Rabu, 17 Ogos 2011

Asuhan.

Sesekali. kadang-kadang. jarang-jarang. Tak selalu. Saya diundang memberi motivasi kepada waris tentang kemahiran belajar kepada anak-anak. 'Pendidikan Anak-anak'. Terfikir juga apalah sangat yang boleh saya curahkan kecuali amali yang saya praktikkan.

Amat kecil ibu bapa mempedulikan anak-anak. Kebebasan mutlak menyebabkan kadangkala kita menjadi penyumbang kepada 'salah asuhan'. Tiada kongkongan. Anak-anak dibiarkan lepas bebas.
Ibarat kambing kalau terlepas tanpa tambatan maka habislah tanaman kesayangan kita. Demikian akan terjadi kepada anak-anak.

Setiap anak-anak perlukan perhatian. Perlukan kasih sayang. Kita perlu jadi pemantau dan ambil hirau gerak laku anak-anak. Pertuturannya wajib beretika. Ada susila. Teguran mesti dibuat. Ketidaksopanan berbicara mesti dicegah. Jika perlu, rotan. Tutur kata anak-anak mencerminkan aras pendidikan yang dibekal oleh waris di rumah. Memberi dan menjawab salam mestilah betul kerana salam itu adalah doa. Salah menuturkan salam beerti salah makna doa. Maka sia-sialah. Tiada rohmat.

Kawan anak-anak kita juga perlu di pantau. Apakah mereka juga penutur yang santun dan sopan. Tanpa budi berbahasa maka imej anak-anak dan kita sendiri akan tercemar. Di situlah susahnya melatih tubi pertuturan yang mulia. Ia bermula di rumah. Jadi kita sendiri mesti menjadi penutur yang terpuji. Sebolehnya jangan sama sekali kita menggunakan gantinama 'aku' ketika bertutur dengan ibu bapa yang menjadi nenek dan datuk kepada anak-anak kita. Demikian juga jangan memberi gelaran kepada anak-anak. Panggilan nama anak-anak seelok-eloknya biarlah seperti tertulis. Itu nama yang kita beri. Kita pilih. Mengapa ia berubah dan disingkatkan. Jika kita tidak berupaya memanggil nama anak seperti yang kita namakan maka pilihlah nama yang hanya dua sukukata. Azah, Fuad. Amran. Nizam. Jika kita ingin meringkaskan nama panggilan maka biarlah ia ada maksud. Ada doa. Senakal manapun anak-anak kita jangan sama sekali memanggil namanya 'syaitan, hantu iblis, celaka. hawaq.dan seumpamanya. Semarah mana sekalipun, kita wajib jaga pertuturan kita terhadap anak-anak.

Latihlah anak kita untuk mengurus diri dan keluarga. Pinggan makanan sendiri mesti diasuh agar dibasuhnya. Ini temasuklah kasut sekolah. kalau kita membasuh, elok diajar mereka menyidai di ampaian. Solat mesti dipastikan. Mesti diingatkan setiap waktu. Jangan pedulikan apa riaksi dan maklum balas daripada arahan itu. Pedulikan. Yang paling penting mereka Solat. Tidur dan bangun anak-anak mesti dipantau. Katil dan cadar mesti dirapikan. Jangan biarkan anak-anak tertidur dengan airmata. Selidik apakah kedukaan mereka.

Persekolahan. Ramai waris tidak pedulikan. Pergi dan balik sekolah adalah kebebasan. Tidak ditanya tentang pelajaran yang dipelajarinya di sekolah. Kerja rumah. Buku. Pakaian. Jangan biarkan anak-anak berpakaian comot ke sekolah. Latih dan asuh agar mereka menjaga kebersihan diri. Jika kotor minta penjelasan. Elok arahkan mereka mencuci pada kadar segera.

Sejauh mana seseorang kanak-kanak itu bersedia untuk ke sekolah adalah tangguhjawab ibu bapa. Pakaiannya adakah tersedia. Adakah keadaannya elok dan bersih. Bagaimana pula dengan peralatan belajar. Pensil/pen, pembaris dan pemadam wajib lengkap. Jangan asuh anak-anak meminjam peralatan daripada kawan. Nampak yang kita sebagai waris amat dhoif. Pastikan ada apa-apa pesanan untuknya. Umpama 'belajar rajin-rajin'. 'berkawan elok-elok'. 'jaga kebersihan'.
Bersalaman dengan cikgu sebelum balik. Apa-apa maklumat yang disampaikan mesti berakhir dengan terima kasih. Contoh 'terima kasih kerana berpakaian bersih. Sediakan sedikit makan dan minuman jika dia sedang membaca atau menyudahkan kerja rumah. Apa sahaja yang berupaya dicapai hendaklah disusuli dengan tahniah/syabas dan terima kasih. Pastikan sebelum ke sekolah kita telah menyediakan sarapan dan peralatan yang berfungsi. Pensilnya tajam. Pennya berdakwat. Pensil warna tersedia.

Anak kita adalah warisan kita. Jangan biarkan dia menapak arang. Sekali terpijak arang maka sepanjang hayat berbekas hitam. Jangan jadi seperti cucur badak. Isinya kelapa dan udang badaknya tiada. Ertinya ilmu yang hebat tetapi kita kehilangan sesuatu yang lebih besar dan bermakna. Moga-moga kita tidak hilang identiti melayu dan Islam yang bijaksana dan mulia akhlak serta pekerti.

Tiada ulasan: