Selasa, 11 Januari 2011

INTERLOK.

Sejak subjek Kesusasteraan Melayu/Bahasa Melayu diperkenalkan di dunia pendidikan Malaysia, belum ada tengkingan kekolotan berlaku seperti dihumbani kepada novel 'Interlok'. Pada hemat saya kekecohan ini berlaku kerana kejahilan penilai yang tidak membaca. Membantah hanya berdasarkan kepada khabar dan gah tetapi tidak berpaksi kepada hakikat. Saya yakin, hanya sebahagian kecil yang membantah dalam demontrasi itu membaca novel 'Interlok'. Mungkin semuanya tidak. Tidak tahu hujung pangkal.

Hampir 40 tahun novel itu berada di pasaran. Dinilai. Tidak pernah disadung cacat cela. Menang anugerah saguhati sempena kemerdekaan ke 10. Tiba-tiba ada menteri keturunan India membebel. Tanpa menafikan keupayaannya menjadi pengkritik dan penilai tetapi ia amat meragukan. Siapa beliau? Kritikus. Politikus atau tikus yang membaiki labu?

Desakan mengubah edisi sedia ada kepada edisi yang melunakkan dan boleh diterima oleh keturunan India adalah kejahilan tanpa maaf. Kalau begitulah halnya maka kita perlu mengubah banyak karya sastera dalam pelbagai temadun untuk disesuaikan dengan selera kita. Boleh? Siapa kita yang berupaya mengubah hak cipta sesebuah karya. Pokoknya kita tidak mungkin memenuhi selera kita dengan memaksa orang lain tunduk untuk melacurkan sesebuah karya bagi tujuan tersebut.

Tanpa membaca, menghayati dan merumus intipati 'Interlok' maka kita akan menjadi diri kita sebagai 'kasta' terakhir. Bacul untuk menerima realiti masa lalu. Paling tidak, kita perlu merdeka untuk berfikir. Cari jalan keluar. Paling mudah sarankan agar pelajar diberi teks (novel) pilihan. Situasi untuk memilih teks pilihan itu telah lama berlaku dalam subjek kesusasteraan melayu di sekolah. Jangan menghalang orang lain menimba ilmu hanya kerana isi dan kandungan dalam sesuatu karya itu tidak menyebelahi kita. Kiranya kita jahil maka janganlah kita berkempen untuk menjahilkan orang lain. Kementerian Pelajaran tidak harus tunduk kepada pemikiran yang terpesong daripada hakikat yang benar, yang tidak berpaksi kepada intipati karya 'Interlok' itu sendiri.

Selasa, 4 Januari 2011

Salah Siapa

Senyum dan ketawa pada awal tahun. Huwaaaaaaaaaaa! kah kih kah kih kihhhh...! Makanan di Alor Star boleh di kategorikan sebagai masih murah. Dua bungkus nasi lemak daun pisang berlaukkan seekor udang sebesar ibu jari tangan dicampur dengan segelas teh tarik bernilai RM2,00. Masih mampu bayar. Kenyang. Memadai untuk sarapan pagi.

Sedang selesa dan enak bersarapan pagi tadi saya bertembung dengan dua tetamu jalanan di warung yang sama di Jalan Datuk Kumbar. Biasalah kaki kutuk. Semuanya serba tidak benar dan tidak kena. Saya diam. Sekadar pandang atas bawah wajah-wajah di meja bersebelahan. "harga naik kerana kerajaan naikkan harga petrol. Semua naik, ikan naik, sayur naik, gula naik, asam keping naik, dan berjela-jela disenaraikan". Benar masakan tidak benar. Betul. Huwaaaaaa!

Tiba-tiba secara spontan satu soalan diajukan kepada saya. "Betul tak Tuan Haji? Mengelabah saya dibuatnya. "Mampu beli, tidak mampu carilah pilihan. Jimat. Kita banyak sangat membazir". Mereka terdiam. "Kita kurang bekerja tetapi angan-angan besar. Sebenarnya kita ada duit sebab itu kita mampu beli. Jika kita tidak ada duit, kita tidak mungkin membeli. Sebab itu jalanraya perlu dipeluaskan. Lebar. berlorong-lorong. Sebabnya banyak kenderaan. Rakyat Malaysia mampu milik". Kita tidak berserapan di rumah tetapi di warung. Kita beli untuk dibawa balik kepada anak-anak kita. Kita jadi semakin malas. Betul tak? Soal saya kembali.

Tersenyeh. Saya sambung sementera menanti pengusaha warung datang mengira. "Di Gelam, semua anak-anak sekolah rendah ada motosikal. Siapa beli? Siapa isikan minyak? Apa tujuan budak-budak tu naik motosikal. Saya tak nampak faedahnya. Memang pembaziran berlaku di depan mata kita sebagai ibu bapa. Mereka meronda merata cerok. Minyak motorsikal mak bapa yang isikan. Maknanya kita mampu. Kita sanggup membazir. Betul tak?".

Jam 7.45 pagi saya bertolak ke sawah. Ketika balik jam 11.00 pagi dua orang tetamu itu masih ada di warong. Saya ketawa. Huwaaaaaaaa! kah kah, kih kih ha ha ha ha. Gagalnya satu sistem pendidikan tak formal. Terhakislah budaya kerajinan. Masa terus berlalu. Harga barangan terus meningkat, rakyat terus membeli. Sebenarnya kita kutuk diri kita sendiri.