Isnin, 2 Ogos 2010

Menojah Punggung Melayu.

Gempita dengan isu perpaduan. Akhirnya hambar. Menarik untuk perbincangan tetapi lesu dan majai untuk dilaksanakan. Ia menjadi garisan panjang, lurus tidak bertitik. Mekar berkelopak segar tetapi tidak mewangi. Akhirnya kusam terkulai.

Sesiapapun yang arif tentang budaya politik melayu akan bertemu dengan situasi demikian. Titik pertemuannya berasaskan Islam tetapi melayunya tetap sama sejak berkurun. Berpecah. Pengamal politik bukan melayu memang senang untuk menyelit diri di celah-celah adu domba perjuangan melayu. Penjajah Inggeris sendiri pernah mencatatkan tentang perangai melayu. Segala harta benda melayu tergadai, terjual, terlelong kerana perangai melayu mudah untuk dibaca dan diselami. Ego tinggi. Marah sekadar hangat-hangat tahi ayam. Mudah lupa masa silam yang tertipu. Gembira apabila dipuji. Lebih teruja jika Islam dijadikan modal untuk memancing. Ganjaran berupa udang disebalik batu tidak langsung dicurigai. Nah inilah budaya yang ada dalam politik UMNO dan di dalam politik PAS serta Keadilan. Politik Melayu.

Apa pun teras perjuangan yang dibanggai namun para pemimpin melayu itu tetap membawa ciri budaya melayu sekaligus disisipkan untuk diperagakan dalam merealisasikan pengurusan politik, negeri dan negara. Islam digah dan digembar gemburkan tetapi ciri-ciri Islam hilang dan akan bertukar menjadi ciri melayu apabila diberi mandat. Dalam arena politik melayu pada hari ini, masihkah kita boleh menaruh kepercayaan akan ujudnya, kejujuran, amanah, ikhlas, telus, kesederanaan, berbudi, dan berteraskan Islam?.

Maki hamun itu adakah ciri-ciri Islam?. Jika....! Fitnah. Dusta. Salah guna kuasa. Rasuah. Kronisme. Pembaziran. Sombong. Angkuh. Hina-menghina. Dan segala macam budaya melayu itu diterjemah untuk diperkasakan dalam perjuangan kini. Mana ciri-ciri Islam yang dilaung-laungkan? Semua gelagat dan tabiat buruk itu sedang dan masih diamal oleh para pendukung parti sama ada UMNO, PAS dan Keadilan yang berbangsa Melayu.

Yang perlu berubah adalah melayu. Yang perlu bersatu adalah melayu. Islam selamanya menyatukan tetapi yang pincang adalah melayu yang masih kukuh dengan ciri-ciri yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jika semuanya melayu dalam UMNO, dalam PAS dan dalam Keadilan mengaku berpaksikan kepada ajaran Islam maka kita tidak terus bertekak sehingga kini. Kita kini, menjadi melayu yang semakin sesat di tanah air kita sendiri. Jangan hendaknya, kelak kita tidak lagi bebas untuk menegakkan syiar Islam kerana kita menjadi melayu yang tidak dibaluti selimut Islam yang kukuh kejab, yang sentiasa erat dan bersaudara.

Tudinglah jari kepada sesiapa pun akhirnya kita akan tunjuk jari itu kepada diri kita sendiri iaitu MELAYU.