Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein diminta meletak jawatan jika gagal melaksanakan semula pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. - Mingguan Malaysia, 14/09/2008 halaman 13Demikianlah keputusan Persidangan Meja Bulat NGO Melayu menggesa agar isu PPSMI ditangani segera kerana penggunaan bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik gagal memberi kefahaman kepada pelajar. Maksud mudah ialah ramai murid gagal dan hasrat memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris untuk subjek tersebut tidak tercapai. Hujah dan garapan ini mungkin diputus serta berdasarkan kepada penilaian dan analisis yang tepat. Bukan mudah untuk meminta Menteri Pelajaran meletak jawatan hanya disebabkan PPSMI. Sebab pokok ialah mengapa anak melayu masih tergapai-gapai dalam subjek Sains dan Matematik. Adakah dengan pertukaran bahasa pengantar kelak, akan menjamin aras pencapaian subjek itu meningkat? Jangan disebabkan terlalu kerap merubah dasar maka kita seumpama membasuh kain kotor tegar. Kita sentiasa mengandaikan bahawa kotor tegar itu akan segera menjadi putih bersih apabila dibasuh.
Enam tahun pelaksanaan PPSMI di sekolah rendah adalah jangka waktu yang belum cukup matang. Sebenarnya banyak masalah di peringkat pelaksanaan gagal di kesan. Bahan Bantu Mengajar tidak berfungsi dengan baik. Komputer tidak diselenggarakan secara sempurna. perisian (software) lambat disiapkan di peringkat dasar dan penyediaan. Kursus penggunaan perisian sering diadakan melewati jadual pelaksanaan kurikulum semasa. Guru kurang mahir berbahasa Inggeris. Bilik darjah tidak disediakan selari dengan keperluan alatan. Kemahiran mengajar dengan peralatan dan teknologi pendidikan masih terbatas. Murid pada tahap satu terlalu ramai dan amat membebankan guru. Sering berlaku lompang gangguan semasa guru menggunakan peralatan komputer kerana sering berhadapan dengan masalah teknikal. Tiada Pembantu Teknik Komputer. Tiada bilik khas. Bilik darjah terhad. Operasi pengajaran dan pembelajaran sering terhalang oleh gangguan elektrik. Makmal komputer tidak berfungsi sempurna dan jumlah komputer 'boleh guna' tidak bersamaan dengan nisbah pelajar. Baik pulih peralatan lambat diselenggara. Kaedah baik pulih secara kontrak berpusat lembab dan tidak terlaksana dengan lancar dan berkesan.
Kiranya kerajaan membuat keputusan untuk kembali kepada Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk subjek Sains dan Matematik maka saya sedih terkenang rakan guru yang menjadi mangsa dasar yang bercelaru. Bayangkan berapa bilion ringgit akan lesap tanpa hasil. Kos menyediakan kursus kepada guru sepanjang enam tahun lalu amatlah banyak. Kos penyediaan perisian, buku teks, elaun insentif 10% untuk setiap bulan, untuk setiap guru dan untuk setiap subjek berkenaan tentulah melampaui zon pembaziran yang tidak terkira. Saya hanya berupaya menggeleng kepala dengan kecelaruan yang terjadi.
Saya terkenang apabila Datuk Seri Abdullah merombak kabinetnya dahulu dengan menjenamakan semula 'Kementerian Pendidikan' kepada 'Kementerian Pelajaran'. Apa terjadi? Berapa banyak jumlah papan tanda dibuang dan dibuat semula. Berapa banyak jumlah cop mohor jawatan terpaksa ditukar. Berapa banyak jumlah letterhead terpaksa dibuang dan dicetak baru. Bayangkan apa-apa sahaja yang berjenama 'Kementerian Pendidikan' mesti ditukar kepada 'Kementerian Pelajaran'. (sekolah, maktab perguruan, kolej, kenderaan). Taksirkan pembaziran itu dan bandingkan jika ringgit-ringgit yang dibazirkan itu diguna pakai untuk murid dan rakyat. Dan apakah untung? Apakah rugi? Apakah beza sama ada ditukar dengan tidak ditukar?
Saya selamanya tetap berpijak pada paksi bahawa bahasa pengantar utama ialah Bahasa Melayu. Cuma yang mencelarukan ialah kekerapan mengubah dasar dan sesuatu dasar yang dilaksanakan untuk menjadi kurikulum pendidikan di negara kita seringkali dibuat secara tangkap muat. Sama seperti penyediaan mee segera. Saya masih mengikuti dengan penuh sedar pelaksanaan j-QAF. Saya seram memikirkan kiranya j-QAF juga turut gagal. Kegagalan sesuatu perancangan adalah disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan. Kelemahan pelaksanaan adalah disebabkan oleh kelemahan dalam pentadbiran. Jangan kita pertemukan Pak Pandir dengan Pak Kaduk untuk berbincang di rumah Lebai Malang. Lebih bercelaru jika Kitul juga turut dijemput.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan