Rabu, 23 April 2008

SK SRI GUNONG ALOR SETAR 2007

SK SRI GUNONG, ALOR SETAR 2007

SK SRI GUNONG, ALOR SETAR 2007

SK SRI GUNONG, ALOR SETAR 2007

SK SRI GUNONG, ALOR SETAR 2007

SK SRI GUNONG, ALOR SETAR 2007

Bila Hujan Turun

Kiranya lebat hujan itu adalah air mata
Bagaimana akan kau hitung untuk kau takunginya
Kiranya kilau kilat direkahkan oleh gugur guntur
Bagaimana akan kau tampal untuk mengalasi darah lukanya
Kiranya banjir melimpahi sebak dada yang tersula
Bagaimana akan kau tambak menjadi benteng rianya
Kiranya sungai mengalir longlai merendamkan duka
Bagaimana akan kau ampangi laluan derita dan laranya.


Akankah kita hanya pasrah, dan menadah dalam gundah.

Alor Star

22.04.08 20:22: 11

Pinggan Bunga Raya

Pulang ke kampung untuk mencari Pinggan Bunga Larak tidak berhasil. Namun saya berjaya juga menemui Pinggan Bunga Raya buatan England. Pinggan ini juga merupakan pinggan warisan. Ia jarang lagi ditemui. Ia bolehlah dikategorikan sebagai khazanah seramik sebelum dan awal kemerdekaan Malaya. Dikeluarkan dalam pelbagai saiz dan bentuk. Piring, mangkuk, pinggan dalam, pinggan leper dan pinggan tambah.

Semasa usia saya dalam lingkungan 4, 5 dan 6 tahun, pinggan ini amat lumrah digunakan. Dalam upacara kenduri arwah atau kenduri kahwin , semua makanan dihidangkan dengan pinggan mangkuk buatan England. Pinggan mangkuk buatan Negara China juga digunakan tetapi 'Made in England' dan 'Made in USA' adalah jenama pada penanda aras yang berkualiti, mewah dan tersendiri. Ia biasanya dimiliki oleh keluarga orang yang berada sahaja. Saya sekeluarga hanya mewarisi khazanah ini daripada nenek.

Isnin, 21 April 2008

Seterika Arang

Memang seterika seperti ini masih mudah didapati. Yang penting saya masih mewarisi seterika yang saya dan kakak gunakan pada tahun-tahun 60-an dan di awal-awal tahun 70-an. Sekiranya ketiadaan arang kami akan bakar tempurung untuk memanaskannya. Sebelum seterika ini digosok ke kain ia perlu ditekap ke daun pisang. Mengapa? Saya juga sering bertanya tetapi jawapannya tetap sama iaitu... Mengapa?

Saya tidak tahu apakah khazanah ini akan dihargai oleh anak-anak saya. Tiada kenangan apa-apa pun untuk menusuk rasa jerih perih kehidupan masa silam ibu bapa mereka untuk dikongsi bersama. Tiada. Mereka hadir dalam serba ada. Ke sekolah dengan kereta. Lampu elektrik, air siap terpasang dalam rumah. Bilik air berlantai dan berdindingkan jubin. Masa awal kemerdekaan mana ada bilik air. Mandi sungai. Mereka tidak pernah alami suasana sebegitu.

Baju dan seluar sekolah kami mesti berkanji dan bernila. Jika tidak, kita akan dianggap seperti terlalu ulu. 'kekampungan'. Pada masa itu, mana ada budak kampung yang berbangga dengan kampungnya. Sebab utama ialah kemiskinan dan tanpa apa-apa kemudahan.

Seluar dan baju berkanji mesti diseterika sehingga lendit. berkilat. 'Sais' mesti terpacak. Mesti jaga hingga balik sekolah. Duduk mesti tertib supaya 'sais' tidak patah.

Demikianlah pelajar remaja masa itu. Kadang-kadang saya terfikir mungkin inilah salah satu sebab mengapa pelajar dahulu patuh dan berdisiplin ketika memperagakan pakaian sekolah. Kemas. Rapi. Cuma bezanya yang berseluar pendek agak terpendek manakala yang berseluar panjang terlalu sendat. Pelajar wanitanya.., Kahkahkehkeh.. Mana 'adanya' baju kurung, apalagi bertudung. Jahil betul kami pada masa itu. Semoga kejahilan kami diampuni Allah.

Cepu

Cepu biasanya adalah cenderamata yang dibawa balik oleh jemaah haji dari Mekah pada tahun-tahun 60-an sebagai buah tangan untuk keluarga terdekat. Di rumah tua kami terdapat dua buah cepu seperti ini. Semasa bersekolah di SK Kg Gelam, dalam darjah satu , dua dan tiga, saya membawa bekalan makanan dengan cepu ini. Biasanya nasi dengan berlaukkan ikan sepat ronggeng kering.

Sotong kering masak pedas berkacang juga kerap terperap dalam cepu ini yang saya bawa untuk jualan kepada rakan-rakan di sepanjang perjalanan ke sekolah. Seingat saya, ia amat laris. Memang ibu saya pandai memasak. Sepotong hanya 5 sen sahaja. Jika cepu ini digunakan untuk mengisi sotong, maka makanan untuk bekalan saya ke sekolah tentulah berbungkus daun pisang berlayur.

Periuk Cekak Tembaga

Masa kecil, saya pernah melihat ibu saya memasak menggunakan periuk cekak tembaga ini. Bagaimanapun saya tidak ingat entah bila pula periuk ini tidak lagi berasap di atas dapur kayu rumah tua kami. Amat sayang, ia agak cacat sedikit kerana kereputan yang tidak upaya saya rawat. Kecacatan yang sedikit itu sama sekali tidak mengurangkan rasa gembira saya.
Saya kesal kerana lewat untuk bertindak bagi menyimpan khazanah berharga ini. Ia adalah warisan moyang saya yang secara tradisinya akan mengagihkan pinggan mangkuk kepada anak cucu apabila mereka mula tinggal berasingan. Saya masih tercari-cari pinggan bunga larak yang ibu saya hadiahi semasa saya berpindah untuk tinggal berasingan dahulu. Pinggan itu di mana ya?

Sabtu, 19 April 2008

Lambaian Kenangan 4

Pelita Minyak Tanah
Persaraan memberi ruang kepada saya untuk mengimbau kembali masa silam saya tahun-tahun 60-an. Pulang ke 'rumah tua' kami, saya tercari-cari apa sahaja yang memungkinkan saya memperolehi khazanah yang pada saya amat bernilai. Saya tersenyum puas apabila berjaya memperoleh sebuah 'Lampu Minyak Tanah' yang masih elok. Sehari suntuk saya membuat kerja baik pulih. Akhirnya lampu yang menjadi teman setia ketika saya belajar dahulu dapat berfungsi.

Unsur Kesenian Islam

Khamis, 17 April 2008

Pulau Barang Belanda

IMAM ASY-SYAFII

Nama Imam Syafi’i sebenarnya ialah Muhammad bin Idris. Imam Jalaluddin As-Sayuti yang juga dikenali dengan Imam Al-Sayuti, menyenaraikan dalam kitabnya ‘Tuhfatul Muhtadin Bi Akhbar Al Mujaddidin’ tiga tokoh yang digelar sabagai ‘Mujaddidin’. Ikut Kamus Arab bermaksud ‘Pembaharu”. Merka terdiri daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Imam Syafi’i dan Iman ibnu Suraij. Pemilihan Iman Al- Sayuti itu dibuat berasaskan kepada Hadis Rasulullah S.A.W yang marhumnya: pada setiap seratus tahun, Allah membangkitkan seorang mujaddid daripada keturunanku yang akan membaharui keadfaan umatnya dalam hal agamanya. Imam Ahmad bin Hanbal dalam riwayatnya menyebut Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i sebagai Mujaddid dengan penuh yakin.

Peranan Ibu dan Kesannya kepada Pendidikan Anak:

Imam Syafi’i meriwayatkan bahawa ibunya adalah pendorong utama dalam usaha beliau mengejar ilmu. Keazamnya untuk belajar dititipi daripada satu peristiwa yang amat berbekas di hatinya.

Pada suatu ketika beliau pulang ke rumah ibunya untuk melepas rindu yang teramat sangat. Sesampai sahaja beliau di rumah ibunya dengan tidak sabar-sabar beliau terus mengetuk pintu rumah itu dengan agak kuat.

Ketukan yang kuat itu menyebabkan hati ibu tersentuh dan marah. Sebaik sahaja pintu itu dibuka, maka tercegatlah anak kesayangannya ‘Muhammad’. Ketika itu ibu Imam Syafi’i terus berkata,
Pergilah lagi dan engkau jangan sesekali pulang ke sini, sehingga engkau belajar tentang adab sopan yang baik dan budi pekerti yang mulia
Herdikan dan sindiran sinis ibunya itu amat menujah sudut hatinya. Sejak peristiwa itu Imam Syafi’i bertekad bahawa beliau tidak akan pulang ke rumahnya itu selagi ilmunya serta pengetahuan belum sempurna.

Nasihat dan Petunjuk Imam Syafi'i untuk Mengejar Kejayaan:
1. Barangsiapa mempelajari Al-Quran maka tinggilah ilmunya
2. Barangsiapa menulis hadis kuat dan kukuhlah hujahnya
3. Barangsiapa berbincang mengenai hukum fiqah maka ia menjadi bijak
4. Barangsiapa mengambil berat soal adab dan budi pekerti maka pekertinya menjadi lembut dan halus.
5. Barangsiapa berfikir tentang matematik akalnya berkembang
6. Barangsiapa tidak menjaga kehormatan dirinya maka ilmunya tidak akan mendatangkan faedah.

Selasa, 15 April 2008

Waris 4

Pesanan Paling Syahdu Untuk Seorang Lagi Anakku; Mohd. Najib.

Mohd. Najib menitip maksud 'yang cerdik'. Putera bongsu kami ini acapkali memperagakan kemanjaannya hingga keperingkat kecairan yang boleh menyebabkan kesukaran kepada ibunya untuk membuat teguran dan arahan. Watak kemanjaan itu seakan-akan hilang apabila beliau berinteraksi dengan saya. Budak cerdik memang cerdik juga untuk mencari helah dan menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi mengikut masa, tempat, suasana dan firasat. Rengekan dan bahasa budinya boleh mencairkan ratusan ringgit daripada ibunya. Sesekali dia meletakkan kepala ke ribaan ibunya maka akan tertunailah segala hasrat yang diidamkan. Cair. 2008 mencecah usia 17 tahun. Remaja. Masih belajar di SMK Dato' Syed Omar. Tingkatan 5.

Mohd Najib agak cemerlang dalam arena sukan. Semasa di SK Taman Uda dia sering mencuri-curi untuk mengambil bahagian dalam sukan tanpa pengetahuan saya. Pergi ke tempat latihan atas alasan 'hadir untuk aktiviti kokurikulum'. Bila dapat hadiah atau pingat barulah ditunjukkan. Saya tetap diam. Ini mungkin menyebabkan dia serba salah hinggakan dia tidak lagi aktif apabila berada di sekolah menengah. Sebagai guru saya memang utamakan akademik.

Mohd. Najib saya anggap mempunyai sifat amanah. Dia pernah terjumpa tas tangan berisikan barang kemas dan wang tunai ratusan ringgit di hentian rehat Lebuhraya Utara Selatan. Dia mempunyai cara tersendiri untuk mengembalikan tas tangan tersebut. Waktu itu dia masih di SKTU. Cara dia melapor dan menghubungi pemilik tas tangan itu menyebabkan kami beranggapan dia memang cerdik.

Tahun ini dia akan menghadapi peperiksaan SPM. Seperti ibu bapa yang lain juga, saya memang amat risau. Saya sukar menelah budak cerdik ini. Dia pandai atur waktu untuk ulangkaji. Biarpun saya sentiasa mengherdiknya dia tetap diam. Tetapi, diluar pengetahuan beliau, saya telah pergi untuk berjumpa gurunya. Entahlah. Mengikut gurunya 'Mohd. Najib, ok! Saya melopongkan mulut dan ulangi kembali kata-kata gurunya itu "OK????". Tetapi dengan seribu tujahan yang menjadi teka-teki mungkin hingga kepada keputusan SPM kelak. Mohd Najib, "Jangan hampakan abah, mama, abang , kakak dan GURUmu". Khusyuk bersembahyang, berdoa, pohon permudahkan urusanmu. Abah percaya kepada apa yang telah cikgu adik katakan kepada abah. Pengetua, PK HEM, GURU Pakar Bahasa Melayu, adalah kawan-kawan baik abah. Jangan malukan abah dan abah percaya Najib tidak akan memalukan abah dan mama. Hanya orang yang berjaya sahaja yang tahu akan nikmat sesuatu kejayaan itu.
Dan Najiblah di antara anak yang amat abah harapkan untuk tidak mengecewakan orang tuanya.

Abah sediakan motosikal KAU7972 itu demi kemudahan berulang alik semata-mata untuk belajar. Kawan abah ramai, KAU7972 tidak mungkin boleh terlalu bebas di Alor Setar. Tekun, tabah, dan hadapi cabaran. Proses belajar, "Dengar, faham, simpan, saring, dan keluarkan". Insya-Allah, mudah-mudahan usahamu diberkati.

Ahad, 13 April 2008

Berbahasa 6 (Mingguan Malaysia, 13 April 2008)

Berbahasa 5

Isu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz lawan Tun Mahathir.

Sebagai bekas ahli kabinet Tun, jawapan-jawapan Datuk Seri Nazri terhadap kritikan Tun boleh dikategorikan sebagai sangat berbudaya rendah. Hilang budi pekerti. Mudah melupai jasa. Angkuh. Kalau ikut istilah Dewan Bahasa tindakan itu dianggap 'biadap' dan bagi 'bahasa kasar' tuturan orang Kedah ia dianggap 'Kurang Ajar".

Hak Datuk Seri Nazri Aziz untuk menjawab kritikan Tun tidak dipertikaikan. Jawablah. Usah angkuh sekalipun beliau menang untuk kawasannya pada PRU 12 lalu. Kalau ingin tahu sama ada 'langit itu tinggi atau rendah' mengapa awal-awal menolak sebarang pencalonan untuk apa-apa jawatan dalam Perhimpunan Agong nanti.

Apa pun kritikan Tun, jawaplah secara berhemah dan berbudi, kerana ramai masih ingat jasa Tun. Beliau pernah berkempen di atas pentas yang diperbuat daripada tiang buluh dan berlantaikan papan sayung di tengah-tengan sawah. Sumbangan Nazri kepada Negara berbanding Tun umpama busut dengan bukit. Belajarlah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sengaja saya perturunkan untuk renungan ahli Umno yang seperti 'Kacang Lupa Kulit'. Kacang pun (kacang hantu) akhirnya akan ditumbuk untuk dijadikan perencah rojak. Tanyalah seluruh ahli kabinet Pak Lah. Siapa bohong siapa? Siapa mungkir janji!? Ahli kabinet mana zaman Tun, dan ahli kabinet mana pada zaman Pak Lah? Pada hemat saya, sebab utama Tun marah adalah kerana pada ketika beliau jadi PM sebelum persaraan terdapat perancangan pembangunan yang diluluskan bersama, oleh orang-orang yang sama tetapi kemudian orang-orang itulah yang memancung. Saya memang 'pukul anak sindir menantu'. Kalau tak faham juga tanya mansaari.blogspot.com. Zam, hang pun kalah, kan!? Cakap kat Nazri, perangai orang Kedah ni macam mana! Dia lupa!

Sesiapa pun pasti terasa dan mengimbau kembali, akan segala budi anak buah yang pernah dilantik dengan kuasa perlembagaan, dan budi bicaranya, akhirnya menojah dan meradaknya dengan kata-kata kesat. Itulah Nazri Aziz. Sesiapa sahaja yang mengenali Tun tentu akan senyum sinis dengan segala dakwaan Nazri. Sama seperti Pak Lah, Nazri juga patut berundur.

Sabtu, 12 April 2008

Koleksi Puisi

Selamat Datang & Selamat Tinggal 1

Lokomotif Gunong Keriang

Lokomotif ini berfungsi sebagai pengangkutan untuk membawa batu bagi pembinaan jalanraya di Negeri Kedah. Landasannya bermula dari kuari Gunong Keriang ke Sungai Baru. Percaya atau tidak kalau saya katakan bahawa ada pelajar Sekolah Inggeris Gunung (SK Sri Gunong) dan Sekolah Melayu Gunong (SK Gunong) melompat untuk menjadi penumpang berulang alik ke sekolah. Ia menjadi imbauan paling manis untuk generasi 50'an dan 60'an.

Keretapi Utara 2

Khamis, 10 April 2008

Berbahasa 4

"Saya nak jumpa cikgu Aminah, cikgu Ahmad Ismail dan cikgu Azmi."
"Encik dah jumpa Pengetua?"
"Sudah, sudah.."
[Cikgu Aziz merengus] "Dalam mesyuarat kata 'tak boleh' tapi hari ni 'boleh' pulak. Cakap tak serupa bikin"
~ "Ada apa encik Aziz?"
= "Tak pa, tak pa, nanti saya tolong panggil. Saya ni tak perlu jumpakah?"
~ "Encik Aziz belum perlu. Boleh minta mereka jumpa saya di bilik guru?"
" Ya, ya." [sambil berjalan ke kantin]
"Hoi, Minah, Mat, Mi, barua mana tak tau nak jumpa hangpa. Dia ada di bilik guru."
"Barua mana pulak? Aku tak mau beli. Agen insuranlah tu. Biaq, aku tak mau pi."
[10 minit berlalu]
"Bagaimana Encik Aziz? Kenapa mereka tak datang lagi?"
[Dengan nada agak tinggi] "Tunggulah sekejap, depa dok tengah makan!"
"Encik Aziz, boleh dak beritahu mereka saya dari jabatan nazir sekolah"
ManSaari: Saya hentikan kisah benar ini untuk masing-masing melayari dialog dan bermonolog sendiri sesudah itu dan sesudahnya. Di mana negatif dan di mana positif. Haru.

Rabu, 9 April 2008

KERETAPI UTARA

Mukadimah.
Saya ingin memulakan 'Siri Kereta api Utara' untuk mencatat segala sudut pandangan saya secara peribadi . Perjalanan yang disengajakan ini sekadar suka-suka bagi rekod limpahan pengamatan seorang insan apabila fikirannya terasak, terangsang, tercuit dan tersentuh. Kita mempunyai cara kita sendiri untuk mencari apa yang kita kehendaki.

SMS seorang sahabat lama saya bertanya mengapa tulisan-tulisan saya sejak dahulu hingga kini sentiasa bersiri. Jawapan yang saya berikan cukup mudah. Itulah takah-takah kehidupan yang kita lalui berulang kali tanpa sedar.

Kereta api tiba.

Derap detap kereta api merentap jantung
Wiselnya sayup menyusup ke rongga setiap deria.

Kereta api Utara belum bertolak lagi.

Isnin, 7 April 2008

Waris 2

Warkah abah untuk seorang anak di rantau.

Mohd Azhan. Ia membawa makna 'kuat ingatan @ cerdas @ faham @ kekuatan hati'. Dia puteraku yang kedua. Masih bujang. Watak pendiamnya tertiris daripada resapan watak abahnya, tanpa banyak berlaku turasan. Segala suka dukanya dan rahsia disimpan kukuh. Dia turut menangis ketika saya ditujahi luka-luka dalam kehidupan. Bakat kreatif benar-benar diwarisi daripada saya yang pernah berkarya sejak zaman persekolahan dan aktif pada tahun-tahun 7o-an. Dia boleh pergi lebih jauh jika bakat yang dianugerahi itu diasah dengan sabar dan sedar. Pada penilaian saya bahasanya mempunyai kualiti bahasa baku yang diserapi pengaruh Inggeris dan Arab. Didikan dan disiplin pembelajaran yang didalaminya sendiri. Karya-karyanya yang tersiar di akhbar, dan majalah tempatan masih boleh dikategorikan sebagai bermutu kalau diukur mengikut piawaian karya remaja. Tidak manis untuk seorang abah memuji anaknya tetapi itulah kelemahan saya.

Pada peringkat awal kanak-kanak dia gemar membaca komik. Itulah satu-satunya bahan bacaan yang sangat tidak saya gemari. Dia merajuk dalam diam kerana hobinya dipertikaikan. Namun dalam diam pula dia mengumpul wang dan membelinya. Di perpustakaan kecil rumah kami berkotak-kotak siri komik yang tersimpan rapi. Hampir pelbagai siri dikumpulkannya. Ketika membelek-belek dalam usaha mengemaskinikan perpustakaan kami, saya mencedok untuk koleksi di mana-mana perlu. Percaya atau tidak jika dinilai komek-komek itu kos pembeliannya mencecah RM6,000.00. Sejak 2003 dia sudah ada blog sendiri. Maaf, tanpa izinnya saya perlu berlaku jujur untuk tidak memdedahkan pada kali ini. Salam daripada abah moga jujur bekerja, rajin, amanah, berkualiti, berbudi, berbahasa dan ingat apa yang seringkali abah ingatkan. Hanya itulah bekalan dan harga diri untuk kita bawa menemui-NYA kelak.

Ahad, 6 April 2008

Waris 3

Saya namai dia dengan Mahfuzah. Ertinya terpelihara. Dia satu-satunya anak gadis saya. Pada hari pertama dia mendaftarkan diri untuk jadi siswi USM saya mulai memanggilnya 'Intan'. Di kalangan ahli keluarga hanya saya seorang sahaja yang memanggilnya sebegitu. Kenapa ya?

Dia cukup cekal, berani, berdikari, ramah, petah berhujah, kritis dan lantang. Semasa belajar di TADIKA Kemas Kampung Berjaya dia pernah jadi juruacara. Disulami dengan pantun. Hebat juga anak saya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dulu, saya pernah jadi Pemidato Terbaik MAYC. Kak Jah pernah jadi pembahas mewakili SM Seri Puteri KL untuk sekolah-sekolah berasrama penuh. Semasa Intan menjadi siswi USM dia pernah ke Pulau Hainan di China, dan ke University Yokohama di Jepun untuk seminar alam sekitar. Jauh di sudut hati saya bangga kerana dia merdeka dan berani bersuara meski pun tidak berminat untuk menceburi politik. Tetapi itu mungkin boleh berubah jika hati semakin marah demi melayu yang kian hilang identiti, tergadai dan ternganga.

Di rumah, Intan tetapkan disiplin. Makanan tidak boleh dibungkusi dengan polisterin. Botol plastik hanya boleh digunakan sekali sahaja. Untuk membeli makanan mesti bawa bekas makanan bertingkat. Ketika membeli kasut, kotak dan beg plastik ditinggalkan di kedai. Tidak perlu. Kami ikut dengan senyuman sebab adakalanya abang-abang dan adiknya sengaja buat protes untuk melihat reaksi Intan. Saya kasihan melihat telatahnya kerana semasa kami adakan jamuan keluarga, saudara-saudara saya membungkus makanan untuk dibawa pulang ikut sesuka hati sahaja. Kadang kala saya lihat dia diam penuh kesayuan. Untuk berlaku adil saya selalu katakan kepadanya 'tidak semua yang kita ingini akan kita perolehi dan hormatilah kemerdekaan orang lain di negara yang merdeka dan demokrasi. Kita hanya berupaya mendidik tetapi hanya orang yang terdidik sahaja yang akan mengamalkannya'.

Pada suatu hari dalam bulan Ramadan 1428 di kompleks deretan kedai PKNK Jalan Tun Razak, Alor Setar. Intan turun dari kereta yang sedang saya pandu untuk membeli barangan, tiba-tiba sekumpulan remaja dalam sebuah kereta membuang sampah. Intan dengan muka masam, marah, jengkel, gerutu, terus mengambil bungkusan plastik yang dilempar keluar dari kereta tersebut, lantas berkata sesuatu kepada pemuda-pemuda tersebut. Lucunya, dengan reaksi ketakutan pemuda-pemuda itu seakan memohon maaf dan keluar memungut baki bungkusan dan bergegas pergi. Saya tersenyum.

Sebaik sahaja Intan masuk ke dalam kereta :
- Kata apa?
- Tanya, kenapa buang sampah?
- Apa depa jawab ?
- Minta maaf, kami kutip, jangan saman kami puan.

Intan merengus, "Sudahlah tidak berpuasa, buang sampah ikut suka, tak hormat Ramadan"

Mansaari - Kalau budak-budak tu bagi penampar macam mana? Mereka 4 orang. Rupanya orang yang bersalah menjadi penakut. Iktibarnya, janganlah jadikan diri kita dipihak yang membuat @ melakukan kesalahan supaya kita jadi lebih berani.

Bisanya Bahasa

Warkah Dato Johan Jaafar.

Maaf, Johan! Aku sunting kembali sebahagian warkahmu untuk sahabat-sahabatku. Biarlah bisa bahasamu mengalir seperti jeram yang merejam ke dasar hati yang semakin mati.
Mungkin kita menjadi bangsa yang paling bersedia mengutuk kelemahan sendiri. Tidak ada yang baik dikaitkan dengan kita. Kita membiarkan diri kita didedahkan, ditelanjangkan dan dimalukan, Malah nampaknya menjadi satu kebanggaan sekiranya kita dapat menunjukkan kelemahan bangsa sendiri. Siapa saja yang berjaya mesti dicari cacat celanya , kalau bukan kelemahannya, gosip orientasi seksnya atau kalau tidak pun kisah lampaunya. Tidak cukup dengan internet ditambah dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) sekali. Teori propaganda menyebut, sepuluh kebohongan akan menjadi kebenaran. (sekiranya diulang-ulang dan disibar oleh berlainan orang) Teori komunikasi moden menyebut, setiap e-mel dianggap benar, setiap SMS dianggap sahih.

Kita terlupa dalam apa skandalpun di negara ini - dari kes video Linggam hingga khabar angin korupsi seorang pemimpin - yang tertonjol ialah orang melayu menjuarai segala penyakit masyarakat -dari korupsi, dadah, mat renpit, entah apa-apa lagi. Orang lain diam menyembunyikan keaiban bangsa mereka, kita yang beragama islam, menjadikan kerja mengaibkan bangsa sendiri sebagai hobi utama.

Apa yang tidak kita dedahkan lagi? Apa yang tidak cukup terdedah? Kita menjadi bangga mengisytiharkan keaiban anak bangsa sendiri. Tidak hairanlah jika tokoh korperat yang terbina atas keringat dan air mata tidak pernah mengagumi kita. Malah kita labelkan mereka ; 'keparat'.

Setiap kali berlaku perubahan pimpinan , yang menjadi mangsa ialah anak melayu. sekali air bah sekali pantai berubah. Setiap kali seorang pemimpin polotik melayu terpinggir atau dipinggirkan, satu generasi bijak pandai dan tokoh korperat yang mendampinginya akan terhapus. Orang baru akan membina yang baru pula. Mereka juga akan tercantas kelak apabila orang lain mengambil alih. Proses ini berterusan nampaknya sedangkan peniaga cina tidak pernah terjejas akibat perubahan pimpinan politik melayu."

Ahad 6/4/08

Sabtu, 5 April 2008

Waris 1

Haji Mohd Syakir, adalah terjemahan rasa kesyukuran kami kerana dikurniai putera sulung. Wataknya mencerminkan ketenangan, sehalusan budi, bahasanya teratur dan kadangkala sangat formal. Sewaktu di sekalah rendah ramai juga gurunya yang memberi komen bahawa agar sukar berbual dengan Mohd Syakir kerana bahasanya sangat baik, baku. Itu ilasan guru-gurunya dan rakan-rakan saya. Mungkin ulasan itu, ulasan yang jujur. Entah. Saya terima seadanya sahaja. Memadailah dan rasa sangat bersyukur kerana dianugerahi waris sebegini.

Mohd Syakir adalah satu-satunya putera saya yang mewarisi jejak. Jadi pendidik. Opsyen Bahasa Arab. Kira-kiranya, dia lebih pandai dari bapa dan ibunya dari segi berbahasa. Selain bahasa Arab, dia fasih berbahasa Inggeris, dan Mandarin. Tetapi belum ada calon isteri. Sebagai bapa saya bangga kerana dia jadi guru.

Apabila pensyarahnya beri markah 4 untuk kebanyakan item-item, dia naik gelabah. "Biar betul?" Semacam tidak percaya. Ketika buat persediaan mengajar dia tanya dan tanya. Nostalgia lama terseret ke dalam benak. Ketika di SK Sri Gunong, saya selalu juga panggil guru-guru JQaf dan bagi nasihat agar lebih bersedia untuk jadi guru yang berkesan, disukai murid, seronok untuk belajar dan lulus dengan cemerlang. Tapi tindakannya lambat. Ambil masa yang terlalu lama. Ketika P&P, susunan kasut di tangga surau pun tidak teratur, rehal rosak, meja rosak, surau tidak diceriakan. Peralatan tidak tersedia seperti yang sepatutnya. Ini mempamerkan kelemahan seseorang guru di mata seorang penilai.

Kita belajar Al-Quran pada zaman IT. Kenapa kita tidak gunakan kemudahan itu. Syakir ada beberapa BBM/IT. Insya-Allah akan dimasukkan dalam blog saya ini nanti. Percuma. Tetapi bukan semua. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menadah. Tangan yang menadah, bila pula masanya untuk memberi? Cikgu boleh marahkan saya atau berasa tersinggung. Apa boleh buat, saya telah me'merdeka'kan diri saya daripada ikatan dan Akujanji Perkhidmatan Awam. Saya guna demokrasi seperti yang dibenarkan oleh perlembagaan negara kita. Jika baik jadikan penilaian saya itu sebagai cabaran untuk membuat perubahan. Jika saya salah menilaian anda, cuba-cubalah minta orang lain menilai cikgu. Cikgu mesti jujur. Teguran juga perlu jujur. Hanya orang yang rabun sahaja yang tidak nampak langit yang cerah. Kita akan berbau wangi jika kita berada di tengah-tengah lokasi yang kurang wangi tetapi adakah kita wangi di lokasi yang wangi?

Mujur juga saya tidak menjadi nazir. Kalau tidak, ramai guru tentu menyumpah dan menyampah. Saya akan jumpa Hishamuddin Hussin pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. kalau dia sibuk saya akan tulis surat. Dulu saya kerap berlapik, berbahasa kerana waktu itu saya masih berkhidmat. Saya wajib patuh dan tidak boleh menidakkan dasar. Pada waktu itu saya adalah pelaksana dasar dan bukan pembuat dasar. Kini saya merdeka. Beliau perlu diberitahu, matlamat khatam Al-Quran seperti dalam konsep dan dasar pelaksanaan JQAF di sekolah rendah. Kini apa sudah terjadi. Dasar pelaksanaan JQAF itu amat baik. Cuma pelaksanaan untuk mencapai matlamatnya sahaja yang saya pertikaikan. Pemantauan daripada KPM, JPN, PPD amat kurang. Apabila memantau jangan marah cikgu tetapi tunjuk contoh bagaimana cara menjadikan P&P JQAF berkesan.

Hishamuddin.
Jangan asyik julang keris. Jangan seru guru bekerja macam ajak pemuda Umno bekerja. Dia patut bezakan berucap di perhimpunan pemuda UMNO dengan berucap dengan guru. Dia kena jadi guru, belajar jadi guru untuk berucap kepada guru. Santun guru seperti kata Ahmad Bakhtiar; saya perturunkan berdasarkan ingatan 32 tahun lalu:
Makan seperti guru,
Berjalan seperti guru,
Berpakaian seperti guru,
Bercakap seperti guru,
Duduk seperti guru,
Tidur seperti guru,
Berkawan seperti guru,
Marah pun seperti guru.
Saya masih dipanggil cikgu. Mungkin hingga ke akhir hayat. Alangkah malunya jika kita hanya bekerja sebagai guru dan bukannya menjadi guru.

Rabu, 2 April 2008

Berbahasa 2

Kadangkala aku marah,
kerap kali juga aku merungus
selalunya meluat
merungut
meloya
benci
menyampah!

Para pemimpin Umno, pemerintah kini.
di negara yang berdaulat
kita ada bahasa negara, Bahasa Melayu.

Soalan 'mengapa pada setiap SIDANG MEDIA, MAJLIS RASMI para pemimpin kita , sentiasa ingin, gatal, untuk berbahasa Inggeris?'.

Biarlah soalan yang diaju dalam apa bahasa sekali pun, tetapi jawapannya biarlah dalam bahasa Melayu. Sering dilaungkan 'ke arah mendaulatkan negara bangsa'. Bikinnya tidak!

Di mana letaknya jati diri para pemimpin kita?

'Pak Lah, hang dan anggota kabinet hang' perlu beringat!!
Para pejuang bahasa tahun 60'an masih hidup.

Mereka adalah sebahagian daripada pengundi yang menolak Umno kerana pengabaian terhadap Kedaulatan Bahasa Melayu di tanah air yang di cintai ini. Hang juga ikut terlibat,
Benarlah kata Tun M 'Melayu mudah lupa'

Pak Lah !
memang hebat berbahasa Inggeris,
tetapi....
Fahamkah para pekebun getah di pedu, di felda-felda,
nelayan di pulau ketam, di Kuala Muda, di Kuala Perlis, di Pengkalan Nyirih?
Dah 50 tahun merdeka, orang Tionghua, India pasti sudah amat arif 'Bahasa Negara'nya
kerana mereka juga berkata 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'

50 tahun Merdeka, Pak Lah dan orang-orangnya belum merdeka!
Aku harap pemimpin Kedah, Perak ,Selangor, Kelantan juga di Pulau Pinang MERDEKA.

Man Saari memang kaki pangkah. Kah, kah, kah!! Mari masuk kumpulan kalih!!