Sabtu, 9 April 2011

Menyuluh Wajah

Memang agak lama tidak menulis. Situasi di tanah air sering menjadi fikiran saya bertapai. Manis gila tetapi leket diuliti dengan kebasian melampau. Namun ia mesti dikunyah dan ditelan jua. Pada usia yang kian mengejar detik-detik penamat ini pasti kita banyak disaluti balutan tapisan untuk membuat pilihan. Komentar kita juga kadangkala lari daripada paksi pemikiran semasa. Mengapa?

Pertama kerana latar pendidikan, kedua kerana asuhan dan kongkongan profesion yang menjadi garis pengawas yang tidak bertauliah tetapi ia membentangkan landasan kukuh yang tidak pernah goyah untuk dilalui. Ketiga aliran pemikiran semakin berubah apabila usia melunjur, pengalaman bertambak dan ilmu tertokok. Demikianlah pola-pala hala tuju kehidupan kita untuk digerakkan berlari. Ia selaras dengan pintu-pintu yang kita pilih untuk kita masuki.

Antantoya.
Politik tanah iar kita semakin huduh. Isu Antantoya terus-terusan digah sedangkan mahkamah telah membuat hukuman mengikut aliran yang kita sendiri kanunkan di parlimen. Kita huduhkan lagi dengan membuat pertikaian terhadap keadilan mahkamah kerana hukumannya tidak selari dengan kehendak kita. Kita seret para pegawai penguat kuasa dengan tuduhan tanpa asas kerana memiliki kekebalan sebagai anggota yang dipilih oleh rakyat melalui undi. Kita lupa bahawa kita menanam kebencian untuk diri kita snediri.

Isu Perkhidmatan Awam.
Siapa yang meruntuhkan integriti terhadap pegawai awam. Kita menghadapi krisis kepercayaan kerana kita yang merosakkan. Apa terjadi kepada pasukan Polis. Kes Anwar Ibrahim dengan Rahim Noor sudah diadili. Lalu kita seret segala kes untuk di caca murbakan. Kita tuntut ditubuhkan SPRM untuk perangi rahsuah. Lalu kita sendiri kecam SPRM dengan kemuhasabahan yang meragukan. Kita marah kepada guru apabila murid didera tetapi kita diam membisu ketika murid membelasah guru-guru mereka. Kita dedah segala kelemahan angkatan tentera untuk umum ketahui sedangkan dedahan kita itu masih ditakah syak wasangka sahaja. Kita pertikai lantikan pegawai awam untuk sesuatu jawatan kerana beranggapan dia mirip dan condong kepada politik lawan.

Pada hemat saya tidak mudah memperbaiki tanggapan umum terhadap penjawat awam kiranya kita berganti kerajaan. Tidak mungkin kita boleh memecat semua pegawai yang berlainan aliran politik semasa kita diberi mandat. Bagaimana dengan cercaan kita terhadap Polis. Terhadap SPRM. Terhadap Mahkamah. Terhadap Tentera. Terhadap guru. Terhadap jururawat/doktor. Terhadap kakitangan awam yang lain.

Vedio Seks.
Patutkah vedio moral kategori rendah yang hangat diperkatakan kini, dipertontonkan kepada para ahli Yang Berhormat di Parlimen?. Aduh! Amat huduh. Rendah mertabat. Aras pemikiran kita semakin selari dengan pemikiran jahiliah. Semua arah aliran pemikiran berkaitan isu ini dicetuskan adalah kerana kita gagal meletakkan kepercayaan dan hukum kepada pemegang amanah. Siapa pemegang amanah? Sebenarnya kita kini saling menunding jari kepada diri sendiri. Pemegang amanah itu adalah kita. Untuk ini saya teringat kepada sebuah drama yang di pentaskan di MPSI/UPSI 1975 berjodol 'SALAH SIAPA?'. Ketika lampu malam digelapkan, maka kita nyalakan sebuah lampu suluh untuk kita halakan kepada sesiapa sahaja. Lalu kita ketawa dalam kegelapan malam itu melihat wajah-wajah yang kita temui adalah wajah-wajah yang kita kenali. Ia adalah wajah-wajah kita sendiri. MALU.

Tiada ulasan: