Khamis, 23 Jun 2011

1957, 1958.1959l Saat Manis Persekolahan .

Mengimbau kembali masa lalu akan melereklah senyuman. Zaman persekolahan yang tidak mudah dipadam. Saya tidak tahu bagaimana saya boleh membaca, menulis dan mengira. Berapa lama jangka waktu diambil untuk menguasai kemahiran tersebut. Apa yang saya ingat rentetan proses pembelajaran saya tentu berlainan dengan orang lain. Guru darjah satu, dua dan tiga saya adalah bapa saudara saya sendiri. Ahmad bin Awang Kecik. Lebih dikenali dengan Cikgu Mat Adam.

Bapa saudara saya ini tinggal berseberangan sungai. Untuk itu setiap malam sesudah mengaji al Quran dengan ayah saya akan membaca buku. Mengeja. Membaca kali-kali. Sifir. Setiap malam saya mesti melaungkan suara bacaan dan hafalan saya untuk didengar oleh bapa saudara saya di seberang sungai. Jika beliau tidak mendengarnya maka pada keesokannya alamat saya akan pulang lewat daripada orang lain. Saya akan mengeja dan membaca di hadapannya sebelum dibenarkan pulang. pulang lewat adalah satu deraan pada zaman itu. Lima minit sebelum pulang akan diberi soalan sifir. Sesiapa yang berjaya akan dibenarkan pulang awal. Saya satu-satunya pelajar yang tidak berpeluang untuk pulang awal. Meskipun berulang kali yang mengangkat tangan namun bapa saudara saya ini seolah-olah tidak memandang. Waktu itu saya mula protes dan merajuk. Apabila berada di darjah dua saya sudah berani membaca senyap. Rupa-rupanya secara senyap juga, bapa saudara saya itu datang pada setiap malam untuk mempastikan saya membaca. Sekarang barulah saya tahu makna kasih sayang.

Cikgu Mat Adam dikategorikan sebagai guru yang baik. Amat rajin. Tulisannya cantik. Dia berbasikal ke sekolah. Hari Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti mingguan. Hari-hari minggu begini beliau akan menyauk udang. Saya akan menjadi tukang kayuh sampan. Namun tidak lebih sekadar teman untuk aktivitinya itu. Joran buluh sepanjang satu meter berumpankan isi kelapa yang dibakar akan dicacakkan ke perdu nipah. Udang galah akan merentap umpan itu dan ia akan terperangkap apabila disauk dari bawah dasar sungai secara perlahan-lahan. Saban pagi Jumaat kami akan berlaukkan udang galah. Jemu. Setiap kali turun ke sungai kami akan perolehi antara 3 hingga 5 kilogram udang galah yang besar. Sepit udang menjangkau sebesar ibu jari. Perang kehijauan dan berlumut. Sepanjang bersampan itu saya hanya diam dan setia menurut arahan. Takut kepada guru walaupun dia bapa saudara saya.

bersambung...

Rabu, 22 Jun 2011

1957: Alam Awal Persekolahan

Pada waktu itu tiada seorang pun pelajar yang mempunyai basikal. Tidak ada. Pelajar dari Padang Petani dan Alor Keladi meredas sawah sejauh 2 kilometer untuk ke sekolah. Dari Tok Temenggung 1 kilometer. Pelajar dari Alor Gelam, Alor Kandang, Haji Naik Kayu, Lubuk Beduan dan Padang Terus juga meredah sawah untuk ke sekolah. Rata-rata antara 2 hingga 3 kilometer dengan berjalan kaki. Yang agak dekat sedikit mungkin rakan-rakan dari Alor Teja dan Alor Semela. Yang saya pasti semuanya akan meniti jambatan buluh sebelum sampai ke sekolah.

Jambatan Buluh.
Jabatan Buluh dibina secara bergotongroyong. Berderau. Seminggu untuk menebang dan mengumpul batang-batang buluh itu. Sehari dipilih untuk membina jambatan. Pada hari tersebut disediakan jamuan. Biasanya bubur kacang dengan pulut atau roti mayat. Buluh-buluh yang terpilih itu akan diruncingkan pangkalnya. Buluh duri atau buluh sigai menjadi pilihan penduduk. Cara membenamkan pangkal buluh ke dasar sungai juga unik. Pada bahagian-bahagian tertentu di pancang buluh itu di ikat dengan tali bersimpai belitan sedepa keratan buluh yang lain. Pancang itu akan dihindik secara beramai-ramai sehingga ia terbenam dan berdiri kukuh. Pancang-pancang itu dipacak secara bersilang. Pada pertemuan pancang yang bersilang itu di ikat dengan dawai atau rotan. Kukuh. Lantai jambatan pula akan dijajari dengan sebilangan himpunan buluh diikat sehingga mempunyai kelebaran yang mudah dilalui kelak.

Pemegang jambatan amat ringkas. Ia sama seperti pagar rumah kampung di pendalaman. Namun tidak ada seorang ibu bapa pun mempunyai kebimbangan untuk melepaskan anak mereka melalui jambatan itu ke sekolah. Anak-anak dibiarkan lepas bebas. Sebahagian besar daripada kami mahir berenang.

Sesi Persekolahan.

Jam 7.30 pagi kami mulakan alam persekolahan dengan membersihkan kawasan sekolah. Menanam pohon-pohon bunga atau merumput. Lumrah pohon bunga yang ditanam pada waktu itu ialah bunga cina atau bunga raya. Dalam kawasan sekolah cuma ada pokok janggus dan pokok muyu. Pulang jam 1.30 tengah hari adalah waktu-waktu yang melesukan. Sekali lagi meredah batas-batas sawah sejauh dua kilometer. Sesudah makan tengah hari kami terpaksa bersaip-siap dan bergegas untuk ke kelas al-Quran di sekolah yang sama. Aktiviti ini akan berakhir sehingga jam 5.00 petang. Demikianlah saya berulang alik ke sekolah itu selama tiga tahun dengan taat. Pagi dan petang. Sepanjang perjalanan ulang alik inilah banyak kenangan saya bersama kakak 'Rokiah'. Beliau menjadi mangsa buli kerana pelbagai kerinah adiknya yang sememangnya manja tetapi cukup nakal. Semua nostalgia itu tidak mungkin berulang kecuali melalui catatan perjalanan ini. Kecil amat.

bersambung...

Isnin, 20 Jun 2011

1957. Awal Persekolahan Di Kg Gelam

Ada sebuah sekolah Umum, Sekolah Melayu Kampung Gelam. Ia bertukar menjadi Sekolah kebangsaan Kg. Gelam pada 1959. Seperti sekolah melayu lain, ketika ia mula dibena tentulah daif. Sebuah bangunan papan bertingkap buluh. Lantainya tanah liat kontang. Meja murid sepanjang satu setengah meter akan dikongsi secara bersama. Biasanya tiga murid untuk sebuah meja. Demikian juga dengan bangku duduk. Bahan bacaan terhad. Balik-balik hanya tentang Ahmad, Fatimah, Tong Seng dan Ramasami. Guru-guru hanya ada enam orang. Seorang untuk sebuah kelas. Guru Besarnya Wan Bulat bin Wan Idris.

Untuk ke sekolah kami berkaki ayam. Meranduk batas bendang. Kawan-kawan saya dari Alor Kandang dan kampung tengah akan melalui Telok kubu. Meredah hutan dan belukar. Meniti jambatan nibung dan buluh. Seorang sahabat saya sentiasa memberi isyarat jika melalui jalan di halaman rumah kami. Dengan pakaian seragam berseluar pendek beliau dengan lagak gagah akan melangkah dengan bunyi goncangan yang amat ketara. Bunyi itu adalah bunyi celepa tembakau dan pemetik api. Umar Lazim. Ketika darjah satu dia telah berbekalkan rokok daun dan tembakau jawa ke sekolah. Tiada larangan. Waktu itu murid dimanjakan untuk sentiasa hadir bersekolah dalam apa situasi sekali pun.

Waktu rehat kami akan bersarapan sotong pedas masak kacang, nasi lemak, bubur kacang, ode-ode. Lima sen setiap satu. Itu sahajalah juadah kami saban hari. Minuman, tentulah air telaga masam di tengah padang sawah. Paling tidakpun kami menonggek untuk menhirup air di dalam sawah itu sendiri dengan menebak ke tepi keladi agas yang galak membuncit.

Sepanjang laluan ke sekolah, kami meredah segala becak, gelong dan tanah koi. Jika malas ada yang akan bersembunyi di rumpun mengkuang berhampiran tanah kubur sehingga habis persekolahan untuk ikut sama-ssma berjalan pulang. Pun dengan rasa selamba. Sekali sekala mereka akan ke sekolah jua jika ada guru yang bertindak menjengah mereka di rumah. Biasanya rakan-rakan yang bersembunyi itu terdiri daripada mereka yang angkoh sombong. Berani untuk membuli sesiapa sahaja jika ada yang berani membuat laporan kepada ibubapa atau guru. Mereka akhirnya tidak ke mana. Pandai pun tidak. Samseng pun sekadar lamunan awal perkembangan remaja yang diulit keseronokan sementara. Samseng kampung yang tidak pernah dipedulikan. Namun itulah rakan-rakan saya.


bersambung...

Ahad, 19 Jun 2011

1957: Ibuku Hebat.

Gelam Segumpong. Kampung kelahiranku. Terpencil di Tajar Utara. Tajar adalah sebuah mukim dalam daerah Kota Star. Laluan kami untuk ke Bandar Alor Star hanya melalui sungai. Guna bot penambang. Kiri kanan Sungai Kedah yang menjadi laluan utama kami pada waktu itu dijajari pepohon nipah subur segar. Air sungai hening jernih. Ikan dan udang akan kelihatan kejinakan jika direnung tajam-tajam di dasar sungai itu. Airnya pasang surut dan kadang kala diluahi dengan tempiasan air asin dari laut. Siakap air payau banyak dan galak. Bersampan dan bertongkang adalah fanomena biasa di kampungku ini. Mandi dengan bergayut pada akar jejawi ala tarzan adalah aksi yang lumrah. Zaman kanak-kanak kami amat manis, hebat dan berbakat. Kami mamah apa sahaja asalkan ia boleh dimakan. Pahit, masam, manis, kelat, hamis, hanyir, pedar akan kami bedal tanpa pandang.

Saya anak Melayu kampung tulin. Terdidik dengan budaya kampung. Tegar dengan tradisi. Ke sekolah dengan berkaki ayam. Setiap hari saya dan kakak berbekalkan nasi bungkus daun pisang yang dilayur. Ibu kami memang pandai masak. Beliau adalah di antara suri yang dikagumi kerana kepakaran memasak. Menjadi juru tunjuk dan pakar rujuk. Kepakaran dan kemahirannya itu cuma sekadar di peringkat kampung. Apalah sangat kepakaranya itu jika dibandingkan dengan kebolehan ibu-ibu di kota. Tapi bagi kami ibulah yang terhebat.

bersambung..

Khamis, 2 Jun 2011