Sabtu, 6 September 2008

Melayu Bacul

Perjuangan sejak era 60-an dan 70-an untuk memartabatkan kesedaran jati diri bangsa Melayu sebagai bangsa bermaruah, berilmu dan patriotik tiba-tiba terpadam. Merudum. Terkulai layu. Kalahnya Barisan Nasional dalam Pilihanraya ke-12 dengan menyerahkan Kedah, Perak, Selangor, disamping tidak upaya menawan Kelantan menjadikan negeri-negeri itu 'berkuasa' untuk mewarnai politik tanah air. Sekaligus melondehkan kekuatan BN. War-war yang angkuh dengan mendabik dada bahawa BN masih mempunyai majoriti kuat untuk terus memerintah adalah sekadar cawan sumbing di ceruk dapur.

Sesudah Pilihanraya ke-12 pemimpin Melayu BN tiba-tiba menjadi bacul. KORO. Pengecut. Memeritah seperti penebar roti canai yang separuh mahir. Tebarannya carik di sana sini, rotinya hangit. Pelanggan semakin lama semakin tiada. Najib Tun Razak, waris kepada pemimpin negara yang tersohor, yang kita harap untuk menjadi roti canai telur juga 'garing-garing lembik'. Dia sama-sama ikut bertenggek dalam kelompok roti canai tidak bertelur. Maka pengikut Najib juga semakin lama semakin mencari pencanai baru, PAS, Keadilan, dan DAP. Biar apa pun ulasan dan kritikan pemimpin BN kepada pemerintah baru di negeri yang ditawan namun rakyat memerhati hala tuju pemerintah baru yang berbeza dan yang lebih membawa kepada sejahtera.

Cerita berbingkai jenaka godam; 'roti canai telur' dan 'roti canai tidak bertelur' timbul semasa isu pembatalan 'Jambatan Bengkok' oleh kerajaan era DS Abdullah Ahmad Badawi. Para pemimpin kecil dan orang ramai sama ada Umno atau PAS di utara tanah air pada masa itu akan membuat pesanan 'roti Mahathir' merujuk kepada roti canai telur manakala 'roti Pak Lah' merujuk kepada roti canai tidak bertelur. Demikianlah penilaian rakyat terhadap pemimpin mereka berasaskan jantan atau betina, berani atau koro seseorang pemimpin itu. Kelihatan lucu, ada unsur jenaka tetapi sinisnya tercucuk ke dasar tulang.

Isu 'Pendatang' oleh Datuk Ahmad Ismail, Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera dalam kempennya di Permatang Pauh ditonjolkan. Sama seperti isu babi, isu 'Forum PengIslaman, isu kedaulatan Raja-Raja Melayu, isu DEB, isu ketuanan Melayu, isu kontrak sosial, isu tulisan Jawi dan isu azan adalah di antara isu-isu yang dijadikan agenda untuk menguji aras kejantanan atau kekoroan orang Melayu. Maka dalam isu-isu yang diagendakan itu jelas pemimpin Melayu menjadi semakin bacul. Najib memohon maaf bagi pihak kerajaan dan Umno sedangkan Datuk Ahmad Ismail menjadi jantan untuk tidak tunduk kepada desakan itu. Kepada Datuk Ahmad, Syabas! Pemimpin Melayu jangan sentiasa menjadi kura-kura yang menyembunyikan kepalanya apabila belakang dipijak.

Datuk Seri Najib, berpada di padang lumba. Rumput biar hijau, kuda biar cergas, pelana biar kejab, duduk biar mantap, lari biar kencang, sampai biar dulu, lari biar menang, menang biar bertepuk, habuan biar berkongsi. berkongsi biar adil. TETAPI kalau kuda bacul, menang tiada, segaknya dipelihara, gunanya tiada, hidup dan mati keji sekali. Janganlah menjadi 'Melayu Bacul'!

Tiada ulasan: