Ahad, 7 September 2008

Kenangan

Ramadan ini mengundang air mata. Kalaulah Tok Ayah masih ada tentu dia sedih melihat segala warisan kenangannya telah tiada lagi. Rumah kecilnya sudah tiada bererti. Tiada lagi gambar-gambar perjuangannya. Tiada juga gambar bersama keluarga dan anak-anaknya. Semuanya telah ditanggalkan. Sesekali melempar rusuk mata ke dinding kelihatan semuanya telah berganti.

Di kamar di mana dia selalu beristirahat tiada lagi tilam dan bantal. Yang tinggal hanya tikar menerung buatan China. Hamparan itu mengimbau aku kepada kenangan masa silam yang menitip suka duka kehidupan. Demikian pusingan kehidupan yang pasti dilalui. Ketika kita perkasa, bertenaga, berkuasa, dan berada maka kitalah raja, kitalah bendahara dan kitalah soldadunya. Apabila semuanya telah tiada maka kita pun tertanya-tanya di mana Tok Ayah? Tok Ayah telah tiada sebenarnya. Mungkinkah Tok Ayah hilang dari kacamata anak-anaknya atau dia tidak lagi wujud dalam minda dan hati mereka.

Pesanan untuk anak-anak.
Pulang biarlah bersalam. Sua biarlah bersapa. Pergi biarlah berkhabar. Berdoa jika terkenang. Bertandang ada mesranya. Tinggalan tersimpan. Pusaka tak terusik. Tercicir airmata tidak terbeli oleh setimbunan harta. Hidup kita sekadar sementara. Hari ini kita berjumpa esok entah bila, entah tiada. Ramadan ini ada duga, ada ria, ada duka, ada nikmatnya. Ramadan hadapan hanya ada jika ditakdirkan berpanjangan usia. Buatlah yang terbaik hari ini kerana esok adalah kelewatan yang tidak berupaya ditebus kecuali taubat dan insaf. Itupun jika 'Esok Masih Ada'.

Tiada ulasan: