Duri-duri yang terpaksa dipijak dan dicabut. Luka-luka yang terpaksa dibalut dan diubati. Perjalanan dan perjuangan perlu diteruskan. Catatan ini sekadar rasa geram yang payah terpadam selagi tidak ditulis. Maka saya catatkan demi mengembalikan rasa normal seorang insan biasa seperti saya. Maaflah jika saya mengheret saudara-saudara kerana kegeraman saya ini.
1.
Isu Chin Peng
Siapa Chin Peng? Nama lengkapnya adalah Chen Chin Seng. Anak kelahiran Setiawan, Perak.
Anak muda Malaysia yang tidak didedahi dengan susur galur sejarah bangsa tidak mungkin dapat mengenal lelaki rimba yang remaja dan dewasanya dilangsaikan sepanjang pengisytiharan darurat dan awal kemerdekaan Malaya. Samseng rimba ini sebenarnya sudah memperoleh lebih banyak peluang dan keistimewaan. Tunku Abdul Rahman Putra pernah mengarahkan pihak Anggota Keselamatan agar Chin Peng tidak ditamat riwayat hidup sebelum, semasa dan selepas selesai 'Rundingan Baling'. Dia tidak diapa-apakan. Dia selamat kembali ke rimba walaupun sidang rundingan itu gagal kerana ego dan angkuhnya manusia bernama Chin Peng itu. Pada saya, Biarlah Chin Peng terus kekal dan kelak bersemadi di Yala bersama Rashid Maidin, Abdullah CD dan Abu Samah Mohd Kassim. Kita berhutang nyawa dengannya. Nyawa galang gantinya adalah nyawa. Tidak ada tempat untuk Chin Peng di bumi Malaysia.
Tunku Abdul Rahman Putra pernah melafaz kata-kata tetang Chen Peng, "Sekali jadi komunis, selamanya dia komunis. Maknanya dia akan buat kacau jika dapat peluang". Rakyat Malaysia perlu amati firasat Tunku itu.
2.
Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh diberi pengampunan sedangkan tidak kepada Chin Peng. Kononnya pada pandangan Anwar semua rakyat patut diberi hak tanpa pilih warna. Konon-kononnya. Itu kata Anwar ketika dia tidak lagi berkuasa. Soalnya rakyat ingin tahu apakah kerakyatan Chin Peng sekarang? Mengapa baru kini isu kepulangan samseng rimba ini diwar-warkan? Mengapa tidak dibuat semasa Musa Ahmad dan Shamsiah memohon? Mengapa ketika BN hilang majoriti dua pertiga?
Anwar hanya 'tumpang sekaki' dalam pertelagahan berkaitan isu Chin Peng kerana ini dapat menambah saham kepada perjuangannya. Itu saja. Namun atas nama prinsip perjuangan, pada hemat saya Anwar gagal. Terlalu banyak kekeruhan yang dibawa oleh Anwar kepada rakyat yang betul bendul. Kepada penyokong tegar Anwar, pastilah apa sahaja gagasan dan cetusannya dianggap benar belaka. Anwar sanggup cedok apa sahaja asalkan dia akan dapat habuan. Sebagai rakyat biasa yang pernah ikut perjuangan Anwar semasa siswanya, ABIM, UMNO dan kemudiannya PKR maka Anwar hanyalah seorang pemidato yang sempurna. Kebijaksanaannya terletak kepada susun atur strategik untuk menghalalkan cara bagi mencapai hasrat. Namun saya tetap beranggapan bahawa dia tidak berpegang kepada prinsip perjuangannya dengan kukuh. Dia sentiasa goyah.
3.
Isu Politik Perak.
Banyak masa dihabiskan secara sia-sia demi untuk rebut kuasa. Naik turun mahkamah, demonstrasi jalanan. Kempen. Propaganda. Pun tidak juga selesai. Masing-masing menegakkan sudut pandangan berpaksikan kepada aliran politik. Namun kepada rakyat pertelingkahan di Perak itu mengheret mereka kepada perpecahan bangsa. Inilah kegagalan kepimpinan Melayu. Faktor dan penyebab kejatuhan kepimpinan Melayu zaman silam terus diwarisi oleh kepimpinan sekarang. Tiada keinsafan. Tiada titik pertemuan. Jika ada cuma dendam. Curiga. Prasangka. Fitnah. Cerca. Ego. Nilai dan prinsip ajaran Islam diketepikan. Maka akhirnya rakyat kembali berpuak mengikut aliran dan fahaman politik kelas ketiga. Bergasak sesama sendiri. Sesama teman sekampung, setaman, selorong. Bermasam muka. Pertanyaan yang tiada jawapannya ialah 'sehingga bila situasi ini akan berlarutan?', 'Kerajaan Perpaduan bertukar kepada Kerajaan Bercakaran'. Punah. Kepada siapa kita hendak marah? Kebingungan.
4.
Isu Lebih Lagak Di Parlimen
Pada hemat saya, akan adakah manusia matang, waras dan terdidik, akan dapat menerima lagak laku sebahagian kecil manusia yang diberi jolokan 'Yang Berhormat' berucap, berlagak dan berpencak seperti 'gelanggang laga'. Inikah contoh dan teladan pemimpin yang dipilih? Apakah kemenangan dalam pilihan raya dan dipilih oleh rakyat seolah-olah menghulurkan lesen untuk menjadi Wakil Rakyat yang tidak bertamadun. Ala rimba. Wakil pemerintah dan wakil pembangkang harus sedar persidangan ala rimba amat memalukan. Ilmu kita kian bertambah maka sepatutnya peribadi kita kian luhur, mulia, sopan dan bermaruah. Berhujahlah secara kritis dan kreatif. Maksud dan hasrat biar berjaya disampaikan, biarpun tanpa lagak 'kera luku' yang memalukan watak bangsa dan agama. Masa masih panjang, berubahlah sebelum 'Yang Berhormat' diubah. Kata guru-guru kita, 'gunalah akal yang panjang' dan 'jangan ikut nafsu kerana samsu'.
Jumaat, 2009 Jun 26
Duri-Duri
Ahad, 2009 Jun 14
Sejahtera
Sebaik sahaja sesi persekolahan bermula maka redalah kesibukan menunaikan jemputan. Ramai sungguh. Alhamdulillah.
Ketika belanja kahwin melangkaui puluhan ribu ringgit masih ramai umat Islam mampu menyempurnakan kenduri atas nama tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak. Untuk sempurnakan sesuatu majlis perkahwinan bukan perkara mudah. Biarpun saya tidak mempunyai pengalaman, namun daripada soal selidik dan bualan semasa berlangsungnya majlis maka dapatan daripada maklumat itu amat menggerunkan.
Belanja hantaran perkahwinan mencecah RM10,000. Belanja majlis kenduri juga mencecah RM10,000 atau lebih. Ertinya, RM20,000 lebih diperlukan untuk melangsungkan sesuatu perkahwinan. Saya tidak berani memberi komen kerana saya arif bahawa rakyat Malaysia kini memang berwang. Hak untuk menghabiskan tabungan yang dikumpulkan untuk mengadakan majlis perkahwinan itu adalah hak individu. Bebas. Tetapi yang saya dimaklumkan oleh guru-guru saya dulu bahawa perkahwinan itu terlaksana adalah berpaksi kepada rukun nikah iaiatu 'SISWA' calon Suami, calon Isteri, Saksi, Wali dan 'Akad. Mas kahwinnya ikut mampu. Saya teringat entri Dr Asri Zainol Abidin (bekas Mufti Perlis) yang pernah mengupas isu ini. Katanya 'kita menyusahkan sesuatu yang halal dan kita memudahkan yang haram'.
Memudahkan kupasannya, saya simpulkan sebagai "kita menyusahkan anak muda kita untuk berkahwin kerana beban belanja yang besar tetapi kita memudahkan mereka bergaul bebas tanpa berkahwin. Melakukan maksiat. Maknanya memudahkan yang haram".
Bagaimana jika kerajaan Datuk Seri Azizan di Kedah dapat mengadakan penganjuran Majlis Perkahwinan Perdana mengikut zon. Satu kampung hanya ada satu kenduri. Tanpa mengira fahaman politik kita anjurkan majlis 'Kenduri Kahwin Perdana' bersepadu. Belanja kenduri dikongsi. Kerajaan menyumbang RM2,000 untuk sesuatu zon. Hasilnya, rakyat tidak terlalu banyak membuang belanja dan masa untuk melaksanakan sesuatu majlis perkahwinan. Lebih elok jika jadual majlis diselaraskan agar pemimpin dapat turun bersama rakyat. Cenderahati tiada. Sesuatu majlis itu biarlah tidak kurang daripada 10 pasangan pengantin terlibat. Hebat, jika ini dapat dilaksanakan!
Ahad, 2009 Mei 31
Wira Sorak
Suara Melayu semakin sayup. Suara Melayu koro. Suara Melayu sudah menjadi suara pondan. Puncanya cuma disebabkan oleh suara Melayu tidak lagi sekata. Kita semakin asyik bermain politik hingga kita gadai kepentingan negara bangsa.
Ketika isu azan diperolok-olok oleh sekelompok etnik di negara ini, ada di antara kita marah dan menyinga tetapi sebahagian daripada kita, demi kepentingan politik peribadi, kita memperlekeh dan menganggap ia sesuatu yang remeh.
Ketika isu tulisan jawi dan isu mempelbagaikan tulisan suku kaum di papan tanda jalan, kita riuh rendah menentang. Namun sebahagian daripada Melayu kita ikut mempersendakan. Tambah menyakitkan jika direjam dengan kata-kata "Umno tidak habis-habis dengan isu perkauman". Apakah isu tulisan dan bahasa ini hanya diwajari dengan alasan yang sebegitu? Mana perjuangan Melayu yang lain? Zaman telah berubah.
Ketika isu 'sejarah pendatang' dan hak istimewa orang Melayu dipertikai, sebahagian kita sibuk menentang manakala sebahagian lagi mencemuh dan memutar belitkan fakta. Lebih hodoh kita akui para penyangak yang buta sejarah itu sebagai wajar dikemukakan. Mengapa mereka ini tidak diaktakan kerana menghasut? DS Abdullah Ahmad Badawi pernah mengusulkan kepada Hishammuddin Hussein agar menyemak kurikulum dan memastikan subjek sejarah diajar semula di sekolah. Sudah setahun arahan itu diberi tetapi Kementerian Pelajaran Malaysia belum bergerak. Koro sungguh. Agaknya bilakah lagi generasi 'buta sejarah' ini akan terus diwarisi? Mungkin sesudah suara Melayu tidak lagi di Parlimen.
Terkini apabila ada 'suara komunis' menggesa agar kerajaan mengizinkan Chin Peng pulang ke Malaysia, pun suara sebahagian Melayu masih koro. Chin Peng adalah pembunuh. Nyawa mesti dibayar dengan nyawa. Chin Peng boleh balik ke Malaya tetapi tidak ke Malaysia. Harga nyawa dan cacat anggota para pejuang menentang rejim komunis terutama disebabkan jerangkap samar sudah memadai untuk menghukum kekejaman Chin Peng. Pengkhianat seperti Chin Peng tidak perlu dijadikan wira oleh GERAKAN.
Isu PPSMI masih tergantung. Amat lambat keputusan dibuat. Apakah ia semata-mata kerana ingin menghormati Dr Mahathir? Dengan memansuhkan PPSMI tidak sedikit pun akan mengurangkan rasa hormat rakyat kepada negarawan itu. Sebagai manusia biasa beliau sendiri pernah mengakui bahawa beliau pernah membuat kesilapan. Ada cara lain yang boleh dibuat untuk mengatasi kelemahan Bahasa Inggeris pelajar Melayu. Para pejuang Bahasa Melayu tidak rela berkorban untuk menggadai, menghakis dan memperkosa bahasanya sendiri setelah sekian lama berada di landasan yang betul. Teruskan usaha untuk memartabatkan maruah bangsa melalui bahasa. Muhyiddin Yassin perlu juga diperingatkan bahawa masih ramai para pejuang bahasa era 60-an yang bakal menjadi pengundi PRU-13. Biarlah ia menjadi satu ugutan.
Pengakhirannya. Kita boleh berbeza pendapat tetapi janganlah sehingga kita hilang identiti. Hilang suara. Hilang bahasa. Hilang hak untuk beragama. Islam. Kita tunjuk koro maka orang lain akan tunjuk hero. Kita mesti jadi wira di negara kita tetapi bukan wira sorak. Bukan wira rempit. Bukan wira lepak. Bukan wira rayau. Bukan wira ragut. Bukan wira dadah. Bukan. Amat sedih apabila kita saling sorak kepada bangsa kita sendiri. Kita gembira kerana kita boleh bersorak sehingga kita lupa bahawa rebahnya sesuatu bangsa kerana penghakisan bahasanya dek keterlanjuran tindakan.
Ahad, 2009 Mei 17
Sabtu, 2009 Mei 16
Selamat Hari Guru
Terima kasih cikgu.
Guru Pembina Negara Bangsa
Kami Guru Malaysia
Guru Oh Guru
Khamis, 2009 Mei 07
Gores, Menang & Kecewa
Baik sangka saya kian terhakis. Sedikit demi sedikit. Kejujuran dan keikhlasan tetamu yang tidak diundang diragui. Lain ulu lain parang. Terlalu banyak pengalaman yang mengajar saya agar sentiasa menggandakan 'hati-hati'. Tanpa hati-hati kita akan menjadi korban kejujuran dan keikhlasan.
Cuma satu peristiwa saya ingin kongsikan. Mungkin pada kesempatan lain kita boleh berceritera lagi. Satu hari saya bertandang ke Pasaraya SB Super Store Pekan Pumpong, Alor Setar. Pasar raya ini terletak bertentangan dengan rumah saya. Ia cuma dipisahkan oleh jalan raya saja. Pada hari tersebut ada beberapa orang kaki jaja berpeleseran mencari pelanggan. Tentunya tidak terkecuali 'pakcik pencen' ini. Saya didekati. Saya diarah memilih salah satu sampul. Saya menolak dengan baik. Disusuli dengan ucapan terima kasih berkali-kali. Namun saya terus dipujuk. Saya melayan seadanya.
Nah, saya memilih satu sampul! Saya diarah agar membuka sampul tersebut. Sesudah itu saya diminta agar menggores satu lopak hitam. Pada kertas yang telah tergores itu tertera gambar Proton Perdana V6. Para pelobi tersebut secara spontan mengerumuni saya. Semuanya mengucapkan tahniah. Salah seorang daripada mereka melobi bahawa saya sangat bertuah. Belum ada pengunjung pasar raya yang bernasib baik seperti saya. Wah, hebatnya!
Saya diminta memberi wang sebanyak RM1500 untuk urusan pendaftaran dan insuran. Licik sekali. Pelobi yang lain terus menerus meyakinkan saya. Gelagat mereka seolah-olah mengkagumi kejayaan saya. Dengan senyum saya menolak tawaran tersebut. Ketua pelobi-pelobi itu agak terkejut. Pelbagai pujukan diajukan. Dalam hati kecil saya mulai marah. Muak. Dengan sopan saya menolak lagi. Mereka tetap degil. Mereka seolah-olah ingin memaksa saya.
Sebagai pesara guru lagak gaya seperti ini sangat 'kacang' untuk diselesaikan. Pokoknya, mereka saja yang tidak tahu siapa orang tua yang sedang mereka pujuk ini. Pengalaman saya sebagai guru disiplin dan kemudiannya sebagai guru kaunseling memberi banyak petunjuk untuk saya menyelesaikan situasi seperti ini. Saya menolak. Mereka mendesak. Lantas apa terjadi? Sebagai pesara guru saya amat pantang apabila kita dikategorikan sebagai 'bodoh' semata-mata kerana menolak tawaran mereka. Sepanjang khidmat saya sebagai guru, saya tidak pernah menyebut perkataaan itu untuk murid-murid saya. Saya sentiasa tanamkan dalam ingatan bahawa perkataan 'bodoh, kurang ajar, lembu, biawak, babi dan lain-lain yang tidak enak dan tidak sopan' tidak akan saya lafazkan kepada murid-murid saya. Tidak pernah. Yang saya selalu sebut hanyalah 'anak ayam'. 'Jawapan bermutu rendah'. 'Boleh baiki lagi'. 'Bertuah punya murid'. Senyuman atau jelingan atau ketajaman mata atau mimik muka sudah memadai untuk mengawal murid. Biar seusia manapun mereka. Pasti tunduk dan patuh. Itulah kelebihan guru. Itulah kejayaan. Profesion yang tidak semua boleh diceburi dengan bangga.
Maaf tersasar. Kembali ke dasar cerita. Apabila saya menolak, mereka seolah-olah ingin marah. Reaksi dan suara sudah bertukar agak kasar. Saya dengan sopan menolak tawaran itu. Mudah. Saya serahkan kemenangan saya itu kepada mereka. Tuntutlah.
"You ambillah. You perlu keluarkan RM1,500 saja dan you akan dapat sebuah Proton Perdana. Saya tidak perlu. Saya sudah ada kereta. Saya hanya perlu sebuah kereta. Kalau saya ada banyak kereta pun, saya cuma boleh guna satu sahaja," kata saya.
Apa kata para pelobi? "You boleh jual maa.."
Saya jawab, "you juga boleh jual, untung you boleh ambil.."
Ketika mereka memegang tangan saya, maka ketika itu datang seorang jurujual pasar raya bangsa Tionghua bercakap Hokkien dan saya dilepaskan begitu sahaja. Saya masih bersahaja sambil mengucapkan terima kasih kepada Fong Mei (murid saya semasa di SMKTAR) kerana mengelak kekecohan. Fong Mei memang sudah masak dengan watak gurunya yang 'boleh tahan juga' jika naik angin kelak. Apalagi kejadian itu berlaku di kampung halaman saya. Saya berjalan melintasi laluan Lebuhraya Sultan Abdul Halim untuk ke rumah. Para pelobi itu bukan pekerja atau jurujual Pasaraya SB Superstore. Mereka menjadi jurujaja jalanan yang mencari mangsa.
Ahad, 2009 April 19
Percaturan Strategi di Penanti
Cuma jawatan sesudah menang di Penanti yang membatasi penglibatan pencalonan Anwar. Tidak mungkin Anwar rela untuk menjadi pencacai Lim Guan Eng. TKM1 bukan jawatan idaman Anwar. Untuk itu dan kerana itu maka mencari calon untuk jawatan TKM 1 memeningkan Anwar. Pertama, ramai yang menadah dan mengharap agar dipilih oleh Anwar. Kedua, kerana dalam PKR sudah ada nila yang meresap ke baldi susu. Anwar serba salah. Jika tidak mengapa pengisian jawatan itu tidak dilunasi sehingga kini?
Di Penanti, Mat Sabu memang sesuai tetapi Mat Sabu adalah calon katak sewaktu pilihan raya. Dia akan diletakkan untuk menjadi calon penggenap. Kalau tidak ada orang lain maka dialah akan dipilih. Jika ada dia akan diketepikan. Tetapi kita mesti ingat bahawa Mat Sabu adalah kawan rapat Guan Eng. Mereka sama-sama beristirahat di Kamunting. Mat Sabu adalah pemimpim PAS yang pertama jumpa Guan Eng dalam keadaan santai di mana Guan Eng berseluar catok. Malangnya kali ini Mat Sabu adalah calon PAS, yang mahu diisi adalah bekas lopak PKR. Sudikah PKR lepas jawatan TKM 1 kepada PAS? Dalam politik jarang ada isu mustahil. Itu pun jika Anwar jantan untuk berhadapan dengan protes senyap dalam PKR kelak.
Parlimen Kuala Kedah adalah tempat Mat Sabu biasa menang tetapi atas persetujuan PR maka kawasan Kuala Kedah diberikan pula kepada Ahmad Kassim dari PKR. Oleh yang demikian tidak terkejut jika Penanti diberi kepada PAS atas nama PR. Apalagi jika UMNO tidak lagi galak untuk ikut rentak PKR. UMNO mesti berani untuk tidak mengikut rentak PKR. Kalah menang tidak mengubah gaya goyah politik semasa. Menang akan ada isu sementelahan jika kalah pun pastinya lebih banyak isu. Cuma jika tidak ada pertandingan maka wang rakyat tidak dibazir dan emosi mereka tidak dibarasekamkan. Sebaliknya hasrat dan strategi pemimpin yang mencari kaedah untuk menghalalkan cara agar cepat dan dapat menjadi pemerintah segera terbantut.
Anwar berlumba dengan usianya. Jika Najib berjaya menawan citarasa rakyat dalam masa dia berkuasa maka akan musnahlah laluan mudah Anwar untuk tawan Malaysia. Usianya dan kudratnya semakin lama tentulah semakin usang. Tua.
Kekosongan DUN Penanti menuntut kebijaksanaan pemimpin. Najib tidak perlu ikut rentak. Inilah masa membuat pukulan pancung. Kemenangan percuma PKR di Penanti kelak sekadar mengesahkan akan belas kasihan UMNO kepada PKR yang ingin memenuhi kuota TKM 1. Lainlah jadinya jika UMNO menang di DUN Penanti itu akan membolehkan Pulau Pinang di tawan. Tapi situasi begitu belum boleh terjadi lagi. Namun ragam politik sememangnya sukar ditelah. Tidak semudah mencari anak ayam jantan dengan anak ayam betina. Lebih mudah menentukan tahi cicak kerana separuh putih, separuh hitam daripada membuat firasat politik.
Selamat beradu di Penanti.
Rabu, 2009 April 15
SAPU
Perjuangan bangsa Melayu biasanya berasaskan kepada emosi. Emosi mengambil arah dan tempat perjuangan. Dendam mesti berbalas. Lawan mesti dikorbankan dengan apa cara sekali pun. Lawan tetap lawan. Melayu akan mencaci Melayu. Mencaci para pemimpin Melayu. Kita dedah segala keiaban. Kita terlalu gembira bersorak. "Padan Muka". Kita handoh semahu-mahunya. PAS akan lanyak UMNO manakala MNO akan belasah PAS. Pengikut terasak dan berdendam sesama sendiri. Akhirnya PRU-12 menceritakan segala-galanya. Melayu hilang kuasa.
Yang menjadikan 'kuasa Melayu hilang' adalah undi bukan Melayu. Melayu hilang maruah kerana terpaksa menjadi perayu untuk menentukan 'ketuanan dalam Parlimen'. Apakah ini akan berlaku jika Melayu bersatu? Peristiwa Bukit Gantang mengheret umat Melayu bertelagah. Bergaduh sesama sendiri. Yang bertelagah dan yang bergaduh itu akankah bermanis muka dalam masa terdekat ini? Pasti tidak. Situasi ini tidak terjadi dalam masyarakat bukan Melayu. Kaji dan selildiklah.
MIC ugut untuk keluar dari BN. UMNO sebagai peneraju utama BN mesti berani mempelawa agar MIC keluar daripada BN buat sementara untuk bermuhasabah diri. MIC mesti sedar harga yang perlu dibayar kepada UMNO kerana terlalu prihatin menyerahkan kawasan majoriti Melayu kepada MIC. Bagitu juga kepada MCA. Melayu telah lama menyerah kuasa dan hak milik Melayu yang ada di tangan orang Melayu kepada sahabat mereka dalam MIC dan MCA bagi bertanding. Buktikanlah mana kawasan yang majoritinya bukan Melayu dimenangi oleh MIC atau MCA.
Untuk lebih adil setiap parti dalam komponan BN patut bertanding atas tiket parti dan lambang masing-masing. Parti komponen yang kalah dalam pilihan raya tidak perlu berada dalam kabinet. Syor yang tidak popular ini kadangkala perlu untuk memberi 'persekolahan semula' kepada semua parti komponen agar belajar memahami hakikat.
Jalan keluar yang terbaik ialah Melayu mesti bersatu. UMNO dan PAS mesti berkorban untuk bersatu demi masa depan Islam dan negara. Keangkuhan dan bebalan yang berterusan tidak membawa keuntungan kepada bangsa dan agama. Dahan yang kering dan rapuh akan menjadi kayu api. Lidi-lidi yang bercantuman biasanya menjadi penyapu yang tegar. Kita jangan sampai hanya menjadi peraut lidi yang melunggukkan sakibaki rautan untuk dibakar sebaliknya lidi dijual kepada orang lain untuk menyampu bersih negara tercinta.
Sabtu, 2009 April 11
Hamka atau Muhammad
Teori R A H M A N
Razak, Hussein, Mahathir, Abdullah dan Najib
Teori HAMKA ( idea pencetus Kuda Kepang)
Katanya Hishammuddin, Ahmad Zahid, Mukhriz, Khairy + A = ?
Teori M U H A M M A D (mansaari)
Muhyiddin, , Hishammuddin, Anwar, Mukhriz Mahathir, Anwar + D = ?
Huuwaaaaa.





