perjuangannya kerana dibayangi oleh prinsip DAP dan Keadilan. Hala tuju PAS semakin berjerebu. Para pemimpin PAS pula semakin terikut-ikut rentak DAP biarpun teraju kerajaan negeri di tangan PAS.

Di Kedah, kerajaan negeri patut lebih awal mengambil tindakan membatalkan projek Ladang Babi di Bukit Selambau. Jika benarlah bahawa kerajaan Barisan Nasional yang bertanggungjawab meluluskan tanah untuk projek ternak babi itu maka demi maruah dan prinsip perjuangan, PAS patut membatalkannya. Jangan biarkan rakyat berteka-teki dengan alasan PAS dan UMNO. Jika sebelum pilihanraya ke-12, Tuan Guru Haji Hadi Awang mewar-warkan bahawa PAS bertanding atas tiket PAS. Pas tidak berhasrat bekerjasama dengan DAP. Patutkah apabila undi diberi kepada PAS untuk jadi pemerintah tetapi PAS hanya layak menjadi watak koro di belakang tabir?

Calon PKR menang di kawasan majoriti Melayu kerana PAS tidak bertanding. Saya yakin jika PAS bertanding dengan meletakkan calonnya maka PAS akan menang dan bukan PKR. Orang Melayu hanya marahkan kepada para pemimpin UMNO dan sangat berharap nasib Melayu Islam akan berubah di tangan PAS. Yang menjadi tanda tanya apakah para pemimpin PAS yang dipilih rakyat melalui pilihan raya lalu terdiri daripada mereka yang belum bersedia untuk menjadi pemerintah? Tiada ketokohan untuk menjadi pembela rakyat atau PAS tersalah pilih barisan kepimpinannya. Rakyat inginkan khidmat cemerlang bukan calon yang memiliki ijazah profesional tetapi mengabaikan sejahtera rakyat yang diwakilinya. Rakyat bukan sahaja inginkan pemimpin yang petah tetapi juga menjadi pembela yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk rakyat dengan rajin dan prihatin.

PAS sepatut tidak mempedulikan urusan UMNO. Biarlah UMNO dengan sampan penuh muatan tetapi bocor. PAS patut memperagakan diri sebagai pemerintah yang bergaya dan berkesan. Bagi orang Melayu, yang mereka inginkan ialah negara, agama, bangsa dan maruah mereka sentiasa dijaga dan dipelihara. Tetapi apakah tindakan PAS ketika isu berkaitan Islam diperlekeh oleh DAP? Diam. Bisu. Koro. Apa reaksi PAS ketika Ketuanan Melayu dipertikaikan? Diam. Bisu. Koro. Di manakah suara PAS apabila 'Kerajaan Katak' gagal ditubuhkan? Jika beginilah sikap yang tindakan PAS maka samalah dengan 'pendayung patah perahu pun hanyut. Hendak menolak tidak bergalah, hendak berpaut tidak bertali.

Selasa, 2 Disember 2008

Catatan Peringatan 2008

Pak Lah tidak pedulikan agama, bangsa dan negaranya. Dia seolah-olah kecewa kerana dipaksa turun. UMNO terpaksa menurunkannya kerana sikap koro, lembut tidak bertempat, sabar yang keterlaluan hingga membetinakan watak negarawannya. Aras patriotismenya diparas minimum. Dia takut kepada keputusan dan keakurannya tidak disenangi rakyat akibat sikap lurus bendul semacam watak Pak Pandir. Watak Perdana Menteri era abad 21 sudah tidak secocok dengan watak Pak Lah. Pak Lah mewariskan jawatan itu pada ketika negara memerlukan seorang wira yang berani meletakkan visi dan misi agama, bangsa serta negara berasaskan wawasan 2020 di paksi yang betul.

Langkah undur dan beralah Pak Lah dalam pengurusan negara ditaksirkan oleh pengundi sebagai terlalu lemah. Tindakan sorot ke belakang seperti memberhentikan projek-projek Perdana Menteri terdahulu dianggap oleh generasi berpendidikan menengah dan tinggi sebagai langkah membunuh agenda memartabatkan bangsa. Memperlahankan pertumbuhan sektor industri dengan mengubah tumpuan kepada sektor pertanian juga memberi kesan pertumbuhan dan kerancakan ekonomi negara. Perubahan itu menjejaskan usaha ke arah mengurangkan pengangguran. Pertambahan sumber manusia dari menara gading tidak mampu ditampung.

Kerajaan pimpinan Pak Lah membuka terlalu banyak ruang atas nama 'Dasar Terbuka dan Telus'. Terlalu banyak janji keterbukaan itu diwar-warkan kepada rakyat sehingga tidak terkawal. Apabila rakyat pelbagai kaum saling mendesak, kerajaan seakan hilang punca. Maka akhirnya parti komponen dalam Barisan Nasional sediri berani tikam induknya. Melayu seperti keli ditebar jala.

Harapan bangsa Melayu kepada UMNO kian hari kian luntur. Kerajaan hanya berani bertindak kepada umat Melayu tetapi tidak berbuat demikian demi menjaga parti komponennya. Apakah ini sikap jati orang Melayu? Watak koro ini kelihatan berjangkit kepada PAS dan juga kepada Melayu Keadilan. Kita menjadi koro apabila Ketuanan Melayu dipertikaikan. Kita tidak berani bersuara kerana terlalu ingin menjaga hati nurani rakan komponen kita. Kita tidak berani bersatu ketika orang lain telah lama bersatu dan bermain wayang di belakang tabir. Kita biarkan hak kita diperolok-olok. Kita diam hak kita diambil. Kita riuh bersorak apabila disogok sedikit gula-gula sedangkan hak kita telah berkawah-kawah diambil. Kita sanggup serah segala harta asalkan kita dipuji dan emosi kita digembirakan.

Kita berkerat rotan dan berputus arang demi perjuangan yang berjerebu. Kita rebut merebut apa-apa jawatan dan sanggup caci maki rakan sebangsa asalkan kita boleh ke hadapan. Kita tidak pernah sedar bahawa semakin kita galak bersorak maka semakin rancak gong dan gendang dipalu untuk kita semakin leka menari walaupun semakin sumbang. Bunuhlah nyamuk dan jangan bakar kelambu.

Ahad, 30 November 2008

Tikam Curi

Dr. Chua Soi Lek, Timbalan Presiden MCA bagai kayuh perahu menongkah arus. Setelah kecewa dengan nakhodanya, Datuk Seri Ong Tee Keat, dia mencari haluan songsang untuk meraih sokongan. Dengan berlagak sebagai wira kaum Cina ala pembangkang, pada anggapannya, dia akan berupaya memperolehi sokongan untuk bersilat dengan presidennya. Dia lupa bahawa calar dan parut, arang dan najis yang terpalit di muka MCA masih segar bugar dalam ingatan rakyat.

Cita-cita Soi Lek cuma untuk kembali ke jawatan kabinet. Hal ini dicantas oleh Ong Tee Keat kerana ingin membasuh MCA dari dicemari pemimpin yang dipertikaikan nilai-nilai moral oleh rakyat. Masyarakat Cina mungkin dapat menerima perbuatan Soi Lek namun di sisi masyarakat Melayu Islam ia adalah tingkah laku yang jijik dan tidak dihormati. Maka Soi Lek disisihkan dari pelbagai jawatan penting dalam MCA.

Kemuncak kekecewaan Chua Soi Lek ialah apabila dia mempersoalkan tentang Ketuanan Melayu hanya berdasarkan alasan 'tiada tuan dan tiada hamba'. Demikian sekali buta kayu bekas seorang menteri yang mewarisi parti MCA. Wujud masyarakat pendatang di Tanah Melayu adalah tindakan penjajah Inggeris yang ingin melaksanakan dasar 'pecah-pecah kemudian perintah'. Jadi, selari dengan perkembangan industri getah dan bijih, Inggeris mula membawa masuk kaum Cina dan India ke Tanah Melayu. Dasar perdagangan Inggeris ialah untuk mencuri sebanyak mungkin kekayaan untuk dibawa pulang ke England tanpa disoroti kejahatannya itu oleh orang Melayu. Soi Lek harus sedar bahawa dia adalah generasi ke-4 atau ke-5 wujud di Malaysia. Sebelum itu Tanah Melayu adalah hak mutlak bangsa Melayu. Oleh kerana orang Melayu sudah menduduki negara ini lama sebelum kedatangan 'pendatang izin' maka ia dikategorikan sebagai 'Ketuanan Melayu'. Paling mudah disebut ialah orang Melayu menduduki Tanah Melayu ketika Tanah Melayu masih tidak bertuan.

Untuk mengajar sejarah dan Ketuanan Melayu ini kepada bukan Melayu maka orang Melayu sepatutnya hanya ada satu parti sahaja. Meskipun ia sukar tetapi tidak mustahil untuk disepakati. Akhirnya kita patut tidak lagi berkongsi kepartian jika sahabat sering menikam curi seperti Chua Soi Lek.

Khamis, 27 November 2008

Lompang Kepimpinan

PAS, PKR dan DAP pada paparan cermin kelihatan segak dan bergaya. Parti-parti itu kelihatan tenang. Namun akhirnya seperti dijangka ada kekalutan. Melayu Islam rasa pelik bagaimana parti Islam tegar seperti PAS boleh berkongsi meja makan dengan DAP yang lebih kecinaan daripada cina. Malah PAS boleh bersepakat dengan PKR yang berpaksi kepada kesamarataan yang kabur dan berselindung dengan dakwaan dan igauan kepimpinan yang tidak lagi beralas Islam. Impian saudara Anwar Ibrahim untuk menguasai kerajaaan Malaysia melalui kaedah rasuah politik dengan bercagar kepada pelarian Ahli Parlimen Barisan Nasional nyata menikam Pakatan Rakyat.

Dalam kekalutan Anwar untuk mengatur strategi membeli Ahli Parlimen agar segerabak dengannya tiba-tiba sana sini rakyat mula menagih janji. Kepimpinan PAS mula menuntut agar prinsip perjuangannya tidak dicela. Penyokong PAS di Kedah misalnya telah mula mempersoalkan hala tuju parti Islam itu. Penyokong Melayu PKR mula goyah kerana kepentingan umat Melayu dan Islam tidak menjadi agenda besar bagi menidakkan prestasi Barisan Nasional sebelum ini.

PAS dan PKR gagal membantah atau melunakkan tindakan DAP yang disedari atau tidak telah melukai hati pengundi Melayu. Apalagi para penyokong kedua-dua parti itu diherdik, disindir, dicela dan dijadikan bahan kecindan kerana kepimpinan mereka yang tidak menjadi pemerintah tetapi menjadi badut yang bertopeng penuh kelucuan. Bertambah parah apabila mereka dikategorikan sebagai 'Kerajaan Boneka'.

PAS, Keadilan dan DAP cukup bernasib baik kerana Barisan Nasional kini menjadi parti yang paling lemah dalam sejarah negara. BN bercakaran. UMNO, MIC, MCA masih dalam rebusan. Masih kepanasan dan melecur. Masing-masing tidak peduli sesama sendiri kerana ingin mengubati parah kelecuran. Jika BN memperolehi majoriti mudah tetapi memiliki kepimpinan yang kuat utuh maka pada hemat saya, kerajaan Pakatan Rakyat akan berkubur. Sekiranya Anwar Ibrahim masih terbawa-bawa dengan prinsipnya maka dia akan menjadi seperti Sukarno. Memang dia petah berucap tetapi ia tidak cukup untuk membeli undi rakyat yang menagih sejahtera. Sukarno berjaya bertapak lama dalam politik Indonesia kerana aras pendidikan rakyatnya pada masa itu masih setara dengan kehendak politik semasa. Dengan taraf pendidikan rakyat terutama bagi generasi muda Malaysia kini maka Anwar tidak boleh bertahan lama dengan prinsipnya itu.

Menuding jari untuk menunjukkan kesalahan orang lain memang mudah tetapi rakyat juga ingin melihat prestasi dan kelainan gaya pemerintahan bagi negeri-negeri yang diperintah oleh DAP, PKR dan Pas. Anwar perlu sedar sekiranya kerajaan PAS, PKR dan DAP hilang kepercayaan rakyat maka impian Anwar turut terkubur. Anwar hanya ghairah memancing tetapi di luar sedar, MPnya juga akan masuk jaring atau lari kerana pertentangan prinsip.

Saya teringat kepada itik. Itik kelihatan tenang di permukaan air. Sesekali mendongak, sesekali menonggeng dan sesekali pula menyelamkan kepala. Alangkah rianya. Tetapi di bawah permukaan air alangkah kalutnya kaki itik itu mendayung. Sebenarnya kekalutan itulah yang amat jarang dilihat dan diperhatikan oleh kepimpinan sesuatu parti.

Isnin, 24 November 2008

Buruk Laku

Minda pemimpin DAP adalah minda yang terpalit lumpur. Sukar dibasuh. Kotor dan menjijikkan. Patutkah setiap isu yang disebar untuk rakyat dan untuk kepimpinan DAP akhirnya diputarbelitkan kepada Utusan Malaysia sebagai pencetus? Hampir semua pemimpin DAP, akan mengungkapkan kata-kata yang sama iaitu 'ini mainan akhbar Utusan'. Celakoi betul.

Kalau akhbar berbahasa Cina fokus kepada isu kaum Cina dan untuk kepentingan kaum Cina, maka di mana wadah untuk melayu bersuara? Bahalol betul. Siapa yang mengapi-apikan isu perkauman akhbar Cina atau akhbar Melayu? Adillah jika Utusan berperanan membela Melayu setelah akhbar Cina memencilkan isu berkaitan kepentingan Melayu.

Melayu Pulau Pinang mesti bangkit untuk mencela perbuatan Lim Guan Eng menghina Bahasa Kebangsaan. Mencinakan Pulau Pinang dan mentamilkan papan tanda untuk merojakkan kepelbagaian bahasa konon-kononnya. Agenda tersisip telah lama dibaca. Jangan sembunyi gajah di sebalik lalang. Guan Eng ada misi tersirat dan tersurat. Dia gunakan kaedah ala penjajah untuk memencilkan Melayu. Guan Eng silap kerana polisi penjajah 'pecah-pecah kemudian perintah' telah berlalu. Melayu yang hidup dibelenggu penjajahan tidak sama dengan Melayu yang hidup diselimuti bendera merdeka.

Kepada orang melayu, DAP ada niat jahat. Mengapikan sesuatu isu untuk melihat Melayu berpecah kerana Melayu dalam UMNO, Pas dan Keadilan saling cakar mencakar. Di pihak DAP mereka sengaja menyemarakkan isu yang berupaya meraih sokongan terhadapnya agar menampakkan lebih kecinaaan daripada Cina dan pautkan sokongan kaum India untuk berteduh, semata-mata untuk memperkukuh tapak di Pulau Pinang. Huduh. Demikian sekali buruk laku DAP.

Sabtu, 22 November 2008

Melayu Layu Di Pulau Pinang

Lim Guan Eng sebagai penjenayah politik kepada umat Melayu Malaysia. Guan Eng adalah perogol Perlembagaan Negara. Guan Eng lebih kecinaan daripada Cina. Meskipun NGO Melayu telah membuat bantahan terhadap mempelbagaikan tulisan pada papan tanda, namun Lim Guan Eng tetap laksanakan. Inilah episod percubaan kerajaan pimpinan DAP untuk menguji kekoroan Melayu. Segala telahan yang menjadi igauan ngeri telah direalitikan. Inilah hakikat reformasi yang diperjuangkan oleh DAP. Pemilih Melayu yang mengundi DAP, PKR dan PAS telah memasuki fasa 'menang sorak kampung tergadai'.

Mana suara PAS dan suara PKR dalam Pakatan Rakyat? Mana pejuang yang menjadi wakil rakyat Melayu dalam parti tersebut? Semuanya menjadi rela. Setuju. Diam dan bisu demi kuasa dan habuan, bukan lagi perjuangan. Jika PKR membantah tentu Guan Eng fikir seratus kali untuk merealisasikannya. Apalagi jika PAS membantah. Namun suara itu lebih koro daripada suara pondan UMNO.

Jika tidak ada pejuang bahasa, ke mana larinya pejuang Islam? Mengapa tulisan Cina dan Tamil saja yang sengaja digahkan? Mana tulisan Jawi? Sesudah ini akan ada tulis Jawi apabila banyak bantahan dibuat. Pada masa itu akan ada umpan dan kujam dengan kata-kata lunak bahawa 'kerajaan Pulau Pinang prihatin, telus dan saksama'. Celakoi sungguh. Mereka seolah-olah memekak semata-mata untuk merealisasikan agenda DAP. Nyata yang memerintah Pulau Pinang hanyalah Guan Eng dan Ramasamy. Pemimpin Melayu hanya menjadi penyewa kepada tanahnya yang tergadai.

Pemimpin Melayu Islam Pulau Pinang telah di'jawi'kan. Semuanya hilang termasuk anu-anunya, sehingga tidak berani bersuara lagi. Rupanya bukan pemimpin UMNO sahaja yang kelabu mata dengan wang tetapi pemimpin PAS dan PKR juga samaCam. Kata dulang paku serpih. Guan Eng berjanji untuk hapuskan miskin tegar dalam masa setahun. Melayu diam. Guan Eng kata 'banjir berlaku kerana kerja-kerja pembinaan landasan oleh Keretapi Tanah 'Melayu'. Melayu bisu. ADUN Melayu tidak pun bersuara berapa nilai pampasan dibayar kepada pemilik ladang apabila ladang babi di Pulau Pinang ditutup. Wakil Pakatan Rakyat menjadi Pak Pandir yang gembira tak terkira apabila Guan Eng umumkan dia akan tadbir negeri ala Khalifah Umar Abdul Aziz. Sesudah itu mereka jadi kelu. Wakil rakyat Melayu Islam bukan saja ngong, tetapi koro.

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya mengapa Mohamad Fairus Khairudin dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri mewakili orang Melayu. Apakah untuk menggahkan bahawa Melayu tidak tahu tadbir? Ngong. Pemalas atau untuk merealisasikan bahawa Melayu akan diam apabila diberi takhta, kuasa, wanita dan harta. Sindir seorang kenalan kepada seorang sahabat di Pulau Pinang 'kalau sekadar nak duduk di kusyen belakang kereta dan baca surat khabar, lepas tu galas beg masuk pejabat kemudian balik, maka eloklah kita lantik 'peon' jadi wakil rakyat.

Maaf kerana saya menjadi Melayu yang terpaksa hina Melayu kerana malu mengundi Melayu untuk memimpin Melayu tetapi gagal memperjuangkan hak-hak Melayu.

Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah sebelum lidahmu jadi bisu

- Usman Awang -

Rabu, 19 November 2008

Tunggu & Lihat.

Menunggu Mac 2009 seakan jarak waktu yang terlalu panjang. Rimas. Proses peralihan kuasa yang mudah namun sengaja disukarkan. Saya sama sekali tidak menyimpan dendam kepada DSAAB. Benci pun tidak. Saya cuma dirasuk oleh kebosanan politik UMNO. Politik wang. Perebutan jawatan. Kekoroan pemimpin. Kelusuhan idea dan tindakan. Angkuh tidak bertempat. Barisan kepimpinan kerajaan yang hilang taring. Tidak lagi dihormati. Malah sering diperlekeh. Seolah-olah hilang maruah dan hilang wibawa. Sekaligus hilang kepercayaan ahli dan rakyat.

Kepimpinan wanita UMNO yang sedang kecoh tidak ditangani. Amat lambat. Proses 'tunggu dan lihat' terus menjadi amalan pentadbiran UMNO. Lesu. Di peringkat akar umbi semakin bercelaru dibiarkan. Kepimpinan tertinggi kelihatan seakan letih dan lesu untuk meneruskan perjuangan. Tidak bermaya. Di peringkat Pergerakan Wanita UMNO pula, seakan tidak ada lagi kerelaan untuk menyerah kuasa secara terdidik dan terhormat. Isyarat dari akar umbi dipandang sebelah mata sahaja. Dibiarkan bergolak sehingga rakyat semakin meluat kepada UMNO.

Apa sudah jadi dengan 'kerajaan pilihan rakyat'? Menang untuk menjadi 'pemerintah' tetapi menjadi hilang punca hingga lebih pondan dari jantan koro. Waktu yang penuh dengan tatacara yang tidak perlu ini hendaklah diganti segera. Namun masa dan detik peralihan kuasa yang menjadi penungguan kita itu juga masih kelabu dan penuh teka teki. Apakah Najib akan menjadi lebih berani atau menjadi pewaris 'tunggu dan lihat' juga?

Apabila proses peralihan kepimpinan UMNO dan peralihan kuasa berlaku maka apakah akan berlaku juga pertukaran kepimpinan kerajaaan? Jika tidak, sudah tentu agenda peralihan kuasa itu hanyalah pertukaran dalang sedangkan cerita dan wayangnya tetap sama. Maka di kala itu UMNO akan berkubur. Kepercayaaan ahli dan rakyat akan hilang terhadap kepimpinan Najib. Untuk itu semua anggota kabinet DSAAB daripada UMNO yang sedang berkhidmat kini patut melepaskan jawatan sebaik sahaja Najib mengangkat sumpah jawatan sebagai PM Malaysia. Itu patut berlaku.

Tindakan melepas jawatan akan memudahkan Najib membentuk kebinetnya. Najib mesti jadi berani untuk akur dengan kehendak ahli dan rakyat. Rakyat bencikan rasuah dan pemimpin yang rendah maruah. Bacul. Takut kepada pembangkang. Kepimpinan kerajaan patut dipilih di kalangan wakil rakyat yang menang pilihan raya. Pemimpin UMNO yang menganggotai kabinet mesti mempamerkan watak Islam sama ada pada tutur kata atau tindakan. Pemimpin yang celupar dan tidak memiliki watak kesopanan dan kesusilaan bangsa dan agama adalah pemimpin yang ditolak rakyat. Hukuman itu akan tiba apabila pilihan raya diadakan kelak.

Selasa, 18 November 2008

Setara

Kerajaan Kedah bertegas untuk laksanakan agihan ekuiti 50:50 projek perumahannya. Bagaimana dengan ekuiti yang lain? Itu kerajaan Kedah. Kerajaan Malaysia bagaimana? Pada saya agihan pemilikan kekayaan negara patut pada tahap 50:50 juga. Setelah 51 tahun Malaysia merdeka masakan kita patut rela berkorban untuk berada pada tahap 30% sahaja seperti sasaran DEB. Umat Melayu Islam patut tuntut lebih dari itu atas nama keserataan pemilikan kekayaan negara, nikmat untuk semua. Jika ada pihak tidak setuju 50:50 maka kita agih mengikut peratus jumlah penduduk.

Dasar pengambilan pekerja juga perlu mematuhi kuota 50:50. Kuatkuasakan dasar ini pada sektor swasta. Agihan perjawatan juga pada kadar setara. Ikut pangkat. Pekerja Melayu bukan sekadar dilantik untuk menjadi tukang cuci, jaga atau tukang kebun sahaja. Mengapa melayu tidak berani membuat tuntutan ini? Jadikan ia 'Dasar Ekonomi Negarabangsa'.

Saya sedikit pun tidak dihasuti kedengkian tetapi berfikiran selari dengan rakan-rakan saya yang bukan Melayu. Sesudah PRU ke-12 mereka ghairah membuat tuntutan untuk mendapat hak keserataan dalam pelbagai sektor; Pendidikan, Perkhidmatan Awam, Politik, Bahasa, Hak Keistimewaan Kuasa, tetapi apakah mereka setuju untuk berkongsi pemilikan yang selama ini mereka genggam rapat? Mereka harus rela agar profesional Melayu diberi jawatan tertinggi dalam sektor swasta yang mereka kuasai. Ada jawatan pengarah, pengurus, jurutera, peguam, akauntan, juruteknik, juruukur. Jika ada jawatan untuk kaum Cina, maka semestilah ada jawatan untuk kaum India dan Melayu. Hal ini belum wujud di negara kita ini.

Oleh yang demikian, jeliklah jika kita sentiasa menuntut hak keistimewaan yang ada pada orang lain untuk diserahkan kepada kita sedangkan kita sendiri tidak bersedia untuk memberi apa yang sedia kita miliki untuk orang lain. Mana mungkin kita berikan orang lain bantal buah kelapa tarah sedangkan kita tidur beralas bantal empuk buatan Singapura. Kita tuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi pada masa yang sama kita hanya sanggup beri jawatan jaga untuk berkhidmat di firma milik kita.

Ingatlah bahawa lembu yang dicucuk hidungnya pun tahu untuk memilih rumput segar, maka masakan Melayu yang sering diperlekeh ini menjadi buta hati untuk menelah betapa jelapang miliknya yang mahu dirampas hanya bergalang ganti dengan hidangan tamban kering.

Pada hemat saya orang Melayu harus berani membuat tuntutan jauh melampaui saranan yang terterapkan dalam DEB. Jangan lalui pintu yang tertutup. Lihat pintu yang terbuka. Kita perlu dasar baru dengan sasaran baru yang lebih adil kepada kita orang Melayu dan generasi kita. Kita berkongsi negara maka kita mesti berkongsi kesaksamaan dan keserataan. Malaysia yang lebih sejahtera nikmat untuk semua. Tidak berbaloi kalau hanya 30%. Kita inginkan kekayaan dikongsi secara adil. Kita inginkan 50% milik kita atas nama 'Dasar Ekonomi Negarabangsa'!

Ahad, 16 November 2008

Sekeh dan Jentik Telinga

Bagaimana Malaysia idaman DAP dan PKR? Hala tuju yang berjerebu. Lima negeri yang dipelawa untuk ditadbir oleh rakyat Malaysia kepada pemerintah PAS, DAP dan PKR belum masuk ke fasa pengisian janji-janji yang telah dibuat dalam pilihan raya. Tumpuan lebih kepada untuk mempolitikkan isu demi menarik perhatian umum. Paling tidak untuk memuaskan kehendak etnik tertentu. Bukan demi Malaysia seperti yang dijanjikan.

Saya kagum dengan kestabilan dan sejahtera negeri yang dikuasai PAS. Tiada isu yang membakar emosi rakyat. Tenang. Pentadbiran di Kelantan dan Kedah benar ke arah 'sejahtera'. Benar, masih banyak janji yang tidak tertunai namun kita perlu memberi mereka ruang untuk mengumpul dana dan merancang. Yang penting rakyat tidak gusar dengan isu perkauman. Kehangatan mesyuarat Dewan Undangan juga masih tersulam dengan kesantunan, kepatuhan dan saling hormat menghormati. Corak dan cara perilaku dan kelemahan kerajaan silam tidak diungkit.

Rakyat biasa tidak berminat untuk sesiapa pun mencari kelemahan dan kesalahan pemimpin. Mana-mana pemimpin. Tidak kira aliran politik. Jika bersalah buat laporan polis. Senyaplah. Jika ada kes mereka yang bersalah akan didakwa. Pada masa itu dengan sendirinya rakyat akan tahu segala penyelewengan yang berlaku. Pemerintahan cara ini lebih berwibawa dan disokong.

Apa sudah jadi dengan pemerintah Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Politik balas dendam adalah kebencian rakyat. Tadbirlah negeri mengikut acuan sendiri seperti yang menjadi impian. Ingat bahawa rakyat Malaysia adalah berbilang kaum dan kita berkongsi negara. Jangan apabila diberi kuasa memerintah maka kita cuma melihat kelemahan pemerintah lalu sedangkan kita tidak lihat kelemahan dalam pemerintahan kita sendiri.

Patutkah ketika kita berkuasa maka kita ingin menyakiti hati sebilangan rakyat dengan isu yang pada anggapan kita tidak perkauman namun dari sudut pandangan lain ia amat menghiris dan melukakan rakyat? Apa untung dan ruginya isu itu gembar-gemburkan? Lihatlah isu bahasa di papan tanda. Isu azan. DEB. Agihan tanah. Kuota Bumiputera. Isu pengambilan pegawai dalam pentadbiran awam.

Prof. P Ramasamy, Exco kerajaan Pulau Pinang mendakwa wujud diskriminasi dalam perjawatan awam. Ramasamy seorang ahli akademi yang patut lebih berhati-hati dalam membuat dakwaan. Tanpa bukti, dakwaan Ramasamy itu amat mengecewakan ramai kakitangan awam yang berkhidmat. Jelas Ramasamy jahil dalam hal ini. Kakitangan awam adalah di bawah kuasa Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Pemilihan kakitangan adalah di bawah bidang kuasa 'Suruhanjaya Perkhidmatan Awam'. Tuduhan melulu dalam persidangan DUN Pulau Pinang amat jelik. Tidak berasas dan melukakan orang Melayu yang mendominasi sektor tersebut. Ramasamy atau DAP patut membuat kajian tentang isu ini sebelum membuat dakwaan.

Omar Othman yang mewakili kakitangan awam patut membuat bantahan atas tuduhan yang tidak berasas dan menjejaskan reputasi perkhidmatan. Akhir-akhir ini terlalu banyak tuduhan dan tindakan yang memperlekehkan perkhidmatan awam. Selain polis, Jabatan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan badan berkanun, kini pegawai perkhidmatan awam pula dilabelkan sebagai si penerima rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain.

Saya cukup musykil dengan DAP dan PKR kerana bagaimana agaknya tindakan akan dibuat dengan kakitangan yang dipaliti arang ini jika mereka memerintah Malaysia? Semuanya dibuang. Separuhnya diganti. Bolehkah? Negara yang berpaksi kepada undang-undang dan pelembagaan tidak mengizinkan langkah yang sebegitu mudah untuk memecat dan menggantikan kakitangan awamnya. Pemimpin politik berupaya bercakap untuk menghalalkan cara kerana lidah tidak bertulang tetapi rakyat Malaysia telah memerdekakan diri untuk menilai kebenaran.

Sabtu, 15 November 2008

Mulut Capoi

Mohamed Nazri Aziz minta Tun Mahadhir kemukakan bukti perihal politik wang dan rasuah dalam UMNO. Apa sudah jadi dengan anak ketam yang seekor ini? Masih jalan culang caling lagikah? Setahu kita sudah ada maharaja ketam yang mengajarnya berjalan lurus. Inilah salah seorang menteri dalam kabinet Pak Lah yang mudah melatah dan kurang ingatan. Seluruh dunia riuh-rendah tentang pemecatan hakim dia masih dengan jawapan songsang. Pendapat dan ulasan Nazri semakin menjadi bahan kecindan belaka.

Jawapan Nazri terhadap perlantikan hakim jelas mengkategorikannya sebagai menteri yang memberi jawapan secara hentam keromo. Sesudah ini akan berlaku krisis keyakinan kepada semua jawapan menteri. Puncanya Nazri. Menteri yang kurang berhemah, kurang selidik, kurang membaca. Kurang persediaan. Ego. Tidak bersedia untuk mengakui 'ketiadaan maklumat'. Angkuh untuk mohon maaf atas kelemahan diri.

Dalam isu politik wang Nazri mendakwa hanya seorang dua sahaja yang terlibat. Adnan Yaakob mendakwa UMNO semakin parah kerana ada 900 kes yang membabitkan politik wang. Nazri seolah penunggu kamar 13 yang menanti hari-hari terakhir hingga menjadi mangau dan meracau. Nazri pada hemat saya tidak mempunyai maklumat. Kalau pun ada dia sengaja berselindung di sebalik agenda untuk mempertahankan maharaja ketam. Seorang dua dengan 900 adalah satu kenyataan yang lebih celupar. Gelojoh. Lebih merawit dari melatah.

Nazri minta Tun tunjuk bukti. Pada hemat saya, rakyat Malaysia merasai bahawa ia tidak perlu.
Siasatlah dahulu 900 kes yang sedia ada seperti dakwaan Adnan Yaakob. Siasat dahulu kes agihan kain pelikat seperti aduan yang telah dibuat. Nazri jangan jadi capoi. Dahulu ramai pengkritik yang menjadi setiakawan PakLah termasuk Nazri sendiri membelasah Tun kerana mendakwa Tun bukan lagi ahli UMNO. Tun tidak ada hak untuk menjadi penasihat parti. Tidak berhak campur tangan. Saya rasa Tun tahu hakikat itu. Dia tulis dan tegur kerana dia ada maklumat. Dia sayangkan bangsanya. Dia sayangkan UMNO. Untuk membuktikan kes politik wang mengapa minta daripada Tun. Mintalah daripada ahli-ahli yang membuat laporan kepada UMNO sendiri. Lembaga disiplin UMNO pasti ada menyimpan maklumat tersebut.

Membaca kenyataan Nazri kita menjadi semakin bercelaru dengan hal ehwal UMNO. Ditunjuknya lelangit, lelangit semakin kelam. Ditunjuknya laut, laut semakin bergelombang. Ditunjuknya hutan, hutan semakin gondol. Nazri memang mulut capoi.

Khamis, 13 November 2008

Di Sebalik Topeng

Radzi penasihat khas MB Perlis

KANGAR 12 Nov. - Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad telah dilantik sebagai penasihat khas Menteri Besar Perlis Datuk Dr. Md. Isa Sabu.

Radzi, yang juga Anggota Parlimen Kangar, memulakan tugas itu hari ini dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis.

Ketika ditemui di pejabat Menteri Besar hari ini, beliau bagaimanapun enggan menghuraikan tugas yang diberikan kepadanya sebagai penasihat khas.

- BERNAMA
Sekeh Sedikit
-mansaari-

Patutkah dan perlukah negeri sekecil Perlis mempunyai seorang Penasihat Khas Menteri Besar? Hendak memberi habuan atau hendak beri jawatan? Apakah Menteri Besar tidak mampu atau kurang mampu berdepan dengan tojahan pembangunan dan radakan politik? Jika kurang mampu mengapa terima jawatan?

Belum cukup setahun memerintah sudah terpampang lakonan. Para pemegang watak keluar ke pentas. Telahan wujud dalang, dan wujud pula wayangnya dalam kekecohan pemilihan MB Perlis sesudah Pilihan Raya ke-12 dahulu adalah jelas dan boleh dipercayai. Eloklah PAS gerakkan jentera untuk tawan Perlis 2011/12. UMNO Perlis semakin kotor, jadi kotor dan memperlihatkan kekotorannya.

Rabu, 12 November 2008

Jangan Pakai Topeng

Kembali dengan suara anak Melayu. Demi Islam. Untuk negara bangsa. Masyarakat bukan Melayu Malaysia cukup berani menuntut hak dan kesaksamaan. Mereka berselindung di sebalik 'sebagai rakyat Malaysia' mereka perlu mendapat layanan dan keadilan untuk sama-sama menikmati kemakmuran negara. Kadangkala mereka melabelkan etnik mereka sebagai rakyat kelas kedua. Yang melabelkan semua itu adalah pemimpin mereka, bukan orang Melayu dan bukan pemimpin Melayu. Selidiklah dalam sejarah penubuhan negara Malaysia, siapakah pemimpin Melayu yang melabelkan orang Cina dan India sebagai warga kelas kedua? Tiada. Segala kegawatan berlaku kerana para pemimpin bukan Melayu terlalu dirasuk sentimen perkauman yang mendalam. Mereka lupa tentang perkongsian. Lupa bahawa hak dan harta kekayaan negara perlu diagih agar keserataan nikmat itu dapat dikecapi bersama.

Berulangkali orang Melayu menyatakan bahawa mereka tidak pernah merampas hak bukan Melayu. Tidak. 30% ekuiti yang disasarkan jauh lebih rendah jika berbanding dengan peratus penduduk Malaysia mengikut kaum. Masyarakat bukan Melayu seolah-olah mahu orang Melayu papa kedana di negara ini. 'Keistimewaan untuk Bumiputera' dianggap sempadan halangan untuk mereka mengaut kekayaan. Walhal kautan keuntungan dan kekayaan tidak pernah luak ditimbun-timbus. Dasar DEB tidak pernah berjaya untuk mengumpul 30% ekuiti Bumiputera kerana bukan bumiputera jauh bijaksana untuk memintas.

Laporan umum di kalangan bumiputera amat lazim menganggap pemaju perumahan bukan Bumiputera sering bermain kayu tiga. Kepada pembeli Bumiputera sentiasa diwar-warkan bahawa projek perumahan itu telah habis dijual. Namun lama selepas itu pemaju membuat permohonan kepada pihak berkuasa dengan alasan tiada pembeli Bumiputera, maka kuota itu akan ditawarkan kepada bukan bumiputera. Betul atau tidak taktik ini, kita boleh pastikan melalui para pegawai yang mengendalikan proses permohonan tersebut. Disebabkan tiada data terkumpul maka pembeli Bumiputera yang berkemampuan sentiasa dinafikan haknya. Tabung Haji, Perbadanan Kemajuan Negeri dan lain-lain patut menjadi pembeli kuota ini agar dapat dijual semula kepada Bumiputera kelak. Jangan mudah ditipu.

Saya selalu senyum sendirian apabila bukan Bumiputera mempertikaikan hak mereka di Malaysia. Lebih sinis jika di kalangan yang mempertikaikan itu tidak mahir berbahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara. Isu hak dipertikaikan. Isu bahasa negarabangsa bagaimana? Setelah 51 tahun merdeka dan lebih 30 tahun dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan masihkah lagi perlu bahasa ibunda etnik diperjuangkan? Warga negara jenis apa jika inilah wajahnya. Perlukah bahasa Cina, Tamil di papan tanda? Jika perlu bagaimana dengan bahasa Iban, Kadazan, Hindi, Thai, Arab? Bagaimana pula dengan bahasa ibunda Bangladesh, Pakistan, Afrika, Vietnam? Janganlah kita lebih Cina dari RRC atau lebih ke-India-an dari India. Jika ini negara kita, megahlah dengan bahasa bangsa kita, bangsa Malaysia dan berbahasa Melayu.

Dalam masyarakat Malaysia kita telah saling faham memahami. Telah dewasa. Segala lakonan hanya mainan dalang. Jangan bertopeng kerana wajah sebenar akan terpamer sesudah pementasan dan lakonan tamat. Berpada-pada mengusik, jangan sampai melatah. Bertikam ada cara kerana kita seperguruan. Kita tahu kiri dan kanan. Depan dan belakang. Jangan angkuh untuk mendabik dada kerana ada senjata, tetapi beringat-ingat akan siku dan sepak yang masih menjadi rahsia seorang wira. Dan wira sejati memang tidak bertopeng.

Selasa, 11 November 2008

Belang Pemimpin

Ada suara yang tidak ingin didengari. Ada tulisan yang tidak ingin dibaca. Ada khabar yang tidak kesampaian. Ada cadangan yang keciciran. Ada gagasan yang diperolok-olok. Demikian nasib rakan-rakan penulis blog. Orang UMNO masih memandang sebelah mata kepada mereka yang menjadi penulis tidak berbayar ini. Namun demi agama dan negarabangsa kita tidak pernah peduli. Mari kita terus menulis.

i.
Para perebut jawatan dalam UMNO. Para pemimpin UMNO. Para pelobi. Para pengadu-domba. Para jurucakap. Para penyokong calon pemimpin UMNO. Muhasabah diri sangat diperlukan pada saat ini, ketika UMNO semakin ditojak kiri dan kanan.

Umno dituduh tidak Islamik. Jadi wirawan politik wang. Parti kroni. Parti yang bergelumang dengan rasuah. Parti yang tidak berpaksi kepada teras perjuangan. Parti yang lari daripada perjuangan Melayu. Koro. Bacul. Menjadi Kitol ketika rakyat memberi kepercayaan supaya menjadi wira.

ii.
Rakyat inginkan harga makanan yang munasabah dan mampu dibayar untuk alas perut di samping menikmati sedikit keselesaan serta rasa bahagia tetapi aliran penurunannya tetap beku. Apa tindakan? Tiada. Peniaga tetap bermain yoyo. Peruncit kata pemborong, pemborong unjuk kepada pembekal dan pembekal beri alasan tentang kos penyediaan makanan yang tidak diturunkan. Maka berlakulah enjit-enjit semut. Akhirnya rakyat diminta agar bijak memilih. Bodoh sangatkah rakyat Malaysia? Inilah UMNO. Inilah yang menjadi kemarahan rakyat. Jika rakyat bertanya apakah tindakan kerajaan maka jawapannya tetap sama: "kerajaan akan meminta kerjasama peniaga agar dapat menurunkan harga". Itu sajakah tugas kerajaan?

iii.
Rakyat marah kerana rasuah kuasa. Politik wang. Terlalu lama UMNO mengambil masa untuk atas masalah ini. Sejak PM Tun Hussein hingga era Pak Lah isu politik wang ini berterusan. Tidak adakah satu sistem digubal atau dicari supaya tatacara pemilihan calon pemimpin tanpa dibolosi rasuah? Salah satu cara ialah dengan menggunakan undi individu setiap ahli berasaskan setiap cawangan. Adakan pilihanraya parti. Fasa pertama pilih peringkat cawangan. Fasa dua pilih peringkat bahagian dan fasa ketiga pemilihan peringkat nasional. Adakan dalam masa sehari. Gunakan teknologi ICT untuk proses pengiraan. Telus. Sekadar untuk menekan butang berpandukan gambar calon adalah proses yang mudah. Beri peluang setahun kepada mereka yang galak untuk menjadi calon berkempen. Kalau masih ada yang cuba memberi rasuah biarlah rakyat tahu siapa individu-individu itu. Ahli di akar umbi lebih bijak menghukum dan lebih ikhlas daripada para perwakilan yang bermata duitan. Fikirkanlah.

iv.
UMNO pengecut. Tidak berani bersuara ketika isu berkaitan dengan agama Islam dihina. Tiada ada suara pembelaan. Takut untuk meringkuk di Kamunting. Jika kita berani untuk menghumban orang lain dengan akta ISA mengapa kita tidak demi untuk membela agama dan bangsa kita? Masuklah. Kita boleh jadi hero. Kita jadi anak jantan. Kita berupaya menang dan masih boleh menjadi ADUN atau Ahli Parlimen walaupun dikurung di Kamunting. Jika anggota dan pemimpin UMNO juga dikenakan ISA maka siapa lagi mahu mempertikaikan salah guna kuasa? Lim Kit Siang? Lim Guan Eng? Karpal? Teresa Kok? Anwar? Jika tidak berani mengambil risiko itu maka jangan jadi pemimpin orang Melayu.

v.
Pemimpin Melayu sama ada UMNO, PAS atau Keadilan kini dibenci rakyat. Sesiapa pun tidak perlu berlagak. Pemimpin UMNO dibenci oleh pengikut PAS dan Keadilan sementara para pemimpin PAS dan Keadilan dibenci oleh pengikut UMNO. Kaedah menganalisis perangkaan termudah ialah semua pemimpin Melayu dibenci rakyat. Mengapa? Pertama mereka tidak sempat membaca luahan amarah rakyat. Mereka tidak punya waktu melayari kritikan dalam blog-blog. Kedua, mereka taksub dengan prinsip kepartian hingga lupa bahawa mereka adalah pemimpin kepada umat Melayu Islam di Malaysia. Ketiga, mereka lupa bahawa mereka adalah pemimpin Melayu Islam yang sepatutnya mempamerkan watak dan peribadi Islam.

Di Parlimen watak Ahli Parlimen Melayu Islam ini sama seperti watak hero koboi. Bergasak sesama sendiri tanpa segan silu hingga tiada lagi susila yang berteraskan Islam. Tunjuk kekuatan. Tunjuk kemahiran menyerang. Dendam kepartian dibawa ke persidangan. Tertib musyawarah terpelanting ke tepi. Ego dan penonjolan diri dijual. Watak wira kedai kopi dijadikan modal meskipun YB adalah pemimpin terpilih. Apakah saudara-saudara YB tahu tanggungjawab sesudah dipilih rakyat? Saudara-saudara dipilih oleh rakyat dan bukan dipilih oleh parti saudara-saudara. Parti hanya meletakkan saudara-saudara sebagai calon tetapi yang memilih adalah rakyat. Akhirnya saudara-saudara akan ditanya oleh Allah kelak.

Ahad, 9 November 2008

Hancingnya Kencing

Tegar. Tegas tidak bertempat. Hanya alasan untuk menghalalkan cara. Itulah Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Isu mempelbagaikan tulisan etnik warga Malaysia di papan tanda jalan di negeri itu akan diteruskan. Di Kuala Lumpur Teresa Kok mempertikaikan tulisan jawi pada papan tanda sedia ada. Apakah agenda sebenar DAP?
Guan Eng dan Teresa Kok mesti sentiasa insaf bahawa kewujudan kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri adalah atas konsep sepakat. Bukan hak mutlak satu parti meskipun DAP menjadi peneraju kerajaan tersebut. Bukan. Tidak sama sekali. Maka adakah cadangan untuk melaksanakan penjenamaan semula pelbagai jenis tulisan etnik itu telah dipersetujui oleh PAS dan PKR?

Peristiwa hitam 13 Mei 1969 telah memacak tanda aras tentang perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dengan bahasa pengantarnya ialah Bahasa Melayu @ Bahasa Malaysia. Nah, dalam masa 37 tahun pelaksanaan dasar ini perlukan lagi tulisan lain selain Bahasa Melayu. Masih ada lagikah rakyat di bumi Malaysia yang buta akan bahasa kebangsaan negaranya? Kalau masih ada, kita adakan sahaja 'kelas dewasa'. Termasuk untuk Lim Guan Eng.

Guan Eng bermain politik. Kotor. YAB perlu ingat bahawa yang memberi kemenangan kepada calon DAP, PKR atau PAS dalam pilihanraya ke-12 lalu adalah para pengundi yang menjadi ahli parti dan yang bukan menjadi ahli mana-mana parti. Malah termasuk undi protes terhadap calon parti pemerintah terdahulu. YAB jangan seperti kacang lupakan kulit.

Lim Guan Eng dan Teresa Kok. Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963. Sebelum itu negara kita ini masih bernama Persekutuan Tanah Melayu. Bacalah sejarah itu. Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957. Bacalah sejarah itu. Sebelum tarikh kemerdekaan Tanah Melayu siapa saudara-saudara? Bacalah sejarah itu. Jangan ulangi sejarah kitol di negara kita. Bacalah sejarah Melayu.

Orang Islam di Malaysia adalah orang Melayu. Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Teresa Kok perlu bermuhasabah diri dan bertanya generasi tua Cina tentang azan. Bila azan itu mulai didengari oleh mereka. Sebelum merdeka? Selepas Merdeka atau bila? Guan Eng juga tidak perlu gula-gulakan umat Islam dengan sekadar momokan untuk melaksanakan corak urus tadbir ala Umar Abdul Aziz. Melayu Islam hari ini bukan Melayu Islam tahun 60-an, 70-an atau 80-an. Generasi alaf baru adalah Melayu Islam yang faham 'sekilas ikan di air kutahu akan jantan betinanya'. Jika berulam petai sekalipun mulut tidak berbau namun hancing kencingnya terhidu jua.

Khamis, 6 November 2008

Debat

Sidang debat atau sidang salak menyalak. Untuk tunjuk hebat atau untuk saling selak menyelak? Apalah sibok sangat KJ untuk berdebat. Realiti pencalonan daripada akar umbi sangat nyata. Apakah pencalonan-pencalonan itu masih mahu dinafikan? Semua ahli dan bukan ahli Umno amat arif apabila ayam selalu berketor. KJ akan menang jika perwakilan Pemuda Umno kelak terdiri daripada mereka yang berumpan dan diumpan. Ditabur kujam. Namun jika mereka terdiri daripada suara pemutus yang mewakili harapan dan inspirasi anak muda maka KJ patut sidai tikar. Gulung. Lipat.

Anak muda asuhan universiti tempatan dan institusi dalam negeri mampu berfikir dan memilih. Para pemilih yang menjadi perwakilan kini bukan lagi terdiri daripada pemegang sijil UPSR. Negara sudah maju, zaman sudah berubah. KJ janganlah masih bermentaliti seperti zaman main tuju para. Pemuda-pemuda kita sudah pandai bercatur. Tanpa debat mereka mampu menelah hala tuju Pemuda berasaskan watak pemimpin.

Tanpa debat sekalipun sudah pasti visi dan misi Pemuda tidak mungkin lari dari badan induk. Peraturan mesti dipatuhi. Etika dan perlembagaan parti mesti dijunjung dan dirujuk. Hala tuju Pemuda adalah intipati dari perancangan. Setiap perancangan adalah dapatan dari cetusan pemikiran exco. Keputusan adalah hasil kesepakatan dalam sidang mesyuarat. Bolehkah KJ merealisasikan visi dan misi peribadinya jika ia tidak dipersetujui oleh para exco? Jika begitulah hasilnya kelak apakah rasionalnya perlu diadakan debat?

Jelas pada hemat saya debat hanya bertujuan agar Mukhriz Mahathir disekat. Ditewaskan. Sekaligus diaibkan. Debat tidak berupaya memberi faedah terus kepada ahli tetapi berupaya mempengaruhi penonton. Debat hanya salah satu cara berkempen. Dalam debat semua idea lawan adalah lemah sementara idea sendiri dipertahankan dengan apa sahaja yang menghalalkan cara. Yang celaru adalah ahli biasa dan penonton tetapi bukan perwakilan. Perwakilan akan membuat keputusan berdasaran sama ada demi bangsa, demi Islam atau demi habuan yang bakal diterima.

Debat tidak perlu. Melayu kenal siapa itu ahli Umno, Pemimpin Umno, dan perwakilan Umno. Jebat serah keris Taming Sari sedia untuk ditewaskan demi seorang sahabat. Pemuda bersediakah untuk menyediakan pentas untuk mereka saling tetak menetak? Debat sesuai untuk Umno dengan Gerakan, MCA dan MIC. Handuhlah jika rasa mampu. Jangan jadi ayam, bertelur sebiji riuh seantero.

Tunjuk Belang

Ingatilah pengalaman kura-kura. Ketika lemah dia diherdik. Dihina. Keupayaannya sentiasa diragui. Pemikiranya diketawakan. Hanya strategi yang teliti dan jitu telah mengembalikan maruah bangsanya iaitu bangsa sang kura-kura setelah menang perlumbaan. Sang arnab menjadi angkuh. sombong. Ego. Ini kerana dipengaruhi oleh bentuk fizikal diri, tanggapan prestasi semasa dan realiti pengalaman yang dilalui. Namun pengamatan sang arnab tidak berasaskan kepada kotak-kotak perubahan dalam pemikiran terkini. Saya meneliti ceritera ini dengan penuh insaf. Rupanya intipati episod perlumbaan Sang kura-kura dengan sang arnab banyak mengajar manusia Melayu untuk mencari pintu halatuju yang masih terbuka. Jangan jadi kura-kura yang diinjak-injak tetapi jadilah kura-kura yang gigih berjalan dengan penuh kepayahan, penuh keazaman dan yakin menang.

Isnin, 3 November 2008

Sentiasa Disula

Salah tafsir. Tersilap petik. Disunting separuh-separuh. Pihak tertentu sengaja mensensasikan isu. Demikian intipati jawapan Datuk Tan Lian Hoe terhadap kenyataannya pada 10 Oktober. Pemimpin Gerakan perlu ingat tidak ramai Melayu yang buta sejarah. Tetapi ramai rakyat Malaysia bukan Melayu cuba merobah aliran dan susur galur fakta sejarah agar selari dengan matlamat dan agenda mereka. Gerakan menjadi juara masyarakat bukan Melayu apabila meminta agar Datuk Ahmad Ismail dihukum kerana menyatakan sejarah kewujudan masyarakat majmuk di Malaysia. Umno gantung keahlian Ahmad Ismail. Tetapi Tan Lian Hoe bagaimana? Mana jurucakap Umno? Mana juara Melayu? Sehingga bilakah kita akan sentiasa tersula dan disula?
.
.
Haiku kali ini:

i
anai-anai gerigit
bumbung runtuh
pelapik tidak bertiang.

ii
daun gugur bertabur
angin bertiup kencang
pokok tidak bergoyang.


2.
Zaid jadi Kitol. Inikah pemimpin Melayu yang mahu menjadi Ketua Bahagian Kota Bharu? Molek sekali dia dibersarakan. Tindakannya 'Betul' kerana dia telah melepaskan jawatan menteri dalam kabinet Pak Lah. Elok dan tepat kerana meletak jawatan sebagai senator. Melayu sebegini patut dilelong. Saya serah kepada Husein Lempoyang untuk goyang loceng. Pembelot seperti Zaid biasanya disula. Komen Shahidan Kassim terhadap Zaid adalah terlalu lunak untuk seorang sahabatnya. Hanya 'Taubat'.
.
.
Haiku Mohd. Affandi Hassan 'Cendera Kirana'

halaman 17

Pohon hitam
Matahari mula lenyap
Gagak riuh berebut dahan.

halaman 33
Ombak yang singgah di pantai
Hilang bersama tebing runtuh
Siapa meratap tangga hanyut?

Sabtu, 1 November 2008

Jangan Jadi Buta

1. Kita tonjolkan watak Kitol kerana kita marah. Soalnya siapa Kitol. Kita perkatakan Tok Dalang yang bermain wayang. Siapa yang bermain wayang? Kita katakan tentang kekoroan pemimpin maka siapakan pemimpin itu? Sebenarnya, Melayu tidak pernah peduli. Melayu semakin menjadi rela untuk bersedia diperkosa haknya.

2. Apabila isu azan dimomok kerana mengganggu, orang Melayu dan pemimpin Melayu diam koro. Mana dia perjuangan demi Islam? Ketika isu tulisan Jawi ingin diperkosa mana ada pemimpin Melayu yang jantan? Yang berani bertempik seperti Hang Tuah, 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia'? Kerana kekoroan itu maka Guan Eng berani untuk memasukkan segala tulisan cacar merba ke papan tanda di negeri pemerintahannya. Siapa dalangnya kalau bukan Teresa Kok? Itulah Agenda DAP. Terancang. Sepadu dan laksana. Yang gah menentang agenda kaum minoriti yang berlagak seperti dialah gajah mengamuk dikebun ialah semut kecil. Mana harimau? Mana singa? Mana seladang? Dan di mana pula sang badak? Semuanya telah terkasi telor. Jantannya telah hilang.

3. Kita ada Khalid Ibrahim. Dapat anugerah bintang Tan Sri. Dahulu, dialah yang diberi amanah untuk merealitikan ekuiti orang Melayu tetapi sekarang dia menjadi Tok Dalang yang pandai bermain wayang. Inilah orang yang melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS. Khalid adalah orang Melayu yang tidak percaya kepada orang Melayu. Tujuh bulan Khalid menjadi pemerintah, apa yang dia buat untuk Melayu Selangor? Apakah kenyataannya tentang nasib dan masa depan DEB? Apakah tindakannya terhadap pegawai MPAJ yang melaksanakan tugas berkaitan isu kuil haram Hindu?

4. Debat. Khairy Jamaluddin. KJ. Sedap nama. Kalau ikut undian akar umbi, KJ sepatutnya angkat bungkus berambus. Tetapi Kitol akan ada helahnya. Debat. Jika ada debat akan ada ruang berkempen. Nah, bukankah itu juga bersalahan dengan etika pemilihan? Kelak siapakah penyokong upahan yang akan dibawa untuk memenuhi dewan perdebatan? Siapa? Kadangkala ramai penepuk tangan upahan akan mempengaruhi dan menguasai khalayak. Adilkah? Kepetahan berpidato dan berhujah bukan bererti seseorang itu pemimpin terbaik. Penilaian yang matang tersisip pada personaliti pemimpin sama ada memiliki kewiraan, kejantanan, patriotik, Islamik, amanah, jujur dan berbudaya tinggi. Sayangkan negarabangsa. Celik sejarah. Berilmu dan rajin. Apakah intipati ini terlalu jahil kepada perwakilan pemuda UMNO sehingga satu debat perlu diadakan? Jika politik wang tidak berperanan maka perwakilan pemuda pastinya tahu nilai yang tidak ingin dijadikan gadaian.

5. Nada dan perjuang MCA dan DAP hampir serupa. Serangkaian. Berwatak Kitol pada waktu yang dirasakan boleh memberi keuntungan. Namun bertukar menjadi Tok Dalang ketika duduk semeja dengan UMNO. Apabila selesai wayang maka MCA akan makan setalam dengan DAP. Inilah rakan UMNO yang merampas keris. Hilang keris seolah-olah menyebabkan Pemuda UMNO hilang telor. Hilang Jantan. Dalam isu ekuiti orang Melayu, mengapa pemimpin MCA terlalu berani bersuara? Apa hak orang bukan Melayu yang dirampas oleh orang Melayu? MCA sudah pandai bermain mercun. Tetapi janganlah mengajar orang Melayu bermain mercun hingga terputus jari.

6. Pilihanraya ke-13. UMNO patut bertanding tanpa simbol BN. UMNO bertanding atas tiket UMNO. Simbol UMNO. Bertanding di semua kawasan majoriti Melayu. Kalau MCA dan MIC hendak bertanding biarlah mereka bertanding atas simbol masing-masing walaupun di kawasan yang ditandingi oleh UMNO. Apabila menang barulah kita bentuk kesepakatan untuk menubuhkan kerajaan BN. Kelak kita akan tahu nilai Melayu di tanah air yang tercinta ini. Lebih bermakna jika UMNO dan PAS bersepadu untuk saling tidak bertanding di kawasan yang dimenangi atas tiket 'Parti Islam Melayu Bersatu' .

7. Pilihlah. Sebatang mancis. Sepucuk mercun. Selonggok sampah. Dan jangan biarkan anak kecil bermain api. Kita masih ada hanya 'Kereta api Tanah Melayu' dan ' Tanah Simpanan Melayu'. Yang hilang terlalu banyak dan saya amat rasau kalau-kalau Bahasa Melayu juga kita gadai atas nama demi kemajuan, perpaduan dan perubahan sistem pendidikan yang semakin bercelaru. Semakin hari kita semakin kehilangan apa yang kita kendong. Semuanya semakin keciciran. Melayu semakin buta.

Isnin, 27 Oktober 2008

Airmata Darah

I am a Muslim first, party member second; I am a Muslim first, a lawyer second. I am a Muslim first an MP second. I am a Muslim first, everything else is second. - Zukifli Noordin

Watak wira Muslim yang jelas sebegini hanya lahir dari seseorang yang jujur dengan misi dan visi perjuangannya. Demi Islam. Kita jadi berani kerana kita tidak mempunyai kepentingan dan mengharapkan habuan. Melayu Islam kecewa kerana pemimpin yang dipilih sama ada Umno, Pas atau Keadilan gagal membela dan bersatu demi Melayu dan Islam. Kekoroan pemimpin Melayu kerana memiliki kekotoran hati yang semata-mata ghairah untuk jadi pemerintah. Kepentingan agama dan bangsa menjadi agenda kedua.

Masa depan Melayu Islam berliku. Sukar untuk kita menentukan siapakah yang sebenarnya jujur untuk berkata benar dan berani? Sewaktu berkempen untuk menang dalam piliharaya kita terpesona dengan janji. Tertarik dengan personaliti yang kelihatan jujur. Ikhlas. Amanah. Islamik dan patriotik. Namun itu adalah wayang. Watak itu adalah watak dalang. Apabila gong dan serunai bergema maka ceriteranya tiba-tiba berubah. Watak menjadi celaru kerana dirasuk oleh habuan semasa.

Itulah pesta wayang kulit dalam arena kepimpinan Melayu Islam. Wataknya pepatung. Lagunya juga bercampur aduk. Ada Melayu. Ada Arab, Ada Thai. Ada Cina dan ada India/Hindi. Yang celaka dalam duka ialah penonton. Sama saja dengan status pemilih dalam sesuatu pilihanraya. Bandingkan. Mereka hanya berupaya menilai apabila wayang tamat. Lakonan dan perjuangan MP Melayu Islam akan hanya dihukum apabila tiba pilihanraya akan datang. Jarak waktu itu adalah pemisah yang amat jauh dan sebarang kesilapan yang dibuat oleh pemimpin adalah gadaian yang tidak tertebus.

Air mata Tok Dalang tidak mungkin sama dengan air mata umat Islam. Kita sedih kerana disaluti emosi duka dari ceritera tetapi manakah yang lebih sedih jika kita kehilangan identiti bangsa dan Islam. Rakyat hanya berupaya melihat watak lakonan di layar tetapi di belakang pentas kita sepatutnya diberi kesempatan melihat siapa dalang yang bermain wayang. Adakah sama lakonan para MP kita semasa berada di kawasan pilihanrayanya dengan lagak lakon mereka di parlimen?

Belilah sebatang pena untuk menulis diari duka kita di tanah air yang tercinta. Semoga kita tidak kehabisan dakwat untuk menulis sejarah runtuhnya jati diri para pejuang umat Melayu Islam yang bacul di bumi kelahirannya. Kita tidak perlu menangis kerana airmata darah tidak mungkin dapat menebus segala yang tergadai kelak.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Pelangi Politik Malaysia

Politik Malaysia semakin berwarna-warni. Pun begitu ia semakin dibaluti kekusaman. Lusuh. Pudar. Warna-warna ceria telah hilang dan terhakis. Orang Melayu seolah-olah hilang watak-watak wira. Wajah dan wadah perjuangan pemimpin Melayu Islam berbalam kelabu. Kabur. Mereka diam dan bisu pada ketika mereka perlu gegak bersuara mempertahankan hak yang jelas menjadi warisan bangsa kita.

Saya jangka warna politik Melayu akan berubah jika watak koro dan bacul terus diguna pakai oleh Pas dan Umno. Mereka gagal bersatu suara pada ketika isu yang yang membabitkan melayu dan Islam dipertikai. Pola pemilihan wakil rakyat dalam pilihanraya ke-13 kelak akan turut berubah. Pengundian secara terancang dan senyap oleh bukan Melayu dalam pilihanraya lalu telah menyebabkan warna politik Melayu bertampok hitam.

Mulai sekarang orang Melayu perlu melihat agenda merampas undi Melayu untuk kemenangan calon bukan Melayu. Pola dan aliran pemilihan secara itu jelas terpamer dalam piliharaya lalu. Calon bukan Melayu yang menjadi wakil Barisan Nasional kalah. Calon Melayu Barisan Nasional juga kalah di kawasan kuat mereka kerana pola dan aliran sokongan bukan Melayu diberi kepada calon lawan. Demikian warna yang ditentukan untuk mengubah lantai, dinding dan bumbung politik orang Melayu. Amat terancang.

Orang Melayu perlu bertindak untuk mewarnai pola pemilihan dalam pilihanraya akan datang. Kita perlu melihat dan melukis peta perjuangan yang kian berubah. Warna telah berubah. Janganlah sekali terpalit arang maka sepanjang hayat kita berwajah hitam. Janganlah asyik menatap lengkungan pelangi sehingga kita lupa terik matahari akan segera menjadi pelupus yang kejam segala pemandangan indah. Melayu perlu berubah dari keasyikan.

Rabu, 22 Oktober 2008

Jahit Yang Carik

Cantum dan jahit. Parut kian terkebak dan semakin rabak. Luka terkoyak. Pemimpin profesional Melayu tampil bersuara. Seru 'Bersatulah Melayu'. Bersatu tanpa beralas aliran fahaman politik. Jahit semula segala yang carik. Cantum dan tampal segala yang robek. Melayu telah hilang suara hingga ada yang sudah berani melunggukkan kita sebagai warga yang bertaraf penyewa di negara yang tercinta ini.

Suara kita sudah dikategorikan sebagai suara perkauman. Sahabat-sahabat kita sudah menjadi musuh dan lawan. Mereka semakin berani menikam depan dan belakang. Mereka telah berani racun di mana sahaja ada aliran. Kita jadi kelu. Bisu. Diam. Koro. Bacul. Bila ada suara membela nasib orang Melayu maka suara itu dianggap suara perkauman tetapi apabila suara sahabat kita membela nasib kaum mereka ia dianggap suara wira pembela hak bernegara. Para pemimpin kita hilang hala, hilang cara hingga lupa punca sesuatu gejala yang sengaja dijadikan agenda mereka. Semacam ada kesepakatan di antara mereka terhadap cita-cita bagi merealisasikan agenda bersama. Fahaman politik sesama mereka diketepikan. Apa yang untungkan mereka, mereka sokong dan kejap sepakat. Sebaliknya kita diagah. Kita diajak bertelagah. Dilaga agar terus berbalah. Diacah untuk risau dan gundah.

Apabila Umno tidak lagi menjadi Umno. Pas bukan lagi Pas. Keadilan tidak lagi adil kepada Melayu, maka kerana itulah saya kira 'Titah Seri Paduka' mencanai sejarah betapa lemah pelaksanaan amanah oleh para pemimpin kerajaan 2008. Tidak pernah tertulis dalam sejarah tanah air kita akan adanya titah sebegini untuk sindir dan sekeh kekoroan pemimpin. Rakyat memang meruap marah. Pemimpin masih berwatak kura-kura. Belakang dibiarkan untuk dipijak dan kepala masih juga disembunyikan.

Demikianlah kesilapan yang terancang. Marah yang membawa padah. Menang sorak kampung tergadai. Para pemimpin Melayu dan Islam mesti selari arah agar kita tidak selamanya kehilangan punca. Hilang kuasa. Hilang harta. Hilang bangsa. Hilang agama dan hilang negara.

Apabila satu pintu tertutup masih ada pintu-pintu yang terbuka. Usah membazir masa untuk berusaha membuka pintu yang tertutup tetapi pilih dan laluilah pintu-pintu yang lain, yang telah tersedia terbuka. Kepada sesiapa yang masih ingin membuka pintu yang tertutup biarkanlah. Minda yang tertutup memang sukar untuk diarah mencari pintu yang terbuka.

Teka-teki

Teka teki yang tidak mempunyai jawapan.

1.
Jika benar 'sekilas ikan di air kita berupaya tahu akan jantan atau betinanya' maka antara Najib dengan Abdullah mana pula yang jantan dan mana yang betinanya?

2.
Siapakah yang pandai selak tidak tahu tutup. Siapakah yang jaja kain jarang, telus, terbuka dan akhirnya terkoyak rabak?

3.
Seluruh rahsia rumahtangganya terbongkar. Siapakah agaknya yang menubuhkan suruhanjaya untuk membogelkan kesah rumahtangganya dahulu?

4.
Bila ribut melanda, atap rumah pun menjadi bocor. Siapakah yang memilih tukang-tukang rumah yang pernah masuk pusat seranti untuk ganti atap namun tukang-tukan itu ganti lantai? Lain yang rosak yang lain yang diganti. Siapa ya?

5.
Siapakah orangnya yang kencing berdiri, anak buahnya kencing berlari? Siapa ya?

Jawapan tidak perlu. Sesekali kita perlu juga mengigau dan meracau. Saya menanti kerajaan yang jelas jantannya. Ada watak wira yang amat sayangkan agamanya, bangsanya, bahasanya, budayanya dan nusanya.

Selasa, 21 Oktober 2008

Meriam Buluh Tembak Suara Hantu

Suara Tun Dr Mahathir menjadi suara berhantu. Kadangkala digeruni. Kadangkala ditakuti. Ia kadangkala dibenci. Malah ada yang ingin melihat hingga ke hujung manakah suara itu akan bergema. Tun Mahathir tidak pernah gusar dengan apa-apa pandangan dan tanggapan orang terhadapnya. Beliau akan lakukan dan suarakan apa sahaja isu yang difikirkannya, yang kadangkala melangkau jangkaan. Tun ada jawapan dan alasan tersendiri. Malah beliau mempunyai data dan fakta yang mencukupi untuk mempertahankan hujah dan saranan. Inilah kehebatan Tun berbanding dengan pemimpin lain.

(Entri saya tentang 'Mahathir menggelecek Abdullah' hilang. Mungkin kemahiran minimum saya belum mencukupi untuk elak kehilangan entri itu. Biarlah.)

Apabila Tun Mahathir mengelecek Abdullah dan Abdullah keletihan serta memohon untuk keluar padang menjadikan permainan semakin gawat. Rioh rendah. Kutuk mengukuk. Lobi melobi. Akhirnya para pemain team Abdullah bertempik marah. Mahathir diserang. Kiri Kanan. Depan belakang. Namun sebagai seorang yang mahir menggelecek, Tun dapat memperbudakkan.

Memang benar Tun adalah pemain import. Pemain luar. Bukan pemain kelab tempatan. Semua orang telah khatam bahawa Tun memang bukan ahli Umno. Bukan. Tun telah buat slogan pengisytiharan dengan jelas bahawa beliau keluar Umno selagi Abdullah menjadi peneraju utama. Itulah yang dilakukannya. Tun masih patuh dengan pendirian itu. Tidak berganjak setapak pun.

Berada di luar Umno tidak bermakna seseorang itu mesti menjadi koro. Pemilihan Umno adalah pemilihan pemimpin Malaysia. Rakyat yang bukan ahli Umno juga berhak untuk bersuara. Biarlah dilabelkan sebagai suara hantu. Suara sumbang. Celupar. Gatal. Labellah. Itulah demokrasi. Hak memberi pandangan dan cadangan adalah suara seorang rakyat. Kenapa mesti takut. Kenapa mesti dihalang. Anak jantan biasanya beradu secara anak jantan juga.

Pada hemat saya meriam buluh yang dihala kepada Tun cuma acahan daripada pencucuh dampingan yang terasa tergugat strategi. Sudah mula melihat ancaman. Terasa sudah tidak selamat kedudukannya. Meriam buluh tidak bersimpai pastinya tidak upaya bertahan lama. Aliran corak pemilihan Umno kali ini sudah lari dari landasan lama. Para pendamping Abdullah telah berada dibaris tercorot. Penentang Abdullah diberi undi dengan jelas untuk menang bergaya. Pencacai Abdullah pula tercungap-cungap mencari nafas untuk terus bermain walaupun jelas telah tertewas. Siapakah yang berani secara jantan untuk angkat tangan dan keluar padang lebih awal dengan cara terhormat? DalamUmno aksi sebegini jarang ada.

Dalam sebulan dua ini pasti akan ada lagi meriam buluh untuk menembak suara hantu. Yang pasti kadangkala bukan suara hantu yang ditembak tetapi sebaliknya tertembak pula kaki sahabat. Terlalu banyak bunyi tembakan meriam buluh maka suasana pesta menjadi semakin meriah tetapi sumbang. Meriah kerana melihat kemahiran menggelecek. Sumbang kerana tembakan salah situasi, salah masa dan salah sasaran.

Khamis, 16 Oktober 2008

Anai-Anai Berpindah Busut

i
Anai-anai berpindah busut. Permaisuri ditinggalkan sendirian. Tanpa soldadu lagi yang keluar masuk istana lama. Demikian plot cerita kehidupan yang berkisar kepada arus politik tanah air. Jelas dan nyata. Abdullah Ahmad Badawi semakin kesepian di penjuru Putrajaya. Tiada pekerja dan tiada soldadu mendampingi. Yang menjadi buruan dan hurungan ialah Najib dan Muhyiddin. Di mana ada Najib di situlah ada soldadu. Berkerumun macam tempua bermalam di pohon nan sebatang. Maka berlangsunglah 'Pesta Wayang Jalanan'. Meriah. Di sini kedapatan pelakon berbakat besar dan pelakon tambahan. Kita juga akan menemui pelakon upahan. Kita terserempak dengan watak-watak manusia dengan topeng-topeng. Biasanya apabila jambatan baru dibina maka jambatan lama diletakkan tukun halangan. Laluan baru akan dibuka. Inilah 'perjuangan yang belum selesai' yang Tun Dr. Mahathir akan hadiahkan kepada Abdullah Mac 2009 kelak.

'Allah Maha Adil dan Dia memberi keadilan itu secara saksama untuk dirasai oleh hamba-Nya. Jika seandainya Abdullah pernah melakukan sesuatu kepada Mahathir maka segala yang pernah dirasai dan dialami oleh Mahathir itu akan dirasai dan dialami oleh Abdullah. Hal yang sama telah berlaku kepada Mahathir sebelum ini. Renung dan hayatilah petunjuk itu.

ii
.
Senyumlah, senyumlah wahai cik Awang golek. Lucu. Sedih. Marah. Meluat. Segalanya berpusar-pusar di pundak kita. Kenapakah kita terlalu membuang waktu untuk membahas, menolak dan mengesa agar menggantikan Anggaran Bajet 2009 yang telah berjam-jam juga dibentangkan? Bekas Menteri Kewangan, saudara Anwar Ibrahim telah menghabiskan masa berjam-jam untuk menjuarai persidangan Parlimen kini. Hebat kerana mencari gali alasan tetapi memperlihatkan kejahilan Anwar yang sangat ketara.

Semasa saudara Anwar menjadi Menteri Kewangan siapakah agaknya yang menyediakan anggaran bajet pada ketika itu? Siapa pun tidak mungkin percaya bahawa sesuatu bajet itu disediakan oleh menteri. Yang menyediakan sesuatu bajet ialah para pegawai kerajaan dari peringkat paling dasar hingga ke peringkat paling atas. Mereka terdiri daripada pegawai profesional dan pegawai sokongan pada setiap peringkat di setiap kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Bajet 2009 adalah himpunan cadangan dan pemikiran manusia yang terlatih. Pada hemat saya, saudara Anwar juga akan akur dan pernah akur dengan cara yang sama untuk memperolehi cadangan dan angka-angka yang menjadi pertikaiannya itu seperti mana yang beliau lakukan dahulu.

Dalam tulisan saya semalam, saya telah simpulkan bahawa para pemimpin yang kita pilih adalah para pemimpin yang mewarisi pemimpin dunia ketiga dan hari ini saya simpulkan mereka sebagai pemimpin kelas ketiga.

Anwar bercita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia berasaskan teori 'Katak'. Jika ada katak-katak yang melompat maka akan tertubuhlah kerajaan kataknya. Tetapi tidak semudah itu. Anwar perlu juga jeling kepada pukat dan jaring. Kail dan joran. Kujam dan umpan.

Segala yang difikirkan oleh Anwar itu pastinya telah difikirkan juga oleh penentangnya. Anwar janganlah lupa diri bahawa dia pernah menjadi pemerintah dan pada masa itu dia juga mempunyai penentang. Stabilkah kerajaannya jika penubuhan kerajaan idamannya itu bertenggek kepada soldadu katak? Pada masa itu apabila 'bajet air tangan Anwar' dibentangkan maka saya pasti bajet itu juga akan ditentang dan minta diganti. Akhirnya dimanakah kuala yang dipanggil muara? Anwar akan hilang punca sama seperti dia mencari punca untuk merealisasikan impian bagi menubuhkan kerajaan katak yang semakin hari semakin tersangkut kail.

Selasa, 14 Oktober 2008

Raja Cicak

Lariannya amat pantas. Lincah menapak dada siling. Raja Cicak. Cicak tidak pernah hormat sesiapa. Sama sekali tidak. Dia menjadi Raja. Dia langkah dan lintas kepala sesiapa sahaja tanpa hirau pangkat dan darjat. Dia cukup tidak bertatasusila. Dia angkuh dan berlagak samseng kerana tidak ada sesiapa pun yang berani mengusirnya di dada siling. Tidak upaya. Tidak berkemahiran. Tidak terlatih.

Najis spesis cicak tetap hitam dan putih. Itu telah menjadi kenyataan yang tidak sesiapa pun bisa menafikan. Nilai yang menjadi hakikat pegangan manusia. Mesti ada hitam putih meskipun itu adalah najis yang nyata. Malah dia melepaskan najisnya sesuka hati. Tidak kira istana, tidak kira mahligai, tidak kira rumah ibadat mahupun pondok buruk di pinggir sawah. Sesungguhnya dialah pemerintah lelangit untuk setiap bangunan. Hebat kerana dia sentiasa berlari di atas pundak segala raja dan segala jenis manusia.

Di bumi Malaysia, siapakah pemegang watak itu kini? Saudara-saudara boleh namakan sesiapa sahaja. Semakin ramai nama disebut dan disenaraikan maka semakin ramailah Raja Cicak. Persoalannya adakah kita salah seorang daripada perwakilan yang menjadi pemilih Raja Cicak? Dan adakah manusia seperti Raja Cicak itu patut dipilih untuk menjadi pemimpin kita? Hatta adakah kita kenal semua calon-calon Raja Cicak itu?

Kelak adakah kita akan diperintahi oleh Raja Cicak yang berkongsi rumah bersama Raja Katak? Akhirnya para memanda dan hulubalang kita terdiri daripada mereka yang berwatak ular, biawak, buaya, ketam, kura-kura dan tikus. Benar, memang sukar jika kita tidak berwatak manusia sejati. Lebih sukar jika kita menjadi dalang. Untuk ahli Umno, selamat bersidang. Untuk ahli Pas berwaspada kerana kita membawa panji-panji Islam. Untuk ahli Keadilan, tidak sukar mengkategorikan watak-watak tersebut jika kita rajin untuk mempelajari ilmu yang dianugerahi Allah. Untuk umat Melayu jadilah 'Melayu' yang jiwaraganya adalah manusia dan Islam.

Isnin, 13 Oktober 2008

Lebih Lucu Dari Sedih

Tersentak. Terpegun. Ulasan yang jitu. Tepat. Tajam dan memokah kepala sesiapa sahaja yang difokuskan. Kata PM, "kadang-kadang lebih lucu dari sedih kerana parti yang kalah tidak dapat tubuh kerajaan berlagak macam dia menang, kita yang menang seolah-olah kalah".

Inilah isu yang saya, rakan-rakan dan penganalisis politik fokuskan untuk menyedarkan kerajaan bahawa agenda penubuhan kerajaan pemerintah sebenarnya telah selesai sebaik sahaja proses angkat sumpah pegang jawatan kerajaan tamat. Agenda utama ialah melaksanakan tugas memerintah dengan menumpukan kepada janji-janji parti kepada rakyat. Tetapi 'politik kelas ketiga' membelenggu pemikiran para pemimpin yang dipilih. Sama. Kerajaan ataupun pembangkang. Rakyat keliru dengan lagak para pemimpin. Di negeri yang bertukar tangan dari BN kepada Pakatan Rakyat mereka bertindak seolah-olah mereka adalah pembangkang. Sementara di peringkat pusat kita lihat kerajaan yang diberi kuasa seolah-olah hilang punca lalu bertindak seperti pembangkang. Pembangkang yang jelas tidak mempunyai majoriti untuk menjadi pemerintah pula berlagak seperti pemerintah.

Terlalu banyak masa dan tumpuan hilang dengan bertelagah seolah-olah pilihanraya ke-12 itu tidak menentukan kemenangan dan kekalahan kepada mana-mana parti. Pelikkah atau kita jahil atau kita masih dikongkongi oleh aliran politik kelas ketiga? Arakian kerana itu kita tersogok dengan isu kerajaan katak. Kita ikut bapak ketam. Kita dengar dan terpesona dengan raja ular. Kita terikut-ikut dengan kempen resam biawak. Kita jadi manusia tetapi kita urus kerajaan ala kerajaan rimba.

Jika inilah yang ditafsir dan direalisasikan awal dahulu oleh kerajaan sesudah pilihanraya maka BN akan cepat stabil. Keterbukaan pasti ada hadnya. Berpada-padalah kita menyelak. Berpada-pada juga untuk biarkan orang menyelak. Jangan hingga ke takah bogel. Malu dan jijik. Ekoran keterbukaan itu maka timbullah isu yang diprotes rakyat hingga PM terpaksa turun tangga Putrajaya. Pertama, tidak tunai janji. Kedua, kerana gagal bertindak. Ketiga, kerana tindakan tidak selari dengan kehendak rakyat. Keempat, ego campur angkuh. Kelima, koro dan bacul untuk jadi pemerintah yang berwibawa. Keenam, bercakaran sesama sendiri dalam kerajaan. Ketujuh, gelojoh cara dan rakus habuan. Kelapan, kurang bersedia untuk jadi pemerintah dan terkejut dipilih untuk memerintah. Kesembilan, tidak berwatak wira rakyat. Kesepuluh, korek dan usik sejarah dan hak yang telah dibedak dan dibahagi. Tentunya terdapat deretan sebab lain mengapa rakyat marah. Semuanya berpokok kepada janji dusta dan hilang punca untuk berkongsi negara.

2
Umno. Adakah dari saat ini hingga Mac 2009 kita masih beradu domba untuk menang jawatan. Untuk jadi wira pilihan. Untuk itu kita lupa kepada retak. Kita lupa kepada janji untuk bersatu. Kita lupa untuk cermin diri. Kita tidak ukur aras kedudukan. Kita ghairah untuk berada dalam senarai utama yang kelak dipilih oleh Presiden atau Timbalannya. Kita lobi bahawa kita orang Presiden atau kita orang Timbalan. Kita atur strategi supaya orang lain jatuh biarpun mereka sahabat seperjuangan. Semua larangan menjadi halal asalkan habuan tercapai. Inilah perjuangan yang tidak berpaksikan nilai Islam. Inilah kegelojohan yang dinilai oleh rakyat. Semua pemimpin Umno hanya berjuang untuk kantung sendiri. Jika gagal dipilih mereka merajuk. Sabotaj. Tidak menyokong calon yang berjaya sekaligus menafikan prinsip demokrasi.

Lebih lucu dan sedih jika bertukar laku menjadi katak. Menjadi biawak. Menjadi ketam. Menjadi ular. Semuanya kerana gara-gara kecewa ekoran tidak dipilih. Rakyat dibiar seperti temekung di kuala sungai. Berkerumun. Kujam yang dinanti tidak dicampak jua. Akhirnya menyiku sesama sendiri. Adilkah perjuangan yang bernama refomasi jika rakyat diberi kulit dan kuah sementara isi dan rencah diceduk pemimpin? Renunglah masa depan rakyat dari tangan mereka yang sentiasa menadah dan mengharap. Mereka telah lama dijanjikan bulan dan bintang maka kali ini berilah mereka bumi tempat berpijak dan bernaung. Untuk hidup dan mati di Malaysia tercinta.

Jumaat, 10 Oktober 2008

Langkau Ke Hadapan

Seakan gumpalan yang berkecai. Hancur. Serpihan bertebaran. Untuk kembali menjadi gumpalan yang teruli pasti memerlukan tagihan waktu yang panjang. Maka senario poliltik Umno memerlukan peneraju yang bijaksana, wibawa dan berwatak wira. Komentar terhadap seteru politik perlu beralas. Biar lawan menjadi kawan. Jangan terlajak kayuh. Jika terlanggar pengkalan, pengkalan runtuh penumpang pasti tercampak. Perahu rongak pasti karam. Menampal bocor lebih sukar daripada memalam lubang.

Politik Malaysia adalah politik dunia ketiga. Penuh dengan dakwaan yang bercelaru. Sama ada semuanya benar belaka atau semuanya dusta semata-mata. Rakyat terpinga-pinga untuk mencari kebenaran. Bukti dan alasan ditonjol untuk menghalalkan agenda biarpun bukti dan alasan itu hanya reka cipta yang sangat inovatif ke arah mencapai cita-cita peribadi.

Saya ingin melihat politik dunia kedua. Setakah lebih baik daripada dunia ketiga. Kemenangan dalam pertandingan biarlah yang tidak diragui dan dipertikaikan. Tidak ada unsur ugutan. Tanpa sogokan. Tanpa janji dan habuan. Kemenangan biarlah tidak tersadung dengan kejaguhan ala samseng. Biarlah tertib dan bertatasusila. Berbudaya dan bercirikan nilai Islam yang maha sempurna. Pamerkan watak Islam, peribadi Islam, pentadbiran Islam dan gaya kepimpinan Islam. Sebenarnya itulah ciri melayu yang dikehendaki oleh generasi Melayu abad ini. Mudah.

Bertelagah. Rebut jawatan. Kelompangan ilmu dan pengalaman. Watak jantan jadah. Celupar tidak bertempat. Membazir dengan pesta-pestaan. Tidak pasti kehendak rakyat. Terpesona dengan asakan kebendaan. Lupa diri. Berlagak jaguh. Rendah budaya. Rendah peribadi.

Akhirnya isi tembolok sendiri. Perjuangan untuk agama, negara dan bangsa menjadi agenda pilihanraya agar sentiasa dipilih. Diri ditonjolkan sedangkan sepanjang khidmat penuh dengan munafik. Tidak tunai janji. Demikianlah lakonan-lakonan para pemegang watak pemimpin Umno yang dihukum oleh rakyat. Jelas terpamer episod yang memaksa rakyat bertempik dan berteriak agar peneraju utama Umno turun dari pentas pemerintahan. Ingatan itu mesti terpahat pada hati setiap penganti yang menawar diri untuk bertanding.

Meskipun ada yang mendabik dengan angkuh bahawa dia menang dan dipilih sekali lagi oleh rakyat namun individu itu jangan lupa hukuman pada pilihanraya akan datang. Selamat bertanding, selamat bersidang dan selamat berjuang. Kalah jangan menjadi katak. Menang jangan menjadi merak.

Rabu, 8 Oktober 2008

Memadam Tampok Hitam

Lega. Hadiah berharga untuk perjuangan bangsa Melayu. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan Mac 2009. Arena politik tanah air tidak ternoktah di situ. Masih berliku. Lega kerana kecelaruan mula menampakkan punca kusut. Tidak mudah merungkai juraian yang berbelit. Tugas pengganti akan diuji dan dinilai. Jika tempang maka anak tangga tersedia untuk turun. Jadi untuk sesiapa sahaja yang menawar diri bertanding jawatan Presiden akan berhadapan dengan tampok-tampok hitam yang terpaksa dibersihkan.

Tugas mentadbir negara dan sekali gus mentadbir parti yang gah dan gagah dahulunya adalah pengambilalihan yang memerlukan tokoh berwibawa, ada jati diri, memiliki misi dan visi yang jelas. Hala tuju yang goyah menyebabkan keputusan tidak dihormati. Tanpa keberanian bertindak untuk memadam isu berfokuskan kehendak majoriti rakyat dan takut kepada pembangkang akan menjadikan seseorang pemimpin itu seperti raja beruk yang bersembunyi di celah dahan. Suara arahan hanya terlantun apabila senapang berbunyi. Budaya koro dan bacul hendaklah dibuang. Watak wira mesti dipamerkan. Rakyat inginkan pemimpin yang berupaya menjadikan mereka bahagia, aman, bermaruah dan merdeka.

Selasa, 7 Oktober 2008

Gelap

Gelap. Hitam pekat. Laluan yang dicari juga tiada berlampu dan berliku. Meraba tanpa cahaya. Ketika panggung sesak, Hindraf terpa masuk seperti samseng gambar koboi. Wayang bermula tenang tiba-tiba menjadi kecoh. Hindraf menghantar pelakon tambahan tanpa skrip. Dengan lagak samseng merampas arena. Hak orang lain untuk mendapat nikmat lakonan dunia dinafikan. Demikian awalan kepada lagak Hindraf di Hari Terbuka PM.

Hindraf gelap hati. Hitam pekat dengan dendam. Mencari lorong penyelesaian tanpa berpandu kepada haluan bertatasusila dan undang-undang. Salah tempat. Menjadi perampas nikmat kehidupan yang berharmoni. Berlagak samseng seolah-olah arena itu menjadi medan tebusan. Sebenarnya Hindraf silap. Tidak ada manusia yang waras, yang dapat merela dan merestui lagak sombong serta angkuh seperti itu. Malah orang lain juga berupaya berlagak melebihi lakonan tersebut. Tetapi lorong damai, waras dan matang masih terbuka. Namun Hindraf memilih untuk mengheret tapak berselut untuk memijak hamparan permaidani indah. Hindraf amat jahil untuk hidup berkongsi negara seperti Malaysia.

Hari ini dan saat ini saya termangu dan merungus secara jantan. Hindraf membuat aduan dan laporan kepada polis terhadap Syed Hamid dan Utusan Malaysia. Celakoi betul. Patutkah ketika kita menceroboh rumah tangga bahagia orang lain maka akhirnya kita dakwa ada pihak yang lebih jahat kerana menegur kejahilan kita? Inilah pandangan dan aliran haram daripada pertubuhan yang haram. Jika Hindraf merupakan pertubuhan haram maka mengapa kerajaan tidak bertindak. Jangan biarkan yang haram menjadi halal. Jangan sampai kehidupan harmoni yang dikongsi ini menjadi tembok yang bertambak. Jangan biarkan marah berkerak. Jangan biarkan dendam berendam masam.

Walaupun hidup berkongsi kasih dan berkongsi negara namun semua kita perlu beringat bahawa kita masih ada sempadan dan pagar halangan. Kita masih tidak berkongsi hak milik yang kita warisi dan yang kita bayar untuk kita masing-masing memilikinya. Jangan cuba rampas hak itu. Ambillah apa-apa yang menjadi hak saudara-saudara secara halal tetapi jangan sama sekali menghalalkan cara untuk menghalalkan tindakan. Silap. Masih ramai wira Melayu di Malaysia.

Ahad, 5 Oktober 2008

Korban Kuasa

Katak memang galak ketika hujan. Ikan-ikan juga galak tidak terkira. Silap hitung ikan menyambar katak. Salah sambar ikan tersangkut ke kail. Senario ini lumrah dalam Umno kini. Galak. Ghairah. Gatal. Galak tawar diri untuk bertanding. Ghairah melobi. Gatal adu domba. War-war. Tayang. Lakon. Dan macam-macam hampir sama dengan penjaja pasar lambak.

Ahmad Zahid dan Mohd. Ali sudah ambil tempat di gelanggang. Timbalan Presiden. Muhammad Mohd. Taib tunggu untuk ikut ke gelanggang yang sama. Cuma Muhyiddin masih di gimnasium berlatih. Sembunyi teknik dan taktik. Menarik.

Ketika Zahid dan Ali galak di gelanggang bagaimana agaknya jika Muhyiddin tawar diri untuk jawatan Presiden? Biar dia masuk gelanggang bersama Pak Lah atau Najib. Pada hemat saya pastinya akan punahlah strategi katak dan ikan-ikan yang galak itu. Muhyiddin mesti berani memangkas sebelum dia dicantas. Berani memangkas, kelak pohonnya biak bertunas dan hidupnya kian subur. Jika terkorban biarlah terkapan sebagai wira. Para pembunuh adalah rakan yang melontar lembing di muka tangga. Jika Najib turut main kotor maka dia akan turun tangga seperti Pak Lah dan akan dijangkitkan kail oleh katak-katak dan ikan-ikan yang galak itu jua. Siapakah mangsa korban kuasa episod 2009? Umno kian parah jika ikan-ikan dan katak-katak yang galak serta ghairah mahu terus berebut tempat untuk memerintah.