Rabu, 21 Disember 2011

Masa Itu Telah Berlalu.

Hampir 20 tahun dahulu Intan Mahfuzah petah berpantun di Pentas Konvo Tabika Kemas Kampong Berjaya. Rupa-rupanya keberanian itu diwarisi ke dunianya kini. Uniknya puteriku ini adalah dia boleh berlagak seperti lancar membaca tetapi hakikatnya dia masih bertatih dan pada tahap eja mengeja. Dengan selambar kertas di tangan dia dengan penuh yakin menbaca. Saya dan isteri kepucatan di bangku duduk, penuh gelisah dengan peluh dingin merenek di dahi. Memang cemas, manalah tahu kalau-kalau dia hilang punca menggelabah di tengah pentas dengan disaksikan oleh ratusan ibu bapa yang hadir.

kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan di dalam peti
kalau ada silap dan salah
ajarkanlah kami sekali lagi

kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan di dalam peti
Tunas muda membuat salah
asuhlah kami berbudi perkerti

Buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
kami anak baru belajar
kiranya salah pohon tunjukkan

Buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan
kami anak ingin belajar
Lafas alhamdulillah kami hulurkan

Surung papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
suruh makan kami makan
suruh mengaji kami berguru

pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
kami anak baru belajar
segala silap buangkan di hati

pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti
hutang emas boleh dibayar
ilmumu guru dibawa mati.

Terima kasih cikgu
terima kasih ibu
terima kasih ayah.





Isnin, 5 Disember 2011

Menitip Perjalanan 2

1.
Pembelajaran yang tidak berkesudahan.Pernerbangan dari Alor Star ke KLIA dan ke Lapangan Terbang Madinah sejauh 4, 800 batu notika memakan masa 9 Jam. Belajar untuk berada dalam kekakuan semasa dalam penerbangan adalah ujian pertama. Kaki berjuntaian tanpa bebas untuk belunjur. Kekakuan itu akan hilang hanya apabila mata terpejam kerana kepenatan. Tebang setinggi 29 ribu kaki dari aras laut tidak merisaukan. Pasrah. Hanya gumpalan awan dan kebiruan di dasar bumi mengembalikan imbauan akan ilmu geografi semasa di tingkatan lima 1968. Kembali mengenang akan isroq dan migraj rasullullah terhadap lapisan langit-langit. Subhanallah.

2.
3 Oktober 2011 saya mempersiapkan diri dan keperluan seadanya. Nyatalah kekuatan mental amat perlu untuk setiap jemaah. Dua tiga hari sebelum bertolak adalah hari-hari penuh cabaran yang memerlukan ketabahan, kesabaran, ketahanan dan ketakwaan. Hari-hari tanpa rehat kerana melayan tetamu, mempersiapkan diri dan mengurus dokumentasi serta bagasi. sesuntuk waktu yang tidak mungkin dapat dicuri. Belajar membedak waktu dan mengagihkan dengan serapi-rapinya adalah kerja paling sukar dalam jangka yang terkongkong sebegini. Masa terlalu laju. Lebih laju daripada lajak.

3.
Dalam kelompok jemaah, kita tidak mungkin menuntut hak kita dengan menafikan hak jemaah lain. Belajar menghormati hak orang lain memerlukan takah kesabaran yang tinggi. Ketegaran diri langsong tidak bernilai. Hanya ilmu dan akhlak serta ditokok dengan keimanan akan mendidik kita untuk mencari erti sebuah perjalanan suci dengan kebersihan hati yang terpupuk kejab diikat kejituan asuhan budi yang mantab. Ujian besar dalam perjalanan ini adalah kerana kita hadir dalam situasi di mana kita dibedakan oleh latar budaya dan susila. Malah dibezakan lagi oleh lokasi keintelektualan, emosi, siasah. adap dan usia. Perbezaan inilah kadangkala mempertembungkan jurang dan lompang yang melahirkan krisis kecil di kalangan jemaah. Inilah pelajaran yang tidak ada di bilik kuliah, di surau atau di masjid tetapi mudah dikutip dalam perjalanan.

4.
Tanpa sedar kita tetap membawa budaya hitam ke tanah suci. Ketika kita ingin menyerahkan diri dan memberi fokus kepada perjalanan suci, kita masih punya nafsu jahat lagi hitam untuk mengamalkan budaya yang tidak diizinkan. Masih ada di kalangan jemaah yang berkeinginan untuk mengambil selimut dan harta benda syarikat penerbangan atas nama 'cenderahati'. Demikianlah pelajaran yang dapat kita kutip. Hanya dengan ilmu kita dapat berjuang menidakkan kehendak nafsu untuk mengejar haji mabrur biarpun perjalanan kita masih di awan biru.

Catatan kecil untuk anak-anak.
untuk anak-anakku moga kamu tidak gemar mengambil hak orang, hak yang sebenarnya berstatus 'haram' untukmu miliki. Bersyukurlah dengan sedikit rezeki yang Allah berikan kepada kita daripada kita menyambar habuan orang lain. Hati yang bersih adalah untuk perjalanan yang bersih daripada rezeki yang bersih.
Mudah-mudahan kamu menjadi manusia yang terdidik. Itulah erti kasih kasih sayang kami berdua.

Rabu, 23 November 2011

Menitip Perjalanan Suci 1.

Kali ke 2 mengunjungi Tanah Suci saya dapati perubahan pasarana yang ketara. Apa pun kepadatan pengamal abadah tegar menjadikan ruang masjidil haram dan baitullah sesak padu. Dapat menyelit dan sua domol untuk sujud ketika solat dikira ruang keemasan yang disulami dengan rasa syukur maha abadi.

Pada tahun 2003 di masjidil Nabawi sebaik sahaja selesai solat waktu saya dapat menziarahi makam Rasullullah hampir setiap masa dan pada setiap hari. Namun perjalanan kali ini amat berbeza. Terlalu banyak halangan dan sekatan. Faktor usia dan rasa hati ingin memberi peluang kepada para tetamu pertama kali hadir menyebabkan saya cepat mengalah. Sesekali dapat melintasi luluan makam airmata bercucuran. Alangkah bahagianya. Rasa bahagia yang sukar untuk saya ceritakan.

Imbauan minda sering menggamit tentang segala sifat mulia Rasullullah SAW yang saya perolehi daripada bacaan dan pembelajaran. Lebih sedih apabila teringat wasiat terakhir menjelang akhir hayatnya. Umati, Umati. Hayatilah kata-kata itu dengan penuh ketakwaan dan rasa kemanusiaan yang sehabis mendalam. Ketika itulah rasa dan hasrat untuk bersalaman dengan baginda akan merentap airmata. Tapi kini kita sekadar mengucapkan salam dilaluan, dihujung pundak pusaranya. Kita menjadi orang paling beruntung kerana berpeluang berbuat demikian. Demikianlah nikmatnya rezeki kurniaan Allah yang membolehkan kita melihat dan menziarahi pusara baginda. Sesungguhnya saya bersyukur. Alhamdulillah.

mungkin ada catitan sambungan. Insyaallah.

Isnin, 3 Oktober 2011

Kembara ii.

Kiranya saudara-saudara membaca entri ini, mungkin saya telahpun meninggalkan tanah air untuk menerima panggilan haji dan menjadi tetamuNya. Alhamdulillah. Doakan saya agar memperolehi haji yang mabrur. Kiranya ada kesilapan saya dahulu dan kini maka saya memohon maaf setulusnya. Insyaalah jika masih diizinkanNya maka kita akan jumpa lagi 50 hari sesudah ini.

Selasa, 20 September 2011

Kekal Tegar



Kenapa hendak ditukar
di mana salah di mana silap
di mana carik di mana kusam
di mana cacat di mana cela
di mana kabur di mana rabun

mengapa terluka berkongsi cinta
mengapa tersiksa kecewa sengketa
mengapa baju dikoyak seluar dilondeh
mengapa tak berkibar di hati wira
mengapa tak terpanji negarabangsa

ubah tapak rumah diruntuh
rumah punah musnah khazanah
mencari padang tapak membina
jerlus ditimbus terkapar sia-sia

Jumaat, 16 September 2011

Merdeka

Merdeka dengan ikrar untuk tidak menderhaka kepada bangsa dan negara.

Khamis, 15 September 2011

Budaya Koro

Mengikut firasat (renungan dengan mata hati) akan tiba masanya kelak Jabatan Peguam Negara
(JPN) diasak kerana gagal berfungsi demi kepentingan rakyat. Bunga-bunga terhadap kehakisan kepercayaan akan kewibawaan JPN semakin jelas. Terlalu banyak kes terpendam dan direndam. Najib dan Kerajaan jangan terlalu selesa dengan budaya "diam, lama-lama terpadam". Jangan biarkan api dalam sekam menjadi marak kerana beranggapan hari disirami hujan. Jangan sampai rakyat berarak dan mendesak. Koro pun berpadalah. Jangan sampai belakang dilatam.

Rabu, 7 September 2011

UMNO & PAS.

Mengapa tidak UMNO dan mengapa tidak PAS. Mungkin tepat bagi mereka yang taksub melabelkan saya sebagai tidak berprinsip. Sesiapapun boleh berhujah. Amat mudah menuding jari untuk di hala ke mana sahaja yang kita kehendaki. Namun sehingga ke saat ini belum ada yang mampu mengheret saya ke gelanggang mereka. Saya marah UMNO kerana mereka lupa ketika mereka ada kuasa. Terlalu lajak dari laju. Lupa untuk membina bangsa yang kuat Agama dan kuat jati negarabangsa. Berjuang untuk menegakkan bahasa tetapi mencanai hingga menjadi cacamurba. Melayu tidak lagi menjadi penutur tegar sebaliknya berbangga dengan perkongsian bahasa yang semakin bercelaru. Pemimpin sendiri tidak pernah mahu mendaulatkan bahasa kenegaraannya. Kelihatan mirip untuk lebih berbangga kerana berupaya berbahasa Inggeris. Maka berbahasa Inggerislah para pemimpin kita walaupun di carok terpencil pendalaman. Tanpa malu, tanpa rasa bersalah dan tanpa patriotikme.

Saya sangat risis. Pertama kerana identiti bangsa saya melayu/Islam terapung-apung terhembus ke tepian. Setiap projek perumahan dibangunkan maka di situlah terpinggir dan tercicirnya Melayuku. Melayu menjadi minoriti tiba-tiba. Kouta 30% tidak pernah dipenuhi. Dicipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan. Akhirnya melayu terpinggir oleh para pentadbir yang dikuasai oleh melayu. Sepatutnya kouta untuk tempat kediaman ialah mengikut majoriti rakyat. Seorang rakyat hanya boleh memiliki sebuah rumah. Memilik lebih daripada sebuah dibenarkan tetapi harga hendaklah dikenakan cukai dan harganya biarlah berganda. Dua atau tiga kali ganda lebih daripada harga asal.

Apa salah PAS? Pas tidak salah apa-apa. Cuma para pemimpin PAS lupa diri. Apabila diberi sedikit kuasa maka ia mula angkuh. Cerca membungakan kata-kata. Hilang identiti Islam. Lunak, lembut, berhemah semakin miskin. Lupa asal usul perjuangan. Mengumnokan orang lain jika ditegur. Mohon maaf tidak sekali-kali. Akhirnya orang melayu membawa diri sendiri, sendiri. Koro kerana tempat bersandar berceragah dengan duri. Ditikam dari setiap sisi oleh bangsa sendiri.

Seorang penyokong tegar PAS mengheret saya ke gelanggang dengan berjela-jela hujah. Saya terima hujahnya tetapi saya tidak dapat menerima amalannya. Kata-kata lebih mudah diucapkan tetapi pembuktian kata-kata memerlukan paparan amali yang nyata.

Bagaimana kalau kami (pengamal politik neutral) melabelkan PAS dan UMNO seperti pintu gol yang dijadikan pintu gerbang. Terhias indah tetapi jalan masuknya tertutup.

Pada PRU-13 kelak, orang-orang seperti kami inilah yang menjadi penghukum atau menjadi pemangsa yang ditelan atau yang menelan. Dua isu yang dipungut untuk diulas sudah bersimpang sior maka bagaimana jadinya jika kita mahu menampil lebih dari itu. Bersimpul. Terurainya tidak juga.

Isnin, 29 Ogos 2011

Lesen Demokrasi.



Mat Sabu. Kini dia adalah Timbalan Presiden Pas. Kita tabik kerana dia dipilih untuk buat tranfomasi dalam perjuangan PAS. Usah pertikaikan dulu aliran politik saya. Yang hendak saya ajukan adalah melebalkan orang lain sebagai jahil. Buta sejarah. Sedapnya mulut apabila kita diberi pentas untuk bersuara. Lesen yang diluluskan dalam amalan demokrasi. Saya berkali-kali bertanya adakah Mat Sabu ini seorang pakar sejarah. Yang lebih menyayat hati saya apabila Mat Sabu mengatakan "cikgu yang mengajar kita dulu mohong ". Mat Sabu jadi bijaksana berpidato di Pentas itu rupa-rupanya baka benih didikan para guru-gurunya yang pembohong terutama cikgu 'sejarahnya'. Di sinilah ayat yang mendorong saya menulis kembali tentang 'politik' iaitu ketika saya amat meluat dan jijik dengan sepak terajang orang-orang politik melayu di tanah air kita.

Kalaulah Mat Sabu itu bekas murid saya rasa-rasanya apakah perasaan saya ketika ini. Ketika akhir Ramadhan dan menjelang Aidilfitri. Mat Sabu merdeka untuk bersuara. Tetapi celakalah dia kerana menguris perasaan gurunya dan guru-guru yang sedamg berkhidmat kini. Apakah di kalangan ribuan guru sajarah dahulu dan kini merupakan para siswazah yang dangkal, pak turut, salah landasan, buta perut sehingga tidak seorangpun berfikir seperti pemikiran Mat Sabu. Saya sangat terguris kerana saya pernah belajar dan mengajar sejarah kepada murid-murid saya.

Kerana pulut santan binasa. Kerana santan berlebihan badan binasa. Lemak lunak suara. Senak setanak di hari muka. Amat mudah bertanak dengan bicara tetapi belum tentu masak terhidang mengisi selera. Bukan Salah PAS tetapi PAS dihukum kerana beri bunga kepada kera. Bukan salah kera tetapi salah belacan menjadi selera. Akhirnya bukan salah ibu mengandung. Itulah yang saya rasa. "hati seorang guru".

Rabu, 17 Ogos 2011

Asuhan.

Sesekali. kadang-kadang. jarang-jarang. Tak selalu. Saya diundang memberi motivasi kepada waris tentang kemahiran belajar kepada anak-anak. 'Pendidikan Anak-anak'. Terfikir juga apalah sangat yang boleh saya curahkan kecuali amali yang saya praktikkan.

Amat kecil ibu bapa mempedulikan anak-anak. Kebebasan mutlak menyebabkan kadangkala kita menjadi penyumbang kepada 'salah asuhan'. Tiada kongkongan. Anak-anak dibiarkan lepas bebas.
Ibarat kambing kalau terlepas tanpa tambatan maka habislah tanaman kesayangan kita. Demikian akan terjadi kepada anak-anak.

Setiap anak-anak perlukan perhatian. Perlukan kasih sayang. Kita perlu jadi pemantau dan ambil hirau gerak laku anak-anak. Pertuturannya wajib beretika. Ada susila. Teguran mesti dibuat. Ketidaksopanan berbicara mesti dicegah. Jika perlu, rotan. Tutur kata anak-anak mencerminkan aras pendidikan yang dibekal oleh waris di rumah. Memberi dan menjawab salam mestilah betul kerana salam itu adalah doa. Salah menuturkan salam beerti salah makna doa. Maka sia-sialah. Tiada rohmat.

Kawan anak-anak kita juga perlu di pantau. Apakah mereka juga penutur yang santun dan sopan. Tanpa budi berbahasa maka imej anak-anak dan kita sendiri akan tercemar. Di situlah susahnya melatih tubi pertuturan yang mulia. Ia bermula di rumah. Jadi kita sendiri mesti menjadi penutur yang terpuji. Sebolehnya jangan sama sekali kita menggunakan gantinama 'aku' ketika bertutur dengan ibu bapa yang menjadi nenek dan datuk kepada anak-anak kita. Demikian juga jangan memberi gelaran kepada anak-anak. Panggilan nama anak-anak seelok-eloknya biarlah seperti tertulis. Itu nama yang kita beri. Kita pilih. Mengapa ia berubah dan disingkatkan. Jika kita tidak berupaya memanggil nama anak seperti yang kita namakan maka pilihlah nama yang hanya dua sukukata. Azah, Fuad. Amran. Nizam. Jika kita ingin meringkaskan nama panggilan maka biarlah ia ada maksud. Ada doa. Senakal manapun anak-anak kita jangan sama sekali memanggil namanya 'syaitan, hantu iblis, celaka. hawaq.dan seumpamanya. Semarah mana sekalipun, kita wajib jaga pertuturan kita terhadap anak-anak.

Latihlah anak kita untuk mengurus diri dan keluarga. Pinggan makanan sendiri mesti diasuh agar dibasuhnya. Ini temasuklah kasut sekolah. kalau kita membasuh, elok diajar mereka menyidai di ampaian. Solat mesti dipastikan. Mesti diingatkan setiap waktu. Jangan pedulikan apa riaksi dan maklum balas daripada arahan itu. Pedulikan. Yang paling penting mereka Solat. Tidur dan bangun anak-anak mesti dipantau. Katil dan cadar mesti dirapikan. Jangan biarkan anak-anak tertidur dengan airmata. Selidik apakah kedukaan mereka.

Persekolahan. Ramai waris tidak pedulikan. Pergi dan balik sekolah adalah kebebasan. Tidak ditanya tentang pelajaran yang dipelajarinya di sekolah. Kerja rumah. Buku. Pakaian. Jangan biarkan anak-anak berpakaian comot ke sekolah. Latih dan asuh agar mereka menjaga kebersihan diri. Jika kotor minta penjelasan. Elok arahkan mereka mencuci pada kadar segera.

Sejauh mana seseorang kanak-kanak itu bersedia untuk ke sekolah adalah tangguhjawab ibu bapa. Pakaiannya adakah tersedia. Adakah keadaannya elok dan bersih. Bagaimana pula dengan peralatan belajar. Pensil/pen, pembaris dan pemadam wajib lengkap. Jangan asuh anak-anak meminjam peralatan daripada kawan. Nampak yang kita sebagai waris amat dhoif. Pastikan ada apa-apa pesanan untuknya. Umpama 'belajar rajin-rajin'. 'berkawan elok-elok'. 'jaga kebersihan'.
Bersalaman dengan cikgu sebelum balik. Apa-apa maklumat yang disampaikan mesti berakhir dengan terima kasih. Contoh 'terima kasih kerana berpakaian bersih. Sediakan sedikit makan dan minuman jika dia sedang membaca atau menyudahkan kerja rumah. Apa sahaja yang berupaya dicapai hendaklah disusuli dengan tahniah/syabas dan terima kasih. Pastikan sebelum ke sekolah kita telah menyediakan sarapan dan peralatan yang berfungsi. Pensilnya tajam. Pennya berdakwat. Pensil warna tersedia.

Anak kita adalah warisan kita. Jangan biarkan dia menapak arang. Sekali terpijak arang maka sepanjang hayat berbekas hitam. Jangan jadi seperti cucur badak. Isinya kelapa dan udang badaknya tiada. Ertinya ilmu yang hebat tetapi kita kehilangan sesuatu yang lebih besar dan bermakna. Moga-moga kita tidak hilang identiti melayu dan Islam yang bijaksana dan mulia akhlak serta pekerti.

Ahad, 7 Ogos 2011

Sungai Bernam


Kubenamkan kakiku ke dadamu
ketika jernihnya kau mengalir
membasuh kuku kakiku ini
menjadi kilau kilat yang kekal menapak
mengalir arus selajumu
merentas tebing dan mencari muara

Kutemui
tapak jejak yang abadi
terbenam di lubuk sungaimu
ketika terbangun mengejar keretapi utara
untuk mencari kekasih nusa yang hilang stesyennya

Sungai Bernam
telah kuampangi janjiku
kukuh dan teguh
hingga ke muara bakti
terima kasih wahai bilah-bilah pancangan
yang terpacak menjadi paksi
untuk kubertenggek
bersama arusmu.

Jumaat, 5 Ogos 2011

Ramadhon 1960'an

Langsung tiada dalam ingatan tentang tahun dan tarikh sebenar saya mulai berpuasa. Cuma kalau tidak berpuasa saya dan adik-adik hanya dapat merenung hidangan ketika berbuka. Hanya menghidu aroma hidangan. Mahu tidak mahu terpaksa juga berpuasa. Kadang-kadang curi makan. Saya tahu bahawa ayah saya memaklumi tentang perlakuan saya tetapi dia mengiyakan sahaja dalam diam. Kalau terlalu dahaga saya akan pergi mandi dan menyelam. Ketika itulah saya minum di dasar sungai. Umur 9 dan 10 tahun berpuasa pasti banyak ragam.

Menjelang waktu berbuka kami akan memandang ke arah Alor Star. Isyarat waktu berbuka pada masa itu hanyalah melalui detuman meriam yang ditembak. Bunyi dentumannya boleh didengar berbatu-batu (belum lagi menggunakan sistem metrik) jauhnya. Saat paling gembira. Mak dan ayah akan bertanya lauk apa yang dikehendaki untuk dijamah. Ayah selalu membuncingkan saya di belakang basikalnya untuk membeli bahan mentah sebelum dimasak sebagai juadah berbuka. Di Pekan Langgar. Paling terkenang-kenang apabila ayah bertanya tentang lauk kegemaran untuk berbuka pada hari itu. Bayangkan perasaan kanak-kanak baya saya dilayani sebegitu rupa. Semuanya tinggal kenangan.

Selepas berbuka ayah ajak solat maghrib. Sesudah itu dia ajak saya ke Masjid bersebelahan rumah untuk solat tarawikh. Saya mesti berada di sisi ayah. Saya tiada peluang untuk bermain toi di bawah masjid. Bunyi bising kanak-kanak bermain di bawah masjid tidak pernah menjadi rasa amarah pada para jamaah yang sedang bersolat. Masjid kami pada masa itu seakan surau kampung pada masa ini. Bertiang. Samalah macam rumah tradisional Kedah. Bumbung Perak. Atap Zink. dinding dan lantai hanya papan keping. More hampir setiap malam. Nasi. Bihun. Bubur kacang. kanji. Itulah menu yang sering bersilih ganti. Kadang-kadang amat menjemukan. Tetapi itulah sahaja yang ada untuk dihidangkan.

Selesai waktu solat /berbuka gendang raya akan dipalu. bertalu-talu. Kayu paluannya seakan tanduk lembu. Melengkung. Rentak paluan dum dum. dum dum. dum dum. silih berganti. Pemukulnya juga bergantian. Biasanya anak-anak muda dan diselang seli dengan paluan kanak-kanak baya saya. Rentak paluan remaja dan kanak-kanak amat berbeza. Pemukulnya juga boleh dikenali melalu kenyaringan paluan. Kadangkala kulit dipermukaan gentang itu pecah. Ia akan berganti dengan kulit baru daripada lembu korban musim aidul azha.

Balik tarawith kami akan main meriam buluh. Ayah buat meriam buluh dengan bersimpai rotan. Karbat sebagai bahan peladak boleh dibeli tanpa larangan. Setiap kedai di Pekan Langgar ada bekalannya. 50 sen sudah mencukup untuk bermain meriam selama seminggu. Untuk meladak kita perlu menggunakan pencucuh. Pencucuh dibuat daripada bilah buluh duri sepanjang sedepa dan diikat dengan tali guni atau perca kain dihujungnya. Keselamatan diutamakan. Permaian diawasi oleh ayah. Biasanya dia yang penjadi peladak utama. Hoh meriah. Pada waktu itu ramadhon sentiasa ditunggu-tunggu.

Juadah berbuka yang utama ialah nasi kerabu. Nasi kerabu dulu-dulu berbeza dengan nasi kerabu sekarang. Aromanya mencairkan air laur. Setiap jam saya menjadi pemantau dengan membuka tudung periok untuk mengetahui rasepi masakan ibu. Tak sabar tergadai puasa. Seingat saya jumlah hari berpuasa lebih banyak daripada hari-hari tidak berpuasa. Kenangan itu tetap indah dan ia tidak mungkin dikembalikan. Ia hadir bagai catatan yang diselak sehelai demi sehelai. Terakam bagai sebuah filem panjang tanpa penghujung. Selamat berpuasa.

Isnin, 25 Julai 2011

i am ok.

Entah dari agensi mana yang setiba-tiba menyapa saya ketika sedang sarapan pagi. Teh tarik masih berbueh. Nasi lemak udang sekadar sesudu disauk ke mulut. Pak Cik boleh saya berkongsi pendapat? penuh sopan dan tertip. "Minta maaf jika saya mengganggu Pak Cik sarapan. Saya tersenyum. Dalam hati tergetus prasangka ' apa pulak budak kanyak ni nak pekena aku'. Saya layan kedua remaja perempuan ini dengan menjemput mereka minum bersama.

Soalan yang tidak terpalit sedikitpun di minda saya ini tiba-tiba terlontar dari bibir munggil anak gadis ini. Cantiknya kira ada rupalah. Boleh dijadikan calon menantu tetapi anak lelaki baru berusia 20 tahun. Apa kira pun kena hanyutkan dahulu fikiran yang tergoda bak sementara itu. Soalannya "Pak Cik suka politik?" Saya diam dan merenung sorang demi seorang dengan renungan tajam. Muka mereka berubah. Semerah kulit delima matang. Saya uja mereka dengan soalan yang tidak menepati soalan. "Kenapa?"

Kami siswa sains politik universiti.. XYZ sedang menyiapkan kerja kursus tentang aliran pemikiran pengundi PRU 13. Ya ka. Bagus. Untuk soalan yang ditanya sebentar tadi. "SUKA!" Pak Cik parti............? . Rahsia. Rahsia?, Pak Cik takut untuk mendedahkan keahlian PakCik?
ohhhhhhhhhhh! sesekali tidak. Nanti cik Shuhada dan Cik Ng Sui Leng boleh menelah kepartian saya. Sekarang kita ke persoalan pokok. Apa yang kamu berdua ingin tahu?

S. Parti yang pak cik akan pilih (undi) dalam PRU 13.
J. Belum tentu lagi.
S. Mengapa?
J. Kerana PRU 13 belum tiba.
S. Belum memihak. Kenapa?
J. Sebab saya Islam dan saya juga melayu.
S. Apa kena mengena dengan keputusan memilih?
J. Seorang wira, dia tidak akan menyatakan siapa musuh dan siapa kawan. Wira tetap
ada musuh dan tetap ada kawan.
S. kami tak faham. .....
J. Tanya soalan yang lain?
S. Calon yang bagaimana yang akan menjadi pilihan Pak Cik Pilih?
J. Tahniah! soalan yang bagus. Calon pilihan. Cerdik. pandai. amanah. penyayang. sopan. rajin.
s. Semua calon rajin.....
j. Siapa kata? Rajin mengumpat. Rajin berjanji. Rajin buat duit. Rajin bercakap. rajin bergaduh.
s. Habis......!
J. Calon yang pak cik akan pilih ialah calon yang ada kejantanannya, keperempuanannya, keanakannya, keibuannya dan kebapaan.
s. adakah calon yang seperti itu ...... pak Cik?
j. Ada. Akar kayu di rimba kita kenal asal usulnya, kita kenal khasiatnya inikan pula manusia yang hanya ada dua iaitu iman dan nafsu. Gampang.
S. Pas atau UMNO atau Keadilan.
J. Pak Cik akan pilih Manusia. Bukan Pas. bukan UMNO dan bukan Keadilan.
s. Terima kasih pak cik kami akan ketengahkan keunikan pendapat ini tetapi kami tidak memperolehi ketepatan seperti yang kami ingini.
J. Tidak semua yang kita ingini akan kita perolehi dengan jalan mudah. Terima kasih kembali.

Saya kasihan melihat mereka melangkah longlai meninggalkan meja makan dari Medan Selera ini. Mereka saya andaikan sama seperti anak-anak menagih wang sepuluh ringgit tetapi yang dapat diperolehi hanyalah seringgit. Seorang pengikut PAS tegar di SK Sri Gunung tentu kecewa dengan jawapan saya. tetapi I am OK cikgu. Tiada sesiapa pun yang boleh menyembelihi saya selagi saya boleh menyebut I am OK. kah kah kah Hwaaaaaaaaaaaaaa!

Khamis, 23 Jun 2011

1957, 1958.1959l Saat Manis Persekolahan .

Mengimbau kembali masa lalu akan melereklah senyuman. Zaman persekolahan yang tidak mudah dipadam. Saya tidak tahu bagaimana saya boleh membaca, menulis dan mengira. Berapa lama jangka waktu diambil untuk menguasai kemahiran tersebut. Apa yang saya ingat rentetan proses pembelajaran saya tentu berlainan dengan orang lain. Guru darjah satu, dua dan tiga saya adalah bapa saudara saya sendiri. Ahmad bin Awang Kecik. Lebih dikenali dengan Cikgu Mat Adam.

Bapa saudara saya ini tinggal berseberangan sungai. Untuk itu setiap malam sesudah mengaji al Quran dengan ayah saya akan membaca buku. Mengeja. Membaca kali-kali. Sifir. Setiap malam saya mesti melaungkan suara bacaan dan hafalan saya untuk didengar oleh bapa saudara saya di seberang sungai. Jika beliau tidak mendengarnya maka pada keesokannya alamat saya akan pulang lewat daripada orang lain. Saya akan mengeja dan membaca di hadapannya sebelum dibenarkan pulang. pulang lewat adalah satu deraan pada zaman itu. Lima minit sebelum pulang akan diberi soalan sifir. Sesiapa yang berjaya akan dibenarkan pulang awal. Saya satu-satunya pelajar yang tidak berpeluang untuk pulang awal. Meskipun berulang kali yang mengangkat tangan namun bapa saudara saya ini seolah-olah tidak memandang. Waktu itu saya mula protes dan merajuk. Apabila berada di darjah dua saya sudah berani membaca senyap. Rupa-rupanya secara senyap juga, bapa saudara saya itu datang pada setiap malam untuk mempastikan saya membaca. Sekarang barulah saya tahu makna kasih sayang.

Cikgu Mat Adam dikategorikan sebagai guru yang baik. Amat rajin. Tulisannya cantik. Dia berbasikal ke sekolah. Hari Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti mingguan. Hari-hari minggu begini beliau akan menyauk udang. Saya akan menjadi tukang kayuh sampan. Namun tidak lebih sekadar teman untuk aktivitinya itu. Joran buluh sepanjang satu meter berumpankan isi kelapa yang dibakar akan dicacakkan ke perdu nipah. Udang galah akan merentap umpan itu dan ia akan terperangkap apabila disauk dari bawah dasar sungai secara perlahan-lahan. Saban pagi Jumaat kami akan berlaukkan udang galah. Jemu. Setiap kali turun ke sungai kami akan perolehi antara 3 hingga 5 kilogram udang galah yang besar. Sepit udang menjangkau sebesar ibu jari. Perang kehijauan dan berlumut. Sepanjang bersampan itu saya hanya diam dan setia menurut arahan. Takut kepada guru walaupun dia bapa saudara saya.

bersambung...

Rabu, 22 Jun 2011

1957: Alam Awal Persekolahan

Pada waktu itu tiada seorang pun pelajar yang mempunyai basikal. Tidak ada. Pelajar dari Padang Petani dan Alor Keladi meredas sawah sejauh 2 kilometer untuk ke sekolah. Dari Tok Temenggung 1 kilometer. Pelajar dari Alor Gelam, Alor Kandang, Haji Naik Kayu, Lubuk Beduan dan Padang Terus juga meredah sawah untuk ke sekolah. Rata-rata antara 2 hingga 3 kilometer dengan berjalan kaki. Yang agak dekat sedikit mungkin rakan-rakan dari Alor Teja dan Alor Semela. Yang saya pasti semuanya akan meniti jambatan buluh sebelum sampai ke sekolah.

Jambatan Buluh.
Jabatan Buluh dibina secara bergotongroyong. Berderau. Seminggu untuk menebang dan mengumpul batang-batang buluh itu. Sehari dipilih untuk membina jambatan. Pada hari tersebut disediakan jamuan. Biasanya bubur kacang dengan pulut atau roti mayat. Buluh-buluh yang terpilih itu akan diruncingkan pangkalnya. Buluh duri atau buluh sigai menjadi pilihan penduduk. Cara membenamkan pangkal buluh ke dasar sungai juga unik. Pada bahagian-bahagian tertentu di pancang buluh itu di ikat dengan tali bersimpai belitan sedepa keratan buluh yang lain. Pancang itu akan dihindik secara beramai-ramai sehingga ia terbenam dan berdiri kukuh. Pancang-pancang itu dipacak secara bersilang. Pada pertemuan pancang yang bersilang itu di ikat dengan dawai atau rotan. Kukuh. Lantai jambatan pula akan dijajari dengan sebilangan himpunan buluh diikat sehingga mempunyai kelebaran yang mudah dilalui kelak.

Pemegang jambatan amat ringkas. Ia sama seperti pagar rumah kampung di pendalaman. Namun tidak ada seorang ibu bapa pun mempunyai kebimbangan untuk melepaskan anak mereka melalui jambatan itu ke sekolah. Anak-anak dibiarkan lepas bebas. Sebahagian besar daripada kami mahir berenang.

Sesi Persekolahan.

Jam 7.30 pagi kami mulakan alam persekolahan dengan membersihkan kawasan sekolah. Menanam pohon-pohon bunga atau merumput. Lumrah pohon bunga yang ditanam pada waktu itu ialah bunga cina atau bunga raya. Dalam kawasan sekolah cuma ada pokok janggus dan pokok muyu. Pulang jam 1.30 tengah hari adalah waktu-waktu yang melesukan. Sekali lagi meredah batas-batas sawah sejauh dua kilometer. Sesudah makan tengah hari kami terpaksa bersaip-siap dan bergegas untuk ke kelas al-Quran di sekolah yang sama. Aktiviti ini akan berakhir sehingga jam 5.00 petang. Demikianlah saya berulang alik ke sekolah itu selama tiga tahun dengan taat. Pagi dan petang. Sepanjang perjalanan ulang alik inilah banyak kenangan saya bersama kakak 'Rokiah'. Beliau menjadi mangsa buli kerana pelbagai kerinah adiknya yang sememangnya manja tetapi cukup nakal. Semua nostalgia itu tidak mungkin berulang kecuali melalui catatan perjalanan ini. Kecil amat.

bersambung...

Isnin, 20 Jun 2011

1957. Awal Persekolahan Di Kg Gelam

Ada sebuah sekolah Umum, Sekolah Melayu Kampung Gelam. Ia bertukar menjadi Sekolah kebangsaan Kg. Gelam pada 1959. Seperti sekolah melayu lain, ketika ia mula dibena tentulah daif. Sebuah bangunan papan bertingkap buluh. Lantainya tanah liat kontang. Meja murid sepanjang satu setengah meter akan dikongsi secara bersama. Biasanya tiga murid untuk sebuah meja. Demikian juga dengan bangku duduk. Bahan bacaan terhad. Balik-balik hanya tentang Ahmad, Fatimah, Tong Seng dan Ramasami. Guru-guru hanya ada enam orang. Seorang untuk sebuah kelas. Guru Besarnya Wan Bulat bin Wan Idris.

Untuk ke sekolah kami berkaki ayam. Meranduk batas bendang. Kawan-kawan saya dari Alor Kandang dan kampung tengah akan melalui Telok kubu. Meredah hutan dan belukar. Meniti jambatan nibung dan buluh. Seorang sahabat saya sentiasa memberi isyarat jika melalui jalan di halaman rumah kami. Dengan pakaian seragam berseluar pendek beliau dengan lagak gagah akan melangkah dengan bunyi goncangan yang amat ketara. Bunyi itu adalah bunyi celepa tembakau dan pemetik api. Umar Lazim. Ketika darjah satu dia telah berbekalkan rokok daun dan tembakau jawa ke sekolah. Tiada larangan. Waktu itu murid dimanjakan untuk sentiasa hadir bersekolah dalam apa situasi sekali pun.

Waktu rehat kami akan bersarapan sotong pedas masak kacang, nasi lemak, bubur kacang, ode-ode. Lima sen setiap satu. Itu sahajalah juadah kami saban hari. Minuman, tentulah air telaga masam di tengah padang sawah. Paling tidakpun kami menonggek untuk menhirup air di dalam sawah itu sendiri dengan menebak ke tepi keladi agas yang galak membuncit.

Sepanjang laluan ke sekolah, kami meredah segala becak, gelong dan tanah koi. Jika malas ada yang akan bersembunyi di rumpun mengkuang berhampiran tanah kubur sehingga habis persekolahan untuk ikut sama-ssma berjalan pulang. Pun dengan rasa selamba. Sekali sekala mereka akan ke sekolah jua jika ada guru yang bertindak menjengah mereka di rumah. Biasanya rakan-rakan yang bersembunyi itu terdiri daripada mereka yang angkoh sombong. Berani untuk membuli sesiapa sahaja jika ada yang berani membuat laporan kepada ibubapa atau guru. Mereka akhirnya tidak ke mana. Pandai pun tidak. Samseng pun sekadar lamunan awal perkembangan remaja yang diulit keseronokan sementara. Samseng kampung yang tidak pernah dipedulikan. Namun itulah rakan-rakan saya.


bersambung...

Ahad, 19 Jun 2011

1957: Ibuku Hebat.

Gelam Segumpong. Kampung kelahiranku. Terpencil di Tajar Utara. Tajar adalah sebuah mukim dalam daerah Kota Star. Laluan kami untuk ke Bandar Alor Star hanya melalui sungai. Guna bot penambang. Kiri kanan Sungai Kedah yang menjadi laluan utama kami pada waktu itu dijajari pepohon nipah subur segar. Air sungai hening jernih. Ikan dan udang akan kelihatan kejinakan jika direnung tajam-tajam di dasar sungai itu. Airnya pasang surut dan kadang kala diluahi dengan tempiasan air asin dari laut. Siakap air payau banyak dan galak. Bersampan dan bertongkang adalah fanomena biasa di kampungku ini. Mandi dengan bergayut pada akar jejawi ala tarzan adalah aksi yang lumrah. Zaman kanak-kanak kami amat manis, hebat dan berbakat. Kami mamah apa sahaja asalkan ia boleh dimakan. Pahit, masam, manis, kelat, hamis, hanyir, pedar akan kami bedal tanpa pandang.

Saya anak Melayu kampung tulin. Terdidik dengan budaya kampung. Tegar dengan tradisi. Ke sekolah dengan berkaki ayam. Setiap hari saya dan kakak berbekalkan nasi bungkus daun pisang yang dilayur. Ibu kami memang pandai masak. Beliau adalah di antara suri yang dikagumi kerana kepakaran memasak. Menjadi juru tunjuk dan pakar rujuk. Kepakaran dan kemahirannya itu cuma sekadar di peringkat kampung. Apalah sangat kepakaranya itu jika dibandingkan dengan kebolehan ibu-ibu di kota. Tapi bagi kami ibulah yang terhebat.

bersambung..

Khamis, 2 Jun 2011

Sukarelawan 1


Lebih banyak sudu daripada bubur.
Namun jangan sampai nasi menjadi bubur.

Khamis, 28 April 2011

O Nasi Lemak

Corak aliran pemikiran rakyat Malaysia cukup lembab untuk berubah. Tetap berfikir secara terpenjara di dalam kotak. Sekolah dan guru menjadi sasaran. 'Buta sejarah dan tidak patriotik, maka sekolahlah tempat untuk pemprosesan. Isu 'beban mengilik buku' maka gurulah sasaran sebagai agen penyebab. Isu ' kemalangan jalan raya', pun sekolah dijadikan tempat pilihan sebagai gerabak usang menggalas beban. Isu 'kejantanan dan kebetinaan' juga sama, sekolahlah menjadi tempat agar pendidikan seks diperkenalkan. Tentu banyak lagi jika mahu disenaraikan.

Gemuk dan nasi lemak!. Apa kaitan 'gemuk dan nasi lemak' dengan sekolah?. Banyak soalan yang perlu dijawab. Di sekolah pelajar berpeluang makan hanya sekali. Paling banyak pun hanya 2 kali secara resminya. Di awal pagi dan pada waktu rehat sekitar jam 10 pagi. Itu sahaja. Namun para politikus dan penggerak masyarakat masih melihat sekolah sebagai agen untuk mengubah masalah 'kegemukan'.

Dengan menikmati sepiring 'nasi lemak' pada pertengahan waktu pagi persekolahan maka bolehkah ia mengatasi dan mengurangkan 'gemuk'?. Tidakkah segala kelori itu sekadar mencukupi untuk mereka mengumpul tenaga ketika/untuk belajar. Segala kelori itu terbakar kerana naik turun tangga sekolah. Cair ketika berbasikal balik. Munasabahkah 'Nasi lemak diharamkan'?. Pada hemat saya ia ada agenda terancang di sebalik tirai sutera. Resis.

Jangan bunuh 'nasi lemak' kerana kita gemuk. Kita gemuk kerana kita jahil dan malas. Jahil kerana kita tidak belajar tentang pemakanan. Malas kerana kita tidak bersenam. Pendidikan pemakanan perlu kepada ibu bapa dan tidak bagitu terdesak untuk kanak-kanak. Isu pendidikan pemakanan memang sedia ada dalam kurikulum di sekolah. Yang tidak ada ialah pada ibu bapa. Anak-anak tidak dididik paksa untuk memakan sayuran. Masakan tidak berasas kepada resepi sihat. Jumlah kelori dalam masakan tidak pernah diambil kira. Malahan pada tanggapan saya ia tidak tersisip dalam kotak pemikiran para ibu bapa.

Budaya 'beli bungkus' sudah menjadi rutin kehidupan kita. Kita tunjuk mana sahaja makanan kegemaran untuk dibeli dengan berbekalkan sumber kewangan semasa. Duit sikit beli sekit, duit banyak beli banyak. Paling mudah kita bekalkan wang kepada anak-anak untuk mereka membeli makanan sendiri. Kita sebenar sudah berada di takah 'mewah'. Kemakmuran dan kemewahanlah punca penyebab kepada kegemukan. Kita boros kerana membeli mengikut kemampuan, bukan mengikut keperluan.

Isu 'Resis'. Penjual nasi lemah dan pembekal nasi lemak dari dahulu dan sekarang adalah 'Melayu". Orang melayu memang pandai memasak nasi lemak. Sedap. Jadi jangan bunuh peniaga kecil 'nasi lemak' melayu dengan menabur baja ke pohon tebu. Mudah menanam tebu di bibir daripada menanam bakti di pangkal hati.



Isnin, 25 April 2011

Dalam Kembara 1

di luar jendela
awan berlalu
aku menanti hujan
mentari masih bersinar
merangkak ke hujung senja

Sabtu, 9 April 2011

Menyuluh Wajah

Memang agak lama tidak menulis. Situasi di tanah air sering menjadi fikiran saya bertapai. Manis gila tetapi leket diuliti dengan kebasian melampau. Namun ia mesti dikunyah dan ditelan jua. Pada usia yang kian mengejar detik-detik penamat ini pasti kita banyak disaluti balutan tapisan untuk membuat pilihan. Komentar kita juga kadangkala lari daripada paksi pemikiran semasa. Mengapa?

Pertama kerana latar pendidikan, kedua kerana asuhan dan kongkongan profesion yang menjadi garis pengawas yang tidak bertauliah tetapi ia membentangkan landasan kukuh yang tidak pernah goyah untuk dilalui. Ketiga aliran pemikiran semakin berubah apabila usia melunjur, pengalaman bertambak dan ilmu tertokok. Demikianlah pola-pala hala tuju kehidupan kita untuk digerakkan berlari. Ia selaras dengan pintu-pintu yang kita pilih untuk kita masuki.

Antantoya.
Politik tanah iar kita semakin huduh. Isu Antantoya terus-terusan digah sedangkan mahkamah telah membuat hukuman mengikut aliran yang kita sendiri kanunkan di parlimen. Kita huduhkan lagi dengan membuat pertikaian terhadap keadilan mahkamah kerana hukumannya tidak selari dengan kehendak kita. Kita seret para pegawai penguat kuasa dengan tuduhan tanpa asas kerana memiliki kekebalan sebagai anggota yang dipilih oleh rakyat melalui undi. Kita lupa bahawa kita menanam kebencian untuk diri kita snediri.

Isu Perkhidmatan Awam.
Siapa yang meruntuhkan integriti terhadap pegawai awam. Kita menghadapi krisis kepercayaan kerana kita yang merosakkan. Apa terjadi kepada pasukan Polis. Kes Anwar Ibrahim dengan Rahim Noor sudah diadili. Lalu kita seret segala kes untuk di caca murbakan. Kita tuntut ditubuhkan SPRM untuk perangi rahsuah. Lalu kita sendiri kecam SPRM dengan kemuhasabahan yang meragukan. Kita marah kepada guru apabila murid didera tetapi kita diam membisu ketika murid membelasah guru-guru mereka. Kita dedah segala kelemahan angkatan tentera untuk umum ketahui sedangkan dedahan kita itu masih ditakah syak wasangka sahaja. Kita pertikai lantikan pegawai awam untuk sesuatu jawatan kerana beranggapan dia mirip dan condong kepada politik lawan.

Pada hemat saya tidak mudah memperbaiki tanggapan umum terhadap penjawat awam kiranya kita berganti kerajaan. Tidak mungkin kita boleh memecat semua pegawai yang berlainan aliran politik semasa kita diberi mandat. Bagaimana dengan cercaan kita terhadap Polis. Terhadap SPRM. Terhadap Mahkamah. Terhadap Tentera. Terhadap guru. Terhadap jururawat/doktor. Terhadap kakitangan awam yang lain.

Vedio Seks.
Patutkah vedio moral kategori rendah yang hangat diperkatakan kini, dipertontonkan kepada para ahli Yang Berhormat di Parlimen?. Aduh! Amat huduh. Rendah mertabat. Aras pemikiran kita semakin selari dengan pemikiran jahiliah. Semua arah aliran pemikiran berkaitan isu ini dicetuskan adalah kerana kita gagal meletakkan kepercayaan dan hukum kepada pemegang amanah. Siapa pemegang amanah? Sebenarnya kita kini saling menunding jari kepada diri sendiri. Pemegang amanah itu adalah kita. Untuk ini saya teringat kepada sebuah drama yang di pentaskan di MPSI/UPSI 1975 berjodol 'SALAH SIAPA?'. Ketika lampu malam digelapkan, maka kita nyalakan sebuah lampu suluh untuk kita halakan kepada sesiapa sahaja. Lalu kita ketawa dalam kegelapan malam itu melihat wajah-wajah yang kita temui adalah wajah-wajah yang kita kenali. Ia adalah wajah-wajah kita sendiri. MALU.

Selasa, 11 Januari 2011

INTERLOK.

Sejak subjek Kesusasteraan Melayu/Bahasa Melayu diperkenalkan di dunia pendidikan Malaysia, belum ada tengkingan kekolotan berlaku seperti dihumbani kepada novel 'Interlok'. Pada hemat saya kekecohan ini berlaku kerana kejahilan penilai yang tidak membaca. Membantah hanya berdasarkan kepada khabar dan gah tetapi tidak berpaksi kepada hakikat. Saya yakin, hanya sebahagian kecil yang membantah dalam demontrasi itu membaca novel 'Interlok'. Mungkin semuanya tidak. Tidak tahu hujung pangkal.

Hampir 40 tahun novel itu berada di pasaran. Dinilai. Tidak pernah disadung cacat cela. Menang anugerah saguhati sempena kemerdekaan ke 10. Tiba-tiba ada menteri keturunan India membebel. Tanpa menafikan keupayaannya menjadi pengkritik dan penilai tetapi ia amat meragukan. Siapa beliau? Kritikus. Politikus atau tikus yang membaiki labu?

Desakan mengubah edisi sedia ada kepada edisi yang melunakkan dan boleh diterima oleh keturunan India adalah kejahilan tanpa maaf. Kalau begitulah halnya maka kita perlu mengubah banyak karya sastera dalam pelbagai temadun untuk disesuaikan dengan selera kita. Boleh? Siapa kita yang berupaya mengubah hak cipta sesebuah karya. Pokoknya kita tidak mungkin memenuhi selera kita dengan memaksa orang lain tunduk untuk melacurkan sesebuah karya bagi tujuan tersebut.

Tanpa membaca, menghayati dan merumus intipati 'Interlok' maka kita akan menjadi diri kita sebagai 'kasta' terakhir. Bacul untuk menerima realiti masa lalu. Paling tidak, kita perlu merdeka untuk berfikir. Cari jalan keluar. Paling mudah sarankan agar pelajar diberi teks (novel) pilihan. Situasi untuk memilih teks pilihan itu telah lama berlaku dalam subjek kesusasteraan melayu di sekolah. Jangan menghalang orang lain menimba ilmu hanya kerana isi dan kandungan dalam sesuatu karya itu tidak menyebelahi kita. Kiranya kita jahil maka janganlah kita berkempen untuk menjahilkan orang lain. Kementerian Pelajaran tidak harus tunduk kepada pemikiran yang terpesong daripada hakikat yang benar, yang tidak berpaksi kepada intipati karya 'Interlok' itu sendiri.

Selasa, 4 Januari 2011

Salah Siapa

Senyum dan ketawa pada awal tahun. Huwaaaaaaaaaaa! kah kih kah kih kihhhh...! Makanan di Alor Star boleh di kategorikan sebagai masih murah. Dua bungkus nasi lemak daun pisang berlaukkan seekor udang sebesar ibu jari tangan dicampur dengan segelas teh tarik bernilai RM2,00. Masih mampu bayar. Kenyang. Memadai untuk sarapan pagi.

Sedang selesa dan enak bersarapan pagi tadi saya bertembung dengan dua tetamu jalanan di warung yang sama di Jalan Datuk Kumbar. Biasalah kaki kutuk. Semuanya serba tidak benar dan tidak kena. Saya diam. Sekadar pandang atas bawah wajah-wajah di meja bersebelahan. "harga naik kerana kerajaan naikkan harga petrol. Semua naik, ikan naik, sayur naik, gula naik, asam keping naik, dan berjela-jela disenaraikan". Benar masakan tidak benar. Betul. Huwaaaaaa!

Tiba-tiba secara spontan satu soalan diajukan kepada saya. "Betul tak Tuan Haji? Mengelabah saya dibuatnya. "Mampu beli, tidak mampu carilah pilihan. Jimat. Kita banyak sangat membazir". Mereka terdiam. "Kita kurang bekerja tetapi angan-angan besar. Sebenarnya kita ada duit sebab itu kita mampu beli. Jika kita tidak ada duit, kita tidak mungkin membeli. Sebab itu jalanraya perlu dipeluaskan. Lebar. berlorong-lorong. Sebabnya banyak kenderaan. Rakyat Malaysia mampu milik". Kita tidak berserapan di rumah tetapi di warung. Kita beli untuk dibawa balik kepada anak-anak kita. Kita jadi semakin malas. Betul tak? Soal saya kembali.

Tersenyeh. Saya sambung sementera menanti pengusaha warung datang mengira. "Di Gelam, semua anak-anak sekolah rendah ada motosikal. Siapa beli? Siapa isikan minyak? Apa tujuan budak-budak tu naik motosikal. Saya tak nampak faedahnya. Memang pembaziran berlaku di depan mata kita sebagai ibu bapa. Mereka meronda merata cerok. Minyak motorsikal mak bapa yang isikan. Maknanya kita mampu. Kita sanggup membazir. Betul tak?".

Jam 7.45 pagi saya bertolak ke sawah. Ketika balik jam 11.00 pagi dua orang tetamu itu masih ada di warong. Saya ketawa. Huwaaaaaaaa! kah kah, kih kih ha ha ha ha. Gagalnya satu sistem pendidikan tak formal. Terhakislah budaya kerajinan. Masa terus berlalu. Harga barangan terus meningkat, rakyat terus membeli. Sebenarnya kita kutuk diri kita sendiri.