Isnin, 27 Oktober 2008

Airmata Darah

I am a Muslim first, party member second; I am a Muslim first, a lawyer second. I am a Muslim first an MP second. I am a Muslim first, everything else is second. - Zukifli Noordin

Watak wira Muslim yang jelas sebegini hanya lahir dari seseorang yang jujur dengan misi dan visi perjuangannya. Demi Islam. Kita jadi berani kerana kita tidak mempunyai kepentingan dan mengharapkan habuan. Melayu Islam kecewa kerana pemimpin yang dipilih sama ada Umno, Pas atau Keadilan gagal membela dan bersatu demi Melayu dan Islam. Kekoroan pemimpin Melayu kerana memiliki kekotoran hati yang semata-mata ghairah untuk jadi pemerintah. Kepentingan agama dan bangsa menjadi agenda kedua.

Masa depan Melayu Islam berliku. Sukar untuk kita menentukan siapakah yang sebenarnya jujur untuk berkata benar dan berani? Sewaktu berkempen untuk menang dalam piliharaya kita terpesona dengan janji. Tertarik dengan personaliti yang kelihatan jujur. Ikhlas. Amanah. Islamik dan patriotik. Namun itu adalah wayang. Watak itu adalah watak dalang. Apabila gong dan serunai bergema maka ceriteranya tiba-tiba berubah. Watak menjadi celaru kerana dirasuk oleh habuan semasa.

Itulah pesta wayang kulit dalam arena kepimpinan Melayu Islam. Wataknya pepatung. Lagunya juga bercampur aduk. Ada Melayu. Ada Arab, Ada Thai. Ada Cina dan ada India/Hindi. Yang celaka dalam duka ialah penonton. Sama saja dengan status pemilih dalam sesuatu pilihanraya. Bandingkan. Mereka hanya berupaya menilai apabila wayang tamat. Lakonan dan perjuangan MP Melayu Islam akan hanya dihukum apabila tiba pilihanraya akan datang. Jarak waktu itu adalah pemisah yang amat jauh dan sebarang kesilapan yang dibuat oleh pemimpin adalah gadaian yang tidak tertebus.

Air mata Tok Dalang tidak mungkin sama dengan air mata umat Islam. Kita sedih kerana disaluti emosi duka dari ceritera tetapi manakah yang lebih sedih jika kita kehilangan identiti bangsa dan Islam. Rakyat hanya berupaya melihat watak lakonan di layar tetapi di belakang pentas kita sepatutnya diberi kesempatan melihat siapa dalang yang bermain wayang. Adakah sama lakonan para MP kita semasa berada di kawasan pilihanrayanya dengan lagak lakon mereka di parlimen?

Belilah sebatang pena untuk menulis diari duka kita di tanah air yang tercinta. Semoga kita tidak kehabisan dakwat untuk menulis sejarah runtuhnya jati diri para pejuang umat Melayu Islam yang bacul di bumi kelahirannya. Kita tidak perlu menangis kerana airmata darah tidak mungkin dapat menebus segala yang tergadai kelak.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Pelangi Politik Malaysia

Politik Malaysia semakin berwarna-warni. Pun begitu ia semakin dibaluti kekusaman. Lusuh. Pudar. Warna-warna ceria telah hilang dan terhakis. Orang Melayu seolah-olah hilang watak-watak wira. Wajah dan wadah perjuangan pemimpin Melayu Islam berbalam kelabu. Kabur. Mereka diam dan bisu pada ketika mereka perlu gegak bersuara mempertahankan hak yang jelas menjadi warisan bangsa kita.

Saya jangka warna politik Melayu akan berubah jika watak koro dan bacul terus diguna pakai oleh Pas dan Umno. Mereka gagal bersatu suara pada ketika isu yang yang membabitkan melayu dan Islam dipertikai. Pola pemilihan wakil rakyat dalam pilihanraya ke-13 kelak akan turut berubah. Pengundian secara terancang dan senyap oleh bukan Melayu dalam pilihanraya lalu telah menyebabkan warna politik Melayu bertampok hitam.

Mulai sekarang orang Melayu perlu melihat agenda merampas undi Melayu untuk kemenangan calon bukan Melayu. Pola dan aliran pemilihan secara itu jelas terpamer dalam piliharaya lalu. Calon bukan Melayu yang menjadi wakil Barisan Nasional kalah. Calon Melayu Barisan Nasional juga kalah di kawasan kuat mereka kerana pola dan aliran sokongan bukan Melayu diberi kepada calon lawan. Demikian warna yang ditentukan untuk mengubah lantai, dinding dan bumbung politik orang Melayu. Amat terancang.

Orang Melayu perlu bertindak untuk mewarnai pola pemilihan dalam pilihanraya akan datang. Kita perlu melihat dan melukis peta perjuangan yang kian berubah. Warna telah berubah. Janganlah sekali terpalit arang maka sepanjang hayat kita berwajah hitam. Janganlah asyik menatap lengkungan pelangi sehingga kita lupa terik matahari akan segera menjadi pelupus yang kejam segala pemandangan indah. Melayu perlu berubah dari keasyikan.

Rabu, 22 Oktober 2008

Jahit Yang Carik

Cantum dan jahit. Parut kian terkebak dan semakin rabak. Luka terkoyak. Pemimpin profesional Melayu tampil bersuara. Seru 'Bersatulah Melayu'. Bersatu tanpa beralas aliran fahaman politik. Jahit semula segala yang carik. Cantum dan tampal segala yang robek. Melayu telah hilang suara hingga ada yang sudah berani melunggukkan kita sebagai warga yang bertaraf penyewa di negara yang tercinta ini.

Suara kita sudah dikategorikan sebagai suara perkauman. Sahabat-sahabat kita sudah menjadi musuh dan lawan. Mereka semakin berani menikam depan dan belakang. Mereka telah berani racun di mana sahaja ada aliran. Kita jadi kelu. Bisu. Diam. Koro. Bacul. Bila ada suara membela nasib orang Melayu maka suara itu dianggap suara perkauman tetapi apabila suara sahabat kita membela nasib kaum mereka ia dianggap suara wira pembela hak bernegara. Para pemimpin kita hilang hala, hilang cara hingga lupa punca sesuatu gejala yang sengaja dijadikan agenda mereka. Semacam ada kesepakatan di antara mereka terhadap cita-cita bagi merealisasikan agenda bersama. Fahaman politik sesama mereka diketepikan. Apa yang untungkan mereka, mereka sokong dan kejap sepakat. Sebaliknya kita diagah. Kita diajak bertelagah. Dilaga agar terus berbalah. Diacah untuk risau dan gundah.

Apabila Umno tidak lagi menjadi Umno. Pas bukan lagi Pas. Keadilan tidak lagi adil kepada Melayu, maka kerana itulah saya kira 'Titah Seri Paduka' mencanai sejarah betapa lemah pelaksanaan amanah oleh para pemimpin kerajaan 2008. Tidak pernah tertulis dalam sejarah tanah air kita akan adanya titah sebegini untuk sindir dan sekeh kekoroan pemimpin. Rakyat memang meruap marah. Pemimpin masih berwatak kura-kura. Belakang dibiarkan untuk dipijak dan kepala masih juga disembunyikan.

Demikianlah kesilapan yang terancang. Marah yang membawa padah. Menang sorak kampung tergadai. Para pemimpin Melayu dan Islam mesti selari arah agar kita tidak selamanya kehilangan punca. Hilang kuasa. Hilang harta. Hilang bangsa. Hilang agama dan hilang negara.

Apabila satu pintu tertutup masih ada pintu-pintu yang terbuka. Usah membazir masa untuk berusaha membuka pintu yang tertutup tetapi pilih dan laluilah pintu-pintu yang lain, yang telah tersedia terbuka. Kepada sesiapa yang masih ingin membuka pintu yang tertutup biarkanlah. Minda yang tertutup memang sukar untuk diarah mencari pintu yang terbuka.

Teka-teki

Teka teki yang tidak mempunyai jawapan.

1.
Jika benar 'sekilas ikan di air kita berupaya tahu akan jantan atau betinanya' maka antara Najib dengan Abdullah mana pula yang jantan dan mana yang betinanya?

2.
Siapakah yang pandai selak tidak tahu tutup. Siapakah yang jaja kain jarang, telus, terbuka dan akhirnya terkoyak rabak?

3.
Seluruh rahsia rumahtangganya terbongkar. Siapakah agaknya yang menubuhkan suruhanjaya untuk membogelkan kesah rumahtangganya dahulu?

4.
Bila ribut melanda, atap rumah pun menjadi bocor. Siapakah yang memilih tukang-tukang rumah yang pernah masuk pusat seranti untuk ganti atap namun tukang-tukan itu ganti lantai? Lain yang rosak yang lain yang diganti. Siapa ya?

5.
Siapakah orangnya yang kencing berdiri, anak buahnya kencing berlari? Siapa ya?

Jawapan tidak perlu. Sesekali kita perlu juga mengigau dan meracau. Saya menanti kerajaan yang jelas jantannya. Ada watak wira yang amat sayangkan agamanya, bangsanya, bahasanya, budayanya dan nusanya.

Selasa, 21 Oktober 2008

Meriam Buluh Tembak Suara Hantu

Suara Tun Dr Mahathir menjadi suara berhantu. Kadangkala digeruni. Kadangkala ditakuti. Ia kadangkala dibenci. Malah ada yang ingin melihat hingga ke hujung manakah suara itu akan bergema. Tun Mahathir tidak pernah gusar dengan apa-apa pandangan dan tanggapan orang terhadapnya. Beliau akan lakukan dan suarakan apa sahaja isu yang difikirkannya, yang kadangkala melangkau jangkaan. Tun ada jawapan dan alasan tersendiri. Malah beliau mempunyai data dan fakta yang mencukupi untuk mempertahankan hujah dan saranan. Inilah kehebatan Tun berbanding dengan pemimpin lain.

(Entri saya tentang 'Mahathir menggelecek Abdullah' hilang. Mungkin kemahiran minimum saya belum mencukupi untuk elak kehilangan entri itu. Biarlah.)

Apabila Tun Mahathir mengelecek Abdullah dan Abdullah keletihan serta memohon untuk keluar padang menjadikan permainan semakin gawat. Rioh rendah. Kutuk mengukuk. Lobi melobi. Akhirnya para pemain team Abdullah bertempik marah. Mahathir diserang. Kiri Kanan. Depan belakang. Namun sebagai seorang yang mahir menggelecek, Tun dapat memperbudakkan.

Memang benar Tun adalah pemain import. Pemain luar. Bukan pemain kelab tempatan. Semua orang telah khatam bahawa Tun memang bukan ahli Umno. Bukan. Tun telah buat slogan pengisytiharan dengan jelas bahawa beliau keluar Umno selagi Abdullah menjadi peneraju utama. Itulah yang dilakukannya. Tun masih patuh dengan pendirian itu. Tidak berganjak setapak pun.

Berada di luar Umno tidak bermakna seseorang itu mesti menjadi koro. Pemilihan Umno adalah pemilihan pemimpin Malaysia. Rakyat yang bukan ahli Umno juga berhak untuk bersuara. Biarlah dilabelkan sebagai suara hantu. Suara sumbang. Celupar. Gatal. Labellah. Itulah demokrasi. Hak memberi pandangan dan cadangan adalah suara seorang rakyat. Kenapa mesti takut. Kenapa mesti dihalang. Anak jantan biasanya beradu secara anak jantan juga.

Pada hemat saya meriam buluh yang dihala kepada Tun cuma acahan daripada pencucuh dampingan yang terasa tergugat strategi. Sudah mula melihat ancaman. Terasa sudah tidak selamat kedudukannya. Meriam buluh tidak bersimpai pastinya tidak upaya bertahan lama. Aliran corak pemilihan Umno kali ini sudah lari dari landasan lama. Para pendamping Abdullah telah berada dibaris tercorot. Penentang Abdullah diberi undi dengan jelas untuk menang bergaya. Pencacai Abdullah pula tercungap-cungap mencari nafas untuk terus bermain walaupun jelas telah tertewas. Siapakah yang berani secara jantan untuk angkat tangan dan keluar padang lebih awal dengan cara terhormat? DalamUmno aksi sebegini jarang ada.

Dalam sebulan dua ini pasti akan ada lagi meriam buluh untuk menembak suara hantu. Yang pasti kadangkala bukan suara hantu yang ditembak tetapi sebaliknya tertembak pula kaki sahabat. Terlalu banyak bunyi tembakan meriam buluh maka suasana pesta menjadi semakin meriah tetapi sumbang. Meriah kerana melihat kemahiran menggelecek. Sumbang kerana tembakan salah situasi, salah masa dan salah sasaran.

Khamis, 16 Oktober 2008

Anai-Anai Berpindah Busut

i
Anai-anai berpindah busut. Permaisuri ditinggalkan sendirian. Tanpa soldadu lagi yang keluar masuk istana lama. Demikian plot cerita kehidupan yang berkisar kepada arus politik tanah air. Jelas dan nyata. Abdullah Ahmad Badawi semakin kesepian di penjuru Putrajaya. Tiada pekerja dan tiada soldadu mendampingi. Yang menjadi buruan dan hurungan ialah Najib dan Muhyiddin. Di mana ada Najib di situlah ada soldadu. Berkerumun macam tempua bermalam di pohon nan sebatang. Maka berlangsunglah 'Pesta Wayang Jalanan'. Meriah. Di sini kedapatan pelakon berbakat besar dan pelakon tambahan. Kita juga akan menemui pelakon upahan. Kita terserempak dengan watak-watak manusia dengan topeng-topeng. Biasanya apabila jambatan baru dibina maka jambatan lama diletakkan tukun halangan. Laluan baru akan dibuka. Inilah 'perjuangan yang belum selesai' yang Tun Dr. Mahathir akan hadiahkan kepada Abdullah Mac 2009 kelak.

'Allah Maha Adil dan Dia memberi keadilan itu secara saksama untuk dirasai oleh hamba-Nya. Jika seandainya Abdullah pernah melakukan sesuatu kepada Mahathir maka segala yang pernah dirasai dan dialami oleh Mahathir itu akan dirasai dan dialami oleh Abdullah. Hal yang sama telah berlaku kepada Mahathir sebelum ini. Renung dan hayatilah petunjuk itu.

ii
.
Senyumlah, senyumlah wahai cik Awang golek. Lucu. Sedih. Marah. Meluat. Segalanya berpusar-pusar di pundak kita. Kenapakah kita terlalu membuang waktu untuk membahas, menolak dan mengesa agar menggantikan Anggaran Bajet 2009 yang telah berjam-jam juga dibentangkan? Bekas Menteri Kewangan, saudara Anwar Ibrahim telah menghabiskan masa berjam-jam untuk menjuarai persidangan Parlimen kini. Hebat kerana mencari gali alasan tetapi memperlihatkan kejahilan Anwar yang sangat ketara.

Semasa saudara Anwar menjadi Menteri Kewangan siapakah agaknya yang menyediakan anggaran bajet pada ketika itu? Siapa pun tidak mungkin percaya bahawa sesuatu bajet itu disediakan oleh menteri. Yang menyediakan sesuatu bajet ialah para pegawai kerajaan dari peringkat paling dasar hingga ke peringkat paling atas. Mereka terdiri daripada pegawai profesional dan pegawai sokongan pada setiap peringkat di setiap kementerian dan agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Bajet 2009 adalah himpunan cadangan dan pemikiran manusia yang terlatih. Pada hemat saya, saudara Anwar juga akan akur dan pernah akur dengan cara yang sama untuk memperolehi cadangan dan angka-angka yang menjadi pertikaiannya itu seperti mana yang beliau lakukan dahulu.

Dalam tulisan saya semalam, saya telah simpulkan bahawa para pemimpin yang kita pilih adalah para pemimpin yang mewarisi pemimpin dunia ketiga dan hari ini saya simpulkan mereka sebagai pemimpin kelas ketiga.

Anwar bercita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia berasaskan teori 'Katak'. Jika ada katak-katak yang melompat maka akan tertubuhlah kerajaan kataknya. Tetapi tidak semudah itu. Anwar perlu juga jeling kepada pukat dan jaring. Kail dan joran. Kujam dan umpan.

Segala yang difikirkan oleh Anwar itu pastinya telah difikirkan juga oleh penentangnya. Anwar janganlah lupa diri bahawa dia pernah menjadi pemerintah dan pada masa itu dia juga mempunyai penentang. Stabilkah kerajaannya jika penubuhan kerajaan idamannya itu bertenggek kepada soldadu katak? Pada masa itu apabila 'bajet air tangan Anwar' dibentangkan maka saya pasti bajet itu juga akan ditentang dan minta diganti. Akhirnya dimanakah kuala yang dipanggil muara? Anwar akan hilang punca sama seperti dia mencari punca untuk merealisasikan impian bagi menubuhkan kerajaan katak yang semakin hari semakin tersangkut kail.

Selasa, 14 Oktober 2008

Raja Cicak

Lariannya amat pantas. Lincah menapak dada siling. Raja Cicak. Cicak tidak pernah hormat sesiapa. Sama sekali tidak. Dia menjadi Raja. Dia langkah dan lintas kepala sesiapa sahaja tanpa hirau pangkat dan darjat. Dia cukup tidak bertatasusila. Dia angkuh dan berlagak samseng kerana tidak ada sesiapa pun yang berani mengusirnya di dada siling. Tidak upaya. Tidak berkemahiran. Tidak terlatih.

Najis spesis cicak tetap hitam dan putih. Itu telah menjadi kenyataan yang tidak sesiapa pun bisa menafikan. Nilai yang menjadi hakikat pegangan manusia. Mesti ada hitam putih meskipun itu adalah najis yang nyata. Malah dia melepaskan najisnya sesuka hati. Tidak kira istana, tidak kira mahligai, tidak kira rumah ibadat mahupun pondok buruk di pinggir sawah. Sesungguhnya dialah pemerintah lelangit untuk setiap bangunan. Hebat kerana dia sentiasa berlari di atas pundak segala raja dan segala jenis manusia.

Di bumi Malaysia, siapakah pemegang watak itu kini? Saudara-saudara boleh namakan sesiapa sahaja. Semakin ramai nama disebut dan disenaraikan maka semakin ramailah Raja Cicak. Persoalannya adakah kita salah seorang daripada perwakilan yang menjadi pemilih Raja Cicak? Dan adakah manusia seperti Raja Cicak itu patut dipilih untuk menjadi pemimpin kita? Hatta adakah kita kenal semua calon-calon Raja Cicak itu?

Kelak adakah kita akan diperintahi oleh Raja Cicak yang berkongsi rumah bersama Raja Katak? Akhirnya para memanda dan hulubalang kita terdiri daripada mereka yang berwatak ular, biawak, buaya, ketam, kura-kura dan tikus. Benar, memang sukar jika kita tidak berwatak manusia sejati. Lebih sukar jika kita menjadi dalang. Untuk ahli Umno, selamat bersidang. Untuk ahli Pas berwaspada kerana kita membawa panji-panji Islam. Untuk ahli Keadilan, tidak sukar mengkategorikan watak-watak tersebut jika kita rajin untuk mempelajari ilmu yang dianugerahi Allah. Untuk umat Melayu jadilah 'Melayu' yang jiwaraganya adalah manusia dan Islam.

Isnin, 13 Oktober 2008

Lebih Lucu Dari Sedih

Tersentak. Terpegun. Ulasan yang jitu. Tepat. Tajam dan memokah kepala sesiapa sahaja yang difokuskan. Kata PM, "kadang-kadang lebih lucu dari sedih kerana parti yang kalah tidak dapat tubuh kerajaan berlagak macam dia menang, kita yang menang seolah-olah kalah".

Inilah isu yang saya, rakan-rakan dan penganalisis politik fokuskan untuk menyedarkan kerajaan bahawa agenda penubuhan kerajaan pemerintah sebenarnya telah selesai sebaik sahaja proses angkat sumpah pegang jawatan kerajaan tamat. Agenda utama ialah melaksanakan tugas memerintah dengan menumpukan kepada janji-janji parti kepada rakyat. Tetapi 'politik kelas ketiga' membelenggu pemikiran para pemimpin yang dipilih. Sama. Kerajaan ataupun pembangkang. Rakyat keliru dengan lagak para pemimpin. Di negeri yang bertukar tangan dari BN kepada Pakatan Rakyat mereka bertindak seolah-olah mereka adalah pembangkang. Sementara di peringkat pusat kita lihat kerajaan yang diberi kuasa seolah-olah hilang punca lalu bertindak seperti pembangkang. Pembangkang yang jelas tidak mempunyai majoriti untuk menjadi pemerintah pula berlagak seperti pemerintah.

Terlalu banyak masa dan tumpuan hilang dengan bertelagah seolah-olah pilihanraya ke-12 itu tidak menentukan kemenangan dan kekalahan kepada mana-mana parti. Pelikkah atau kita jahil atau kita masih dikongkongi oleh aliran politik kelas ketiga? Arakian kerana itu kita tersogok dengan isu kerajaan katak. Kita ikut bapak ketam. Kita dengar dan terpesona dengan raja ular. Kita terikut-ikut dengan kempen resam biawak. Kita jadi manusia tetapi kita urus kerajaan ala kerajaan rimba.

Jika inilah yang ditafsir dan direalisasikan awal dahulu oleh kerajaan sesudah pilihanraya maka BN akan cepat stabil. Keterbukaan pasti ada hadnya. Berpada-padalah kita menyelak. Berpada-pada juga untuk biarkan orang menyelak. Jangan hingga ke takah bogel. Malu dan jijik. Ekoran keterbukaan itu maka timbullah isu yang diprotes rakyat hingga PM terpaksa turun tangga Putrajaya. Pertama, tidak tunai janji. Kedua, kerana gagal bertindak. Ketiga, kerana tindakan tidak selari dengan kehendak rakyat. Keempat, ego campur angkuh. Kelima, koro dan bacul untuk jadi pemerintah yang berwibawa. Keenam, bercakaran sesama sendiri dalam kerajaan. Ketujuh, gelojoh cara dan rakus habuan. Kelapan, kurang bersedia untuk jadi pemerintah dan terkejut dipilih untuk memerintah. Kesembilan, tidak berwatak wira rakyat. Kesepuluh, korek dan usik sejarah dan hak yang telah dibedak dan dibahagi. Tentunya terdapat deretan sebab lain mengapa rakyat marah. Semuanya berpokok kepada janji dusta dan hilang punca untuk berkongsi negara.

2
Umno. Adakah dari saat ini hingga Mac 2009 kita masih beradu domba untuk menang jawatan. Untuk jadi wira pilihan. Untuk itu kita lupa kepada retak. Kita lupa kepada janji untuk bersatu. Kita lupa untuk cermin diri. Kita tidak ukur aras kedudukan. Kita ghairah untuk berada dalam senarai utama yang kelak dipilih oleh Presiden atau Timbalannya. Kita lobi bahawa kita orang Presiden atau kita orang Timbalan. Kita atur strategi supaya orang lain jatuh biarpun mereka sahabat seperjuangan. Semua larangan menjadi halal asalkan habuan tercapai. Inilah perjuangan yang tidak berpaksikan nilai Islam. Inilah kegelojohan yang dinilai oleh rakyat. Semua pemimpin Umno hanya berjuang untuk kantung sendiri. Jika gagal dipilih mereka merajuk. Sabotaj. Tidak menyokong calon yang berjaya sekaligus menafikan prinsip demokrasi.

Lebih lucu dan sedih jika bertukar laku menjadi katak. Menjadi biawak. Menjadi ketam. Menjadi ular. Semuanya kerana gara-gara kecewa ekoran tidak dipilih. Rakyat dibiar seperti temekung di kuala sungai. Berkerumun. Kujam yang dinanti tidak dicampak jua. Akhirnya menyiku sesama sendiri. Adilkah perjuangan yang bernama refomasi jika rakyat diberi kulit dan kuah sementara isi dan rencah diceduk pemimpin? Renunglah masa depan rakyat dari tangan mereka yang sentiasa menadah dan mengharap. Mereka telah lama dijanjikan bulan dan bintang maka kali ini berilah mereka bumi tempat berpijak dan bernaung. Untuk hidup dan mati di Malaysia tercinta.

Jumaat, 10 Oktober 2008

Langkau Ke Hadapan

Seakan gumpalan yang berkecai. Hancur. Serpihan bertebaran. Untuk kembali menjadi gumpalan yang teruli pasti memerlukan tagihan waktu yang panjang. Maka senario poliltik Umno memerlukan peneraju yang bijaksana, wibawa dan berwatak wira. Komentar terhadap seteru politik perlu beralas. Biar lawan menjadi kawan. Jangan terlajak kayuh. Jika terlanggar pengkalan, pengkalan runtuh penumpang pasti tercampak. Perahu rongak pasti karam. Menampal bocor lebih sukar daripada memalam lubang.

Politik Malaysia adalah politik dunia ketiga. Penuh dengan dakwaan yang bercelaru. Sama ada semuanya benar belaka atau semuanya dusta semata-mata. Rakyat terpinga-pinga untuk mencari kebenaran. Bukti dan alasan ditonjol untuk menghalalkan agenda biarpun bukti dan alasan itu hanya reka cipta yang sangat inovatif ke arah mencapai cita-cita peribadi.

Saya ingin melihat politik dunia kedua. Setakah lebih baik daripada dunia ketiga. Kemenangan dalam pertandingan biarlah yang tidak diragui dan dipertikaikan. Tidak ada unsur ugutan. Tanpa sogokan. Tanpa janji dan habuan. Kemenangan biarlah tidak tersadung dengan kejaguhan ala samseng. Biarlah tertib dan bertatasusila. Berbudaya dan bercirikan nilai Islam yang maha sempurna. Pamerkan watak Islam, peribadi Islam, pentadbiran Islam dan gaya kepimpinan Islam. Sebenarnya itulah ciri melayu yang dikehendaki oleh generasi Melayu abad ini. Mudah.

Bertelagah. Rebut jawatan. Kelompangan ilmu dan pengalaman. Watak jantan jadah. Celupar tidak bertempat. Membazir dengan pesta-pestaan. Tidak pasti kehendak rakyat. Terpesona dengan asakan kebendaan. Lupa diri. Berlagak jaguh. Rendah budaya. Rendah peribadi.

Akhirnya isi tembolok sendiri. Perjuangan untuk agama, negara dan bangsa menjadi agenda pilihanraya agar sentiasa dipilih. Diri ditonjolkan sedangkan sepanjang khidmat penuh dengan munafik. Tidak tunai janji. Demikianlah lakonan-lakonan para pemegang watak pemimpin Umno yang dihukum oleh rakyat. Jelas terpamer episod yang memaksa rakyat bertempik dan berteriak agar peneraju utama Umno turun dari pentas pemerintahan. Ingatan itu mesti terpahat pada hati setiap penganti yang menawar diri untuk bertanding.

Meskipun ada yang mendabik dengan angkuh bahawa dia menang dan dipilih sekali lagi oleh rakyat namun individu itu jangan lupa hukuman pada pilihanraya akan datang. Selamat bertanding, selamat bersidang dan selamat berjuang. Kalah jangan menjadi katak. Menang jangan menjadi merak.

Rabu, 8 Oktober 2008

Memadam Tampok Hitam

Lega. Hadiah berharga untuk perjuangan bangsa Melayu. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan Mac 2009. Arena politik tanah air tidak ternoktah di situ. Masih berliku. Lega kerana kecelaruan mula menampakkan punca kusut. Tidak mudah merungkai juraian yang berbelit. Tugas pengganti akan diuji dan dinilai. Jika tempang maka anak tangga tersedia untuk turun. Jadi untuk sesiapa sahaja yang menawar diri bertanding jawatan Presiden akan berhadapan dengan tampok-tampok hitam yang terpaksa dibersihkan.

Tugas mentadbir negara dan sekali gus mentadbir parti yang gah dan gagah dahulunya adalah pengambilalihan yang memerlukan tokoh berwibawa, ada jati diri, memiliki misi dan visi yang jelas. Hala tuju yang goyah menyebabkan keputusan tidak dihormati. Tanpa keberanian bertindak untuk memadam isu berfokuskan kehendak majoriti rakyat dan takut kepada pembangkang akan menjadikan seseorang pemimpin itu seperti raja beruk yang bersembunyi di celah dahan. Suara arahan hanya terlantun apabila senapang berbunyi. Budaya koro dan bacul hendaklah dibuang. Watak wira mesti dipamerkan. Rakyat inginkan pemimpin yang berupaya menjadikan mereka bahagia, aman, bermaruah dan merdeka.

Selasa, 7 Oktober 2008

Gelap

Gelap. Hitam pekat. Laluan yang dicari juga tiada berlampu dan berliku. Meraba tanpa cahaya. Ketika panggung sesak, Hindraf terpa masuk seperti samseng gambar koboi. Wayang bermula tenang tiba-tiba menjadi kecoh. Hindraf menghantar pelakon tambahan tanpa skrip. Dengan lagak samseng merampas arena. Hak orang lain untuk mendapat nikmat lakonan dunia dinafikan. Demikian awalan kepada lagak Hindraf di Hari Terbuka PM.

Hindraf gelap hati. Hitam pekat dengan dendam. Mencari lorong penyelesaian tanpa berpandu kepada haluan bertatasusila dan undang-undang. Salah tempat. Menjadi perampas nikmat kehidupan yang berharmoni. Berlagak samseng seolah-olah arena itu menjadi medan tebusan. Sebenarnya Hindraf silap. Tidak ada manusia yang waras, yang dapat merela dan merestui lagak sombong serta angkuh seperti itu. Malah orang lain juga berupaya berlagak melebihi lakonan tersebut. Tetapi lorong damai, waras dan matang masih terbuka. Namun Hindraf memilih untuk mengheret tapak berselut untuk memijak hamparan permaidani indah. Hindraf amat jahil untuk hidup berkongsi negara seperti Malaysia.

Hari ini dan saat ini saya termangu dan merungus secara jantan. Hindraf membuat aduan dan laporan kepada polis terhadap Syed Hamid dan Utusan Malaysia. Celakoi betul. Patutkah ketika kita menceroboh rumah tangga bahagia orang lain maka akhirnya kita dakwa ada pihak yang lebih jahat kerana menegur kejahilan kita? Inilah pandangan dan aliran haram daripada pertubuhan yang haram. Jika Hindraf merupakan pertubuhan haram maka mengapa kerajaan tidak bertindak. Jangan biarkan yang haram menjadi halal. Jangan sampai kehidupan harmoni yang dikongsi ini menjadi tembok yang bertambak. Jangan biarkan marah berkerak. Jangan biarkan dendam berendam masam.

Walaupun hidup berkongsi kasih dan berkongsi negara namun semua kita perlu beringat bahawa kita masih ada sempadan dan pagar halangan. Kita masih tidak berkongsi hak milik yang kita warisi dan yang kita bayar untuk kita masing-masing memilikinya. Jangan cuba rampas hak itu. Ambillah apa-apa yang menjadi hak saudara-saudara secara halal tetapi jangan sama sekali menghalalkan cara untuk menghalalkan tindakan. Silap. Masih ramai wira Melayu di Malaysia.

Ahad, 5 Oktober 2008

Korban Kuasa

Katak memang galak ketika hujan. Ikan-ikan juga galak tidak terkira. Silap hitung ikan menyambar katak. Salah sambar ikan tersangkut ke kail. Senario ini lumrah dalam Umno kini. Galak. Ghairah. Gatal. Galak tawar diri untuk bertanding. Ghairah melobi. Gatal adu domba. War-war. Tayang. Lakon. Dan macam-macam hampir sama dengan penjaja pasar lambak.

Ahmad Zahid dan Mohd. Ali sudah ambil tempat di gelanggang. Timbalan Presiden. Muhammad Mohd. Taib tunggu untuk ikut ke gelanggang yang sama. Cuma Muhyiddin masih di gimnasium berlatih. Sembunyi teknik dan taktik. Menarik.

Ketika Zahid dan Ali galak di gelanggang bagaimana agaknya jika Muhyiddin tawar diri untuk jawatan Presiden? Biar dia masuk gelanggang bersama Pak Lah atau Najib. Pada hemat saya pastinya akan punahlah strategi katak dan ikan-ikan yang galak itu. Muhyiddin mesti berani memangkas sebelum dia dicantas. Berani memangkas, kelak pohonnya biak bertunas dan hidupnya kian subur. Jika terkorban biarlah terkapan sebagai wira. Para pembunuh adalah rakan yang melontar lembing di muka tangga. Jika Najib turut main kotor maka dia akan turun tangga seperti Pak Lah dan akan dijangkitkan kail oleh katak-katak dan ikan-ikan yang galak itu jua. Siapakah mangsa korban kuasa episod 2009? Umno kian parah jika ikan-ikan dan katak-katak yang galak serta ghairah mahu terus berebut tempat untuk memerintah.

Gamitan Kenangan

Himpunan Pelajar STAR 1995
Hotel Sri Malaysia, 4 Oktober 2008


Hari ini kita masih dalam suasana berhari raya. Dan saya masih terseret dengan suasana tersebut.

Amat terharu apabila diundang oleh bekas pelajar 1995 SMK Tunku Abdul Rahman, Alor Star, untuk pertemuan sempena Aidul Fitri. Datang bersama anak dan suami isteri semata untuk bersua dan mengimbau kenangan silam bersama rakan dan guru adalah gamitan kenangan yang tersisip kukuh. Persaudaraan dan ikatan persahabatan yang berpanjangan seperti ini bukan mudah untuk dipertemukan. Bagi saya ini adalah hadiah yang terpahat dan mengukir kenangan yang mengharukan. Terima kasih. Sesungguhnya bukan semua guru diberi nilai dan penghargaan yang sebegini indah dan membanggakan. Lebih membanggakan apabila mendapat maklumut mereka kini sedang terlibat sebagai pentadbir, usahawan, penyelidik, guru, perhotelan, pustakawan, politik dan pelbagai jawatan yang tentunya berupaya mewarisi jejak kepimpinan negara. Syabas kerana menjadi warga yang terdidik dan dikehendaki.

Salam sekeluarga daripada Cikgu.

Sabtu, 4 Oktober 2008

Cermin Retak

1.
Langkah Muhyiddin Yassin dan Muhammad Taib menunggu Pak Lah membuat keputusan pada 9 Oktober ini sebagai keputusan bertatasusila. Namun Ali Rustam dan Ahmad Zahid terus tawar diri untuk jawatan Timbalan Presiden. Jika selama ini Muhyiddin dianggap dalang yang membuka gelanggang dan menikam dari belakang namun perkiraan itu mungkin tersasar. Ahmad Zahid dan Mohd Ali Rostam adalah pemanah tepat dari persembunyian rahsia. Mereka seolah-olah memaksa Pak Lah agar melepaskan jawatan untuk diambil alih oleh Mohd. Najib. Masakan tidak! Jika itu bukan wayangnya maka kenapa mereka mendahului pengumuman daripada Pak Lah dan Najib? Jika Pak Lah terus bertanding jawatan Presiden, apakah ini bererti mereka tawar diri untuk bersaing dengan Najib?

2.
Kegelojohan untuk merebut habuan biasanya menyebabkan seseorang tidak menoleh. Kawan diketepikan. Ketua disisih. Peraturan dan etika dibelakangi. Itulah manusia yang menjadi pemimpin Umno. Pemimpin ditolak rakyat melalui PRU ke-12. Inilah wajah pemimpin yang masih diulik mimpi indah masa silam. Ukurlah baju ditangan sendiri. Jika hanya ada pengayuh kolek janganlah jong hendak didayung. Bergeraknya tidak, kelak pengayuhnya patah.

3.
Umno memang kepupusan pemimpin. Pemimpin yang ada adalah buaya yang ternganga lapar. Keutamaan adalah habuan dan jawatan. Sebagai pemerintah yang diberi mandat oleh rakyat telah diabaikan. Enam bulan berlalu penuh dengan siku menyiku, tendang menendang, sepak menyepak, kilas mengilas dan akhirnya akan tiba kepada episod bunuh membunuh sesama sendiri.

4.
Ahmad Zahid dan Mohd Ali Rustam usah tahan bubu di kolam ternak. Kujam disimbah jala ditebar. Menjaring secara kotor itu amat mudah dikesan. Taktik ala budak tingkat 4 Putrajaya eloklah dihentikan. Mudah sangat. Ahmad Zahid menebar jala di Perak. Ali menjala di Melaka. Kelak Muhammad Taib memukat di Selangor. Hishamuddin pancing seekor dua di Johor. Rashid di Penang. Anwar Musa di Kelantan. Shahidan di Perlis. Di Kedah Det Khalid tahan tuaq seekor dua tentu dapat. Muhyiddin terkapai terkena pukat. Kelupur sendiri.

5.
Ahmad Zahid tawar diri jadi Timbalan Presiden. Kura-kura pun tidak berani menghulur kepala. Malu. Cermin diri. Inilah lompat ala hantu cina. Baju koyak rabak. Muka huduh. Berjalan tidak berpijak ke bumi. Dia baru ada lesen pemandu motosikal mahu bawa pesawat. Kalau hendak terbang tinggi berlatihlah di landasan panjang. Lihatlah cermin hadapan dan cermin belakang. Jangan lupa sesekali perlu melihat cermin sisi. Brek motosikal dengan brek motokar dan dengan brek pesawat amat jauh bezanya. Gunakan pada ketika dan tempat yang tepat.

6.
Gelanggang jawatan ketua pemuda juga menarik. Mingguan Malaysia sudah beri fokus. Khir Toyo dan Ahmad Zahid sudah ditaja dan jaja. Berita Harian tentu saja julang budak tingkat 4. Mukhriz dibiarkan menyalak di Jerlun. Regu Khir ialah Muhammad Taib. Regu Ahmad Zahidi ialah Shahidan. Tok Det Khalid tidak mungkin beregu dengan Mukhriz. Nanti ada putri yang marah dan merajuk. Hishamuddin hilang wisel. Kerisnya tercampak. Dia tidak pernah berjaya menjaringkan gol walaupun bola diletakkan ke kakinya.

Kita perlu terima hakikat bahawa cermin yang retak akan menghasilkan wajah-wajah yang retak juga. Umno retak kerana pemimpinnya retak.