Selasa, 11 Januari 2011

INTERLOK.

Sejak subjek Kesusasteraan Melayu/Bahasa Melayu diperkenalkan di dunia pendidikan Malaysia, belum ada tengkingan kekolotan berlaku seperti dihumbani kepada novel 'Interlok'. Pada hemat saya kekecohan ini berlaku kerana kejahilan penilai yang tidak membaca. Membantah hanya berdasarkan kepada khabar dan gah tetapi tidak berpaksi kepada hakikat. Saya yakin, hanya sebahagian kecil yang membantah dalam demontrasi itu membaca novel 'Interlok'. Mungkin semuanya tidak. Tidak tahu hujung pangkal.

Hampir 40 tahun novel itu berada di pasaran. Dinilai. Tidak pernah disadung cacat cela. Menang anugerah saguhati sempena kemerdekaan ke 10. Tiba-tiba ada menteri keturunan India membebel. Tanpa menafikan keupayaannya menjadi pengkritik dan penilai tetapi ia amat meragukan. Siapa beliau? Kritikus. Politikus atau tikus yang membaiki labu?

Desakan mengubah edisi sedia ada kepada edisi yang melunakkan dan boleh diterima oleh keturunan India adalah kejahilan tanpa maaf. Kalau begitulah halnya maka kita perlu mengubah banyak karya sastera dalam pelbagai temadun untuk disesuaikan dengan selera kita. Boleh? Siapa kita yang berupaya mengubah hak cipta sesebuah karya. Pokoknya kita tidak mungkin memenuhi selera kita dengan memaksa orang lain tunduk untuk melacurkan sesebuah karya bagi tujuan tersebut.

Tanpa membaca, menghayati dan merumus intipati 'Interlok' maka kita akan menjadi diri kita sebagai 'kasta' terakhir. Bacul untuk menerima realiti masa lalu. Paling tidak, kita perlu merdeka untuk berfikir. Cari jalan keluar. Paling mudah sarankan agar pelajar diberi teks (novel) pilihan. Situasi untuk memilih teks pilihan itu telah lama berlaku dalam subjek kesusasteraan melayu di sekolah. Jangan menghalang orang lain menimba ilmu hanya kerana isi dan kandungan dalam sesuatu karya itu tidak menyebelahi kita. Kiranya kita jahil maka janganlah kita berkempen untuk menjahilkan orang lain. Kementerian Pelajaran tidak harus tunduk kepada pemikiran yang terpesong daripada hakikat yang benar, yang tidak berpaksi kepada intipati karya 'Interlok' itu sendiri.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Apabila melayu semakin layu, india bertambah indah adan cina buat tak cakna maka akan berlaku seperti sekarang.

Pemimpin yang LEMAH terpaksa memuaskan semua permintaan rakyat dari setiap bangsa dan segenap lapisan masyarakat untuk memastikan sokongan rakyat tidak berpihak ke golongan lain.

Ini adalah malapetaka kerana melayu tidak lagi bersatu. sanggup mencantas antara satu sama lain. Hasat dengki adalah lumrah.Tikam belakang adalah asam garam. Bodek dan kipas menjadi pakaian. Tipu muslihat adalah pertuturan.

Jadi Interlok yang telah di tulis pada tahun 1977 ini menjadi gelanggang untuk golongan tertentu bersilat. hanya untuk mencuit sedikit bangsa melayu yang sentiasa leka dan alpa. Bukan kerana kuatnya mereka tetapi kerana LEMAH nya kita.

Jika interlok tergadai sekarang entah-entah melayu pula akan tergadai kemudian hari...

Jika kesultanan melayu boleh di perkotak katik, azan di masjid di samakan dengan bunyi kenderaan yang membingitkan telinga... apa lagi yang melayu ada?

ManSaari berkata...

Terima kasih saudara amar. moga di penghujung kecelaruan perjuangan umat melayu akan ada titik pertemuan. Ia mungkin menjadi kabus kelabu di langit harapan. Namun hendaknya,kita tidak menjadi kolompok tegar yang sama sekali tidak berusaha untuk mencari ikatan salam demi agama dan bangsa kita.