Ahad, 7 April 2013

Pilihanraya Dulu-Dulu

Pentas

Kempen pilihanraya dulu-dulu ringkas sahaja. Biasanya piliharaya diadakan dalam musim kemarau. Ketika sawah kering kontang. Perimpunan untuk berkempen diadakan ditengah-tengah sawah. Pentas dibina daripada buluh duri. Lantai papan keping diperbuat searas pinggang yang dipinjam  daripada pakatan kampung. Atap pentas daripada nipah. Pentas dihiasi dengan jalinan pelepah/daun kelapa sama seperti hiasan keagamaan masyarakat India masa kini.

Penceramah
Jika penceramahnya agak ternama dan berpangkat, seperti menteri, timbalan menteri, exco maka hadirinnya pun ramai. Mereka datang dari perbagai kampung berdekatan. Sekitar tahun 60'an dan 70'an Ahli PAS dan UMNO boleh duduk sekali tanpa ketegangan. Pentas yang sama boleh bertukar penceramah daripada parti lawan tanpa masalah. Hadirin adalah sama seperti malam-malam sebelumnya. Kalau ceramah UMNO tentulah ada wayang pacak. Hadirinpun agak lebih sikit. Kalau ada himpunan mega, biasanya dia diadakan di padang mahkamah (padang Court) berhadapan Masjid Zahir Alor Star. Orang kampung saya akan datang dengan bot tambang.

Isu
Isu pokok masa tu tidaklah ada langsung kutukan. Tidak ada fitnah. PAS akan terangkan dasar dan apa yang akan dilakukan jika dia dipilih. Keutamaan adalah menegakkan Islam. UMNO pula akan canang dan janji-janji tentang pembangunan. Tiada kutukan antara satu sama lain. Cuma keduanya akan melaungkan  pembelaan kepada Melayu dan Islam. Fitnat memfitnah langsong tidak ada. Maklumlah calon-calon piliharaya masa itu cuma lulusan Sekolah Pondok. dan SC, HSC.  Kalau ada lulusan universiti, kiranya menang, sahlah beliau akan dilantik menjadi menteri.

Calon.
Untuk memilih menjadi  calon pilihanraya agak susah. Tiada rebutan. Ramai yang menolak. Tidak suka dipilih untuk menjadi calon. Calon-calon biasanya dipilih dari kalangan anak-anak tok guru, penghulu, panglima, anak bangsawan. Ustaz. Guru. 


Selasa, 2 April 2013

Peringatan

Amaran untuk DS Najib Razak.  Jangan terlalu melayan Dong Dzong.  Jika tuntutan sekolah satu aliran tidak dipedulikan sehingga kini maka jangan sampai melayu mengamuk. Jangan gadai negarabangsa semata-mata untuk memperolehi undi. Jangan terjerut dengan tangguk di air keroh. Kiranya undi cina masih di takah lama maka tiada sebab tuntutan Dong Dzong mesti dilayan.

Percayalah, melayu akan bangkit jika BN buat kesilapan. Pada situasi politik gelap kelabu kini Dato' Sri jangan tersalah langkah. Demikian juga dengan PR. Kemenangan bukan bererti melayu akan diam jika semuanya mahu digadai. Dalam amalan demokrasi sesiapapun layak menjadi pemerintah tetapi mereka akan terhukum jika silap langkah. Marah dalam diam lebih parah daripada amuk jalanan.

Isnin, 1 April 2013

Rahsuah

Saya bingong dengan politikus. Biarpun saya cuba memahami istilah 'rahsuah'  dari sudut bahasa dan undang-undang tetapi pengtafsiran oleh para politikus  telah merosakkan akal dan mengharu-birukan. Pemeritah menyalurkan segala macam bantuan kepada rakyat telah dikategorikan sebagai rahsuah. Berpusar kepada niat untuk memancing undi. Kalau begitu, pemerintah tidak perlu beri apa-apa kepada rakyat.  Janji untuk membela rakyatnya bagaimana pula? Kalau tiada khidmat untuk rakyat maka pemimpin tidak perlu dipilih.

Nah! bagaimana pula janji penbangkang kita untuk menurunkan harga minyak. Menghapuskan PTPTN.  Pendidikan Percuma di Universiti. Bukankah  itu juga boleh kita kategorikan sebagai rahsuah. Janji untuk mendapatkan undi. Jika diberi undi maka itulah habuan yang menanti. 

Apapun janji dan habuan oleh pemerintah atau pembangkang, pada hemat saya rakyat seperti saya akan melihat  senario rekod perkhidmatan para pemimpinnya. Tentang keupayaan meneroka hala tuju negara, moral, budi dan bahasa para pemimpinnya, keupayaan mendidik rakyat, mengawal keselamatan negara, kemakmuran ekonomi, keadilan sosial, dan pendidikan.  Kemampuan mentadbir negara dari sudut  penilaian rakyat. Kebolehan mengurus dasar luar dan perhubungan antarabangsa.  Mengekalkan Agama Islam dan bahasa melayu pada kedudukannya di sisi pelembagaan.  

Pemimpin yang gagal melaksanakan amanah itu adalah rahsuah kerana janji tidak ditunaikan. Sesiapa sahaja akan kalah kalau hanya bijak berpidato tetapi tidak mesra rakyat. Sebenarnya maklumat di benak rakyat jauh lebih banyak daripada apa yang difikirkan oleh pemimpin. Segala yang dijanjikan pemimpin belum tentu menjanjikan sepangkah undi untuknya. Pemimpin yang baik di sisi rakyat hanya rakyatlah yang menilai mengikut maklumat yang terbenam dilubuh hatinya. Ketetapan itu tetap abadi. Tidak pernah berubah kecuali selisih salasilah dan disebabkan krisis status yang amat peribadi.