Khamis, 28 April 2011

O Nasi Lemak

Corak aliran pemikiran rakyat Malaysia cukup lembab untuk berubah. Tetap berfikir secara terpenjara di dalam kotak. Sekolah dan guru menjadi sasaran. 'Buta sejarah dan tidak patriotik, maka sekolahlah tempat untuk pemprosesan. Isu 'beban mengilik buku' maka gurulah sasaran sebagai agen penyebab. Isu ' kemalangan jalan raya', pun sekolah dijadikan tempat pilihan sebagai gerabak usang menggalas beban. Isu 'kejantanan dan kebetinaan' juga sama, sekolahlah menjadi tempat agar pendidikan seks diperkenalkan. Tentu banyak lagi jika mahu disenaraikan.

Gemuk dan nasi lemak!. Apa kaitan 'gemuk dan nasi lemak' dengan sekolah?. Banyak soalan yang perlu dijawab. Di sekolah pelajar berpeluang makan hanya sekali. Paling banyak pun hanya 2 kali secara resminya. Di awal pagi dan pada waktu rehat sekitar jam 10 pagi. Itu sahaja. Namun para politikus dan penggerak masyarakat masih melihat sekolah sebagai agen untuk mengubah masalah 'kegemukan'.

Dengan menikmati sepiring 'nasi lemak' pada pertengahan waktu pagi persekolahan maka bolehkah ia mengatasi dan mengurangkan 'gemuk'?. Tidakkah segala kelori itu sekadar mencukupi untuk mereka mengumpul tenaga ketika/untuk belajar. Segala kelori itu terbakar kerana naik turun tangga sekolah. Cair ketika berbasikal balik. Munasabahkah 'Nasi lemak diharamkan'?. Pada hemat saya ia ada agenda terancang di sebalik tirai sutera. Resis.

Jangan bunuh 'nasi lemak' kerana kita gemuk. Kita gemuk kerana kita jahil dan malas. Jahil kerana kita tidak belajar tentang pemakanan. Malas kerana kita tidak bersenam. Pendidikan pemakanan perlu kepada ibu bapa dan tidak bagitu terdesak untuk kanak-kanak. Isu pendidikan pemakanan memang sedia ada dalam kurikulum di sekolah. Yang tidak ada ialah pada ibu bapa. Anak-anak tidak dididik paksa untuk memakan sayuran. Masakan tidak berasas kepada resepi sihat. Jumlah kelori dalam masakan tidak pernah diambil kira. Malahan pada tanggapan saya ia tidak tersisip dalam kotak pemikiran para ibu bapa.

Budaya 'beli bungkus' sudah menjadi rutin kehidupan kita. Kita tunjuk mana sahaja makanan kegemaran untuk dibeli dengan berbekalkan sumber kewangan semasa. Duit sikit beli sekit, duit banyak beli banyak. Paling mudah kita bekalkan wang kepada anak-anak untuk mereka membeli makanan sendiri. Kita sebenar sudah berada di takah 'mewah'. Kemakmuran dan kemewahanlah punca penyebab kepada kegemukan. Kita boros kerana membeli mengikut kemampuan, bukan mengikut keperluan.

Isu 'Resis'. Penjual nasi lemah dan pembekal nasi lemak dari dahulu dan sekarang adalah 'Melayu". Orang melayu memang pandai memasak nasi lemak. Sedap. Jadi jangan bunuh peniaga kecil 'nasi lemak' melayu dengan menabur baja ke pohon tebu. Mudah menanam tebu di bibir daripada menanam bakti di pangkal hati.



Tiada ulasan: