Rabu, 17 September 2008

Pahlawan Ketam

PM ambil alih Kementerian Pertahanan dan serah Kementerian Kewangan kepada Najib. Zaid kekal letak jawatan. Muhyiddin bertegas bahawa peralihan kuasa perlu disegerakan. Hishamuddin serah dan bersandar dengan kehendak akar umbi. Rafidah minta pertemuan tertutup dengan PM untuk sampaikan hasrat ahli Umno bawahan.

Maka kelihatan lengkaplah sasaran bertubi-tubi menghala kepada penyataan Tun Mahathir agar Pak Lah segera serah kuasa kepada penggantinya demi menyelamatkan UMNO dan negara. Pada hemat saya Pak Lah seharusnya telah beroleh petunjuk bahawa dia perlu akur dengan kehendak pengundi Umno supaya meninggalkan jawatannya dan Putrajaya.

Naib Presiden telah bersuara, kepak Pemuda kian beralih angin dan sirip wanita mula mendesak lunak. Isyarat telah mencukupi. Petanda apa lagi yang hendak dinanti. Di kem Anwar, dia tawarkan empat syarat lagi setelah janji 16 Septembernya tidak menjadi dan dimungkiri. Anwar kian membesarkan istana pasir mengharapkan ketam bertandang. Sekaitan dengannya Sang Ketam pula sedang mengajar anak-anaknya berjalan lurus. Apa bezanya ketam dengan Anwar?

Semua peristiwa yang bersilih ganti ini berlaku adalah gara-gara pentadbiran yang lemah, tidak cekap, koro dan hilang kewibawaan. Tidak mudah untuk menepis tendangan, tumbukan, kilas dan bentes. Hanya kejantanan seseorang pahlawan dan kekuatan, kemahiran serta setiakawan para pendekar di sekelilingnya sahajalah akan berupaya menobatkan seorang itu sebagai wira jagat. Layak sebagai wirawan. Akhirnya dimahsyhurkan sebagai negarawan. Ciri-ciri ini tidak ada pada DSAAB. Eloklah ikut langkah Zaid Ibrahim.

ii.

Satu hal lagi yang menjadi tanda tanya dan yang mencuriga ialah mengapa Pak Lah perlu ambil alih Kementerian Pertahanan? Adakah setelah serah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri kepada Hamid Albar, PM merasai diri tidak dihadang oleh institusi yang boleh dipercayai dan dikuasai. Adakah dia merasai diri semakin tergugat? Apa lagi setelah Panglima Angkatan Tentera turut menyuarakan situasi yang bercelaru dan suasana perkauman menjadi semakin memberang, kian tegang dan kian radang. Rasa-rasanya dia bimbang, prasangka dan curiga kalau-kalau Najib membina strategi untuk pulas lehernya. Paling tidak dia ingin kawal Panglima ATM agar dapat tidur sebantal dengannya.

iii.

Setelah gagal bentuk kerajaan Katak, Anwar ajak ketam-ketam bernaung di Istana Pasirnya. Hairan bagaimana siput babi di air tawar merangkak ke gigi pantai berair masin untuk melihat pembinaan Istana Pasir. Hebatnya Anwar. SMS cikgu Zainura, pemilik blog Zbzack kepada saya berbunyi ..."Anwar dapat 32 kerusi. Courts Mammoth bagi hutang bayar sikit-sikit". Terima kasih, rupa-rupanya dalam kecelaruan kita memperkatakan negarabangsa masih ada senyum bersindir yang berupaya menojak hingga ke dasar tulang.

Akhirul kalam. Tidak untuk Anwar. Tidak untuk Abdullah.

Tiada ulasan: