Isnin, 17 Mei 2010

Kenderaan Generasi Baru

Untuk meninggalkan warisan alam agar kekal hijau. Bersih. Nyaman. Basikal berkuasa bateri ini mampu milik. Tanpa cukai jalan. Tanpa insuran. Tanpa bunyi. Jika kehabisan kuasa, maka berkayuhlah. Sesuai untuk guru yang terpaksa berjalan jauh dari satu blok bangunan ke satu blok lain. Lebih sesuai untuk siswa siswi yang tinggal dalam kampus berulang alik ke kuliah.

Sabtu, 15 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Istimewa untuk guru-guru:

SK Sri Gunung
SK Alor Besar
SK Dato Wan Mohd. Saman
SK Kuala Kedah
SMK Tunku Abdul Rahman

Khas untuk sahabat seluruh negara.

Sabtu, 8 Mei 2010

Rindu Ibu di Hari Ibu

Ibuku mungkin tidak sedar tentang 'Hari Ibu'. Tidak ada dalam memorinya. Jika ada ucapan daripada anak-anak, cucu-cucu atau cicit-cicit, dia mungkin terpinga-pinga. Tersenyum. Paling tidak dia akan kata "awat ni?". Maksudnya 'ada apa hal?'. Dalam kamus hidupnya tidak ada istilah ''Hari Ibu'.

Entri ini juga tidak mungkin dia akan membacanya. Rutin hariannya hanya membaca al-Quran dan Solat. Jika ada kekuatan dia akan berpuasa. Itupun jarang-jarang dapat dilakukan kerana terpaksa menelan ubat mengikut waktu atas nasihat doktor. Ibu cukup patuh. Dia ada raga ubat sendiri yang akan diarak ke mana sahaja dia pergi dan berada.

Ibu sudah di takah terakhir. Dia meneruskan sisa-sisa hidupnya dengan redha. Hidup matinya hanya untuk Allah 'Azzawajalla. Selebihnya menumpang bahagia anak-anak. Tidak lebih dan tidak kurang. Walaupun di mana dia berada, dia amat bahagia jika dihubungi oleh anak-anaknya. Suara cerianya jelas. Dia akan mengadu jika ada di antara kami tidak menghubunginya dalam jarak waktu yang lama. Lama dalam waktu lebih daripada seminggu.

Apabila mengadu suara ibu pasti tersisip kepiluan. Sebagai anak lelaki yang menjadi tempat dia menitip rasa hati, saya terpaksa menjadi kaunselor. Melerai rasa sedih. Membawa dia lari dari topik-topik kesedihan. Membicarakan hal-hal yang menjadi kesukaannya. Dia pasti ceria apabila dikhabar tentang kejayaan anak cucu cicitnya. Tentang kepulangan cucu cicit yang jauh di perantauan ke Teratak Kasih. Tentang sawah. Tentang kebun. Khabar tentang anak-anak saudara yang berkunjung. Yang bertanya khabar. Yang menyampai salam. Hanya ibuku satu-satunya waris yang masih ada. Semua saudara-saudaranya telah pergi mendahuluinya.

Seminggu lalu dia pulang ke Teratak Kasih. Kami sempat ke pusara ayah. Sempat bermalam di semua rumah anaknya. Saya pasti dia tentu gembira kerana dilayan oleh anak menantu. Cucu-cucu. Cicit-cicit. Kegembiraan itu amat mudah dikesan. Dari senyuman. Keriangan. Keceriaan. Dan dari bual bicara yang penuh dengan seloka dan ketawa. Pesanannya juga disulami dengan nasihat penuh padat.

Untuk Ibu. Moga terus memperolehi nikmat sihat. Hanya kasih sayang dapat saya hadiahkan untukmu. Halalkan makan minum saya. Halalkan segala baktimu yang takkan terbayar. Terima kasih kerana sudi mendidik saya. Terima kasih kerana ibu masih sayangkan saya seperti dulu dan tidak sedikitpun kekurangannya hingga kini. 'Selamat Hari Ibu', ibuku.