Dengan bahasa halus katakan... "mungkin pada saat ini adalah tidak sesuai kenyataan seperti itu menjadi ugutan kepada BN. Namun jika itulah kehendak akar umbi dalam parti Gerakan maka BN terima". Susah sangatkah. KORO betul.
Gerakan samalah dengan istilah "kahwin cina buta". Nikmat kahwin hanya untuk semalam dua sahaja, sesudah itu dikembalikan kepada bekas suami. Apakah yang Gerakan tidak perolehi semasa berada di dalam kerajaan BN. Merekalah yang membangunkan Pulau Pinang mengikut acuan Gerakan. Apa bakti, sumbangan dan jasa mereka untuk membantu membangunkan Bumiputera. Apa yang terjadi kepada Melayu Pulau Pinang semasa Gerakan memerintah. Kini apabila mereka ditolak rakyat, maka masihkah mereka ini terbawa-bawa dengan sifat angkuh, bongkak dan gagal menilai kelemahan diri. Inilah wajah dan watak pemimpin yang tidak pernah mencerminkan diri sendiri. Hodoh sungguh. Buruk laku. Pengkar dan tempang. Comot dan kusam.
Biarlah Gerakan keluar. Itu realiti yang mesti diterima oleh UMNO apabila lemah. Koro. Bacul. Biar. Berilah mereka peluang memilih lorong dan simpang yang ingin mereka lalui. Anak jantan jangan takut bermain ombak. Kalau takut, jangan berumah di tepi pantai. Susun strategi agar Melayu dapat memerintah Pulau Pinang biarpun dengan majoriti mudah. Biarpun tidak memperolehi dua pertiga. Asal kita dapat memerintah. Pilih orang macam Datuk Ahmad Ismail untuk calon Ketua Menteri. Jangan jadi pendekar tanpa gelanggang.
Gerakan ingin menyertai pembangkang? Silakan. Inilah kemungkinan dalang-dalang yang bermain wayang bersama Anwar Ibrahim. Wakil rakyat yang diwar-war akan menyertai Pakatan Rakyat untuk membina Istana Pasir tajaan Anwar.
Tanpa keberanian untuk menyatakan pendirian Umno terhadap agenda Gerakan itu menandakan Umno hilang kemudi. Kapal hanyut. Nakhoda nyanyuk. Peta tercampak ke laut. Luannya kabur. Jenteranya usang. Buritannya reput. Di manakah kelasi hendak bertenggek?
Untuk Gerakan. Jika jambatan hendak dibakar, beringatlah laut yang perlu direnangi. Sekalipun tidak disambar jerung, setidak-tidaknya dilambung ombak. Biar lemas di daratan asalkan jangan kecungapan dibadai samudra. Berambuslah jika itu menjadi pilihan yang dianggap terbaik. Rumah kata pergi kubur kata mari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan