Jumaat, 1 Februari 2013

Masa Itu Telah Terlalu.

Yang tiada sering diingati. Ketika 'ada' tidak pernah dipedulikan. Mudah sekali dijual. Tidak dihargai. Apabila usia berundur meniti takah-takah akhir maka kenangan silam sering mengocak ingatan. Kesal dan terkilan meruntun dan meronta. Ia menjadi sejarah indah yang sesekali menojah.

Saya kesal kerana menjual sebuah skuter Vespa No.plat KE 44. Kenderaan pertama yang menjadi tunggangan saya semasa mula bertugas di Sekolah Tunku Abdul Rahman Alor Star. Apa salahnya kalau disimpan untuk kenangan. Sudah 36 tahun berlalu. Kini entah milik siapa. Entah sudah menjadi besi buruk dan telah dikitar semula. Demikianlah. Kita lupa sejarah dan perjalanan hidup yang kita lalui. Susah masa lampau amat mudah terhapus. Kita kejar kesenangan. Kita menjadi kacang yang lupakan kulit.

Ketika itu tiada jalan yang berturap tar. Kampung terpencil. Tiada siswazah. Tiada inteliktual. Tiada. Yang ada cuma jalan tanah merah. Rumah-rumah kayu tradisional melayu. Menjadi guru seumpama pemimpin kecil yang diintai untuk dijadikan menantu. Hebat juga harga diri dikala itu. Sekarang, guru sekadar  ayam jantan tanpa taji.

Guru kehilangan taji, saya kehilangan VESPA tetapi masih tidak kehilangan ingatan. Alhamdu lillah.

Tiada ulasan: