Selasa, 28 Februari 2012

Bahasa Inggeris Di Sekolah

Telah berdekat-dekat kita berbincang dan berseminar untuk merealisasikan Pengajaran bahasa Inggeris secara berkesan di sekolah. Mengapa penguasaan Bahasa Inggeris bagi murid di sekolah-sekolah gagal. Peratus menguasainya rendah. Tersangat rendah. Pemerhatian dan kaji selidik mengikut data sekolah lumrahnya bagus. Namun di pasaran terbuka nyata terlalu ramai yang tidak dapat menguasai bahasa kedua ini.

Kementerian Pelajaran masih di takah lama. Tercari-cari. Sebenarnya terbentang luas kaedah dan program untuk mengatasinya. Sehingga kini penempatan guru opsyen bahasa inggeris ke semua sekolah tidak mampu dipenuhi. Secara bodohnya kita boleh bertanya adakah akan berjaya murid melayu di luar bandar misalnya di ajar oleh guru yang rata-rata penguasaan bahasa inggerisnya lintang pukang. Guru-guru tersebut sememangnya berjaya untuk mengajar bagi meluluskan para pelajar tetapi para pelajar yang dididiknya itu tidak menguasai. Belajar untuk lulus dengan belajar untuk menguasai adalah dua misi yang berbeza. Selagi penempatan guru bahasa inggeris gagal di atasi maka sekagi itu kita akan berdepan dengan kegagalan.

Puluhan tahun kita berbicara hal yang sama. Selidiklah ke sekolah maka kita akan bertemu dengan jawapan yang serupa. Kekurangan guru bahasa inggeris. Di sinilah letaknya lubang dan kubang yang mesti ditimbus. Saya kadang kala bengong, apakah kita mesti merungut berpuluh tahun lagi. Lagi dan lagi. Kenapa kementerian Pelajaran tidak melatih guru di Institiut Perguruan dengan mewajibkan setiap guru pelatihnya mengambil Subjek Bahasa Inggeris sebagai opsyen wajib. Bahasa Inggeris dan sains. Bahasa Inggeris dan matematik, Bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Bahasa Inggeris dan Kemahiran Hidup. Dan sebagainya. Jika calon-calon itu tidak lulus maka mereka jangan disingkirkan tetapi dilanjutkan latihan hingga mahir. Biarpun terpaksa di latih selama empat, lima atau enam tahun. Tahun akhir biarlah mereka berkuliah dan berkomunikasi dalam bahasa inggeris.

Jawapan yang lumrah bagi mengelak dipersalahkan ialah " tiada calon yang layak atau tiada calon yang memohon". Karut. Calon guru diambil biarlah yang kurang cemerlang dalam bahasa inggeris. Tetapi mereka dilatih. Dilatih dan dilatih. Insyaallah kita akan memperolehi hasilnya. Bagi guru pelatih yang gagal di tahun-tahun tambahan pengajiannya bolehlah di alih ke opsyen lain. Mungkin kes-kes seperti itu cuma satu dalam seribu. Satu hari nanti biarlah semua guru di sekolah adalah guru bahasa Inggeris. Apapun hajat kita namun Bahasa Melayu janganlah pula dikesampingkan. Jika kita mengabaikan perancangan memertabatkan bahasa melayu maka kita akan menjadi parah jika tersasar dan terlewat bertindak. Pinjam slogan DS Najib " Bahasa Melayu didahulukan, bahasa inggeris diutamakan".

Selasa, 21 Februari 2012

Langkawi 2.

Indahnya bumi kita. Itu detikan hati. Bangga merak. Telah berulang kali saya ke Langkawi. Bagai sebati dengan takah-takah pembangunan yang digapai. Pekan kuah berubah wajah. Lautnya kebanjiran ferry dan kapal layar. Kenderaan darat kian bertali arus. Puncak Mat Chencang sudah bergayutan kereta kabel. Panorama sudah berupaya tertumpu ke sempadan Thailand. Pulau pulauan biru kehijauan setumpuk setumpuk memukau. Indahnya bumiku.

Kesempatan kali ini saya dapat belayar dari pulau ke pulau. Anugerah Allah sukar ditelah. Bukit bukau batu kapur bergerigis. Beraneka bentuk. Khazanah alam semulajadi yang sukar dicari dan ditempah. Gah. Batu batan yang berusia jutaan tahun boleh diraba dan diinjak-injak dengan bangga. Indahnya bumiku.

Langkawi oh Langkawi

Diulik kebanggaan yang meresap hingga ke dasar ulu hati tiba-tiba airmata bagai menebar tebing. Bergenangan. Khazanah berharga ini bagai tidak lagi dihargai. Tidak dipedulikan. Hati dan budi calar dan berkarat. Kotor. Di Pulau Beras Basah dengan khazanah rimbanya yang terpelihara dan dikunjungi ribuan pelancong dalam dan luar negara kian menyayat. Apa tidaknya. Sikap buruk bagai tanpa asuhan dan didikan menampil para pengunjung pulau indah ini tidak lagi menjadi manusia penyayang. Sebaliknya rakus, pengotor dan menjijikkan. Kiranya monyet yang menjadi penghuni tegar di Pulau itu berupaya berpidato maka maruah kita sebagai sang manusia yang dianugerahi akal dan sebaik-baik kejadian akan terhina.

Jagailah khazanah kita. Jangan biarkan sampah bertebaran. Kotor dan jijik. Sediakan seadanya tong-tong sampah. Sediakan petugas bergaji. Bersihlah pulau kita. Maruah bangsa dan negara ada pada setiap helaian sampah dan pepejal yang tidak terurus itu. Kita sering mengharapkan keuntungan segera tetapi kita lupa jajaan maki hamun dan gelengan betapa tidak bertamadunnya kita mengurus khazanah-khazanah yang bernilai. Dengan bahasa paling mudah dan malu saya katakan "Pulau Beras Basah amat kotor dengan sampah sarap". Dara sunti berhiaskan arang.


Jika sang monyet rela memungut sampah, maafkan saya kerana terasa hiba menjadi pengunjungnya kali ini.



Rabu, 8 Februari 2012

MADA

Sesiapapun akan menjadi marah apabila kata-kata ini dihemburkan "makan gaji buta". MADA oh MADA. Kalau di negara Jepun dan Thailand para pegawai pertaniannya akan berdamping dengan para petani untuk penyelesaian masalah. Di Malaysia para petani didampingi apabila menteri turun padang. Segala jalan dibaiki. segla pokok dijagai. dibajai. Macam lebah mengumpul madu. Bertumpang tindih berasak membantu. Segalanya dirapikan. Menteri pulang dengan bangganya. Padi mersik. Tangkal panjang. Pokok subur. Kawasan tebing taliair terjaga. Rumput rapi terpotong. Segala data tersurat.

Hakikatnya tidak benar. Ada sampah disorok di bawah tikar. Gondang Emas masih tidak terkawal. Padi angin semakin subur. Sambau masih menggila. Terkini ulat kerbau menyerang. Itu belum ambil kira tentang sistem pengagihan air. Kalau kering tidak siapa peduli. Ia akan diambil tindakan apabila para petani serang pejabat cawangan. Itupun kalau ada petani yang mempunyai watak agrisif. Jika tidak, padi akan layu terkulai. Tenah merekah. Jika ada sawah terbiar tidak ditanam maka ia akan terbiar ditumbuhi menerung. Misai keli. Akan bertambah-tambah masalah jika dicampur pula dengan tikus dan memerang. Siapa peduli.

Di Jepun. Di Thailand dan di Taiwan mengapa ia terurus. Mengapa? Setidak-tidaknya para petani dibawa ke Tanjung Karang melihat bagaimana sawah diurus. Noh Omar! jangan percaya sangat dengan data dan omongan pegawai MADA. Gunakan 1 hari dalam setahun untuk tinjau masalah sebenar di sawah-sawah. Tanya petani bukan tanya pegawai. Saya bukan lagi marah tetapi meradang kerana gondang emas sudah lebih belasan tahun bermaharaja di sawah masih tetap menjadi pemerintah tegar. Padi angin terus menjadi penipu kerana pohonnya subur tetapi buah hampas.