Sabtu, 20 September 2008

Pewaris Bangsa

Bercapahnya modal insan yang celaru wataknya adalah petanda produk daripada Sistem Pendidikan Negara kita yang cacat. Kita gagal mendidik warga yang berwatak patriotik, berpekerti mulia, berilmu, berbudaya tinggi, berbahasa, beriman dan bersyukur. Kita gagal membenihkan generasi muda kita dengan pendidikan identiti Malaysia.

Kita lahirkan ramai pemimpin. Dewasa dan muda. Tetapi pemimpin kita berwatak koboi. Kasar bahasanya. Rendah budayanya. Angkuh dan riak sifat dan peribadinya. Goyah iman. Tidak tahu berterima kasih. Haloba. Kejam. Malas. Tidak patriotik. Tidak berdisiplin. Contoh ketara ialah pada setiap kali Parlimen bersidang maka akan terpamerlah watak-watak ala koboi. Malu. Kita hilang jati diri. Kita hilang pekerti mulia. Hilang sopan-santun. Malah berbahas dengan pengantar bahasa kelas bawahan. Sebagai pemimpin apa lagi sekira mewakili umat Melayu Islam sepatutnya para pemimpin dibentengi dengan sifat sabar, berbudi tinggi, berbahasa ilmu, pemaaf, patriotik, jujur, ikhlas dan wibawa. Masakan sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Jadi mengapa kita harus leka dan terabai dengan ajaran agama serta budaya kita?

Jika di kalangan pemimpin terpamer aksi berwatak koboi maka watak yang hodoh-hodoh ini bercapah-capah lagi di pejabat, di kilang-kilang, di pasar raya, di jalanan, di gedung-gedung, di kilang, di hentian-hentian. Di hulu, di hilir, di utara, di selatan, di timur dan di barat. Banyak dan hodoh-hodoh belaka. Awal akhir pastinya berpaksi kepada pendidikan. Selebihnya berpunca dari 'bapa borek anak rintik'.

50 tahun kita mengisi kemerdekaan. Terlalu banyak institusi pengajian tinggi dibina. Terlalu ramai pula graduan dikeluarkan. Hasilnya kita gagal memiliki warga seperti yang kita kehendaki.

Pemimpin Melayu Islam menuduh pemimpin Melayu Islam lain sebagai 'bodoh, bahlul, jahat, rasuah, penyangak, pembunuh, songlap, gila kuasa dan lain-lain'. Akhirnya yang menghina Islam siapa agaknya? Siapa? Dan yang tidak melaksanakan nilai-nilai Islam siapa pula? Semua jejari itu kembali kepada kita. Kita kurang 'di'ajar kerana pendidikan kita gagal berfungsi untuk mendidik.

Hari ini saudara tentu marahkan saya. Marahlah. Bersyukur saya. Beban untuk menulis topik ini telah terlaksana. Selepas marah itu Kementerian Pelajaran Malaysia ambillah tindakan jika andaian dan rumusan saya ini ada kebetulan. Untuk sejahtera masa depan anak Malaysia kita memerlukan generasi yang celik Al-Quran, celik sejarah, celik budaya, berilmu dan patriotik. Kini kita hanya cambahkan ilmu tetapi kita gagal mendidik, dangkal penghayatan, kontang penerapan dan miskin amalan. Ubahlah dan bangunkan kurikulum yang lebih perkasa dan mampu laksana . Mudah-mudahan kelak kita melahirkan pewaris yang tidak bercelaru seperti hari ini. Masa depan tanpa penagih, tanpa pembelot, tanpa peragut dan .... tanpa cacat pekerti.

Datuk Seri Hishamuddin, saya mohon menyampaikan. Selamat berjuang.

Tiada ulasan: