Isnin, 26 November 2012

Bola Di Kaki Harimau Malaya.

Prestasi dan piawaian kita terhadap mutu bola sepak tetap di takok lama. Bergelumang dengan masalah. Kita letakkan kemerosotan  itu kepada jurulatih, maka jurulatih itu kita tukarganti. Namun kita tetap di aras bawahan. Dibelasah tunggeng langgang. Kita katakan atlit bola sepak kita tiada kualiti. sebaliknya secara rawak leleh kita boleh menang dan jadi juara. Pemainnya hampir sama, jurulatihnya sama tetapi prestasi merudum.Apakata kita halakan amarah kita kepada pengadil. kurapsi. Tidak mencapai status kualiti  FIFA. Paling tidak kita handuh pihak pengurusan. Perlu diganti. Itulah saranan paling mudah. Atawa kita buat demontrasi bantah dengan kain rentang penuh caci maki. Hamun semahu-mahu hati. Biar padan muka. Akar masalahnya ada pada siapa? Sebenarnya di mana punca tersimpul yang tidak terurai.

Pada hemat saya yang pernah jadi jurulatih kampung dan sekolah. Tidak punya kursus dan tidak berlesen.. Tidak ada kelas. Tetapi apa salahnya untuk bersuara. Jadi tukang pangkah. Sekeh.ISA. Ikut Sila Aku. Budak-budak yang kita pilih untuk mewakili negara patut didiplomakan. Ada ijazah. Subjek sains sukan bola sepak diberi. ada tiori dan amali. Termasuk subjek psaikologi. Kuasai minda kelas pertama. Kelaemahan ketara pemain Malaysia ialah minda kelas ketiga. Tidak pantas berfikir dan bertindak. Aksi dikuasai oleh nafsu bukan fikiran. Tamak tidak bertempat. Boros tidak berhasil.

Kita tidak mempunyai pakar gelecek. Kekurangan itu amat ketara. Bola di kaki sendiri seringkali tidak upaya dikawal dengan baik. mudah dicuri. Pertama tiada kemahiran gelecek. Kedua minda lemah untuk bertindak pada masa yang tepat di situasi yang betul. Kita tidak ada jurulatih pakar pertahanan. Tidak hairanlah kiranya pertahanan kita tidak mempunyai strategi. Kucar kacir. Tidak berada pada situasi yang betul dan pada masa yang betul.  Maknanya berada di posisi yang salah ketika ia dikehendaki menjadi benteng.  Bila lagi kita ingin menunggu seorang pakar khas untuk melatih bahagian pertahanan.

Kita juga mesti mempunyai jurulatih pakar penyerang. Semuanya patut masuk sekolah dan belajar. Kemudian kembali ke padang untuk latihan amali. Jadi kita memerlukan jurulatih pakar dalam banyak bidang. Jurulatih pakar gawang gol, jurulatih pakar gelecik, jurulatih pakar hantaran. jurulatih pakar sepakan penanti. jurulatih pakar pertahanan dan jurulatih pakar serangan. Tentunya semua jurulatih itu dibawah ketua jurulatih pakar. FAM boleh terima saranan orang kampong seperti saya. Lantak.


Isnin, 8 Oktober 2012

Rindu

 ,
Singkaplah sedalam manapun akan makna rindu maka makna tersiratnya tetap sukar terhurai. Rindu itu sedih. Rindu itu duka. Rindu itu derita. Rindu itu siksa. Rindu itu bayang-bayang yang hadir dalam diam. Rintu itu adalah kata-kata yang  berbisik dalam kebisuan. Rindu itu meraba kenangan untuk hiba berpanjangan.Rindu itu adalah gamitan dalam bayangan. Rindu itu adalah panggilan tanpa suara. Dan rindu itu adalah bisikan cinta dalam penantian.

Tiba-tiba Awang Bungsu pergi. Ketika ada, dia menjadi handuhan herdik. Kadangkala pedih menurih hati. Kadangkala diamnya menyimpan dendam luka menyimpan kata-kata saudara-saudaranya. Ayahnya amat protokol. Dia tahu itu dan mesti patuh tanpa perlu tanya soal dan alasan. Malah untuk mendapat sedikit peluang menyanggah dengan apa-apa hujah pun dia tetap tewas. Mengalah dalam protes yang tersimpan kukuh di lubuh kalbu. Arahan dan titah paduka ayahanda sama ada suka atau tidak dia akur biarpun dengan linangan airmata. Awang Bungsu!, Awang Bungsu!.

Kini dia telah menjadi perantau. Rantai rindu itu membelitnya. Setegar manapun dia mendodoi, menatang dan membendung segala yang 'terasa' namun rindu itu tiba-tiba menghantarnya ke gelegar tidur. Lenanya hilang dalam gangguan igau. Manyaunya mencakar dini malam. Riangnya hilang dalam sepi kamar. Kini Awang Bungsu menjadi sedar bahawa terlantar jauh itu adalah suatu jihat yang mencabar makna sabar. Doanya untuk berjauhan demi berdikari tertunai sudah. Rindu-rinduan hanya nyanyian hujan yang kadangkala  reda dan sesekali lebat mencurah.Rasailah duhai Awang Bungsu. Erti kehidupan itu adalah titipan perjalanan yang sangat berwarna warni corak dan tidak terlukis. Tidak juga tertulis.

Suara panggilan setiap subuh pagi sudah tiada lagi. Solatmu, subuhmu hanya "assolatukhoiruminanaum". Tiada lagi herdikan. Tiada lagi panggilan telefon sebagai gantian peringatan. Tiada lagi. Uruslah diri setelah menjadi perantau. Juga makan minummu. Cuci bersih pakaian. Kemas kusam kamar. Uruslah seperti yang telah terdidik. Ingatlah suara amarah bonda dan ayahanda menyusun atur kehidupanmu dahulu. Biarlah kini ia segar subur menjadi nostalgia untuk dipatuhi. Jika terconteng di mana-mana maka malanglah bonda dan ayahan. Dosanya menghitami kehidupan kerana kami gagal menerapkan kekukuhan ketakwaan , akhlak dan iman kepadamu duhai Awang Bungsu.

Untukmu dipanjatkan doa, Rahmatilah duhai ya Allah akan Awang Bungsuku. Engkau bangunkan dia ketika lena dan lekanya kepadamu. Permudahkan ilmu yang bermufaat kepadanya. Jagailah akhlaknya ya Allah. Hanya sanya kepadaMu kuserahkan dia. Hanya sanya dalam peliharaanMu jua. Amin.

Ahad, 16 September 2012

Wira Wahid

 Kenangan untuk Allahyarham Abdul Ghani Mohd. Ibrahim

akhirnya
terhenti di sisiku
siang suram itu
dan malam tersulam sayu sedu
airmata tiba-tiba
terhenti di dasar kalbu
relaku terbuku jua
redhaku tertitip dalam duka
hilang dari sisiku segala gurau
senda dan airmata yang kita kongsi bersama
telah kau bawa kembali selamanya
akan abadi kenangan itu
dari sisiku ini
pada detik yang tersimpan
di celah lorong liku perjalanan kita
sekalipun pun masih tercatat
manisnya abadi itu
terpaksa kupadam dengan airmata ini
di sini.

telah kutakungi airmatamu
menjadi tinta pedoman
sabar dan baktimu
kasih dan sayang
telah kubenamkan di  nadi ini.

Al-Fatehah.

Jumaat, 27 Julai 2012

Ramadhan Yang Dirindui.

Ramadhan ke-7. Terawith ke -8.  Hari-hari dalam Ramadhan adalah hari-hari ganjaran. Hari-hari kejayaan jika kita tulus mencarinya. Mencari pahala.Bukan dosa. Dalam Islam 'mudah'.  Untuk mencari pahala mungkin sekadar bercakap. Paling tidak memberi salam. Berselawat. berzikir. Berterima kasih. berbahasa dan berbudi. Membaca al-Quran biarpun hanya satu ayat. Membaca yang berfaedah dan baik. Melihat dan menonton yang berfaedah dan baik. Tidur, jika itu lebih baik. Ziarah pusara keluarga.Doa. Larang jika membawa mudhorat. Itu belum lagi jika kita bersedekah, berkongsi tenaga secara sukarela. Cari dan fikirlah apakah pahala yang mahu dibuat dan mahu ditunaikan.Masakan orang yang sentiasa ingin mencari pahala akan melakukan dosa. Fikirkan dengan kudrat yang masih ada, kita masih berupaya mencari dan mencari pahala pada setiap saat. Setiap minit. Setiap jam. setiap hari, setiap minggu pada romadhan kali ni. Mungkinkah ini adalah ramadhan terakhir untuk kita meskipun kita berdoa akan ada ramadhan untuk kita pada tahun-tahun berikutnya.

Selamat berpuasa.Ketika orang melangkah kita sudah berjalan. Ketika orang berjalan kita sudah berlari. Ketika orang berlari kita sudah mengapai kemenangan. Kita saban masa boleh menghitung pahala kerana kita sungguh-sungguh menghindari dosa.

 khas untuk tatapan anak-anakku tercinta.

Selasa, 3 Julai 2012

Damai.

Sedang saya berbual dengan isteri di anjung rumah tiba-tiba seekor kelicap kecil hingga di pohon teh. Kecil amat. warnanya kebiruan. jambulnya merah. Berparuh kuning. Nikmatnya dikurniai mata untuk dapat melihat. Inilah pertama kali saya melihat burung seumpama itu.  Kunjungnya menyebabkan saya ternanti-nanti akan kehadiran untuk ke sekian kalinya. Namun kelibat tidak juga kelihatan. Kata isteri saya " demikianlah jika nikmat ditarik kembali".  Apapun saya bersyukur kerana unggas itu masih sudi datang ke Sri Negeri.Situasi ini segar bugar semula sejak tiada lagi penjerat burung yang  ditarbiahkan apabila pondok jaga tidak berpenghuni dibina di pintu jalan masuk. 

Kicau burung yang galak. Renggahan katak jika hujan. Sesekali kucing liar berbulu tebal dengan ekor mengembang hadir merenget meminta habuan. Di sini habuannya sentiasa ada untuk meneruskan hidupnya yang lara.

Ahad, 24 Jun 2012

Najib Atau Anwar

Lagi-lagi tentang politik. Ada saya kesah. Jika BN kalah, kekalahan itu adalah kerana Rosmah. Ini bukan pendapat saya tetapi 'cakap-cakap' di serata sudut warong-warong kopi. Di majlis-majlis kecil.  Kalau ikut kaedah perbicaraan di mahkamah maka ia tidak masuk bakul kerana pengkesahan berdasarkan kepada 'dengar cakap'.  Cakap-cakap ini ada datangnya daripada kalangan BN dan ada di kalangan PR. Biasalah omongan politik. Kiranya Najib kalah kata mereka, kekalahan Najib adalah kerana Rosmah. Rosmah kelihatan terlalu bermewah-mewah.Ketrampilannya berlebihan. Dalam beberapa isu dia mendahului Najib. Isu 'Permata Pintar' ia mendahului Kementerian Pelajaran. Kelihatannya begitu. Membelakangi kementerian yang bertanggungjawab.

Bukan salah apa sangat. Apapun isunya jika untuk kepentingan negara dan kebaikan rakyat ia patut di sokong. Cuma Rosmah adalah wanita yang dipandang serong kerana lagak. Kata orang 'lebih lagak dari lawa'. maka kelihatan lebih berkuasa daripada orang yang diberi kuasa. Rosmah juga tidak ikut membantu Najib. Patutnya dia sudah lama menutup aurat. Susah sangatkah untuk dia melaksanakan. Dia kena ikut gaya dan persekitaran yang sudah berubah. Jika majoriti wanita UMNO bertudung maka dia kena ikut. Tegar bukan sahaja merugikan Najib malah dibenci. Kebencian meruntun sokongan. Kalau dihujjah dari segi hukum hakam agama pula maka 'hampaslah' jadinya.Tegar yang tidak membawa keuntungan kepada  dirinya, suaminya, bangsanya, negaranya dan Agamanya.

Sebagai isteri Perdana Menteri dia layak berlagak tetapi mesti selari dan sealiran dengan gagasan Najib. Wasathiah. Jika gagasan itu diwar-warkan ke seluruh dunia Islam tetapi Rosmah kelihatan mewah melimpah ruah dengan permata, dan majlis-majlis peribadi ala jutawan segera maka ia akan bertukar menjadi senda gurau yang dibenci. Najib kena ubah Rosmah menjadi wanita yang boleh dicontohi akan gaya hidupnya agar selari dengan tuntutan Islam. Itupun kalau ingin mencari dan menambah kemenangan dalam PRU 13. Itulah sebahagain  kesimpulan dan rumusan cakap-cakap rakyat marhain di desa-desa. Mereka adalah melayu dan Islam.

Kekalahan PR dalam PRU 13 adalah kerana Anwar Ibrahim.Ini juga cakap-cakap rakyat marhain. Sama ada benar atau tidak krisis moral yang dibebani  ke bahunya namun isu itu akan terus menjadi tanda tanya rakyat. Tindakan politiknya kurang bijak. Banyak isu yang diketengahkan memakan diri. Dia sepatutnya menjadi pembangkang yang cekap bukan pemidato yang hebat. Pembangkang yang cekap pasti dapat membezakan yang baik dan buruk. Isu lynes adalah satu daripada kesilapan PR. Sama seperti isu lebuhraya, Putrajaya dan jambatan Pulau Pinang dahulu. Yang baik kena kata baik demi untuk negara dan rakyat. Bukan berpegang kepada prinsip ,bangkang apa sahaja asalkan ia dibuat oleh BN'.

Anwar boleh berhujah bahawa media arus perdana tidak menyebelahinya. Benar. Sebab utama media tersebut dikuasai oleh BN.  Saham BN. Petugas media hanya akan patuh kepada majikannya. Itu periuk nasi mereka. Bagi saya ia sama sahaja. Harakah, Suara Rakyat dan Suara keadilan juga membawa polisi yang sama. Adilkah jika hanya melihat kesalahan polisi orang lain tetapi tidak pernah menyalahkan polisi di pihak kita sendiri.

Dengan terlalu banyak pembongkaran tentang peribadi Anwar dan terlalu ramai rakan baiknya meninggalkan PR maka sukar bagi sesiapapun akur patut dan bersetuju dengan segala dakwaan Anwar. Saya sendiri ragu apakah karpal Singh seiya sekata dengan Anwar. Saya lebih tidak percaya ketulusan Anwar kepada PAS. Cakap-cakap di sana sini tetap mengatakan bahawa PAS hari ni terlalu jauh lari dari PAS ketika  di bawah pimpinan Fadzil Nor. Hanya PAS Kedah masih meneruskan wibawanya. PAS pusat sudah hilang taring. Malah para pemimpin PAS pusat juga tidak seiya sekata. Rakyat tertanya-tanya mengapa Dr. Harun Din lama membisu tanpa komen terhadap isu berkaitan 'Islam' selepas komentarnya secara peribadi/PAS tentang penggunaan 'kalimah ALLAH' oleh kristian seakan dipetiaiskan.Atau pihak media tidak lagi berminat untuk mendapatkan komen daripada beliau.Atau beliau sendiri sudah tidak berminat memberi komen.

Rabu, 23 Mei 2012

Terkilan

Saya tetap tegar dengan perjuangan 'melayu'. Apabila Encik Rosli Abdul Rahman seorang ahli parti politik Pas mengherdik saya tentang perbedaan melayu dan Islam. Saya cuba mengelak daripada memberi komentar. Hujahnya menjela-jela dan  lebih menghala kepada 'saya khilaf dalam perjuangan'. Dua tahun sudah berlalu. Hujah saya tidak pernah lari. Saya tidak peduli soal kepartian. Pada saya melayu itulah penting. Saya hujahkan bawa dalam keluarga saya ada 'PAS' dan ada "UMNO'. Saya berada di antara dua kelumpok tersebut.  Alhamdulillah, saya diterima seadanya. Islam agama saya. Hidup dan mati adalah Islam. Di Malaysia, untuk menjadi melayu dia mestilah Islam dan beradat resam melayu. Kita bukan bumiputra. Bumiputra berkemungkinan bukan Islam. Melayu dalam konteks perlembagaan persekutuan adalah Islam. Untuk itu terserah kepada kita untuk menjatidirikan diri kita dan anak isteri kita kepada pendidikan Islam tanpa anutan kepartian.

1984 dan tahun-taun berikutnya, semasa itu saya masih menjadi guru di STAR mergong, saya sedih kerana setiap tahun ramai penerima anugerah kecemerlangan adalah pelajar bukan melayu. Pelajar melayu berada dalam kelompok sebagai penerima hadiah dalam subjek Bahasa Melayu, Kesusanteraan Melayu, sejarah  dan Pendidikan Islam. Subjek matematik, sains, perdagangan, geografi, dan Bahasa Inggeris hampir saban tahun dimonopoli oleh pelajar bukan melayu. Mengapa hal begini berlaku.

Kemiskinan adalah punca utama. Anak melayu terpaksa berjuangan dalam kelompok kemiskinan. Kekurangan buku. Kekurangan sara persekolahan. Kekurangan motivasi. Kekurangan kesedaran hala tuju. Murid melayu sanggup buat apa sahaja tugasan untuk sesuap nasi. Baju dan kasut sekolah comot. Hanya memiliki  sepasang baju untuk hadir sesi persekolahannya. Persekitaran pembelajaran yang suram ketika di rumah. Kemudahan tempat belajar yang rata-rata hampir tiada sama sekali. Membaca dan telaah dengan beralaskan bantal. Melayu miskin. Untuk itulah perjuangan saya abadi dengan Melayu. Kejayaan melayu adalah kejayaan untuk Islam. Punah melayu maka kehancuranan akan menimpa umat Islam di Malaysia. Tetapi laluan perjalanan hidup kita kini mempamerkan perpecahan umat melayu. Kita seanutan dalam Islam tetapi kita bercerai berai sesama melayu.




Rabu, 16 Mei 2012

KAH! KAH! KAH! LUCUKAH?

Kadangkala sesuatu yang bukan lucupun tetapi menjadi lucu. Sekalipun kita tidak ketawa besar tetapi memadai jika kita sekadar tersenyum. Sepanjang minggu ini pekarangan luar rumah Ambiga Pengerusi Penganjur 'BERSIH' dikerumuni oleh pengunjung tanpa undang. Pastinya dia tidak senang hati. Emosi biasa bagi sesiapapun yang berfikiran normal.Terasa diganggu. Terasa kusut dengan laungan. Rimas dengan jeritan dan paparan poster. Berbalau dengan slogan yang tidak enak dipandang.

Apa yang lucunya?  Lucunya sekadar melayani komen Ambiga. katanya " hak kebebasan peribadi indivudunya diganggu" . termasuk juga jiran-jirannya. Betul. Tepat. Kah, kah, kah. Bagaimana pula agaknya ketika Ambiga menganjurkan demontrasi BERSIH tempuh hari. Adakah ia tidak mengganggu hak kebebasan individu lain? Hak para peniaga kecil. Hak para pelancung. Hak para pelanggan. Hak pemandu. Adakah hak itu hanya untuk Ambiga dan kuncu-kuncunya sahaja. Orang lain tidak berhak di Malaysia. 

Bagaimana agaknya rasa di lubuh hati Tukang Sapu, penyiram pokok, juru landskap DBKL. Doktor dan jururawat yang bertugas. Bagaimana perasaan penanam pokok yang melihat pohon suburnya bergerigih dan terpongkas. Ambiga. Rasailah sedikit waktu yang dicuri dan diganggu berbanding dengan waktu-waktu yang selama ini dikorbankan oleh orang lain untuk anda gunakan. Rasailah ketakutan dan betapa cemasnya  sebagaimana orang lain merasainya ketika demontrasi anda.

Manusia hanya akan insaf jika dia tahu bahawa noktah itu telah ditintakan kepadanya. Huraian dan hujah ditutup. Suara enggan didengari. Hormat telah hilang. Hari yang dilalui menjadi terlalu panjang. Lebih malang jika ketawa herdik dan sinis tidak dapat dibezakan dengan ketawa ria.

Isnin, 14 Mei 2012

Ibuku


Dialah segalanya. Hanya dialah satu-satunya. 90 tahun dahulu. Dialah yang mengasihi. Dialah pendorong. Dialah penyabar. Dialah juru masak. Dialah juru bimbing. Dialah juru belai. Dialah pelindung. Dialah yang menghulur. Dialah yang berkorban. Dialah yang mengesat air mata kami.

Di matanya ada rahsia liku perjalanan sukar kami. Di dadanya tersimpan tabah kemiskinan silam. Gerutu tangannya adalah kegigihan mencakar rezeki. Dewasanya dipekap setia seorang isteri. Wajahnya berkongsi bahagia. Renung tajamnya adalah pasrah. Itulah ibuku.

Usianya dikejar senja, namun hatinya basah dengan doa. Ketar kakinya adalah pengukur kembara jauh. Jenuhnya pengalaman mengusung beban asuh. Lidahnya mendodoi restu. Giginya mengunyah baki akhir habuan anak-anak. Hartanya berbedak rata.

Ibu! moga  pinggan retak tidak kami hidangkan untukmu. Jika suapan tersalah jari, jika air tersalah cangkir dan jika tidurmu tersalah tilam, alas lenamu tersalah bantal maka maafkanlah kami.

Hangat ciuman masih di pipi. Lembut salammu masih di jari. Ampuk ribaanmu masih menjadi mimpi seri tertusuk di hati ini.  Ibuku. Selamanya kasih dan sayangku untukmu.

Isnin, 7 Mei 2012

Bersih Tidak Kelihatan Bersih.

Lama meninggalkan isu sosio-politik di tanah air. Terpanggil jua akhirnya untuk tumpang mencelah prihal 'BERSIH'. Isu pokoknya sama. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Saya awal-awal lagi menyebelahi kumpulan kedua. Menentang. Lebih banyak rugi daripada untung. Yang membelasah Melayu dan yang kena belasah pun Melayu. Perang saudara kecil-kecilan telah mula merebak. Saya kira tiada masalah pun berkaitan dengan isu berkaitan daftar pilihanraya. Benarkah ada pengundi hantu. Jika ada, jangan kita humbankan masalah hantu-hantu itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya semata-mata. Berapa orang sangat yang bertugas di SPR yang mampu membersihkan daftar yang dikatakan hantu-hantu di seluruh negara. Benar atau tidak wujudnya hantu-hantu yang diwar-warkan itu pun belum tentu sohih.

Pada hemat saya petugas-petugas politik dan agen-agen politik boleh berperanan menjadi penyemak. Bukan pencacai.Apabila senarai daftar pemilih dipamerkan oleh SPR maka agen dan petugas bagi setiap parti politik harus berperanan. Di desa-desa, di taman-taman di seluruh negara  ada ketua cawangan kepartian. Beri peranan kepada mereka menjadi petugas atau agen penyemak daftar. Kiranya tidak wujud nama tersebut maka buat aduan kepada SPR  dan kepada Polis. Ajak pegawai SPR turun padang. Siasat. Maklumkan juga senarai hantu-hantu itu untuk maklumat kepada parti lawan supaya kerja buat yang salah itu dikantoikan. Juga supaya senarai yang dikatakan hantu-hantu itu boleh disahkan bukan hantu tetapi pendaftar yang benar-benar wujud. Jangan jadi Wan Ahmad Wan Omar peniaga gerai makan dikatakan Wan Ahmad Wan Omar SPR.

Demikian juga dengan isu pemindahan tempat mengundi. Dapatkan maklumat terperinci. Kita ada kemudahan ict, maka kita boleh menyemak lokasi kawasan mengundi kita. Apa yang menjadi isu sangat. Individu yang berkenaan mestilah menjadi penyemak. Jangan menyalak ketika daftar pemilih dimuktamatkan. Diwartakan dan hari mengundi diistiharkan. Yang salah kita. Bukan SPR. 

'BERSIH' berbaur politik. Demontrasi aman sudah tidak menjadi aman seperti dijangka. Sangat kotor. Tuduh menuduh berlaku seperti diramal. Tidak ada demontrasi maka tidak ada petugas. Tidak ada Polis. Dan polis bukan patung-patung yang tiada perasaan apabila ada cetusan, ejekan, makian, cercaan. Polis juga bukan pondan yang berdiri diam untuk ditertawakan. Tugas tetap tugas. Perintah mesti dipatuhi. Mana mungkin pegawai awam mengingkari perintah. Sebenarnya kita menyemai kebencian untuk mendapat sokongan yang sedikit. Kita gembira memukat ikan yang galak tetapi kita lupa thunami yang bakal melanda.


Selasa, 10 April 2012

Wayang Pacak

Wayang pacak, pesta ghazal parti dan sarkas adalah tiga sumber hiburan orang kampung sekitar tahun 1960'an dan 70'an. Kejahilan waktu itu adalah lumrah. Bukan sahaja berpakaian mendedahkan aurat malah tarian separuh bogelpun halal dan ditontoni tanpa tikai.

Wayang pacak.
Sejak jam dua petang Jabatan Penerangan akan merayap ke segenap sudut kampung dengan pembesar suaranya untuk mewar-warkan pesta yang bakal diadakan. Apalagi para ibu bapa akan sebok menyediakan juadah makan malam lebih awal untuk keluarga agar tidak terlepas bagi menyaksikan Wayang Pacak. Penjana elekrik dipasang. Tempat tayangan disinari lampu. Layar putih 'pasang siap' akan dipacak lebih awal sebagai iklan dan promosi.

Jam 6 petang kanak-kanak, remaja dan dewasa telah bersusun di depan layar. Lagu Ar Azmi, P.Ramli akan berkumandang tanpa menghiraukankan waktu solat magrib. Malah tiada sesiapapun membantah. Apabila wayang bermula maka akan disambut dengan sorakan meriah. 45 minit berlalu wayang akan di hentikan. Jurucakap Jabatan Penerangan akan mengambil alih untuk menyampaikan apa-apa propaganda kerajaan. 30 minit waktu di ambil untuk sisi itu. Penonton tidak berganjak. Waktu itu PAS masih di anak tangga terbawah. Segalanya diterima dengan hati terbuka tanpa mempertikaikan aliran politik. Bersatu. Waktu itu juga tidak ada hukum halal atau haram. Hampir semuanya di takok kejahilan.

kita sambung kesah ghazal parti di entri berikutnya.

Isnin, 2 April 2012

Melayu Mudah Lupa

Kedaulatan Bahasa Melayu di Mana

DAP dan kuncu-kuncu sudah masak dengan perangai Melayu. Menyalak setakat sehari dua. Lama kelamaan akan terdiam. Kerana watak melayu itu sudah amat dikenali dan difahami, maka budaya pekak badak di kalangan pemikir DAP dan kuncu-kuncunya bergerak selari degan budaya hangat-hangat tahi ayam orang melayu. Akhirnya melayu terdiam. paling lama, sebulan, dua bulan atau tiga bulan. Pokoknya akan senyap sunyi kemudian. Melayu mudah lupa.

Ketika Guan Eng ambil alih Pulau Pinang apa dia buat terhadap Tulisan jawi. Geng DAP kafir harbi inilah yang mempertikaikan Azan. Siapa yang mati-matian cuba melenyapkan Utusan Melayu. Tambah padah ada pencacai melayu yang tumpang sekaki dan gagal menitip segala yang tersirat ke arah memecah belahkan bangsa sendiri. Diusik dan diacahnya kedaulatan raja-raja. Negeraku dipermainkan. Bahasa Melayu tidak mahu didaulatkan. Bahasa mandarin diperjuangkan. Saya geram sama seperti geramnya hati ini pada 1969.

Rabu, 28 Mac 2012

Zong Dhong = DAP

Gemitan PRU-13 semakin jelas kelihatan. Kali ini saya ingin tumpang sekaki. Isu sekolah cina dan kumpulan pendidik Cina 'Dong Zhong'. Sekalipun saya dituduh resis, saya peduli apa. Terlalu banyak tuntutan Dong Zhong untuk sekolah cina dan masyarakat cina kepada kerajaan. Biasanya tuntutan itu bergema menjelang pilihanraya. Setuju atau tidak maka kerajaan kelihatan terdorong untuk bersetuju. Tiada pilihan demi undi masyarakat cina. TETAPI saya selamanya tetap ragu bahawa harapan itu sama seperti 'kita berdiri ditepi pantai agar gelombang tidak membadai'.

Sejak lama Zong Dhong memperjuangkan sekolah Cina dan bukan untuk guru melayu, malah bukan juga untuk masyarakat majmuk. Untuk mengajar bahasa melayupun mereka meminta agar diajar oleh guru-guru cina. Demikianlah mereka. Kita 'melayu' bertolak ansor. Selamanya kita ditolak dan kita beransor. Peristiwa Sekolah Wawasan Taman Aman, Anak Bukit tidak disertai sekolah cina kerana tentangan dan hasutan mereka. Termasuk parti DAP. Para pemimpin DAP berkampung untuk menghasut masyarakat cina agar SJK (C) Soon Jian tidak berpindah. Konon kerajaan ingin memelayukan sekolah jenis kebangsaan. Yang patuh cuma SJK (T) Thiruvalluar. Apabila SJK (C) Pumpung diarah berpindah untuk menumpang di Sekolah Wawasan maka tiada pula suara-suara sumbang bermotifkan penentangan. Senyap sunyi. Mungkin perpindahan itu pada kategori sementara.

Zong Dhong memperjuangkan 'guru-guru tanpa menguasai bahasa Mandarin' tidak layak menjawat jawatan naik pangkat di SJK Cina. Maknanya guru melayu tidak layak untuk ditempatkan dan menjawat jawatan naik pangkat di SJKC. Namun mereka sebaliknya layak untuk menjawat apa-apa jawatan tanpa apa-apa syarat untuk menjawat jawatan-jawatan itu di sekolah kebangsaan. Tidak hairanlah jika masih kedapatan sehingga negara merdeka ke-57 pun masih ada masyarkat cina yang jahil berbahasa melayu.

Lim Kiat Siang adalah salah seorang pemimpin yang terlibat dalam cetusan 13 mei 1969. Api perkaumannya terus membara. Dalam kes SJK (C) Soon Jian dia turun padang. Peristiwa itu menyebabkan Pengerusi MCA Anak Bukit meletak jawatan. Sekarang apa sudah jadi. Adakah orang cina akan mengundi MCA. Kita tunggu PRU-13 bagaimana orang cina mencaturi politik orang melayu. Akhir kalam saya sekadar bertanya 'masih adakah pemadam yang dapat memudarkan tulisan dan lukisan di hati serta di minda saya ini".

Selasa, 6 Mac 2012

Sidang Petaka

Sungai tenang
tebing berlumpur
sang buaya bersidang
pantai damai
laut berombak
penyu mendarat
mengheret dadanya di pasir
di muara keroh
buaya dan penyu bersidang
pinta kura-kura
sembunyikan kepala
ketika buaya berundur
penyu selesai bertelur
kura-kura kehilangan muara
surut sungai
laut kehilangan ombak
pantai kehilangan tebing
sungai tanpa bahtera

Selasa, 28 Februari 2012

Bahasa Inggeris Di Sekolah

Telah berdekat-dekat kita berbincang dan berseminar untuk merealisasikan Pengajaran bahasa Inggeris secara berkesan di sekolah. Mengapa penguasaan Bahasa Inggeris bagi murid di sekolah-sekolah gagal. Peratus menguasainya rendah. Tersangat rendah. Pemerhatian dan kaji selidik mengikut data sekolah lumrahnya bagus. Namun di pasaran terbuka nyata terlalu ramai yang tidak dapat menguasai bahasa kedua ini.

Kementerian Pelajaran masih di takah lama. Tercari-cari. Sebenarnya terbentang luas kaedah dan program untuk mengatasinya. Sehingga kini penempatan guru opsyen bahasa inggeris ke semua sekolah tidak mampu dipenuhi. Secara bodohnya kita boleh bertanya adakah akan berjaya murid melayu di luar bandar misalnya di ajar oleh guru yang rata-rata penguasaan bahasa inggerisnya lintang pukang. Guru-guru tersebut sememangnya berjaya untuk mengajar bagi meluluskan para pelajar tetapi para pelajar yang dididiknya itu tidak menguasai. Belajar untuk lulus dengan belajar untuk menguasai adalah dua misi yang berbeza. Selagi penempatan guru bahasa inggeris gagal di atasi maka sekagi itu kita akan berdepan dengan kegagalan.

Puluhan tahun kita berbicara hal yang sama. Selidiklah ke sekolah maka kita akan bertemu dengan jawapan yang serupa. Kekurangan guru bahasa inggeris. Di sinilah letaknya lubang dan kubang yang mesti ditimbus. Saya kadang kala bengong, apakah kita mesti merungut berpuluh tahun lagi. Lagi dan lagi. Kenapa kementerian Pelajaran tidak melatih guru di Institiut Perguruan dengan mewajibkan setiap guru pelatihnya mengambil Subjek Bahasa Inggeris sebagai opsyen wajib. Bahasa Inggeris dan sains. Bahasa Inggeris dan matematik, Bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup. Dan sebagainya. Jika calon-calon itu tidak lulus maka mereka jangan disingkirkan tetapi dilanjutkan latihan hingga mahir. Biarpun terpaksa di latih selama empat, lima atau enam tahun. Tahun akhir biarlah mereka berkuliah dan berkomunikasi dalam bahasa inggeris.

Jawapan yang lumrah bagi mengelak dipersalahkan ialah " tiada calon yang layak atau tiada calon yang memohon". Karut. Calon guru diambil biarlah yang kurang cemerlang dalam bahasa inggeris. Tetapi mereka dilatih. Dilatih dan dilatih. Insyaallah kita akan memperolehi hasilnya. Bagi guru pelatih yang gagal di tahun-tahun tambahan pengajiannya bolehlah di alih ke opsyen lain. Mungkin kes-kes seperti itu cuma satu dalam seribu. Satu hari nanti biarlah semua guru di sekolah adalah guru bahasa Inggeris. Apapun hajat kita namun Bahasa Melayu janganlah pula dikesampingkan. Jika kita mengabaikan perancangan memertabatkan bahasa melayu maka kita akan menjadi parah jika tersasar dan terlewat bertindak. Pinjam slogan DS Najib " Bahasa Melayu didahulukan, bahasa inggeris diutamakan".

Selasa, 21 Februari 2012

Langkawi 2.

Indahnya bumi kita. Itu detikan hati. Bangga merak. Telah berulang kali saya ke Langkawi. Bagai sebati dengan takah-takah pembangunan yang digapai. Pekan kuah berubah wajah. Lautnya kebanjiran ferry dan kapal layar. Kenderaan darat kian bertali arus. Puncak Mat Chencang sudah bergayutan kereta kabel. Panorama sudah berupaya tertumpu ke sempadan Thailand. Pulau pulauan biru kehijauan setumpuk setumpuk memukau. Indahnya bumiku.

Kesempatan kali ini saya dapat belayar dari pulau ke pulau. Anugerah Allah sukar ditelah. Bukit bukau batu kapur bergerigis. Beraneka bentuk. Khazanah alam semulajadi yang sukar dicari dan ditempah. Gah. Batu batan yang berusia jutaan tahun boleh diraba dan diinjak-injak dengan bangga. Indahnya bumiku.

Langkawi oh Langkawi

Diulik kebanggaan yang meresap hingga ke dasar ulu hati tiba-tiba airmata bagai menebar tebing. Bergenangan. Khazanah berharga ini bagai tidak lagi dihargai. Tidak dipedulikan. Hati dan budi calar dan berkarat. Kotor. Di Pulau Beras Basah dengan khazanah rimbanya yang terpelihara dan dikunjungi ribuan pelancong dalam dan luar negara kian menyayat. Apa tidaknya. Sikap buruk bagai tanpa asuhan dan didikan menampil para pengunjung pulau indah ini tidak lagi menjadi manusia penyayang. Sebaliknya rakus, pengotor dan menjijikkan. Kiranya monyet yang menjadi penghuni tegar di Pulau itu berupaya berpidato maka maruah kita sebagai sang manusia yang dianugerahi akal dan sebaik-baik kejadian akan terhina.

Jagailah khazanah kita. Jangan biarkan sampah bertebaran. Kotor dan jijik. Sediakan seadanya tong-tong sampah. Sediakan petugas bergaji. Bersihlah pulau kita. Maruah bangsa dan negara ada pada setiap helaian sampah dan pepejal yang tidak terurus itu. Kita sering mengharapkan keuntungan segera tetapi kita lupa jajaan maki hamun dan gelengan betapa tidak bertamadunnya kita mengurus khazanah-khazanah yang bernilai. Dengan bahasa paling mudah dan malu saya katakan "Pulau Beras Basah amat kotor dengan sampah sarap". Dara sunti berhiaskan arang.


Jika sang monyet rela memungut sampah, maafkan saya kerana terasa hiba menjadi pengunjungnya kali ini.



Rabu, 8 Februari 2012

MADA

Sesiapapun akan menjadi marah apabila kata-kata ini dihemburkan "makan gaji buta". MADA oh MADA. Kalau di negara Jepun dan Thailand para pegawai pertaniannya akan berdamping dengan para petani untuk penyelesaian masalah. Di Malaysia para petani didampingi apabila menteri turun padang. Segala jalan dibaiki. segla pokok dijagai. dibajai. Macam lebah mengumpul madu. Bertumpang tindih berasak membantu. Segalanya dirapikan. Menteri pulang dengan bangganya. Padi mersik. Tangkal panjang. Pokok subur. Kawasan tebing taliair terjaga. Rumput rapi terpotong. Segala data tersurat.

Hakikatnya tidak benar. Ada sampah disorok di bawah tikar. Gondang Emas masih tidak terkawal. Padi angin semakin subur. Sambau masih menggila. Terkini ulat kerbau menyerang. Itu belum ambil kira tentang sistem pengagihan air. Kalau kering tidak siapa peduli. Ia akan diambil tindakan apabila para petani serang pejabat cawangan. Itupun kalau ada petani yang mempunyai watak agrisif. Jika tidak, padi akan layu terkulai. Tenah merekah. Jika ada sawah terbiar tidak ditanam maka ia akan terbiar ditumbuhi menerung. Misai keli. Akan bertambah-tambah masalah jika dicampur pula dengan tikus dan memerang. Siapa peduli.

Di Jepun. Di Thailand dan di Taiwan mengapa ia terurus. Mengapa? Setidak-tidaknya para petani dibawa ke Tanjung Karang melihat bagaimana sawah diurus. Noh Omar! jangan percaya sangat dengan data dan omongan pegawai MADA. Gunakan 1 hari dalam setahun untuk tinjau masalah sebenar di sawah-sawah. Tanya petani bukan tanya pegawai. Saya bukan lagi marah tetapi meradang kerana gondang emas sudah lebih belasan tahun bermaharaja di sawah masih tetap menjadi pemerintah tegar. Padi angin terus menjadi penipu kerana pohonnya subur tetapi buah hampas.





Selasa, 31 Januari 2012

Langkawi 1.


Sempena Cuti Tahun Baru Cina 22,23, & 24 Januari 2012 saya sekeluarga tumpang bercuti. Yong semua anak menantu. Jeti Kuala Kedah padat dan sesak sejak awal pagi. Tempat letak kereta berlaba RM 5.00 daripada RM 15.00 sehari kepada RM 20.00. Sewa kereta juga bertokok. Kira kaut dan raih keuntungan. Bila lagi? Ketika ikan banyak kita pasang bubu di pintu air. Jenuh. Ketika kita mampu maka kita tidak merungut kerana kita berkeinginan. Kita hanya merungut jauh di sudut hati. Maka di kala itulah kita mula hendak menunding jari. Salah diri sendiri tetap kita sisihkan ke tepi.

Langkawi O langkawi.

Tahun 1970 saya ke langkawi menaiki bot ikan. Tambang seingat-ingat sekitar empat ringgit sahaja. Tumpangkan basikal dengan tambang tambahan RM3.00. Sekarang tambangnya sudah menokok kepada RM 23.00. Masih dikategorikan sebagai mampu bayar. Dulu, untuk ke makam mahsyuri kita perlu berbasikal. Kenderaan tidak ada. Kalau adapun cuma milik pegawai kerajaan. Jeti ke Langkawi terletak di Pekan China Alor Star. Di Tanjung Chali. Ketika itu Ampang Jajar belum dibena.

Dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi kita menaiki feri. Bot. Nasib saya dan isteri kurang baik kerana memperolehi feri yang pada hemat saya memalukan. Memalukan saya sebagai anak jati Kedah. Perjalanan ini hanya mengambil masa selama lebih kurang satu setengah jam sahaja tetapi Feri yang saya naiki amat memalukan. Luarannya kelihatan segak. Tandasnya masyaallah. Bukan sahaja kotor tetapi mangkuk tandasnya pecah bertampalkan simen putih. Permukaannya dicat dengan warna kopi susu. Saya bayangkan betapa bahayanya kepada para pengguna. Biaya menggantikan mangkuk tandas itu tidaklah memerlukan jumlah peruntukan yang besar namun diabaikan. Tunggu sehingga punggung tersula barulah ia akan diganti.

Apakah kerana sisa komohan di lepaskan terus ke laut maka ciri-ciri kebersihan langsung tidak diselenggara sebaiknya. Kotor. Berdaki. Berbau. Bertitik tolak dari situasi ini saya mula merepek. Apakah tidak ada penguat kuasa yang bertanggungjawab. Mana pegawai Kesihatan? Mana pegawai Jabatan Laut?. Mana penyelia Feri?. Mana pengusaha feri? Mana petugas-petugas feri?. Mana pegawai kementerian? Mana? mana? mana? Akhirnya mana Exco kerajaan yang bertanggungjawab untuk sekadar menjengok operasi pelancongan negeri.

Kita tidak pernah merasa malu kepada para pelancong luar negara dengan kemudahan yang tersangat lekeh dan jijik. Ekoran daripada bebehan saya itu maka minda kotor mata liar inipun menojah ke serata sudut. Cukupkah Jeket keselamatan untuk setiap penumpang. Pintu-pintu kecemasan adakah diperiksa. Mengapa tidak dipaparkan jumlah maksimum penumpang yang dibenarkan. Mengapa tidak dibuat pengumuman siapa nakhoda, siapa petugas? jangkaan ketibaan ke destinasi, dan jumlah penumpang di dalam feri. Penumpang juga berhak diberi tunjuk ajar menggunakan jeket. Semuanya diabai dan diambil ringan.


Saya belum sampai ke Langkawi. Masih mengomel di dalam feri.


Jumaat, 13 Januari 2012

Mencari Bahagia

BOOM! Demikianlah himpunan dan demontrasi yang mendapat jaminan 'aman'. Himpunan dan demontrasi yang pada hemat saya sangat tidak perlu. Tiada logikanya kepada sesiapapun, dihimpun diberi liputan media secara berlebihan untuk mengheret rakyat yang kemudiaannya dibom. Nah! siapa ingin mengaku? Paling tidak kita akan saling menuding jari kepada sesiapa sahaja yang tidak secucuk dengan kita. Kita kemukakan pelbagai alasan agar kita tidak kelihatan terbabit dalam tragedi itu. PDRM tercalar lagi. Pertama kerana terlalu percaya kepada kepala demontrasi. Kedua kerana tidak dapat menghidu kemungkinan. Alih-alih kemungkinan itu dihala kepada PDRM. Dituduh sebagai dalang. Malang sekali. Akan bergemalah "harapkan pagar, pagar makan padi". Penjenayah tidur lena, PDRM bersengkang mata. Bak anugerah bunga kepada kera. Kelopak dighonyeh, wanginya terhidu tetapi menjadi bahan ketawa.

Pelbagai tata kelakuan yang dapat kita tonton dalam pelbagai situasi ketika demontrasi jalanan itu. Ada seperti 'kera termakan belacan'. Ada yang terkinja-kinja seperti pelanduk ditingkah rentak. Laungan tak berdinding, kata tak bertapis, hamun tidak berlapik. Padahnya kita simpan menjadi dendam untuk kelak dibuka gelanggang untuk kita bersanggang. 'Kita' itu siapa?

Kita menjadi lebih sakit hati jika kita menjadi pembaca tegar. Hati tidak lagi tenteram. Sentiasa terusik. Kiranya telahan saya salah maka bacalah, Utusan Malaysia kemudian baca pula Harakah. Baca Keadilah kemudian baca Berita Harian. Baca Star. Kalau ada kemahiran lebih bacalah Nang Yang Siang Pau. Kiranya kita berasa lega kerana kita tegar membaca maka itu sekaligus membawa erti bahawa kita bahagia hidup di Malaysia.

Isnin, 9 Januari 2012

Ada Menang Ada Kalah

Biasalah!

Bezanya cuma:

Yang menang sukacita. Yang kalah dukacita.
Yang menang ceria, Yang kalah koro
Yang menang dabik dada, yang kalah urut dada
yang menang rasa lega, yang kalah rasa gulana
yang menang bersorak, yang kalah memekak.

Persamaan

Yang menang tidur tak lena, yang kalah tidur tak mau lena
yang menang menghitung rugi, yang kalah mengaku rugi
yang menang menghebah hujah, yang kalah menghoboh hujah
yang menang mencatat sejarah, yang kalah menjadi sejarah

Di luar kotak persamaan dan perbezaan

Menang jadi arang, kalah jadi abu