Jumaat, 5 Ogos 2011

Ramadhon 1960'an

Langsung tiada dalam ingatan tentang tahun dan tarikh sebenar saya mulai berpuasa. Cuma kalau tidak berpuasa saya dan adik-adik hanya dapat merenung hidangan ketika berbuka. Hanya menghidu aroma hidangan. Mahu tidak mahu terpaksa juga berpuasa. Kadang-kadang curi makan. Saya tahu bahawa ayah saya memaklumi tentang perlakuan saya tetapi dia mengiyakan sahaja dalam diam. Kalau terlalu dahaga saya akan pergi mandi dan menyelam. Ketika itulah saya minum di dasar sungai. Umur 9 dan 10 tahun berpuasa pasti banyak ragam.

Menjelang waktu berbuka kami akan memandang ke arah Alor Star. Isyarat waktu berbuka pada masa itu hanyalah melalui detuman meriam yang ditembak. Bunyi dentumannya boleh didengar berbatu-batu (belum lagi menggunakan sistem metrik) jauhnya. Saat paling gembira. Mak dan ayah akan bertanya lauk apa yang dikehendaki untuk dijamah. Ayah selalu membuncingkan saya di belakang basikalnya untuk membeli bahan mentah sebelum dimasak sebagai juadah berbuka. Di Pekan Langgar. Paling terkenang-kenang apabila ayah bertanya tentang lauk kegemaran untuk berbuka pada hari itu. Bayangkan perasaan kanak-kanak baya saya dilayani sebegitu rupa. Semuanya tinggal kenangan.

Selepas berbuka ayah ajak solat maghrib. Sesudah itu dia ajak saya ke Masjid bersebelahan rumah untuk solat tarawikh. Saya mesti berada di sisi ayah. Saya tiada peluang untuk bermain toi di bawah masjid. Bunyi bising kanak-kanak bermain di bawah masjid tidak pernah menjadi rasa amarah pada para jamaah yang sedang bersolat. Masjid kami pada masa itu seakan surau kampung pada masa ini. Bertiang. Samalah macam rumah tradisional Kedah. Bumbung Perak. Atap Zink. dinding dan lantai hanya papan keping. More hampir setiap malam. Nasi. Bihun. Bubur kacang. kanji. Itulah menu yang sering bersilih ganti. Kadang-kadang amat menjemukan. Tetapi itulah sahaja yang ada untuk dihidangkan.

Selesai waktu solat /berbuka gendang raya akan dipalu. bertalu-talu. Kayu paluannya seakan tanduk lembu. Melengkung. Rentak paluan dum dum. dum dum. dum dum. silih berganti. Pemukulnya juga bergantian. Biasanya anak-anak muda dan diselang seli dengan paluan kanak-kanak baya saya. Rentak paluan remaja dan kanak-kanak amat berbeza. Pemukulnya juga boleh dikenali melalu kenyaringan paluan. Kadangkala kulit dipermukaan gentang itu pecah. Ia akan berganti dengan kulit baru daripada lembu korban musim aidul azha.

Balik tarawith kami akan main meriam buluh. Ayah buat meriam buluh dengan bersimpai rotan. Karbat sebagai bahan peladak boleh dibeli tanpa larangan. Setiap kedai di Pekan Langgar ada bekalannya. 50 sen sudah mencukup untuk bermain meriam selama seminggu. Untuk meladak kita perlu menggunakan pencucuh. Pencucuh dibuat daripada bilah buluh duri sepanjang sedepa dan diikat dengan tali guni atau perca kain dihujungnya. Keselamatan diutamakan. Permaian diawasi oleh ayah. Biasanya dia yang penjadi peladak utama. Hoh meriah. Pada waktu itu ramadhon sentiasa ditunggu-tunggu.

Juadah berbuka yang utama ialah nasi kerabu. Nasi kerabu dulu-dulu berbeza dengan nasi kerabu sekarang. Aromanya mencairkan air laur. Setiap jam saya menjadi pemantau dengan membuka tudung periok untuk mengetahui rasepi masakan ibu. Tak sabar tergadai puasa. Seingat saya jumlah hari berpuasa lebih banyak daripada hari-hari tidak berpuasa. Kenangan itu tetap indah dan ia tidak mungkin dikembalikan. Ia hadir bagai catatan yang diselak sehelai demi sehelai. Terakam bagai sebuah filem panjang tanpa penghujung. Selamat berpuasa.

2 ulasan:

jeragang berkata...

sungguh indah kenangan tu... jeragang pun masihingat dedulu tunggu bunyi meriam dan genta berbunyi untuk berbuka....

FuzAma berkata...

bagus sekali catatan kenangan ini Abah!..suka dan terharu..hat sebak mengenagkan arwah Wan dan kasih sayang kalian yg sungguh tulus.

Sayang Abah!