Rabu, 23 Disember 2009

Nostalgia 1960





Persekutuan Tanah Melayuku

Wira Jalanan

Membuat pusingan untuk mencari kenalan yang terbuang. Pemuda rambut panjang kusut. Baju kusam koyak tidak berjahit. Seluarnya berumbai paras lutut. Bibirnya hanya terucap dan terungkap kata-kata. "Ikut kiri, kiri, kiri! Ha! Kanan! Kanan! kanan! Bodoh betul. Ikut kiri pun tak tau ka? "

Sepanjang malam saya teringat kepada pemuda yang digelar Awang Boceh ini. Nama sebenarnya saya tidak tahu. Dari segi penilaian sememangnya dia kurang siuman. Tetapi itu tidak penting. Yang penting ideanya. Kata-katanya. Penilaiannya. Sopan-santunnya. Pemikiranya jauh lebih baik daripada mereka yang dikategorikan sebagai dewasa dalam hidup. Dia jauh lebih baik.

Pertama, dia ada pengikut. Dia berupaya memberikan erti kegembiraan kepada semua pengguna jalan raya. Dia berupaya menggerunkan ramai pejalan kaki. Arahannya diikut. Malah dia mempunyai peminat yang tersendiri. Dia tidak lokek bertegur sapa untuk semua pengguna jalan raya yang dirasakan kenalan lamanya. Dia boleh menahan sesiapa saja dan apa saja jenama kereta tanpa mempedulikan status, pangkat dan darjat. Pada Awang Boceh, hanya kenalannya saja yang menjadi 'VIP' di laluan tempat dia bertugas. Dia tabik. Dia tunduk. Kita senyum, dia juga akur dengan senyum. Dia berbudi lebih terpuji daripada petugas normal.

Kedua, dia amat setia dengan tugas. Dia tidak pernah ponteng bertugas di lokasi yang sama pada setiap masa dan pada setiap hari. Dia meminta hanya seringgit Malaysia untuk biaya makan daripada rakan atau peminatnya. Para peminatnya tetap hulurkan seringgit. Terima kasihnya terasa hingga ke lubuk hati. Terima kasihnya juga diulang berkali-kali. Ungkapan terima kasihnya itu hanya akan terhenti apabila kita mengangkat tangan. Dia akan melaungkan MERDEKA! MERDEKA!. Semangat patriotik Awang Boceh jauh lebih mendalam daripada pemain bola sepak kebangsaan apabila lagu 'NEGARAKU' dimainkan.

Ketiga, Awang Boceh tidak pernah minta upah untuk setiap khidmatnya. Dia hanya meminta untuk sekadar biaya makan dan minum sahaja. Jika ada lebihan rezeki pada hari itu, dia akan agihkan kepada sesiapa sahaja. Dia lebih pemurah daripada ahli korporat yang kaya raya. Yang belum saya temui ialah di manakah tempat dia tidur dan berteduh.

Keempat, Awang Boceh telah hilang. Saya bertekad untuk mencari dan sekaligus ingin mempelawa Awang untuk makan bersama saya dan rakan-rakan. Jangan bimbang, Awang jauh lebih sopan. Dia tidak akan duduk semeja bersama kita ketika sarapan. Mungkin dia terlalu faham dengan statusnya. Namun, dia tetap melayan apa sahaja pertanyaan. Politik. Ekonomi. Sosial, malah pendidikan. Tanyalah. Jawapan Awang tidak pernah dan tidak akan menyebabkan kita menjadi dukacita.

Kelima, Awang tidak terlibat dengan sebarang inhalan dan ketagihan dadah. Tidak. Dia terlalu baik. Dialah yang akan menghalau para penagih dan memaki hamun para penagih itu jika dijumpai terbaring lesu. Gerak gempur Awang lebih berkesan daripada gerakan PEMADAM.

Saya ada beberapa soalan untuk dijawab oleh Awang. Pertama, tentang murid Melayu yang ponteng sekolah. Kedua, tentang anak Melayu yang melepak di bandar raya. Saya ingin mencadangkan supaya Awang memburu anak muda yang menjadi kutu rayau. Gerkah dan nyahkan pelajar ponteng. Apa salahnya jika kita sediakan pakaian kemas terurus untuknya dan tugaskan dia supaya menjemput pelanggan di samping menjadi penggempur remaja melayu berpeleseran.

Demikian topik asing yang lari dari kelaziman. Kita kecewa kerana gelagat pemimpin Melayu yang mengecewakan. Jika pesakit mental pun tidak akan memilih baldi bocor untuk menimba air, maka bagaimana masih kedapatan para pemimpin arus perdana kepingin bangat memberi baldi bocor untuk rakyat mencari air di perigi gersang. Hoh. Gawat.

Dunia Pendidikan

Mencerminkan diri sesudah 51 tahun merdeka, maka apakah impian kemerdekaan kita telah menjadi kenyataan? Apakah kemenjadian rupa bangsa yang kita didik dan asuh dahulu dan kini telah mencapai piawaian impian? Berilmu dan berbudaya mulia. Sempurna. Berbanding dengan negara jiran kita, apakah kita berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang menepati falsafah pendidikan kita? Ciri-ciri bangsa yang seimbang dari segi ilmu, rohani, jasmani dan emosi.

Pada hemat saya, kita didik bangsa kita serba tidak menjadi. Kita lahirkan bangsa yang buta sejarah. Lemah jati diri, Kurang patriotik. Lemah ketakwaan. Songsang pemikiran. Berwatak koro. Moral goyah. Modal insan yang kita lahirkan adalah kuli yang berlagak tuan. Tidak tahu berterima kasih. Kurang bersyukur.

Dari segi berbudaya, rakyat Thailand lebih ke hadapan. Cara mereka menghormati sesama bangsa, apalagi menghormati tetamu, kita dapati lagak laku mereka jauh lebih terhormat. Tangan tersusun, kepala diangguk tunduk. Demikian juga perilaku di Vietnam, Kemboja, Burma. Kita? Ucap salam dan jawab salam pun masih terlalu banyak yang perlu digarisi dengan pembetulan.

Jangan cari salah siapa. Kita masing-masing ada saham dalam pendidikan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dasar pendidikan dan fokus kurikulum berubah setiap kali ada perubahan dalam perjawatan Menteri Pelajaran dan jawatan Ketua Pengarah Pelajaran. Penekanan sentiasa mengikut iklim. Maka pelaksanaan dasar pendidikan pun turut bercelaru. Perancangan Abu Nawas diguna pakai. Apakah kita menulis dasar pendidikan atau kita selamanya menjadi pelukis pendidikan yang sentiasa menampal warna mengikut imaginasi semasa?

Untuk hari muka, kita tidak tahu apakah akan jadi kepada j-Qaf? Apakah ia akan menjadi korban seperti PPSMI? Sistem Aneka Jurusan gagal kerana kurang kerapian kita merancang. Perancangan biasanya secara tangkap muat. Pendidikan jawi gagal kerana kegagalan kelemahan dalam kurikulum dan pendidikan guru. Kegagalan menguasai Bahasa Inggeris juga sama semangkuk seperti pelaksaan pendidikan jawi.

Mari kita sama-sama tuding jari kepada orang lain supaya kita tidak lagi dapat menyelamat diri kita sendiri.

Cukup dahulu dan jumpa lagi.

Isnin, 26 Oktober 2009

Pundak Semakin Sesak

Politik.
Bagai belatuk bersarang di tunggul reput. Hentakan paruh bagai pahat dipalu tetapi hanya habuk dan debu bertaburan. Tuar dipasang digelung berarus deras, yang terperangkap hanya ular air di lumpur berdanur. Siapa yang menjadi kerbau yang terpalit selut? Siapa pula yang dicucuk hidung? Mana tumang terpacak, ke mana menghilang layang-layang terputus tali?Mana langit yang hendak digapai? Ke mana kaki ingin diinjak? Masa berlalu, persidangan masih di Warung Kopi. Kata tidak lagi secantik bahasa, masa depan tidak lagi seindah impian.

Kita tertidur kerana kereta api terlalu perlahan, tetapi kita tidak terjaga ketika motokar terlalu laju. Kita marah kepada pemandu bas ketika kita sedang terbang di langit biru.

Politik semakin menjadi Shit. PoliTAIK.

Ekonomi.

Itik di air kehausan.
Ayam di kepok kelaparan
Kera di hutan disusui,
Mana lukah,
Mana jaring
Mana kujam
Mana tukun
Pribumi mengemis simpati.
Rumah PPRT. Makan RMT. Sekolah dengan SPBT.
Beras subsidi
Bangsaku menjadi buruh dan kuli.

Sosial

Bujur lalu melintang patah
Tiada rotan akar semakin berguna
Bagai helang menyambar
Rempit, rompak, rogol, ragut, raba,
Haram, dosa, neraka, petaka, bala.

Kita di mana anakku? Insaflah.
Saki baki perjuangan mesti diteruskan.

Ahad, 11 Oktober 2009

Pondok Damai

Inilah pondok kecil kami. Untuk ibu, kakak, adik-adik, anak-anak dan cucu-cucu merasai suasana kampung yang damai. Pulanglah. Rasa damai tidak selalu hadir abadi dalam hidup kita kerana manusia itu sentiasa diuji. Tanpa ujian masakan kita tahu akan nikmat dan erti syukur. Masa silam dan sejarah kehidupan tidak mungkin dapat ditulis dan dibeli kerana perjalanan hidup kita sama tetapi tidak mungkin serupa. Hanya orang-orang insaf dan bersyukur saja tahu merasai nikmat-Nya. Ketentuan-Nya di luar imbauan kita. Sementara bernafas marilah kita beringat-ingat akan dosa yang terus kita lakukan saban masa. Marilah kita sama-sama memohon keampunan ketika kita masih diberi kesempurnaan sebelum nikmat disusuti satu demi satu.


Syawal kian berakhir. Usia juga kian mengejar garisan.

Sabtu, 10 Oktober 2009

Mangu

Entah dirasuk aliran songsang dari arah mana sehingga berdaki dan berdanur. Ia menakungkan rasa amarah, benci, muak, bosan dan segala macam perasa yang terbancuh oleh minda yang tentunya disaluti kekotoran yang minta diluah. Hoh, amat huduh jika pemikiran itu bertakung!

Mengapa kita mesti melihat manusia dalam lakonan haiwan? Apa ada di balik tabir?

Bagai anjing suka menyalak apabila angsa gemar meraung
Bagai kucing menimbus tahi apabila ayam gemar mencakar
Bagai tikus lari bersembunyi apabila helang melayang pulang
Bagai harimau hilang taring apabila rusa masuk kampung
Bagai katak galak dihujani air apabila tupai jatuh ke tanah
Bagai itik pulang petang apabila ular menyusur akar
Bagai cacing kepanasan apabila haruan makan anak
Bagai lembu dicucuk hidung apabila kera di hutan disusui
Bagai ulat di celah batu apabila pelanduk dua serupa
Bagai kuman di depan mata apabila gajah di seberang lautan
Bagai lintah menghisap darah apabila nyamuk gemuk dalam kelambu.

Sabtu, 5 September 2009

Catatan di Perjalanan

Assalamualalaikum saudara/saudari.

Rupa-rupanya belajar menjadi diam itu terlalu sukar apabila kita diizinkan mendengar dan melihat. Belajar untuk tidak mendengar dan tidak melihat menjadi jauh lebih payah kerana kita terpaksa keseorangan berjuang dengan godaan dan nafsu. Selamat berbahagia dengan kehadiran Ramadan kali ini.

Rabu, 26 Ogos 2009

Jalur Gemilang



Saya masih merdeka.
Ingin terus merdeka.
Masakan saya harus tunduk kepada mereka yang mahu menjajah kemerdekaan saya

Khamis, 6 Ogos 2009

1Malaysia Hodoh

Tarik nafas lega.

Kita manusia biasa. Kita memiliki kelebihan tertentu kerana ia dianugerahi Allah. Jika ini yang menjadi pegangan, insya-Allah kita berada di landasan yang membolehkan kita sampai ke takah seterusnya. Kehebatan kita, yang kita konon-kononkan, janganlah sampai kita lupa diri bahawa kita berupaya menandingi segala yang ditakdirkan oleh Yang Maha Hebat. Allah.

Akhir-akhir ini terlalu ramai yang lupa diri hingga sanggup menidakkan takdir. Hari ini saya cuba menitipi kesilapan kita akibat diresapi keegoan, atau kerana terlalu marah, bosan, muak, loya, terkilan, terhiris, luka, sepi, sayu, sedih, tersinggung atau entah apa-apa yang sudah tak keruan lagi. Mari kita semak. Sesekali kita perlu lena sesedapnya untuk menghirup nyaman bernafas. Alhamdulillah kerana Allah masih menghulurkan dan meminjamkan nikmat nyawa untuk kita terus bernafas.

Persediaan. Apa pun dalam lingkupan kawah kehidupan ini kita perlu persediaan dan bersedia. Bersedia untuk kehilangan kawan. Untuk sihat. Untuk sakit. Untuk bahagia. Untuk derita. Untuk memperolehi sahabat. Untuk memperolehi musuh. Untuk sabar. Untuk insaf. Untuk makan. Untuk puasa. Untuk kenyang. Untuk lapar. Itu sahajakah? Sebenarnya, perjalanan mencari dan menimba ilmu itu berakhir ke hujung hayat. Pastinya ada ria dan duka. Pasti ada dugaan.

Hari ini, saya titipkan warkah ini adalah kerana saya diinsafi oleh ganjakan usia dan kegasakan bangsa yang kian merudum. Kita dididik untuk jadi baik budi, baik pekerti, baik bahasa, baik agama, baik budaya, baik ekonomi, baik sosial dan segalanya. Ibu, ayah dan guru tidak mendidik kita untuk menjadi samseng atau penyangak. Tidak juga untuk menjadi penipu, pembelot, penderhaka, perampas, dan segala yang ditafsirkan buruk dan jahat. Tidak sama sekali. Tetapi hanya ke arah yang baik-baik belaka. Namun baikkah kita? Doa kita, ingatan kita, kasih sayang kita, cinta kita untuk siapa? Untuk diri? Untuk ibu? Untuk ayah? Untuk keluarga? Untuk guru? Untuk bangsa? Untuk negara? Untuk Rasul? Untuk Allah? Seringkali kita lupa fokus. Alpa. Cuai. Tersasarlah.

Nilai semakin berubah. Kadangkala kejahatanpun semakin bertukar menjadi baik. Nilai jahat kian dianggap baik kerana kebiasaan. Anak gadis merayau malam. Anak lelaki pulang dini pagi semakin rutin. Remaja Melayu Islam berseluar kontot menjadi biasa. Semakin tidak janggal walaupun di khalayak kenduri. Walaupun di kediaman kematian. Pakaian basahan di rumah anak-anak kita sama miripnya dengan rakan-rakan bukan Islam. Seluar kontot paras lutut. 1 Malaysia.

Saya sama sekali tidak marah kepada anak orang, saya hanya marahkan anak sendiri. Tata cara berpakaian adalah imbasan pendidikan seseorang. Ia adalah gambaran salasilah keluarga. Nilai. Budaya. Bangsa. Agama. Masakan sama pakaian untuk ke pesta dengan pakaian untuk ke masjid. Pun tidakkan sama pakaian ke padang permainan dengan pakaian ke rumah saudara mara. Siapa yang patut menjadi pendidik?

Masakan sama bedak dengan arang. Juga takkan sama gula dengan garam. Itulah darjat.

Jumaat, 26 Jun 2009

Duri-Duri

Duri-duri yang terpaksa dipijak dan dicabut. Luka-luka yang terpaksa dibalut dan diubati. Perjalanan dan perjuangan perlu diteruskan. Catatan ini sekadar rasa geram yang payah terpadam selagi tidak ditulis. Maka saya catatkan demi mengembalikan rasa normal insan biasa seperti saya. Maaflah jika saya mengheret saudara-saudara kerana kegeraman saya ini.

1.
Isu Chin Peng

Siapa Chin Peng? Nama lengkapnya adalah Chen Chin Seng. Anak kelahiran Sitiawan, Perak.

Anak muda Malaysia yang tidak didedahi dengan susur galur sejarah bangsa tidak mungkin dapat mengenal lelaki rimba yang remaja dan dewasanya dilangsaikan sepanjang pengisytiharan darurat dan awal kemerdekaan Malaya. Samseng rimba ini sebenarnya sudah memperoleh lebih banyak peluang dan keistimewaan. Tunku Abdul Rahman Putra pernah mengarahkan pihak anggota keselamatan agar Chin Peng tidak ditamat riwayat hidup sebelum, semasa dan selepas selesai 'Rundingan Baling'. Dia tidak diapa-apakan. Dia selamat kembali ke rimba walaupun sidang rundingan itu gagal kerana ego dan angkuhnya manusia bernama Chin Peng itu. Pada saya, biarlah Chin Peng terus kekal dan kelak bersemadi di Yala bersama Rashid Maidin, Abdullah CD dan Abu Samah Mohd Kassim. Kita berhutang nyawa dengannya. Nyawa galang gantinya adalah nyawa. Tidak ada tempat untuk Chin Peng di bumi Malaysia.

Tunku Abdul Rahman Putra pernah melafaz kata-kata tentang Chen Peng, "Sekali jadi komunis, selamanya dia komunis." Maknanya, dia akan buat kacau jika dapat peluang. Rakyat Malaysia perlu amati firasat Tunku itu.

2.
Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh diberi pengampunan sedangkan tidak kepada Chin Peng? Kononnya, pada pandangan Anwar semua rakyat patut diberi hak tanpa pilih warna. Konon-kononnya. Itu kata Anwar ketika dia tidak lagi berkuasa. Soalnya, rakyat ingin tahu apakah kerakyatan Chin Peng sekarang? Mengapa baru kini isu kepulangan samseng rimba itu diwar-warkan? Mengapa tidak dibuat semasa Musa Ahmad dan Shamsiah memohon? Mengapa ketika BN hilang majoriti dua pertiga?

Anwar hanya 'tumpang sekaki' dalam pertelagahan berkaitan isu Chin Peng kerana ini dapat menambah saham kepada perjuangannya. Itu saja. Namun, atas nama prinsip perjuangan, pada hemat saya Anwar gagal. Terlalu banyak kekeruhan yang dibawa oleh Anwar kepada rakyat yang betul bendul. Kepada penyokong tegar Anwar, pastilah apa sahaja gagasan dan cetusannya dianggap benar belaka. Anwar sanggup cedok apa sahaja asalkan dia akan dapat habuan. Sebagai rakyat biasa yang pernah ikut perjuangan Anwar semasa siswanya, ABIM, UMNO dan kemudian PKR, maka Anwar hanyalah seorang pemidato yang sempurna. Kebijaksanaannya terletak kepada susun atur strategik untuk menghalalkan cara bagi mencapai hasrat. Namun, saya tetap beranggapan bahawa dia tidak berpegang kepada prinsip perjuangannya dengan kukuh. Dia sentiasa goyah.

3.
Isu politik Perak.

Banyak masa dihabiskan secara sia-sia demi rebut kuasa. Naik turun mahkamah, demonstrasi jalanan. Kempen. Propaganda. Pun tidak juga selesai. Masing-masing menegakkan sudut pandangan berpaksikan kepada aliran politik. Namun, kepada rakyat pertelingkahan di Perak itu mengheret mereka kepada perpecahan bangsa. Inilah kegagalan kepimpinan Melayu. Faktor dan penyebab kejatuhan kepimpinan Melayu zaman silam terus diwarisi oleh kepimpinan sekarang. Tiada keinsafan. Tiada titik pertemuan. Jika ada cuma dendam. Curiga. Prasangka. Fitnah. Cerca. Ego. Nilai dan prinsip ajaran Islam diketepikan. Akhirnya rakyat kembali berpuak mengikut aliran dan fahaman politik kelas ketiga. Bergasak sesama sendiri. Sesama teman sekampung, setaman, selorong. Bermasam muka. Pertanyaan yang tiada jawapannya ialah 'sehingga bila situasi ini akan berlarutan?', 'Kerajaan Perpaduan bertukar kepada Kerajaan Bercakaran'. Punah. Kepada siapa kita hendak marah? Kebingungan.

4.
Isu lebih lagak di Parlimen

Pada hemat saya, apakah manusia matang, waras dan terdidik akan dapat menerima lagak laku sebahagian kecil manusia yang diberi jolokan 'Yang Berhormat' berucap, berlagak dan berpencak seperti 'gelanggang laga'. Inikah contoh dan teladan pemimpin yang dipilih? Apakah kemenangan dalam pilihan raya dan dipilih oleh rakyat seolah-olah menghulurkan lesen untuk menjadi wakil rakyat yang tidak bertamadun. Ala rimba. Wakil pemerintah dan wakil pembangkang harus sedar persidangan ala rimba amat memalukan. Ilmu kita kian bertambah, maka sepatutnya peribadi kita kian luhur, mulia, sopan dan bermaruah. Berhujahlah secara kritis dan kreatif. Maksud dan hasrat biar berjaya disampaikan walaupun tanpa lagak 'kera luku' yang memalukan watak bangsa dan agama. Masa masih panjang, berubahlah sebelum 'Yang Berhormat' diubah. Kata guru-guru kita, 'gunalah akal yang panjang' dan 'jangan ikut nafsu kerana samsu'.

Ahad, 14 Jun 2009

Sejahtera

Sebaik sahaja sesi persekolahan bermula maka redalah kesibukan menunaikan jemputan. Ramai sungguh. Alhamdulillah.

Ketika belanja kahwin melangkaui puluhan ribu ringgit masih ramai umat Islam mampu menyempurnakan kenduri atas nama tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Untuk sempurnakan sesuatu majlis perkahwinan bukan perkara mudah. Biarpun saya tidak mempunyai pengalaman, namun daripada soal selidik dan bualan semasa berlangsungnya majlis maka dapatan daripada maklumat itu amat menggerunkan.

Belanja hantaran perkahwinan mencecah RM10,000. Belanja majlis kenduri juga mencecah RM10,000 atau lebih. Ertinya, RM20,000 lebih diperlukan untuk melangsungkan sesuatu perkahwinan. Saya tidak berani memberi komen kerana saya arif bahawa rakyat Malaysia kini memang berwang. Hak untuk menghabiskan tabungan yang dikumpulkan untuk mengadakan majlis perkahwinan itu adalah hak individu. Bebas. Tetapi yang saya dimaklumkan oleh guru-guru saya dulu bahawa perkahwinan itu terlaksana adalah berpaksi kepada rukun nikah iaiatu 'SISWA' calon Suami, calon Isteri, Saksi, Wali dan 'Akad. Mas kahwinnya ikut mampu. Saya teringat entri Dr Asri Zainol Abidin (bekas Mufti Perlis) yang pernah mengupas isu ini. Katanya 'kita menyusahkan sesuatu yang halal dan kita memudahkan yang haram'.

Memudahkan kupasannya, saya simpulkan sebagai "kita menyusahkan anak muda kita untuk berkahwin kerana beban belanja yang besar tetapi kita memudahkan mereka bergaul bebas tanpa berkahwin. Melakukan maksiat. Maknanya memudahkan yang haram".

Bagaimana jika kerajaan Datuk Seri Azizan di Kedah dapat mengadakan penganjuran Majlis Perkahwinan Perdana mengikut zon. Satu kampung hanya ada satu kenduri. Tanpa mengira fahaman politik kita anjurkan majlis 'Kenduri Kahwin Perdana' bersepadu. Belanja kenduri dikongsi. Kerajaan menyumbang RM2,000 untuk sesuatu zon. Hasilnya, rakyat tidak terlalu banyak membuang belanja dan masa untuk melaksanakan sesuatu majlis perkahwinan. Lebih elok jika jadual majlis diselaraskan agar pemimpin dapat turun bersama rakyat. Cenderahati tiada. Sesuatu majlis itu biarlah tidak kurang daripada 10 pasangan pengantin terlibat. Hebat, jika ini dapat dilaksanakan!

Ahad, 31 Mei 2009

Wira Sorak

Suara Melayu semakin sayup. Suara Melayu koro. Suara Melayu sudah menjadi suara pondan. Puncanya cuma disebabkan oleh suara Melayu tidak lagi sekata. Kita semakin asyik bermain politik hingga kita gadai kepentingan negara bangsa.

Ketika isu azan diperolok-olok oleh sekelompok etnik di negara ini, ada di antara kita marah dan menyinga tetapi sebahagian daripada kita, demi kepentingan politik peribadi, kita memperlekeh dan menganggap ia sesuatu yang remeh.

Ketika isu tulisan jawi dan isu mempelbagaikan tulisan suku kaum di papan tanda jalan, kita riuh rendah menentang. Namun sebahagian daripada Melayu kita ikut mempersendakan. Tambah menyakitkan jika direjam dengan kata-kata "Umno tidak habis-habis dengan isu perkauman". Apakah isu tulisan dan bahasa ini hanya diwajari dengan alasan yang sebegitu? Mana perjuangan Melayu yang lain? Zaman telah berubah.

Ketika isu 'sejarah pendatang' dan hak istimewa orang Melayu dipertikai, sebahagian kita sibuk menentang manakala sebahagian lagi mencemuh dan memutar belitkan fakta. Lebih hodoh kita akui para penyangak yang buta sejarah itu sebagai wajar dikemukakan. Mengapa mereka ini tidak diaktakan kerana menghasut? DS Abdullah Ahmad Badawi pernah mengusulkan kepada Hishammuddin Hussein agar menyemak kurikulum dan memastikan subjek sejarah diajar semula di sekolah. Sudah setahun arahan itu diberi tetapi Kementerian Pelajaran Malaysia belum bergerak. Koro sungguh. Agaknya bilakah lagi generasi 'buta sejarah' ini akan terus diwarisi? Mungkin sesudah suara Melayu tidak lagi di Parlimen.

Terkini apabila ada 'suara komunis' menggesa agar kerajaan mengizinkan Chin Peng pulang ke Malaysia, pun suara sebahagian Melayu masih koro. Chin Peng adalah pembunuh. Nyawa mesti dibayar dengan nyawa. Chin Peng boleh balik ke Malaya tetapi tidak ke Malaysia. Harga nyawa dan cacat anggota para pejuang menentang rejim komunis terutama disebabkan jerangkap samar sudah memadai untuk menghukum kekejaman Chin Peng. Pengkhianat seperti Chin Peng tidak perlu dijadikan wira oleh GERAKAN.

Isu PPSMI masih tergantung. Amat lambat keputusan dibuat. Apakah ia semata-mata kerana ingin menghormati Dr Mahathir? Dengan memansuhkan PPSMI tidak sedikit pun akan mengurangkan rasa hormat rakyat kepada negarawan itu. Sebagai manusia biasa beliau sendiri pernah mengakui bahawa beliau pernah membuat kesilapan. Ada cara lain yang boleh dibuat untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris pelajar Melayu. Para pejuang Bahasa Melayu tidak rela berkorban untuk menggadai, menghakis dan memperkosa bahasanya sendiri setelah sekian lama berada di landasan yang betul. Teruskan usaha untuk memartabatkan maruah bangsa melalui bahasa. Muhyiddin Yassin perlu juga diperingatkan bahawa masih ramai para pejuang bahasa era 60-an yang bakal menjadi pengundi PRU-13. Biarlah ia menjadi satu ugutan.

Pengakhirannya. Kita boleh berbeza pendapat tetapi janganlah sehingga kita hilang identiti. Hilang suara. Hilang bahasa. Hilang hak untuk beragama. Islam. Kita tunjuk koro maka orang lain akan tunjuk hero. Kita mesti jadi wira di negara kita tetapi bukan wira sorak. Bukan wira rempit. Bukan wira lepak. Bukan wira rayau. Bukan wira ragut. Bukan wira dadah. Bukan. Amat sedih apabila kita saling sorak kepada bangsa kita sendiri. Kita gembira kerana kita boleh bersorak sehingga kita lupa bahawa rebahnya sesuatu bangsa kerana penghakisan bahasanya dek keterlanjuran tindakan.

Sabtu, 16 Mei 2009

Selamat Hari Guru

hanya ini gambar kenangan yang ada

Selamat Hari Guru

Terima kasih cikgu.
Guru Pembina Negara Bangsa
Kami Guru Malaysia
Guru Oh Guru

Khamis, 7 Mei 2009

Gores, Menang & Kecewa

Baik sangka saya kian terhakis. Sedikit demi sedikit. Kejujuran dan keikhlasan tetamu yang tidak diundang diragui. Lain ulu lain parang. Terlalu banyak pengalaman yang mengajar saya agar sentiasa menggandakan 'hati-hati'. Tanpa hati-hati kita akan menjadi korban kejujuran dan keikhlasan.

Cuma satu peristiwa saya ingin kongsikan. Mungkin pada kesempatan lain kita boleh berceritera lagi. Satu hari saya bertandang ke Pasaraya SB Super Store Pekan Pumpong, Alor Setar. Pasar raya ini terletak bertentangan dengan rumah saya. Ia cuma dipisahkan oleh jalan raya saja. Pada hari tersebut ada beberapa orang kaki jaja berpeleseran mencari pelanggan. Tentunya tidak terkecuali 'pakcik pencen' ini. Saya didekati. Saya diarah memilih salah satu sampul. Saya menolak dengan baik. Disusuli dengan ucapan terima kasih berkali-kali. Namun saya terus dipujuk. Saya melayan seadanya.

Nah, saya memilih satu sampul! Saya diarah agar membuka sampul tersebut. Sesudah itu saya diminta agar menggores satu lopak hitam. Pada kertas yang telah tergores itu tertera gambar Proton Perdana V6. Para pelobi tersebut secara spontan mengerumuni saya. Semuanya mengucapkan tahniah. Salah seorang daripada mereka melobi bahawa saya sangat bertuah. Belum ada pengunjung pasar raya yang bernasib baik seperti saya. Wah, hebatnya!

Saya diminta memberi wang sebanyak RM1500 untuk urusan pendaftaran dan insuran. Licik sekali. Pelobi yang lain terus menerus meyakinkan saya. Gelagat mereka seolah-olah mengkagumi kejayaan saya. Dengan senyum saya menolak tawaran tersebut. Ketua pelobi-pelobi itu agak terkejut. Pelbagai pujukan diajukan. Dalam hati kecil saya mulai marah. Muak. Dengan sopan saya menolak lagi. Mereka tetap degil. Mereka seolah-olah ingin memaksa saya.

Sebagai pesara guru lagak gaya seperti ini sangat 'kacang' untuk diselesaikan. Pokoknya, mereka saja yang tidak tahu siapa orang tua yang sedang mereka pujuk ini. Pengalaman saya sebagai guru disiplin dan kemudiannya sebagai guru kaunseling memberi banyak petunjuk untuk saya menyelesaikan situasi seperti ini. Saya menolak. Mereka mendesak. Lantas apa terjadi? Sebagai pesara guru saya amat pantang apabila kita dikategorikan sebagai 'bodoh' semata-mata kerana menolak tawaran mereka. Sepanjang khidmat saya sebagai guru, saya tidak pernah menyebut perkataaan itu untuk murid-murid saya. Saya sentiasa tanamkan dalam ingatan bahawa perkataan 'bodoh, kurang ajar, lembu, biawak, babi dan lain-lain yang tidak enak dan tidak sopan' tidak akan saya lafazkan kepada murid-murid saya. Tidak pernah. Yang saya selalu sebut hanyalah 'anak ayam'. 'Jawapan bermutu rendah'. 'Boleh baiki lagi'. 'Bertuah punya murid'. Senyuman atau jelingan atau ketajaman mata atau mimik muka sudah memadai untuk mengawal murid. Biar seusia manapun mereka. Pasti tunduk dan patuh. Itulah kelebihan guru. Itulah kejayaan. Profesion yang tidak semua boleh diceburi dengan bangga.

Maaf tersasar. Kembali ke dasar cerita. Apabila saya menolak, mereka seolah-olah ingin marah. Reaksi dan suara sudah bertukar agak kasar. Saya dengan sopan menolak tawaran itu. Mudah. Saya serahkan kemenangan saya itu kepada mereka. Tuntutlah.

"You ambillah. You perlu keluarkan RM1,500 saja dan you akan dapat sebuah Proton Perdana. Saya tidak perlu. Saya sudah ada kereta. Saya hanya perlu sebuah kereta. Kalau saya ada banyak kereta pun, saya cuma boleh guna satu sahaja," kata saya.

Apa kata para pelobi? "You boleh jual maa.."

Saya jawab, "you juga boleh jual, untung you boleh ambil.."

Ketika mereka memegang tangan saya, maka ketika itu datang seorang jurujual pasar raya bangsa Tionghua bercakap Hokkien dan saya dilepaskan begitu sahaja. Saya masih bersahaja sambil mengucapkan terima kasih kepada Fong Mei (murid saya semasa di SMKTAR) kerana mengelak kekecohan. Fong Mei memang sudah masak dengan watak gurunya yang 'boleh tahan juga' jika naik angin kelak. Apalagi kejadian itu berlaku di kampung halaman saya. Saya berjalan melintasi laluan Lebuhraya Sultan Abdul Halim untuk ke rumah. Para pelobi itu bukan pekerja atau jurujual Pasaraya SB Superstore. Mereka menjadi jurujaja jalanan yang mencari mangsa.

Ahad, 19 April 2009

Percaturan Strategi di Penanti

Anwar calon DUN Penanti dan bakal Timbalan 1 Ketua Menteri Pulau Pinang? Bukan Mat Sabu?

Cuma jawatan sesudah menang di Penanti yang membatasi penglibatan pencalonan Anwar. Tidak mungkin Anwar rela untuk menjadi pencacai Lim Guan Eng. TKM1 bukan jawatan idaman Anwar. Untuk itu dan kerana itu maka mencari calon untuk jawatan TKM 1 memeningkan Anwar. Pertama, ramai yang menadah dan mengharap agar dipilih oleh Anwar. Kedua, kerana dalam PKR sudah ada nila yang meresap ke baldi susu. Anwar serba salah. Jika tidak mengapa pengisian jawatan itu tidak dilunasi sehingga kini?

Di Penanti, Mat Sabu memang sesuai tetapi Mat Sabu adalah calon katak sewaktu pilihan raya. Dia akan diletakkan untuk menjadi calon penggenap. Kalau tidak ada orang lain maka dialah akan dipilih. Jika ada dia akan diketepikan. Tetapi kita mesti ingat bahawa Mat Sabu adalah kawan rapat Guan Eng. Mereka sama-sama beristirahat di Kamunting. Mat Sabu adalah pemimpim PAS yang pertama jumpa Guan Eng dalam keadaan santai di mana Guan Eng berseluar catok. Malangnya kali ini Mat Sabu adalah calon PAS, yang mahu diisi adalah bekas lopak PKR. Sudikah PKR lepas jawatan TKM 1 kepada PAS? Dalam politik jarang ada isu mustahil. Itu pun jika Anwar jantan untuk berhadapan dengan protes senyap dalam PKR kelak.

Parlimen Kuala Kedah adalah tempat Mat Sabu biasa menang tetapi atas persetujuan PR maka kawasan Kuala Kedah diberikan pula kepada Ahmad Kassim dari PKR. Oleh yang demikian tidak terkejut jika Penanti diberi kepada PAS atas nama PR. Apalagi jika UMNO tidak lagi galak untuk ikut rentak PKR. UMNO mesti berani untuk tidak mengikut rentak PKR. Kalah menang tidak mengubah gaya goyah politik semasa. Menang akan ada isu sementelahan jika kalah pun pastinya lebih banyak isu. Cuma jika tidak ada pertandingan maka wang rakyat tidak dibazir dan emosi mereka tidak dibarasekamkan. Sebaliknya hasrat dan strategi pemimpin yang mencari kaedah untuk menghalalkan cara agar cepat dan dapat menjadi pemerintah segera terbantut.

Anwar berlumba dengan usianya. Jika Najib berjaya menawan citarasa rakyat dalam masa dia berkuasa maka akan musnahlah laluan mudah Anwar untuk tawan Malaysia. Usianya dan kudratnya semakin lama tentulah semakin usang. Tua.

Kekosongan DUN Penanti menuntut kebijaksanaan pemimpin. Najib tidak perlu ikut rentak. Inilah masa membuat pukulan pancung. Kemenangan percuma PKR di Penanti kelak sekadar mengesahkan akan belas kasihan UMNO kepada PKR yang ingin memenuhi kuota TKM 1. Lainlah jadinya jika UMNO menang di DUN Penanti itu akan membolehkan Pulau Pinang di tawan. Tapi situasi begitu belum boleh terjadi lagi. Namun ragam politik sememangnya sukar ditelah. Tidak semudah mencari anak ayam jantan dengan anak ayam betina. Lebih mudah menentukan tahi cicak kerana separuh putih, separuh hitam daripada membuat firasat politik.

Selamat beradu di Penanti.

Rabu, 15 April 2009

SAPU

Kesatuan dalam etnik Cina memang utuh. Mereka sepakat dalam diam. Keputusan dibuat secara senyap dalam kelompok sukuan. Mereka ada kompleks sukuan untuk aktiviti kemasyarakatan. Suku Hokkien mendominasi Cina utara semenanjung. Ia diikuti dengan kumpulan sukuan lain namun kesepakatan atas nama 'bangsa Cina'. Ia mengatasi segala kepenting berasaskan suku. Maka dengan itu tidak hairan jika apa pun anutan fahaman politik mereka ia tetap ke arah 'demi kepentingan bangsa Cina', mereka tetap bersatu suara.

Perjuangan bangsa Melayu biasanya berasaskan kepada emosi. Emosi mengambil arah dan tempat perjuangan. Dendam mesti berbalas. Lawan mesti dikorbankan dengan apa cara sekali pun. Lawan tetap lawan. Melayu akan mencaci Melayu. Mencaci para pemimpin Melayu. Kita dedah segala keiaban. Kita terlalu gembira bersorak. "Padan Muka". Kita handoh semahu-mahunya. PAS akan lanyak UMNO manakala MNO akan belasah PAS. Pengikut terasak dan berdendam sesama sendiri. Akhirnya PRU-12 menceritakan segala-galanya. Melayu hilang kuasa.

Yang menjadikan 'kuasa Melayu hilang' adalah undi bukan Melayu. Melayu hilang maruah kerana terpaksa menjadi perayu untuk menentukan 'ketuanan dalam Parlimen'. Apakah ini akan berlaku jika Melayu bersatu? Peristiwa Bukit Gantang mengheret umat Melayu bertelagah. Bergaduh sesama sendiri. Yang bertelagah dan yang bergaduh itu akankah bermanis muka dalam masa terdekat ini? Pasti tidak. Situasi ini tidak terjadi dalam masyarakat bukan Melayu. Kaji dan selildiklah.

MIC ugut untuk keluar dari BN. UMNO sebagai peneraju utama BN mesti berani mempelawa agar MIC keluar daripada BN buat sementara untuk bermuhasabah diri. MIC mesti sedar harga yang perlu dibayar kepada UMNO kerana terlalu prihatin menyerahkan kawasan majoriti Melayu kepada MIC. Bagitu juga kepada MCA. Melayu telah lama menyerah kuasa dan hak milik Melayu yang ada di tangan orang Melayu kepada sahabat mereka dalam MIC dan MCA bagi bertanding. Buktikanlah mana kawasan yang majoritinya bukan Melayu dimenangi oleh MIC atau MCA.

Untuk lebih adil setiap parti dalam komponan BN patut bertanding atas tiket parti dan lambang masing-masing. Parti komponen yang kalah dalam pilihan raya tidak perlu berada dalam kabinet. Syor yang tidak popular ini kadangkala perlu untuk memberi 'persekolahan semula' kepada semua parti komponen agar belajar memahami hakikat.

Jalan keluar yang terbaik ialah Melayu mesti bersatu. UMNO dan PAS mesti berkorban untuk bersatu demi masa depan Islam dan negara. Keangkuhan dan bebalan yang berterusan tidak membawa keuntungan kepada bangsa dan agama. Dahan yang kering dan rapuh akan menjadi kayu api. Lidi-lidi yang bercantuman biasanya menjadi penyapu yang tegar. Kita jangan sampai hanya menjadi peraut lidi yang melunggukkan sakibaki rautan untuk dibakar sebaliknya lidi dijual kepada orang lain untuk menyampu bersih negara tercinta.

Sabtu, 11 April 2009

Hamka atau Muhammad

Teori R A H M A N
Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan Najib

Teori HAMKA ( idea pencetus Kuda Kepang)
Katanya Hishammuddin, Ahmad Zahid, Mukhriz, Khairy + A = ?

Teori M U H A M M A D (mansaari)

Muhyiddin, , Hishammuddin, Anwar, Mukhriz Mahathir, Anwar + D = ?

Huuwaaaaa.

Khamis, 9 April 2009

Harapan

Tahniah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri.
Menteri Pelajaran.

PPSMI perlu diberi keputusan segera. Pemansuhan bukan bererti undur tetapi mengembalikan martabat Melayu. Meluhurkan kembali intipati Perlembagaan Negara. Memang benar pemansuhan bererti kita membazir jutaan ringgit kerana melaksanakannya tetapi ia berbaloi demi kelangsungan identiti dan martabat yang perlu diletakkan semula dipuncaknya.

Kementerian Pelajaran memerlukan keberanian untuk berubah. Kelapokan kurikulum perlu disemak. Martabat guru perlu dipertingkat. Jangan sampai para guru yang kini rata-rata telah berijazah tetapi kerusi dan meja kerja mereka masih sama seperti tahun 80-an. Daif. Misi dan visi pendidikan bertaraf dunia perlu disusuli dengan kemudahan yang juga mesti bertaraf dunia.

Tahniah Datuk Sri Utama Dr Rais Yatim.
Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.

Perlu lihat kembali kecelaruan dan penodaan bahasa dalam seni budaya. Penampilan media elekronik kerajaan mestilah mencerminkan dasar bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan, harmoni kaum, patriotisme dan pembentukan rupa bangsa Malaysia. Radio dan Televisyen kerajaan adalah cerminan negarabangsa. Kita di Malaysia bukan di India. Bukan di China malah bukan juga di England. Sebagai menteri yang pernah menjawat kementerian luar saya yakin DSU lebih luas pengalaman dan pastinya cukup mangli serta sentiasa tersogok dengan resam bahasa untuk bangsa yang merdeka. Jangan hampakan harapan rakyat.

Datuk Seri Hishamuddin.

Pada hemat saya YB gagal mengurus Kementerian Pelajaran dengan berani untuk menyediakan modal insan kelas pertama. Pendidikan bertaraf dunia juga masih tersasar. Sasaran PIPP juga lebih gah dari realitinya. Di Kementerian Dalam Negeri, saudara lebih dituntut keberanian bertindak bukan keberanian berpidato. Selama berjuang.

Hujan Rahmat

Hujan rahmat turun lagi. Cuaca baik kerana hujan masih merenjis bumi Malaysia. Hawa nyaman dan sejuk. Pohon menghijau segar. Lalu lintas lancar. Kenderaan bergerak sopan dan pelahan. Suis pendingin hawa ditutup.Tenaga dapat dijimat. Urusniaga tenang. Damai. Dalam hujan demontrasi jalanan juga lumpuh. Tiada pembesar suara yang membingitkan cuping telinga.

Nikmat hujan lebih terserlah apabila putik durian segar bugar. Manggis galak mencelah di sisi dedaunan. Petai berjuntaian. Air melimpah sawah. Ikan galak melompat tebing. Deru air di gelungan mengasyikkan. Esok lusa pasti anggerik menghulur sulur. Berbunga. Nikmat.

Sampah akan tertolak ke muara. Hanyut. Nikmatnya melihat perjalanan sampah berarak sesayup-sayupnya hingga hilang dari pandangan. Peniaga mengeluh namun pada masa inilah muhasabah diri akan menjelma secara tiba-tiba. Hujan dari Tuhan. Rezeki juga dari tuhan. Untung rugi, adalah nikmat jika kita tetap dengan bersyukur. Penoreh juga demikian. Penyodok sawit juga tentunya tidak terkecuali.

Hujan. Bukan cuaca buruk tetapi rahmat dan nikmat.

Rabu, 8 April 2009

Langit Terbuka

Tahniah kepada semua YB yang menang. Selamat bersidang secara santun dan berbudaya. Selesai sudah agenda negara atas nama demokrasi. Semua sudah memperolehi hak untuk bersuara. Biarpun ada yang telah menyatakan secara diam-diam mahu pun penyataan itu dipamerkan secara anak jantan berbicara. Kemenangan atau kekalahan menuntut agar diterima dengan pasrah yang tentunya secara demokrasi juga.

Saya selamanya agak mundur. Tidak suka kepada pilihan raya di Malaysia. Yang saya tidak suka adalah budaya kempennya yang sering keluar dari nilai murni dan susila bangsa Malaysia. Saya terkilan apabila berhadapan penceramah yang mengemosikan rakyat dengan maki hamun. Mengaibkan. Saling melepas kegeraman secara kurang sihat. Ucapan seringkali berbaur dengan ugutan, cacian, celaan, malah lebih malang lagi jika ia disusuli dengan fitnah dan cercaan.

Sesudah pilihanraya emosi pengikut tegar berkekalan dengan hujah yang pada hemat saya tidak lebih sebagai 'agenda menghalalkan cara'. Sesama penduduk bermasam muka. Kadangkala sesama kawan, sesama jiran dan sesama Islam. Situasi ini berlarutan hingga ia menjadi kudis bernanah dan membengkak dalam masyarakat.

Sepatutnya selesai pilihan raya maka berakhirlah mainan politik. Agenda utama adalah kembali kepada kehidupan damai ke arah membentuk kesejahteraan. Tiada lagi proses menidakkan pilihan rakyat. Buat dan laksanakan janji. Rakyat patut dipimpin ke arah aman dan damai. Rakyat patut mendapat hak daripada janji pemimpin tanpa berdasarkan aliran sokongan politik.

Tugas dan tanggungjawab pemimpin yang dipilih bukan sekadar bertelagah dasar tetapi sepatutnya berbicara secara sopan, berilmu, dan sepadu demi rakyat Malaysia. Keputusan yang diparlimenkan biarlah juga secara demokrasi iaitu kepatuhan kepada suara majoriti.

Pemimpin yang baik tidak akan mengajak rakyat bergocohan. Tidak perlu kempen berlebihan. Biarlah rakyat menjadi pemilih yang bijaksana berdasarkan prestasi kepimpinan. Kita sepatutnya terdidik sebagai umat kelas pertama. Malaysia telah bersedia dengan langit terbuka. Sihatkan minda dan lunakkan suara bicara. Tanpa 'kurang ajar' kita akan lebih bermaruah.

Jumaat, 3 April 2009

Pupuskan PPSMI

Tahniah Datuk Seri Najib.

Meskipun seluruh rakyat Malaysia berhak berkongsi 'Satu Malaysia' namun hak Melayu jangan digadai.

Selesaikan isu PPSMI. Kembalikan martabat Bahasa Melayu. Para pemimpin Malaysia mesti berbangga bertutur Bahasa Melayu. Setiap pertuturan para pemimpin tidak perlu bersulam Bahasa Inggeris. Juga tidak perlu ada dua bahasa untuk dihebahkan kepada rakyat. 50 tahun Malaysia merdeka, masihkah ada lagi rakyat yang jahil memahami dan dangkal berbahasa kebangsaan negaranya?

Datuk Seri mesti menjadi penutur tegar Bahasa Melayu. Jangan terus mengheret negara dan rakyat ke terowong berkabus. Di hujung terowong masih ada langit yang terbuka. Rakyat tidak harus dikorbankan di dalam terowong kejahilan, keangkuhan dan tertutup.

Jadilah pemerintah bukan ikut melatah.

Isnin, 30 Mac 2009

Ahad, 22 Mac 2009

Muhasabah

Tubuh yang terpalit arang tidak mudah dicuci. Apalagi jika arang itu bersalut dan sebati dengan minyak. Ia tidak semudah mencuci lumpur di tubuh kerbau. Meskipun seekor kerbau membawa lumpur tetapi yang terpalit adalah semuanya. Demikianlah politik wang dalam kancah politik tanah air. Saya tidak nampak ahli politik akan bersih atau kelihatan bersih daripada amalan menagih habuan.

Benarkah ahli koperat atau ahli perniagaan bersaing untuk menjajah takhta kepimpinan politik semata-mata untuk mencuri habuan rakyat? Membina kelompok kekayaan untuk keluarga dan kroni? Jika kita tidak mempercayai hakikat itu maka kita sepatutnya boleh memperoleh bukti sokongan namun segala petunjuk menghala kepada kekecewaan. Tiada pemimpin yang sebenar-benarnya bersih.

Kita sedang mencari pemimpin yang tidak pandai mencuri dan menipu. Kita sedang mencari pemimpin yang amanah, jujur dan patriotik. Kita mengidamkan pemimpin yang islamik. Tidak koro. Bukan boneka. Kita mencari kasih sayang pemimpin. Kita mimpikan pemimpin yang memperoleh kekayaan kerana berjimat dengan gajinya. Jika ada habuan untuk keluarga dan sahabat handai biarlah habuan itu sama imbang seperti rakyat marhaen yang lain harapkan. Rakyat marah kerana prinsip keadilan tidak kelihatan, apalagi disempurnakan.

Elok sekali jika pemilihan kepimpinan UMNO sehari dua lagi itu melihat kehendak rakyat. Bersihlah hati dan kulit muka bangsa Melayu. Bagi PAS dan PKR juga patut berubah. Sama-sama melihat keaiban Islam kerana kejahilan amalan umatnya tanpa mengira parti. Imej Islam tercalar bukan hanya kerana mereka UMNO, PAS atau PKR tetapi kerana kita sesama kita berada dalam kejahilan. Kita lakukan apa yang dilarang dan kita tinggalkan suruhan. Mengapa kekontraan yang menjadi pilihan kita sekiranya masih ada laluan murni yang terbentang luas.

Ahad, 8 Mac 2009

PPSMI Semakin Tenat

Pelaksanaan PPSMI satu kesilapan. Hishammuddin gagal menjadi Menteri Pelajaran kerana masih tidak mampu membuat keputusan berani. Apakah dengan berpegang kepada alasan; "Mengapa baru sekarang perkara itu hendak ditentang? Mengapa setelah enam tahun pelaksanaannya?" Demikian dangkal sekali susur galur pemikiran seorang perencana pendidikan negara. Sebagai pendidik, memang selamanya saya tidak pernah setuju dengan pelaksanaan PPSMI. Tetapi suara guru tersangkut di halkum kerana diikat oleh 'Saya yang menurut perintah' dan 'Berkhidmat Untuk Negara' ketika mereka masih lagi berkhidmat. Maka diamlah para guru. Membisu dalam bara yang membakar hati nurani. Suara guru tidak pernah dihargai, dipungut pendapat dan didengar untuk dinilai sebelum PPSMI dilaksanakan pada ketika itu.

Lebih 40 tahun para pejuang bahasa berkempen, berkongres, berseminar hingga lahir dan terbina UKM. Institut Bahasa. Dewan Bahasa dan Pustaka. Lahir juga gagasan penggunaan bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan. Maka ketika itu DBP ghairah dengan bahagian Istilah dengan jawatan kuasa yang membentuk istilah pelbagai bidang pengajian seperti sains, matematik, ekonomi, perundangan, perakaunan, geografi, dan lain-lain. Demikian sukar perjuangan dan tugas penyediaan prasarana pengistilahan Bahasa Melayu untuk bersaing dengan bahasa moden yang lain.

Pengalaman berjuang ini tidak tertanam dalam jiwa Hishamuddin. Dia terlalu muda dan tidak pernah melalui detik sukar para pejuang bahasa. Malah dia juga boleh berdolak dalik bahawa dia tidak terlibat dengan perancangan dasar PPSMI pada peringkat awalannya. Katakan apa saja tetapi pelaksanaan dasar ini telah memulakan satu lagi kecelaruan dalam alam pendidikan kita. PPSMI adalah dasar yang gagal untuk menginggeriskan pelajar Melayu namun ia turut menyediakan pemakaman kepada Bahasa Melayu itu sendiri.

Kami para guru pada ketika itu amat terguris dengan pelaksanaan PPSMI apalagi ketika sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dikecualikan dengan diberi hak untuk menjadualkan pelaksanaannya mengikut kehendak mereka. Ketika sekolah kebangsaan dipaksa melaksanakan mengikut acuan tetapi sekolah jenis kebangsaan diberi kebebasan berada di luar acuan.

Dengan apa alasan sekalipun PPSMI patut dimansuhkan. Guru yang mengajar PPSMI berbahasa ala caca marba. Tidak semua guru mahir, dan tidak semua guru selesa untuk mengajar sains dan matematik dengan pengantar Bahasa Inggeris. Bayaran insentif menyebabkan sebahagian guru merasai terpinggir. Mereka merasai tiada keadilan kerana PPSMI memisahkan pendapatan biarpun jumlah waktu dan beban kerja mengajar adalah sama.

PPSMI umpama nila tertitis ke susu. Ibarat air setempayan dicurah kerana mendengar dentuman guntur di langit. Bagai air jernih dilimpahi lumpur. Demikian malangnya nasib bahasaku di negaraku.

Jumaat, 20 Februari 2009

DEB Di Balik Tabir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Kiat mahu ekuiti 30 peratus bumiputera dalam sektor pengangkutan dikaji semula kerana menganggap ia sistem yang memundurkan.
Utusan Malaysia Online 20/02/09 (soal selidik)
Ulasan mansaari

Saya setuju. Benar DEB perlu dikaji. Jika perlu ekuiti untuk Bumiputera sebanyak 30 peratus itu patut disasarkan menjadi 50 peratus atau lebih. Telah 51 tahun kita mencapai kemerdekaan namun impian untuk menyusun semula masyarakat agar memperolehi habuan yang sama patut diutamakan. Agihan kekayaan yang tidak seimbang menjadikan rakyat Malaysia bertelagah hak. Peribumi terabai. Halangan mencapai ekuiti yang adil patut dirombak. Namun jika DEB disanggah semata-mata untuk menafikan hak Bumiputera, ia adalah seruan jahat.

Pemimpin yang berfikir dan bertindak untuk menafikan hak kaum lain demi untuk habuan kaumnya tanpa berpaksi kepada hakikat keadilan perlu ditentang. Sebenarnya, semua kaum ingin hak secara saksama tetapi peluang dan cara janganlah dirompak dan dirampas secara 'balik tabir' demi keuntungan politik. Intipati dalam Perlembagaan Malaysia telah mengariskan 'hukum pandu' dan hala tuju negarabangsa yang sepatutnya diakuri dan difahami. Sebenarnya kira kerap terkeluar landasan.

Rabu, 18 Februari 2009

Keluar Landasan

Termangu merenung perang politik tanah air menjadikan saya semakin majai untuk galak menumpang ruang, menulis serta berkongsi maklumat ke arah sejahtera. Namun PRU ke-12 dan pengamal tegar politik telah membawa rakyat bertelagah sehingga hilang fokus. Setiap parti siasah kita mempunyai penyokong dan penentang yang tentunya mendokong agenda propaganda masing-masing. Susuran itu maka tidak hairanlah jika para penulis blog dan pengulas/pengkritik cuba menyulam hujah dengan segala caca murba tanpa tapisan malah berbaur antara benar, kelabu dan palsu. Lebih malang lagi kerana semakin hari para pembaca blog semakin disogok dengan hidangan pemikiran yang beradun racunan berbanding penawar.

Kelompok rakyat turut disemarakkan emosi sehingga ke tahap rasuk rusuh. Marah, atau baran yang menggila. Maka episod caci maki mula berlarutan sehingga teguran dan kritikan tidak lagi beretika yang berupaya mempamerkan pemikiran matang, bernas dan bersisipkan kemurnian ilmu, pendapat dan hujah. Mengapa semakin tinggi kita dididik maka semakin rendah budi dan pekerti? Hakikat ini lebih mengecewakan kiranya kita menilai dari sudut pandangan didikan berteraskan Islam.

Ibu bapa dan guru-guru kita pasti kecewa kiranya anak didik yang menjadi penulis blog, pengulas dan pengkritik menggunakan gaya bahasa yang beradun dengan hamunan. Makian. Menggunakan kata-kata bermaruah rendah. Sebenarnya, martabat seseorang penulis diukur berdasarkan karyanya. Apakah dengan menggunakan bahasa sopan, dan kesantunan teguran akan menyebabkan mesejnya tidak mencapai tujuan? Gagal difahami.

Menjadi tanda tanya kita di manakah salahnya sumber pendidikan yang kuat merampas kesopanan dan kesusilaan yang disemai? Ibu bapa? Guru? Masyarakat? Pada hemat saya, para pemimpin politiklah yang kerap dan lebih gemar menggunakan 'bahasa samseng jalanan' yang melabelkan pihak lawan dengan kata-kata kesat. Malah di Parlimen yang mulia pun kata-kata tidak bersopan itu dituturi. Ia merebak hingga ke pentas pertemuan politik. Tidakkah ini mengecewakan?

Di dalam tulisan melalui blog-blog gejala itu lebih meruntun hati. Kata-kata kesat semakin menjadi mainan jari. Apakah amalan seperti ini direlai? Menggembirakan? Modal insan seperti inikah yang berupaya kita lahirkan setelah 51 tahun merdeka? Penulis dan penutur yang marah dengan 'berbahasa' pada penilaian saya adalah jauh lebih berkesan dan dihormati. Kita patut malu dengan segala bahasa caci maki seperti dalam blog tertentu. Lebih malu untuk kita ikuti ulasan dan komentar berikutnya. Peristiwa turun naik kerajaan Perak, isu derhaka dan isu Elizabeth Wong menjadi bukti bahawa kita semakin jauh tersasar. Lebih sedih lagi kiranya kita membuat rumusan bahawa yang bertarung dengan caci maki itu adalah di antara kita sesama Islam. Mengapa kita menjadi umat yang semakin mundur? Malah kenapa pula kita harus keluar landasan?

Isnin, 9 Februari 2009

Alahai

Umpama layang-layang putus tali
Umpama tanah sekangkang hendak menebus hasil seladang
Umpama pedagang tidak bergantang hilang cupak di celah kangkang
Umpama kolek menolak jong, jong tidak goyang kolek terbalik kuang
Umpama hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong
Umpama mandi di tabir kaca, lampu menyala tersuluhlah segala rahsia
Umpama baling batu sembunyi tangan
Umpama mudik ke hulu mencari haluan, mudik ke hilir mencari pengkalan
Umpama akar tak ke bumi pucuk tak ke awan.
Umpama biduk menongkah arus, patah dayung hanyut tidak bermuara
Umpama memijak arang, sepanjang jalan menapak hitam
Umpama ludah ke langit, lari tidak bertepi tertimpa diri sendiri.
Umpama kail panjang sejengkal, dasar lautan hendak diduga
Umpama berumah di tepi pantai, olak pun disangka ombak
Umpama mendaki tangga, naik berpijak turunpun biarlah bertapak
Umpama berkata biar beralas, berjalan biar berlangkah, lari biar sampai
Umpama guru kencing berdiri maka murid kencing berlari
Umpama tidak petah menari disalahkan lantai tidak selari
Umpama hujan tak lebat katak tak galak melompat

Alahai. Negaraku, bangsaku semakin bercelaru!

Jumaat, 6 Februari 2009

Panggang Mencari Api

Politik semakin mengajar kita agar bertindak secara jahiliah. Akal diketepikan. DS Anwar Ibrahim yang menjadi jalak jalanan sejak tahun 60-an dan 70-an masih mengajak generasi muda Malaysia untuk menyelesaikan masalah dengan caranya. Cara jahiliah. Keluar dan berarak di jalanan. Anwar gagal menjadi politikus terhormat yang bertindak dengan akal budi secara Islam seperti yang dicanangkannya. Dia hanya akur jika dia memperolehi faedah tetapi sebaliknya keras dan liar jika kehendaknya gagal dicapai.

Sepatutnya Anwar sebagai pemimpin berlabelkan perjuangan Islam bertindak mengikut prinsip dan ciri-ciri yang lebih berhemah. Bertindak menegur salah laku pengikut. Dan tindakannya itu biarlah seelok-eloknya memperlihatkan beliau memiliki watak bakal seorang Perdana Menteri. Menentang, menderhaka, menyaman dan mempertikai keputusan Seri Sultan Perak dengan bersekongkol bersama DAP dan PAS samalah seperti membina tembok penghalang yang kelak menyukarkan laluan untuk kembali berkuasa di Perak. Sanggupkah Pakatan Rakyat menghadap Tuanku terhemoi-hemoi? Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sebagai pemerintah politik maka dapatkah hubungan baik antara kerajaan dan Raja dijalini? Pemimpin PR gelap mata. Lupa kandang yang bakal dimasuki. Berkubanglah dengan lumpur. Jahil. Gopoh. Celaru.

Tindakan Seri Sultan Perak untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri jauh lebih murni dan adil untuk rakyat. Pertama menghindarkan pembaziran wang rakyat untuk biaya pilihan raya. Kedua, menghindari proses caci maki yang memecah-belahkan bangsa jika diadakan pilihan raya. Ketiga, rebut kuasa tidak berkesudahan kerana rakyat seperti diperbodohkan. Keempat, ahli-ahli politik patut akur bahawa jika kehilangan majoriti maka secara anak jantan mereka patut menyerah. Kelima, apakah keputusan pilihan raya baru (jika diadakan) akan menjamin bahawa ia dihormati dan dapat menyelesaikan kemelut yang terjadi sekarang?

Anwar sebagai pemimpin perlu keluar dari kepompong demonstrasi jalanan. Lagak lajak yang sering mempertikaikan kuasa sesuatu institusi itu perlu diperhalusi secara matang dan mendalam. Anwar sering mempertikaikan sistem kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Polis dan apa sahaja agensi awam jika agensi itu tidak menyebelahinya. Saya sering bertanya bagaimana gaya dan kedudukannya jika institusi itu diwarisi oleh Pakatan Rakyat kelak sekiranya ia berkuasa. Adakah celaan seperti sekarang diteruskan. Semua pegawai awam yang tidak menyebelahinya sebelum memerintah dipecat. Adakah itu rupa bentuk pemerintah berteraskan demokrasi jika pemimpin tidak boleh ditegur.

Anwar pernah di ambang kuasa. Pernah menjawat jawatan TPM. Jabatan Peguam Negara itulah yang beliau berurusan untuk memperolehi nasihat. Pasukan polis itulah yang menjadi juruiring dan pemudah laluan kepadanya. Keselamatan diri dan jawatannya dikawal rapi. Situasi ini juga sedang dinikmati oleh Khalid Ibrahim, Nik Aziz, dan Azizan Razak. Malah Mohd. Nizar juga pernah merasai nikmat itu. Tetapi ketika turun takhta mengapa pegawai dan institusi itu dicerca?

Jika Ahli Parlimen Malaysia melompat ke pihak Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaaan Malaysia maka bagaimana agaknya lagak dan tindakan Anwar? Bubar Parlimen? Jauh panggang dari api. Sudah ditakdirkan bahawa Anwar masih juga dan masih lagi menjadi pembangkang. Hanya DIA yang Maha Mengetahui. Ambillah iktibar mengapa Nizar telah kehilangan kuasa yang dipinjamkan sementara itu. Diuji? Dihukum? Yang pasti hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Rabu, 4 Februari 2009

Di Ambang Kuasa

Tersungkur. Belum sempat menyambut ulang tahun pertama memegang tampuk kuasa, 'Kerajaan Pakatan Rakyat Perak' tidak semena-mena tersungkur jua. Kesilapan besar lr Mohd. Nizar ialah menolak ajakan UMNO untuk berkongsi kuasa. Dia lebih yakin kepada DAP dan PKR sedangkan sepanjang proses piliha raya ke-12 dulu, masing-masing mendakwa mereka berpaksi kepada parti dengan tidak menggadaikan prinsip dan perjuangan. Akhirnya PAS menjadi kerajaan boneka yang kurang disenangi umat Melayu Islam. Saya tidak tahu sama ada ini disedari atau tidak oleh pemerintah Perak.

Agenda Kerajaan Katak diketuai oleh DS Anwar Ibrahim. Dia dengan megah mendakwa bahawa dia akan dapat memancing katak-katak daripada BN untuk menumbangkan kerajaan. Saya telah mengingatkan bahawa DSAI terbuai akan indahnya Istana Pasir yang bakal dibina tetapi dia lupa tsunami, monsun dan badai. Dia leka sehingga terlupa bahawa orang lain juga mempunyai joran yang panjang untuk memancing.

Biasa dan memang menjadi lumrah politik di Malaysia, jika umpan tidak dimakan maka kita akan mengada-adakan pelbagai alasan untuk menghalalkan cara yang tidak menjadi. Sebaliknya kita akan memberi dakyah kotor berasaskan rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya jika pihak lawan berjaya.

Kerajaan PKR Perak sebenarnya lupa bahawa mereka sebenarnya adalah pemerintah bukan pembangkang. Namun sepanjang era berkuasa, kerajaan PKR Perak seolah-olah menjadi pembangkang yang kadangkala melukakan hati rakyat. Mereka lupa bahawa kemenangan mereka dalam pilihan raya dulu adalah atas undi ahli UMNO yang marahkan pemimpin mereka. Tindakan menghakmilikkan dewan dan lain-lain premis rakyat adalah tindakan yang tidak bijaksana. Isu hak milik dan agihan tanah. Isu kereta rasmi dan lain-lain lagi . Ini termasuklah tohmahan tentang kualiti Proton Perdana. Tindakan sebegitu hanyalah tindakan beremosi, dendam dan salah guna kuasa yang akhirnya menghakiskan kepercayaan dan sokongan rakyat yang bukan menjadi ahli parti yang memerintah.

Pada hemat saya, ragam pemilihan dalam pilihan raya akan datang hampir pasti bertukar corak. Kecelaruan yang seketika ini akan berakhir. Jika kualiti tadbir urus dapat diperbaiki oleh mana-mana pemerintah negeri maka mereka akan kekal memerintah namun jika gagal mereka juga akan akur tersungkur seperti kerajaan Perak. Para pengundi muda dan berpendidikan akan memilih kualiti pemerintahan bukan lagi berteraskan kepada parti yang penuh celaru.

Saya sedih kerana tidak dapat melihat kejayaan Mohd. Nizar menerajui penerokaan baru pembangunan dan dasar kerajaannya. Sebelas bulan adalah masa yang terlalu singkat untuk diukur akan kejayaannya. Namun sebelas bulan itu juga menjadi detik cemas yang kadang-kala menojah nurani Melayu. Takdir telah mementukan bahawa detik itu telah tiba untuk beliau melepas jawatan sama seperti detik itu tidak tiba-tiba berpihak kepada Anwar untuk menjadi PM Malaysia.

Hanya DIA yang berhak menentukan siapa yang layak bertakhta di ambang kuasa.

Catatan:
Jika ditakdirkan BN kembali berkuasa maka elaklah untuk agenda membalas dendam. Tiada sesiapapun yang ingin menjamah air yang keruh. Jangan jadikan rakyat sebagai mangsa ketika kita berada di ambang kuasa.

Isnin, 19 Januari 2009

Sekalung Bunga

PRK Kuala Terengganu tamat. Sekalung bunga untuk PAS. Pas memang layak untuk menang. Apalagi jika ia terus bersisipkan Islam. Sepanjang tempoh kekosongan kerusi P036, saya langsung tidak memberi komen, ulasan atau tumpang bertanak. Tambah kuah pun tidak sekali. Diam, lihat dan dengar. Pada saya sesiapa pun yang mememangi kerusi tersebut, ia tidak menggusarkan. Entahlah. Entah mengapa kelesuan mendampingi isu politik menjadi semakin majai.

Biarlah UMNO/BN kalah. Biarlah mereka belajar sesuatu daripada kekalahan itu. Biar mereka belajar bermuhasabah diri. Ukur tanah biarlah berpeta. Ukur manusia biarlah berbaju dan berilmu . Generasi sesudah merdeka dan membesar dalam arus pendidikan moden tidak mudah dimomok dengan gula-gula. Sesuatu tanggapan dan pemikiran yang tertekap tidak mudah dipadam. Mereka juga tidak mudah termakan janji. Mereka kota apa yang mereka kata. Pengundi muda lebih bersepakat jika dibandingkan dengan permuafakatan di kalangan ahli UMNO.

Di kalangan UMNO, pemilihan calon untuk bertanding pun menjadi saingan. Lobi melobi. Wujud rantaian pro dan kontra. Yang memburukan kepimpinan UMNO adalah ahli UMNO sendiri. Isu kepimpinan yang cacat cela dibincangkan di warong kopi. Semua pelanggan warong tanpa mengira sama ada ahli atau tidak akan tahu segala daki, nanah, tahi, bangkai para pemimpin. Ia didedah tanpa selindung. Tanpa rahsia. Kelemahan UMNO terdedah oleh orang UMNO. Jijik sekali. Benar atau tidak sesuatu isu tidaklah bagitu penting tetapi cerita berangkai tersebut terus bersambung dari mulut ke mulut. Malanglah nasib seseorang pemimpin itu jika sekiranya cerita tersebut hanya sekadar rekaan. Apalagi jika ia sebenarnya adalah fitnah. Namun setiap para pelanggan warong akan menjadi tok dalang dan akan menjaja cerita itu tanpa had dan sempadan. Hebohlah ke seluruh kampung, cawangan dan bahagian. Cerita itu juga tidak mudah untuk dipadam.

Berbanding PAS, tenaga kerja UMNO adalah sukarelawan upahan. Tanpa upah kerja sukarela tidak berjalan. Pasangan bendera ditagihnya upah. Tunggu pondok gerakan mahukan upah. Pasang poster ~ upah. Angkut pengundi ~ upah. Rayu undi ~ Upah. Tiada upah tiada kerja. Maka para pemimpin terpaksa melabur wang. Inilah rentetan mengapa 'wang' menjadi hantu kepada ahli UMNO. Kemungkinankah bahawa UMNO kalah di Kuala Terengganu adalah kerana wang? Pertama kerana janji kosong. Kedua kerana terlebih janji. Ketiga kerana angkuh berjanji. Keempat kerana terlalu mewah dengan janji. Akhirnya, janji sudah ditafsirkan sebagai rasuah untuk memenangi pilihan raya semata-mata.

Berpadalah menghulur bunga. Biar wanginya sekadar untuk dihidu. Terlalu mewah dengan wangian dan bunga-bungaan maka ia akhirnya akan menjadi bunga rampai yang menjadi taburan pusara. Malang lagi jika ia dijadikan kalungan bunga untuk kenangan bahawa sebuah parti orang Melayu telah berkubur. Jarak waktu dan pengalaman yang mendatang mudah-mudahan akan mendidik PAS untuk bersiap sedia mengambil alih teraju kepimpinan Melayu Islam. Hanya ini sahaja pilihan yang ada. Jika PAS bertingkah tidak mengikut rentaknya maka orang Melayu akan menjadi kelapa hanyut diarak arus. UMNO berupaya bangkit tetapi tidak mudah kerana untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Ahad, 11 Januari 2009

Cacat Cela

Palestin bermandi darah. Gaza dilimpahi percikan cahaya peluru. Air mata cicir. Hanya diratapi sedih pilu. Terbiar untuk melihat pembunuhan berterusan. Bangsa maha zalim ialah Israel. Penuh angkuh. Bongkak. Tidak terdetik di hati untuk tunduk hormat kepada bukan Yahudi. Merekalah memperagakan diri sebagai bangsa terpintar. Terkaya. Maha penipu dan putar belit yang licik. Nah, katakan apa sahaja kepada bangsa laknattullah ini, namun mereka tetap pekak badak tegar. Bangsa yang tidak sama sekali menghiraukan kutukan antarabangsa. Tidak sama sekali. Yahudi ini hanya akan akur dan takut kepada Nazi. Mereka patut dinazikan sekali lagi untuk hidup koro di muka bumi ini.

Usaha memulau barangan Yahudi dan sekutunya adalah langkah baik. Tetapi sejauh mana langkah itu disokong rakyat Malaysia? Oleh Melayu Islam. Seperti selalunya kita umat Melayu Islam mudah lupa. Hangat-hangat tahi ayam. Permulaannya memang galak. Panas dan berasap. Tetapi sebulan dua kemudian kita menjadi tahi ayam pone. Sejuk gedi dan busuk. Kempen tiada lagi. Sepi. Pemulauan menjadi tapai mentah. Hendak dibuang sayang, hendak dimakan majai. Akhirnya kempen lesap, misi basi, Yahudi jadi kusa yang mengawal gajah-gajah. Resmi gajah, biarpun telinga dicarik-carikkan namun dia masih tetap koro patuh. Ikut arahan. Terpaksa sekalipun air mata bergenangan.

ii.
Di tanah air kita yang tercinta ini, tidak tersisih dari gejala sorong gaji tarik gaji. Yang terputus ialah bahan sorongan. Siapa sorongan itu kalau bukan kita Melayu Islam. Kalau di Palestin kita marah kepada Hamas dan Fatah kerana tidak bersatu. Di Malaysia kita tidak pernah risau dan menkelan dengan UMNO dan PAS yang terus menerus enggan bersatu. Kelak siapakah Yahudi yang membina tembok pemisah agar UMNO dan PAS terus bersengketa. Kita sering melihat dan mengomel tentang kuman nun jauh di seberang lautan, namun gajah tercongoh di depan mata tidak kita pedulikan. Adakah UMNO dan PAS terus bergocoh sesama sendiri sehingga tergadai segala kota, desa, rimba, pulau, laut dan pantai?

Arab sesama Arab tidak bersatu. Kita sering memperlecehkan mereka tetapi Melayu sesama Melayu bagaimana? Saya bimbang Malaysia akan menjadi Palestin. Malaysia hilang identiti. Lebih parah lagi jika kelak ia hilang dari peta alam Melayu kerana tidak mahu bersatu. Kita sesama Melayu sering tuduh menuduh. Di Malaysia, Islam itu Melayu dan Melayu itu Islam. Tetapi di Malaysia Melayu menuduh Melayu rasuah, belot, salah guna kuasa, malas, dusta, dan segala yang buruk-buruk belaka. Ertinya pemimpin Melayu Islam memiliki dan mewarisi watak cacat cela. Cacat cela itulah menjadi umpan yang beracun.

iii.
Di Kuala Terengganu kini watak cacat cela Melayu amat murah dijaja. Dilelong tanpa malu. UMNO cari serta kerosek kecelaan PAS, manakala PAS selak semua kecelaan UMNO. Akhirnya terdedahlah manusia Melayu Islam yang dibogelkan untuk tontonan. Yang bertepuk tangan semuanya Melayu Islam. Pernahkah kita terfikir, siapakah agaknya yang tersenyum di sebalik jendela kaca?

Kita sedih melihat kekejaman di Palestin tetapi kita pastinya lebih sedih memikirkan Melayu di Malaysia.

Khamis, 1 Januari 2009

Anwar Ibrahim 1986

ceduk dari blog Pewaris Melayu


Komen Mansaari:

1. Apa khabar Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Mudah mendakwa kekelentongan orang lain tetapi tidak mudah menghakis ingatan yang berkekalan akan kekelentongan diri sendiri. Kita tidak berkerat rotan berpatah arang kerana persahabatan tetapi prinsip perjuangan berlandaskan 'lurus dan benar' memisahkan pengkalan dan pelabuhan yang dipilih untuk berlepas ke medan bakti.

2. Akhir 2008 Karpal Singh minta Anwar beri penjelasan apakah pendirian Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat terhadap isu 'HUDUD'. Beranikah Anwar ? Kita tunggu cara sahabat saya ini mencari ruang dan waktu untuk mencipta alasan. Apakah pula 'kekelentongannya' kali ini?