Sabtu, 1 November 2008

Jangan Jadi Buta

1. Kita tonjolkan watak Kitol kerana kita marah. Soalnya siapa Kitol. Kita perkatakan Tok Dalang yang bermain wayang. Siapa yang bermain wayang? Kita katakan tentang kekoroan pemimpin maka siapakan pemimpin itu? Sebenarnya, Melayu tidak pernah peduli. Melayu semakin menjadi rela untuk bersedia diperkosa haknya.

2. Apabila isu azan dimomok kerana mengganggu, orang Melayu dan pemimpin Melayu diam koro. Mana dia perjuangan demi Islam? Ketika isu tulisan Jawi ingin diperkosa mana ada pemimpin Melayu yang jantan? Yang berani bertempik seperti Hang Tuah, 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia'? Kerana kekoroan itu maka Guan Eng berani untuk memasukkan segala tulisan cacar merba ke papan tanda di negeri pemerintahannya. Siapa dalangnya kalau bukan Teresa Kok? Itulah Agenda DAP. Terancang. Sepadu dan laksana. Yang gah menentang agenda kaum minoriti yang berlagak seperti dialah gajah mengamuk dikebun ialah semut kecil. Mana harimau? Mana singa? Mana seladang? Dan di mana pula sang badak? Semuanya telah terkasi telor. Jantannya telah hilang.

3. Kita ada Khalid Ibrahim. Dapat anugerah bintang Tan Sri. Dahulu, dialah yang diberi amanah untuk merealitikan ekuiti orang Melayu tetapi sekarang dia menjadi Tok Dalang yang pandai bermain wayang. Inilah orang yang melantik Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS. Khalid adalah orang Melayu yang tidak percaya kepada orang Melayu. Tujuh bulan Khalid menjadi pemerintah, apa yang dia buat untuk Melayu Selangor? Apakah kenyataannya tentang nasib dan masa depan DEB? Apakah tindakannya terhadap pegawai MPAJ yang melaksanakan tugas berkaitan isu kuil haram Hindu?

4. Debat. Khairy Jamaluddin. KJ. Sedap nama. Kalau ikut undian akar umbi, KJ sepatutnya angkat bungkus berambus. Tetapi Kitol akan ada helahnya. Debat. Jika ada debat akan ada ruang berkempen. Nah, bukankah itu juga bersalahan dengan etika pemilihan? Kelak siapakah penyokong upahan yang akan dibawa untuk memenuhi dewan perdebatan? Siapa? Kadangkala ramai penepuk tangan upahan akan mempengaruhi dan menguasai khalayak. Adilkah? Kepetahan berpidato dan berhujah bukan bererti seseorang itu pemimpin terbaik. Penilaian yang matang tersisip pada personaliti pemimpin sama ada memiliki kewiraan, kejantanan, patriotik, Islamik, amanah, jujur dan berbudaya tinggi. Sayangkan negarabangsa. Celik sejarah. Berilmu dan rajin. Apakah intipati ini terlalu jahil kepada perwakilan pemuda UMNO sehingga satu debat perlu diadakan? Jika politik wang tidak berperanan maka perwakilan pemuda pastinya tahu nilai yang tidak ingin dijadikan gadaian.

5. Nada dan perjuang MCA dan DAP hampir serupa. Serangkaian. Berwatak Kitol pada waktu yang dirasakan boleh memberi keuntungan. Namun bertukar menjadi Tok Dalang ketika duduk semeja dengan UMNO. Apabila selesai wayang maka MCA akan makan setalam dengan DAP. Inilah rakan UMNO yang merampas keris. Hilang keris seolah-olah menyebabkan Pemuda UMNO hilang telor. Hilang Jantan. Dalam isu ekuiti orang Melayu, mengapa pemimpin MCA terlalu berani bersuara? Apa hak orang bukan Melayu yang dirampas oleh orang Melayu? MCA sudah pandai bermain mercun. Tetapi janganlah mengajar orang Melayu bermain mercun hingga terputus jari.

6. Pilihanraya ke-13. UMNO patut bertanding tanpa simbol BN. UMNO bertanding atas tiket UMNO. Simbol UMNO. Bertanding di semua kawasan majoriti Melayu. Kalau MCA dan MIC hendak bertanding biarlah mereka bertanding atas simbol masing-masing walaupun di kawasan yang ditandingi oleh UMNO. Apabila menang barulah kita bentuk kesepakatan untuk menubuhkan kerajaan BN. Kelak kita akan tahu nilai Melayu di tanah air yang tercinta ini. Lebih bermakna jika UMNO dan PAS bersepadu untuk saling tidak bertanding di kawasan yang dimenangi atas tiket 'Parti Islam Melayu Bersatu' .

7. Pilihlah. Sebatang mancis. Sepucuk mercun. Selonggok sampah. Dan jangan biarkan anak kecil bermain api. Kita masih ada hanya 'Kereta api Tanah Melayu' dan ' Tanah Simpanan Melayu'. Yang hilang terlalu banyak dan saya amat rasau kalau-kalau Bahasa Melayu juga kita gadai atas nama demi kemajuan, perpaduan dan perubahan sistem pendidikan yang semakin bercelaru. Semakin hari kita semakin kehilangan apa yang kita kendong. Semuanya semakin keciciran. Melayu semakin buta.

1 ulasan:

Awang Kata berkata...

Memang Melayu bangsa yang bertolak ansur. Tetapi bukan semua perkara boleh ditolak ansur. Bahkan ada yang bukan lagi boleh dikatakan tolak ansur tetapi bangang dan tidak bertanggungjawab,misalnya biarkan tulisan jawi dihina dan tidak terbela, biarkan bahasa Melayu diperlekeh. Pada hal bahasa lain (terutama tulisan Cina)patut dipersoalkan di negara ini kerana sering dilihat mencabar kewibawaan bahasa Melayu-bahasa kebangsaan. Sikap mengada-ngada bahasa lain ini dibiarkan pula berwenangan kononnya atas alasan tolak ansur. Apa hak bahasa itu sebenarnya dan tidak perlu pun tolak ansur.