Jom Pulang Raya Ke Desa Tercinta
Selasa, 30 September 2008
Syawal Menyingkap Tabir
Jom Pulang Raya Ke Desa Tercinta
Isnin, 29 September 2008
Dalang Bermain Wayang
Dengan bahasa halus katakan... "mungkin pada saat ini adalah tidak sesuai kenyataan seperti itu menjadi ugutan kepada BN. Namun jika itulah kehendak akar umbi dalam parti Gerakan maka BN terima". Susah sangatkah. KORO betul.
Gerakan samalah dengan istilah "kahwin cina buta". Nikmat kahwin hanya untuk semalam dua sahaja, sesudah itu dikembalikan kepada bekas suami. Apakah yang Gerakan tidak perolehi semasa berada di dalam kerajaan BN. Merekalah yang membangunkan Pulau Pinang mengikut acuan Gerakan. Apa bakti, sumbangan dan jasa mereka untuk membantu membangunkan Bumiputera. Apa yang terjadi kepada Melayu Pulau Pinang semasa Gerakan memerintah. Kini apabila mereka ditolak rakyat, maka masihkah mereka ini terbawa-bawa dengan sifat angkuh, bongkak dan gagal menilai kelemahan diri. Inilah wajah dan watak pemimpin yang tidak pernah mencerminkan diri sendiri. Hodoh sungguh. Buruk laku. Pengkar dan tempang. Comot dan kusam.
Biarlah Gerakan keluar. Itu realiti yang mesti diterima oleh UMNO apabila lemah. Koro. Bacul. Biar. Berilah mereka peluang memilih lorong dan simpang yang ingin mereka lalui. Anak jantan jangan takut bermain ombak. Kalau takut, jangan berumah di tepi pantai. Susun strategi agar Melayu dapat memerintah Pulau Pinang biarpun dengan majoriti mudah. Biarpun tidak memperolehi dua pertiga. Asal kita dapat memerintah. Pilih orang macam Datuk Ahmad Ismail untuk calon Ketua Menteri. Jangan jadi pendekar tanpa gelanggang.
Gerakan ingin menyertai pembangkang? Silakan. Inilah kemungkinan dalang-dalang yang bermain wayang bersama Anwar Ibrahim. Wakil rakyat yang diwar-war akan menyertai Pakatan Rakyat untuk membina Istana Pasir tajaan Anwar.
Tanpa keberanian untuk menyatakan pendirian Umno terhadap agenda Gerakan itu menandakan Umno hilang kemudi. Kapal hanyut. Nakhoda nyanyuk. Peta tercampak ke laut. Luannya kabur. Jenteranya usang. Buritannya reput. Di manakah kelasi hendak bertenggek?
Untuk Gerakan. Jika jambatan hendak dibakar, beringatlah laut yang perlu direnangi. Sekalipun tidak disambar jerung, setidak-tidaknya dilambung ombak. Biar lemas di daratan asalkan jangan kecungapan dibadai samudra. Berambuslah jika itu menjadi pilihan yang dianggap terbaik. Rumah kata pergi kubur kata mari.
Sabtu, 27 September 2008
Padah Lidah Yang Meludah.
Khamis, 25 September 2008
Salah Salak Silap Selak
Inilah pemimpin yang ghairah meminjam pinggan mangkuk tetapi tidak memasak. Apabila lapar ambil sudu pukul kuali dengan harapan agar jejiran tahu dia sedang memasak. Tetapi kuali pecak. Akhirnya arang terpalit ke muka. Siapa yang menyalak dan menyelak wanita Cina kalau bukan Teresa Kok. Dialah yang menyibuk mencungkil, mencari silap dan mencari cacat-cela. Dibalingnya batu, tangan disembunyikan. Sama seperti isu ISA, lokap, makanan dan anjing. Jom kita fokus kepada jawatan Exco Teresa Kok dalam kerajaan Selangor. Apa yang beliau perjuangankan? Dan apa yang sedang beliau laksanakan. Dia tidak sedar bahawa dia juga adalah pemerintah yang tentunya berhadapan dengan pembangkang. Kalut mencari kecomotan orang lain, akhirnya baju di badan sendiri terkoyak menjadi cemuhan dan sindiran gurau.
Kalau hendak berkayak, berkayaklah ke pulau jangan berkayuh merentas benua.
Selasa, 23 September 2008
Anak Jantan Mahathir
Undi Mukhriz , anak jantan Mahadhir.
Isnin, 22 September 2008
Alih Haluan
Pak Lah mula menjelajah ke negeri-negeri seluruh negara untuk majlis berbuka puasa. Sekaligus mengadakan majlis perjumpaan tertutup dengan badan perhubungan negeri yang tentunya dihadiri pula oleh para perwakilan dan ketua-ketua bahagian. Menjelang pemilihan, apakah langkah itu tidak bersalahan dengan peraturan dan etika pemilihan jawatan dalam parti? Kalau begini caranya saya hampir pasti Tengku Razaleigh telah terkena pukulan pancung. Anwar Musa menyiku dan bentes. Di Pulau Pinang, Rashid Abdullah membuat libas buaya. Sama dengan strategi Anwar Musa. Ini belum lagi disulami dengan pelikat, batik dan kad raya. Habis. Tutup. Kebebasan kita akhirnya dinafikan.
Inilah susun atur Pak Lah untuk merealisasikan cita-cita politiknya. 2010. Hanya perwakilan yang jantan dan berwatak wira sahaja yang mampu mengubah kedudukan. Jika berjuang untuk memperolehi habuan dan haloba maka senario kini akan kekal dan abadi. Untuk berubah kita perlu menentang arus. Kita ubah ketua bahagian yang berjuang kerana kepentingan. Kita menjadi pengkar kerana berketuakan ketam. Kita menjadi celaru dan cempera kerana kita kehilangan peta. Kehilangan peta menyebabkan kita sesat dan menjadi bahan ketawa kerana kejahilan dan kecuaian sendiri.
Ubah Ketua Bahagian. Ubah Pak Lah. Jangan risau, anak Raja Kelantan ada, kecuali peralihan kuasa berlaku tiba-tiba seperti beraraknya mendung yang menutupi indahnya pemandangan.
Selamat bersidang. Selamat Hari Lebaran.
Warkah Yang Tercicir Untuk Pemimpin
Kalut dan gundah kerana ISA. Seorang menteri tanpa kawasan Parlimen letak jawatan. Alasannya bercanggah prinsip perjuangan. Semingguan bertelagah sama ada untuk mansuh atau kekalkan ISA. Hujah dan fakta disogok. Dari rakyat marhaen hingga kepada cendiakawan menumpang idea. Namun hingga ke hari ini masih berterusan tanpa hujung pangkal. Bagi rakyat biasa di desa, Bagi petani di ladang dan sawah, bagi peneroka di pedalaman negara, bagi nelayan di kuala-kuala, ISA sebenarnya tidak membawa erti apa-apa. Hari Raya lebih bermakna. Baju anak. Kuih dan juadah lebih bererti. Jumlah ketupat dan lemang menjadi isu. ISA tiada dalam kamus kehidupan mereka.
Mangsa ISA menjadi penentang nombor satu. Keluarga mangsa. Rakan taulan mangsa. Peguam yang arif tentang hukum adil dan tidak. Kumpulan hak asasi manusia juga tumpang bercakap. Ahli potitik tumpang semangkuk. Namun rakyat biasa tidak tertarik dan tidak tersogok untuk bercakap tentang ISA. Malah tidak pernah tahu apa dianya ISA. Demikianlah sudut pandangan yang berbeda hingga kita akhirnya terbawa-bawa untuk alpa akan janji pilihanraya. Sama ada pemerintah atau pembangkang sejak selesai pilihan raya hingga kini apakah agaknya fokus mereka? Hanya politik semata-mata. Adilkah????
Isu ISA jika dianggap penting, uruslah untuk pindaan. Pembangkang ada kekuatan kerana jumlah perwakilannya telah ditambah oleh rakyat. Banyak. Bukan asyik riuh rendah untuk tukar kerajaan. Bincang isu ini dalam Parlimen. Bawa usul. Jangan perbodohkan rakyat dengan helah dan alasan. Hampir separuh tahun bertelagah. Kesudahannya di mana???? Rakyat semakin bercempera. Para pemimpin kerajaan dan bukan kerajaan asyik adakan perhimpunan sana sini dengan duit amanah rakyat. Tuntut elaun lawatan ke kawasan tetapi yang dibuat hanya api-apikan emosi. Hilangkan harmoni. Rosak perpaduan. Celarukan masyarakat. Tegangkan perkauman. Elok hentikan.
ii
Isu Yang Bersarang.
Teresa Kok dan para pemimpin DAP dan bekas-bekas pemimpinnya janganlah sering jolok sarang tebuan. Sekali dijolok, tebuan biasanya berusaha memperbaiki sarangnya. Tetapi kalau seringkali ditojak dia akan menyerang. Untungnya tiada. Sakitnya berpanjangan. Untuk merawatnya pula akan memerlukan kos rawatan yang terlalu mahal dan belum tentu sembuh.
Sejak awal kemerdekaan 1957, azan dan tulisan Jawi telah kedengaran serta tertulis. Di mana-mana dan di serata ceruk tanah air. Azan didengari dan tulisan Jawi dikenali tanpa apa-apa isu. Tanpa apa-apa masalah. Dakwaan untuk mengatakan ia tidak difahami adalah alasan. Apakah tulisan Cina dan Tamil yang ingin diperkenalkan sebagai galang ganti itu berupaya difahami oleh semua rakyat Malaysia? Ingatlah, bukan semua yang kelihatan hitam itu adalah arang. Yang merah bukan hanya saga. Tetapi yang putih itu tetap terletak di hati.
iii
ISA, Azan, Jawi, Polis dan Makanan
Teresa Kok ditahan dibawah ISA kerana isu Azan dan mempertikaikan tulisan Jawi. Rakyat marah. Bukan orang Melayu Islam sahaja yang marah tetapi yang bukan Melayu pun turut marah. Perkara yang tidak perlu dijadikan isu. Di Kelantan dan di Kedah rata-rata rakyat bukan Melayu marahkan Teresa Kok. Di Alor Star, azan dari Masjid Zahir telah berkumandang sejak sebelum merdeka. Semua peniaga dan penduduk di Pekan China, di Tanjong Chali, di Taman Tean Peng, di Seberang Nyonya, di Jalan Putera, di Jalan Langgar dan keseluruhan bandar raya itu mendengarnya hampir setiap hari dan setiap waktu solat namun tiada pun apa-apa bantahan.
Mengapa dahulu diterima tetapi sekarang tidak? Adakah kerana DAP diberi kelebihan kerusi pada PRU 12 yang lalu maka Teresa Kok dan orang-orangnya kian berani dan melupai sejarah serta tradisi yang membudayai negara kita. Bagaimana kelak, kalau tarian singa dan tarian naga juga dibantah? Ingat, lorong mesti betul! Patuhilah tanda isyarat. Laju bertempat. Parking pun berbayar. Lebih had laju disaman. Itulah sebabnya ISA diguna pakai seketika kepada YB, hanya untuk diberitahu jangan lajak dari laju.
Polis adalah agensi penguatkuasa yang tidak popular. Sering dikritik dengan keras. Payah untuk memperolehi ucap terima kasih. Rakyat yang ditahan kerana disyaki bersalah biasa memandang serong kepada pihak polis. Polis dimaki hamun. Tanpa terima kasih diterima tetapi disulami lagi dengan herdik dan maki. Itulah rakyat yang gagal dididik sempurna hingga gagal menjadi modal insan mulia. Tugas penguatkuasa perlu dilaksanakan kerana itu adalah amanah kerajaan dan rakyat tetapi ketika melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang digubal dan dilulus oleh para ahli parlimen, polis seringkali dihina. Yang menghina adalah kalangan anggota Parlimen. Patutkah? Untuk anggota polis, berkhidmatlah untuk negara biarpun tanpa terima kasih.
Kes Teresa Kok ketika ditahan polis mendakwa makanan yang diterima seperti makanan anjing. Hina sangat. Polis akan disiasat. Demikianlah nasib penjawat jawatan polis. Tetapi mana-mana tahanan yang memasuki lokap akan menerima menu yang hampir serupa. Adil. CumaTeresa Kok yang berjawatan YB sahaja merasai bahawa makanan rakyat desa seperti disajikan kepadanya itu dianggapnya sebagai makanan untuk anjing. Hebatnya sajian makanan harian Teresa Kok ketika di mahligainya. Itulah tafsiran rakyat biasa. Masakan sama hidup di pondok usang dengan hidup di mahligai beratap genting di tengah kota.
Terima kasih polis Malaysia. Saya tetap berterima kasih biarpun acapkali disaman.
Sabtu, 20 September 2008
Pewaris Bangsa
Kita lahirkan ramai pemimpin. Dewasa dan muda. Tetapi pemimpin kita berwatak koboi. Kasar bahasanya. Rendah budayanya. Angkuh dan riak sifat dan peribadinya. Goyah iman. Tidak tahu berterima kasih. Haloba. Kejam. Malas. Tidak patriotik. Tidak berdisiplin. Contoh ketara ialah pada setiap kali Parlimen bersidang maka akan terpamerlah watak-watak ala koboi. Malu. Kita hilang jati diri. Kita hilang pekerti mulia. Hilang sopan-santun. Malah berbahas dengan pengantar bahasa kelas bawahan. Sebagai pemimpin apa lagi sekira mewakili umat Melayu Islam sepatutnya para pemimpin dibentengi dengan sifat sabar, berbudi tinggi, berbahasa ilmu, pemaaf, patriotik, jujur, ikhlas dan wibawa. Masakan sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Jadi mengapa kita harus leka dan terabai dengan ajaran agama serta budaya kita?
Jika di kalangan pemimpin terpamer aksi berwatak koboi maka watak yang hodoh-hodoh ini bercapah-capah lagi di pejabat, di kilang-kilang, di pasar raya, di jalanan, di gedung-gedung, di kilang, di hentian-hentian. Di hulu, di hilir, di utara, di selatan, di timur dan di barat. Banyak dan hodoh-hodoh belaka. Awal akhir pastinya berpaksi kepada pendidikan. Selebihnya berpunca dari 'bapa borek anak rintik'.
50 tahun kita mengisi kemerdekaan. Terlalu banyak institusi pengajian tinggi dibina. Terlalu ramai pula graduan dikeluarkan. Hasilnya kita gagal memiliki warga seperti yang kita kehendaki.
Pemimpin Melayu Islam menuduh pemimpin Melayu Islam lain sebagai 'bodoh, bahlul, jahat, rasuah, penyangak, pembunuh, songlap, gila kuasa dan lain-lain'. Akhirnya yang menghina Islam siapa agaknya? Siapa? Dan yang tidak melaksanakan nilai-nilai Islam siapa pula? Semua jejari itu kembali kepada kita. Kita kurang 'di'ajar kerana pendidikan kita gagal berfungsi untuk mendidik.
Hari ini saudara tentu marahkan saya. Marahlah. Bersyukur saya. Beban untuk menulis topik ini telah terlaksana. Selepas marah itu Kementerian Pelajaran Malaysia ambillah tindakan jika andaian dan rumusan saya ini ada kebetulan. Untuk sejahtera masa depan anak Malaysia kita memerlukan generasi yang celik Al-Quran, celik sejarah, celik budaya, berilmu dan patriotik. Kini kita hanya cambahkan ilmu tetapi kita gagal mendidik, dangkal penghayatan, kontang penerapan dan miskin amalan. Ubahlah dan bangunkan kurikulum yang lebih perkasa dan mampu laksana . Mudah-mudahan kelak kita melahirkan pewaris yang tidak bercelaru seperti hari ini. Masa depan tanpa penagih, tanpa pembelot, tanpa peragut dan .... tanpa cacat pekerti.
Datuk Seri Hishamuddin, saya mohon menyampaikan. Selamat berjuang.
Jumaat, 19 September 2008
Raja, Pahlawan, Wira, Negarawan & Takhta
Kecelaruan politik turut mengheret aliran pembangunan ekonomi ke arah penguncupan. Pasaran saham merudum ke bawah paras 1000 mata. Anwar masih gila talak untuk kembali merampas takhta biarpun istana pasirnya dipunahi badai. SAPP meskipun kategorinya sekadar ikan bilis namun sudah berani menggigit sirip jerung. Tun Mahathir masih belum kemukakan borang untuk kembali kepada Umno. Zaid letak jawatan tetapi mahu dikekalkan sebagai senator. Nazri Aziz ambil alih kementerian Zaid. Pemuda Pagoh kutuk Idris Harun kerana celupar ulas kenyataan Muhyidddin. PAS, PKR, DAP, MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain juga turut bercelaru.
ii.
Raja Beruk tawar diri untuk jawatan Ketua Pemuda Umno. Saya simpan amarah ini cukup lama apabila Khairy Jamaluddin (KJ) mengkategorikan blogger sebagai 'beruk'. Maka hari ini dia mulai melompat. Dia mulai mencari dahan untuk bergayut. Saya kira sebagai insan biasa, tidak akan ada penulis blog yang dapat bebas untuk tidak marah. Paling tidak, mereka menyimpan amarah itu secara diam. Akhirnya bertemulah buku dengan ruas. KJ tidak begitu mudah berupaya untuk membasuh tangan dengan pelabelan yang cukup hina kepada blogger. KJ tidak pernah memohon maaf. Pemimpin yang angkuh memang jarang mahu memohon maaf. Masakan 'Raja Beruk' akan memohon maaf kepada 'beruk'. Dia 'raja'. 'Raja Beruk'.
KJ tidak pernah insurankan mulutnya. Dia celupar untuk seenaknya menempelak sesiapa sahaja tanpa menilai baik atau buruk. Salah atau benar. Lurus atau bengkok. Manafaat atau membazir. Pada hemat saya itu bukan cara KJ. Sebab itu kepimpinan sebegini ditolak. Dalam diam dia akan dihukum. Tanpa ada tangan di bawah meja, kelak, KJ ambil bungkus ikut mentua.
iii. Edisi yang ditokok
Anwar boleh marah sesiapa sahaja. Dia boleh marah Abdullah. Dia boleh marah Najib dan dia boleh marah Mahathir. Tetapi dia tidak boleh marahkan rakyat yang hanya memberikan kerusi-kerusi untuk dia menjadi pembangkang. Bukan pemerintah. Tunjuk jantan apabila PRU ke-13 kelak. Waktu itu carilah pendekar. Jadikan pahlawan. Dabikkan diri sebagai wira untuk dinilai. Atur strategi dari sekarang. Jangan main pintu belakang. Jika jalan kotor yang dipilih maka dengan cara kotor juga saudara akan ditendang. Raja ditabalkan oleh rakyat bukan memaksa pendekar dan panglima menabalkan raja. Amat jijik jika disebabkan 'gila kuasa' takhta hendak dirampas. Elaklah untuk menjadi raja di Istana Pasir. Allah perlihatkan keaiban kepada saudara mungkin kerana saudara belum juga memuhasabahkan diri sendiri. Anwar, untuk kali ini, jadilah dan duduklah di kem pembangkang, bukan tergila-gila untuk jadi pemerintah!
Rabu, 17 September 2008
Pahlawan Ketam
Maka kelihatan lengkaplah sasaran bertubi-tubi menghala kepada penyataan Tun Mahathir agar Pak Lah segera serah kuasa kepada penggantinya demi menyelamatkan UMNO dan negara. Pada hemat saya Pak Lah seharusnya telah beroleh petunjuk bahawa dia perlu akur dengan kehendak pengundi Umno supaya meninggalkan jawatannya dan Putrajaya.
Naib Presiden telah bersuara, kepak Pemuda kian beralih angin dan sirip wanita mula mendesak lunak. Isyarat telah mencukupi. Petanda apa lagi yang hendak dinanti. Di kem Anwar, dia tawarkan empat syarat lagi setelah janji 16 Septembernya tidak menjadi dan dimungkiri. Anwar kian membesarkan istana pasir mengharapkan ketam bertandang. Sekaitan dengannya Sang Ketam pula sedang mengajar anak-anaknya berjalan lurus. Apa bezanya ketam dengan Anwar?
Semua peristiwa yang bersilih ganti ini berlaku adalah gara-gara pentadbiran yang lemah, tidak cekap, koro dan hilang kewibawaan. Tidak mudah untuk menepis tendangan, tumbukan, kilas dan bentes. Hanya kejantanan seseorang pahlawan dan kekuatan, kemahiran serta setiakawan para pendekar di sekelilingnya sahajalah akan berupaya menobatkan seorang itu sebagai wira jagat. Layak sebagai wirawan. Akhirnya dimahsyhurkan sebagai negarawan. Ciri-ciri ini tidak ada pada DSAAB. Eloklah ikut langkah Zaid Ibrahim.
ii.
Satu hal lagi yang menjadi tanda tanya dan yang mencuriga ialah mengapa Pak Lah perlu ambil alih Kementerian Pertahanan? Adakah setelah serah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri kepada Hamid Albar, PM merasai diri tidak dihadang oleh institusi yang boleh dipercayai dan dikuasai. Adakah dia merasai diri semakin tergugat? Apa lagi setelah Panglima Angkatan Tentera turut menyuarakan situasi yang bercelaru dan suasana perkauman menjadi semakin memberang, kian tegang dan kian radang. Rasa-rasanya dia bimbang, prasangka dan curiga kalau-kalau Najib membina strategi untuk pulas lehernya. Paling tidak dia ingin kawal Panglima ATM agar dapat tidur sebantal dengannya.
iii.
Setelah gagal bentuk kerajaan Katak, Anwar ajak ketam-ketam bernaung di Istana Pasirnya. Hairan bagaimana siput babi di air tawar merangkak ke gigi pantai berair masin untuk melihat pembinaan Istana Pasir. Hebatnya Anwar. SMS cikgu Zainura, pemilik blog Zbzack kepada saya berbunyi ..."Anwar dapat 32 kerusi. Courts Mammoth bagi hutang bayar sikit-sikit". Terima kasih, rupa-rupanya dalam kecelaruan kita memperkatakan negarabangsa masih ada senyum bersindir yang berupaya menojak hingga ke dasar tulang.
Akhirul kalam. Tidak untuk Anwar. Tidak untuk Abdullah.
Selasa, 16 September 2008
Gundah Guntur Di Langit
Berdentum guruh di langit Malaysia, air setempayan dicurah ke sungai berkatak. Memancing ikannya tidak kedapatan, biduk lalu kiambangnya tidak bertaut. Kiranya kail berumpan berudu tentulah katak tidak meloncat, ikan pun tidak menyambar. Ibarat Pak Pandir mengajak Lebai Malang dan Pak Kaduk berunding di rumah Kitul. Pak Pandir menangis kehilangan anak, Pak Kaduk riang bertepuk bersorak tetapi kampungnya tergadai. Lebai Malang keletihan berkayuh ke hulu ke hilir tetapi kehampaan juga. Maka akhirnya terlondehlah seluruh harga diri. Hanya Kitul tersenyum sinis menanti tanah berkongsi dapat dibahagi-bahagi.
Untuk Anwar,........... 'Mungkir janji itu bukankah munafik?'
Isnin, 15 September 2008
Utusan Online
Zaid Ibrahim Letak Jawatan
15/09/2008 2:29pmKUALA LUMPUR - Datuk Zaid Ibrahim hari ini meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Surat perletakan jawatan beliau diserahkan kepada Perdana Menteri di Putrajaya pada pukul 2 petang ini.
Ulasan Mansaari
Ketika berhasrat untuk menulis tentang Zaid tiba-tiba dia sudah meletak jawatan. Saya tidak terkejut. Apa lagi terkentut. Lebih bermaruah Zaid bertindak demikian daripada bercakap tanpa berpaksikan kepada suara rakyat. Bukan mudah menjadi menteri yang dilantik berstatus rantaian kroni. Rakyat menguasai menteri ketika pilihanraya tetapi seseorang menteri mesti menguasai rakyat sesudah pilihanraya. Dalam situasi inilah Zaid gagal. Dia hanya sempat usik untuk wujudkan Suruhanjaya Kehakiman. Dia ditojak kiri dan kanan. Disebabkan terkejut, dia gagal usik ISA. Entah-entah dia sendiri bukan anak jantan yang betul-betul berani untuk ubah ISA. Saya selalu ingatkan diri dan rakan-rakan supaya jangan lajak dari laju. Zaid buat lebih dari itu. Akhirnya kemas beg pulang ke Kota Bharu.
Saya bukan menojak Zaid. Tidak. Zaid berada dalam kabinet pada ketika yang tidak tepat dan dalam suasana yang bercelaru. Zaid terus mahu menjadi wira sedangkan dia baru sahaja ditauliahkan sebagai pendekar. Dia belum kenal pendekar lain namun cukup beria-ia mahu cabar bertarung. Akhirnya lari dan angkat bungkus.
Celaru
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diminta meletak jawatan jika gagal melaksanakan semula pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. - Mingguan Malaysia, 14/09/2008 halaman 13Demikianlah keputusan Persidangan Meja Bulat NGO Melayu menggesa agar isu PPSMI ditangani segera kerana penggunaan bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik gagal memberi kefahaman kepada pelajar. Maksud mudah ialah ramai murid gagal dan hasrat memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris untuk subjek tersebut tidak tercapai. Hujah dan garapan ini mungkin diputus serta berdasarkan kepada penilaian dan analisis yang tepat. Bukan mudah untuk meminta Menteri Pelajaran meletak jawatan hanya disebabkan PPSMI. Sebab pokok ialah mengapa anak melayu masih tergapai-gapai dalam subjek Sains dan Matematik. Adakah dengan pertukaran bahasa pengantar kelak, akan menjamin aras pencapaian subjek itu meningkat? Jangan disebabkan terlalu kerap merubah dasar maka kita seumpama membasuh kain kotor tegar. Kita sentiasa mengandaikan bahawa kotor tegar itu akan segera menjadi putih bersih apabila dibasuh.
Enam tahun pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah adalah jangka waktu yang belum cukup matang. Sebenarnya banyak masalah di peringkat pelaksanaan gagal di kesan. Bahan Bantu Mengajar tidak berfungsi dengan baik. Komputer tidak diselenggarakan secara sempurna. perisian (software) lambat disiapkan di peringkat dasar dan penyediaan. Kursus penggunaan perisian sering diadakan melewati jadual pelaksanaan kurikulum semasa. Guru kurang mahir berbahasa Inggeris. Bilik darjah tidak disediakan selari dengan keperluan alatan. Kemahiran mengajar dengan peralatan dan teknologi pendidikan masih terbatas. Murid pada tahap satu terlalu ramai dan amat membebankan guru. Sering berlaku lompang gangguan semasa guru menggunakan peralatan komputer kerana sering berhadapan dengan masalah teknikal. Tiada Pembantu Teknik Komputer. Tiada bilik khas. Bilik darjah terhad. Operasi pengajaran dan pembelajaran sering terhalang oleh gangguan elektrik. Makmal komputer tidak berfungsi sempurna dan jumlah komputer 'boleh guna' tidak bersamaan dengan nisbah pelajar. Baik pulih peralatan lambat diselenggara. Kaedah baik pulih secara kontrak berpusat lembab dan tidak terlaksana dengan lancar dan berkesan.
Kiranya kerajaan membuat keputusan untuk kembali kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik maka saya sedih terkenang rakan guru yang menjadi mangsa dasar yang bercelaru. Bayangkan berapa bilion ringgit akan lesap tanpa hasil. Kos menyediakan kursus kepada guru sepanjang enam tahun lalu amatlah banyak. Kos penyediaan perisian, buku teks, elaun insentif 10% untuk setiap bulan, untuk setiap guru dan untuk setiap subjek berkenaan tentulah melampaui zon pembaziran yang tidak terkira. Saya hanya berupaya menggeleng kepala dengan kecelaruan yang terjadi.
Saya terkenang apabila Datuk Seri Abdullah merombak kabinetnya dahulu dengan menjenamakan semula 'Kementerian Pendidikan' kepada 'Kementerian Pelajaran'. Apa terjadi? Berapa banyak jumlah papan tanda dibuang dan dibuat semula. Berapa banyak jumlah cop mohor jawatan terpaksa ditukar. Berapa banyak jumlah letterhead terpaksa dibuang dan dicetak baru. Bayangkan apa-apa sahaja yang berjenama 'Kementerian Pendidikan' mesti ditukar kepada 'Kementerian Pelajaran'. (sekolah, maktab perguruan, kolej, kenderaan). Taksirkan pembaziran itu dan bandingkan jika ringgit-ringgit yang dibazirkan itu diguna pakai untuk murid dan rakyat. Dan apakah untung? Apakah rugi? Apakah beza sama ada ditukar dengan tidak ditukar?
Saya selamanya tetap berpijak pada paksi bahawa bahasa pengantar utama ialah Bahasa Melayu. Cuma yang mencelarukan ialah kekerapan mengubah dasar dan sesuatu dasar yang dilaksanakan untuk menjadi kurikulum pendidikan di negara kita seringkali dibuat secara tangkap muat. Sama seperti penyediaan mee segera. Saya masih mengikuti dengan penuh sedar pelaksanaan j-QAF. Saya seram memikirkan kiranya j-QAF juga turut gagal. Kegagalan sesuatu perancangan adalah disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan. Kelemahan pelaksanaan adalah disebabkan oleh kelemahan dalam pentadbiran. Jangan kita pertemukan Pak Pandir dengan Pak Kaduk untuk berbincang di rumah Lebai Malang. Lebih bercelaru jika Kitul juga turut dijemput.
Sabtu, 13 September 2008
Langkah Wira Jagat
Petang ini biarlah saya berbuka dengan roti canai Mahathir dan masih mengunakan tangan kanan. Saya masih tetap sebagai orang Melayu yang kekal mewarisi budaya dan identiti Melayu yang menjunjung bumi negara yang dahulunya ialah Semenanjung Tanah Melayu.
Kelasi Kapal Karam
Jumaat, 12 September 2008
PM dah Terkentut
Hatta kerana itu pasti dia terkentut apabila Muhyiddin buka mulut. Sedangkan rakyat dan ahli umno di akar umbi sudah lama keriau. Sudah lama jerkah. Maki hamun sudah tidak terkira. Dalam blog CheDet berjela-jela, beribu penulis blog meminta dia turun. Itu tidak dikira dan dicampur dengan komen pembaca blog. Kamu, Abdullah bin Ahmad Badawi masih tetap lena dan berdengkur.
Shahdan maka tersebutlah al-kesah bahawa Pak Lah itu patut sedar bahawa Putrajaya itu bukan miliknya lagi. Eloklah turun secara terhormat daripada ditendang turun seperti batu gunung tergolek-golek ke lembah. Janganlah malukan keturunan atauwa sehingga sukusakat tidak lagi mahu mengaku kamu sebagai keturunan.
Nah, mudah-mudahan kali ini Pak Lah faham! Saya dah guna bahasa tok nenek kami dulu-dulu. Jangan sampai terkencit baru tersentak untuk turun. Pada masa itu pastinya najis sudah bertaburan. Bau busuknya telah merebak. Kamu di hospital. Menangis tidak dibujuk. Mengaduh tidak dibelai. Terkedang tidak diusung. Jangan sampai detik begitu. Turunlah dengan penuh hormat. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
Khamis, 11 September 2008
Wira Jagat.
Selasa, 9 September 2008
Jadi Wira
Koro & Bacul
Petikan kenyataan Nazri Aziz berkaitan 'Isu Pendatang':
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pula berkata, Ahmad silap membuat kenyataan seperti itu dan 13 UMNO bahagian Pulau Pinang juga membuat kesilapan dalam menyokong pendirian Ahmad tidak memohon maaf."Katanya, pendirian 13 Umno bahagian juga bertentangan dengan apa yang diarah oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak".
Dia (Ahmad) bukan guru sejarah untuk bercakap mengenai sejarah, kenyataan sedemikian tidak perlu. Tindakannya itu merugikan Umno dan sebagai ahli politik... dia patut minta maaf," katanya ketika dihubungi.
Itulah Nazri Aziz anak Melayu yang sombong bongkak yang dilantik menjadi pemimpin mewakili orang melayu. Dia juga jurucakap Umno yang menyula dengan pelbagai andaian kotor terhadap Tun Dr Mahathir secara biadap. Inilah anak Melayu yang lupa diri apabila berkuasa. Saya jangka dia akan kalah dalam pertandingan MT Umno atau apa-apa jawatan yang ditandinginya kelak. Nazri bermimpi sedangkan orang lain telah lama mandi bunga.
Mengulas kenyataan Nazri Aziz itu amatlah mudah. Inilah pemimpin yang tidak dikehendaki oleh ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi. Koro dan Bacul. Sebab itu kata Datuk Johan Jaafar bahawa 'kita bukan lagi mengalah tetapi menyerah kalah'.
Benarkah 13 Bahagian Umno di Pulau Pinang membuat kesilapan kerana enggan 'mohon maaf' sepertimana yang didakwa oleh Nazri Aziz? Atau adakah Nazri Aziz yang terkantoi-kantoi diulit mimpi menjadi Kitul Moden. Nazri tetap mewakili Melayu Koro dan Bacul ketika negarabangsanya mengharap ada anak jantan di kalangan pemimpin Melayu menjadi seperti Datuk Ahmad Ismail.
Mungkin benar Datuk Ahmad bukan guru sejarah. Memanglah, kerana dia adalah ahli politik. Tetapi... Apakah seorang ahli politik tidak perlu mengetahui sejarah perjuangan bangsa dan fakta sejarah tanah airnya? Itulah Nazri Aziz. Dia Koro dan Bacul kerana dia buta sejarah. Dia patut sedar bahawa sejarah perjuangan bangsa dan sejarah tanah air sendiri 'mesti' dikuasai untuk jadi wira dan pemimpin bangsa yang bermaruah. Ilmu sejarah boleh dikongsi oleh sesiapa pun dan diperdebatkan oleh sesiapa sahaja. Nampaknya Pak Lah gagal menjadikan jemaah menterinya sebagai 'Modal Insan' yang boleh diteladani. Umno pada era DS Abdullah Ahmad Badawi adalah Koro. Nazri Aziz Koro. Jom kita berbuka dengan 'Roti Canai Pak Lah'.
Ahad, 7 September 2008
Kenangan
Di kamar di mana dia selalu beristirahat tiada lagi tilam dan bantal. Yang tinggal hanya tikar menerung buatan China. Hamparan itu mengimbau aku kepada kenangan masa silam yang menitip suka duka kehidupan. Demikian pusingan kehidupan yang pasti dilalui. Ketika kita perkasa, bertenaga, berkuasa, dan berada maka kitalah raja, kitalah bendahara dan kitalah soldadunya. Apabila semuanya telah tiada maka kita pun tertanya-tanya di mana Tok Ayah? Tok Ayah telah tiada sebenarnya. Mungkinkah Tok Ayah hilang dari kacamata anak-anaknya atau dia tidak lagi wujud dalam minda dan hati mereka.
Pesanan untuk anak-anak.
Pulang biarlah bersalam. Sua biarlah bersapa. Pergi biarlah berkhabar. Berdoa jika terkenang. Bertandang ada mesranya. Tinggalan tersimpan. Pusaka tak terusik. Tercicir airmata tidak terbeli oleh setimbunan harta. Hidup kita sekadar sementara. Hari ini kita berjumpa esok entah bila, entah tiada. Ramadan ini ada duga, ada ria, ada duka, ada nikmatnya. Ramadan hadapan hanya ada jika ditakdirkan berpanjangan usia. Buatlah yang terbaik hari ini kerana esok adalah kelewatan yang tidak berupaya ditebus kecuali taubat dan insaf. Itupun jika 'Esok Masih Ada'.
Mencungkil Duri
Sabtu, 6 September 2008
Melayu Bacul
Sesudah Pilihanraya ke-12 pemimpin Melayu BN tiba-tiba menjadi bacul. KORO. Pengecut. Memeritah seperti penebar roti canai yang separuh mahir. Tebarannya carik di sana sini, rotinya hangit. Pelanggan semakin lama semakin tiada. Najib Tun Razak, waris kepada pemimpin negara yang tersohor, yang kita harap untuk menjadi roti canai telur juga 'garing-garing lembik'. Dia sama-sama ikut bertenggek dalam kelompok roti canai tidak bertelur. Maka pengikut Najib juga semakin lama semakin mencari pencanai baru, PAS, Keadilan, dan DAP. Biar apa pun ulasan dan kritikan pemimpin BN kepada pemerintah baru di negeri yang ditawan namun rakyat memerhati hala tuju pemerintah baru yang berbeza dan yang lebih membawa kepada sejahtera.
Cerita berbingkai jenaka godam; 'roti canai telur' dan 'roti canai tidak bertelur' timbul semasa isu pembatalan 'Jambatan Bengkok' oleh kerajaan era DS Abdullah Ahmad Badawi. Para pemimpin kecil dan orang ramai sama ada Umno atau PAS di utara tanah air pada masa itu akan membuat pesanan 'roti Mahathir' merujuk kepada roti canai telur manakala 'roti Pak Lah' merujuk kepada roti canai tidak bertelur. Demikianlah penilaian rakyat terhadap pemimpin mereka berasaskan jantan atau betina, berani atau koro seseorang pemimpin itu. Kelihatan lucu, ada unsur jenaka tetapi sinisnya tercucuk ke dasar tulang.
Isu 'Pendatang' oleh Datuk Ahmad Ismail, Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera dalam kempennya di Permatang Pauh ditonjolkan. Sama seperti isu babi, isu 'Forum PengIslaman, isu kedaulatan Raja-Raja Melayu, isu DEB, isu ketuanan Melayu, isu kontrak sosial, isu tulisan Jawi dan isu azan adalah di antara isu-isu yang dijadikan agenda untuk menguji aras kejantanan atau kekoroan orang Melayu. Maka dalam isu-isu yang diagendakan itu jelas pemimpin Melayu menjadi semakin bacul. Najib memohon maaf bagi pihak kerajaan dan Umno sedangkan Datuk Ahmad Ismail menjadi jantan untuk tidak tunduk kepada desakan itu. Kepada Datuk Ahmad, Syabas! Pemimpin Melayu jangan sentiasa menjadi kura-kura yang menyembunyikan kepalanya apabila belakang dipijak.
Datuk Seri Najib, berpada di padang lumba. Rumput biar hijau, kuda biar cergas, pelana biar kejab, duduk biar mantap, lari biar kencang, sampai biar dulu, lari biar menang, menang biar bertepuk, habuan biar berkongsi. berkongsi biar adil. TETAPI kalau kuda bacul, menang tiada, segaknya dipelihara, gunanya tiada, hidup dan mati keji sekali. Janganlah menjadi 'Melayu Bacul'!
Khamis, 4 September 2008
Intan Di Langit Hong Kong
Intan sangat beruntung kerana menjadi rakyat Malaysia yang merdeka. Lebih beruntung kerana menjadi warganegara kepada sebuah negara yang sedang pesat membangun. Peluang sebegini jarang-jarang diperolehi generasi muda ketika di era awal kemerdekaan. Namun jangan lupa diri, kelak segala hutang budi itu perlu dibayar kepada bangsa dan negara.
Belajarlah menghargai nilai budi bangsa dan negara, kelak bakti dan jasa itu akan menjadi amal jariah di sisi Allah disamping mengutip rezeki yang dianugerahi-Nya. Menjadi perantau adalah menjadi pedagang yang menjaja harta negara yang amat mahal dan hanya jati diri, patriotik, berbudi dan beretika sahajalah yang menjadi sisipan budaya bangsa yang dinilai dan dihargai.
Rabu, 3 September 2008
Syukur 1
Aku teringat lintah. Keli. Haruan. Puyu Sepat Benua. Sepat Kedah. Belut. Aku teringat keladi bunting. Keladi agas. Semuanya akan hadir satu persatu ketika di kampung. Aku bersyukur kerana nikmat itu tetap dapat aku rasai hingga saat ini.
Tadi pagi 3 September 2008 aku bertemu dan berbual dengan Tuan Haji Salleh bin Haji Ahmad, imam masjid Kampung Gelam. Setiap kali pertemuan dengannya aku pasti memfokuskan perbincangan kepada salasilah keturunan kami. Dia adalah pakar rujuk untuk mengetahui rintitan sejarah keluarga. Aku bersyukur kerana aku dilahirkan Islam. Ayah dan ibuku Islam. Datuk dan nenekku Islam. Moyang-moyangku Islam. Tapi di pangkal keturunan salasilah kami itu dimulai dengan ketua sami di salah satu wilayah di Negara Thai kira-kira satu milenium lalu. Deretan generasi itulah yang diwarisi hingga ke hari ini. Pada carta organisasi salasilah itu muncul tokoh ulama, tokoh politik dan pahlawan yang bertebaran di seluruh Kedah, Pattani, Satun, Songkla, Yala, Pulau Pinang dan Setoi . Salah seorang daripada mereka ialah Tok Moris. Tok Moris dengan 3 saudara kandungnya adalah utusan Sultan Kedah yang bertanggungjawab untuk membawa balik Puteri Sultan yang diculik ke NegaraThai.
Sukusakat itu juga bertembung dengan Abdullah Fahim iaitu datuk kepada DS Abdullah Ahmad Badawi. Saya terkedu. Termenung sejenak. Ini kerana DS Abdullah menjadi sasaran saya hampir bertahun sudah. Saya mendesak dan memintanya melepaskan jawatan. Pada masa depan saya tidak lagi akan berbuat demikian kerana menghormati keturunan saya meski pun saya tidak sehaluan dengannya. Namun saya tetap teguh dengan berpendirian bahawa beliau patut melepaskan jawatan agar dia tidak mencalar keturunannya.
Saya bukan berhasrat untuk menumpang darah pahlawan dan ketokohan keturunan kami. Tidak. Saya sekadar insaf dan bersyukur kerana saya Islam. Bukan Buddha seperti usul asal salasilah kami. Sayangnya data tentang salasilah itu hilang ketika salah seorang keluarga kami meminjamnya untuk penyediaan tesis Sarjana Muda Sejarah semasa beliau belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia 1980 dahulu. Memang malang, kerana dokumen sepenting itu hilang tanpa meninggalkan salinan. Jika tiada lagi Imam Haji Salleh maka akan hilanglah sejarah keturunan kami untuk dikaji dan ditulis. Moga saya, saudara-saudara saya dan anak-anak sempat mengutip sebahagian yang masih tersimpan dalam ingatan Haji Salleh. Saya bersyukur.
Kita berupaya menapak menyusuri sepanjang pantai dan laluan denai tetapi setiap kali kita menoleh kita seringkali pula kehilangan tapak-tapak itu kerana dipadam oleh usapan ombak dan sapuan badai. Di laluan denai yang pernah kita lalui itu, lama dan jarak masa akan pasti dibelukari oleh semak samun dan khazanah rimba raya yang turut merubah laluan itu. Anak-anakku, ingatlah kita semakin sibuk untuk segera mencari diri kita sebelum kita terlambat dilekai oleh hasutan dan godaan. Bersyukurlah kerana kita memperolehi nikmat Islam dan nikmat iman.
Isnin, 1 September 2008
Ramadan
Menghitung amalan, menghitung dosa, mengukur kualiti ibadah, mencari harga diri di sisi Allah maka akan mengalir airmata. Seperti tidak kelihatan sama sekali diri kita di celah-celah jutaan para solihin. Untuk melegakan ketakutan diri ini maka proses menghitung dan menganalisis perjalanan hidup yang kita heret dalam nikmat yang dianugerahi ini adalah proses rutin di bulan Ramadan kerana di bulan-bulan yang lainnya kita sering dilekai oleh keduniaan yang sering menghasut dan dengan syaitan yang bebas merdeka.
Ramadan mendidik kita untuk insaf akan nikmat ibadah. Untuk insaf akan nikmat makan. Untuk insaf nikmat tidur. Untuk insaf nikmat sihat. Untuk insaf nikmat ilmu. Untuk insaf nikmat rezeki. Untuk insaf dosa dan pahala. dan untuk insaf perjalanan hidup yang masih dihulurkan-Nya. Menyedut nafas pada Ramadan ini belum tentu kita akan bernafas lagi pada Ramadan akan datang.
Sepanjang tulisan saya dalam blog ini tentu ada silap salah. Pasti. Pasti ada yang tersinggung. Ada yang tersindir. Ada yang terguris. Terkilan. Kesal. Marah. Sedih. Pilu. Dan terluka. Pada awalan Ramadan ini maafkan saya. Saya manusia biasa yang pastinya diserkupi kekurangan dan dikelilingi sifat-sifat jelik sehinggalah tersadai di pangkal Ramadan ini untuk tersedar dan insaf. Angkuh, riak, lupa, ego, bangga, simbong, dan entah apa-apa lagi itu seringkali menghasuti diri untuk lupa dan leka kepada keagungan Maha Pencipta. Itulah yang hadir diawalan Ramadhan ini. Terima kasih. Allah Maha Besar. Ku mohon petunjuk untuk tidak dilalaikan ketika menitip perjalanan hidup di penghujung usia yang masih lagi Engkau anugerahi ini. Terimalah ibadahku dan ampunilah dosa-dosaku. AMIN..