Isnin, 5 Disember 2011

Menitip Perjalanan 2

1.
Pembelajaran yang tidak berkesudahan.Pernerbangan dari Alor Star ke KLIA dan ke Lapangan Terbang Madinah sejauh 4, 800 batu notika memakan masa 9 Jam. Belajar untuk berada dalam kekakuan semasa dalam penerbangan adalah ujian pertama. Kaki berjuntaian tanpa bebas untuk belunjur. Kekakuan itu akan hilang hanya apabila mata terpejam kerana kepenatan. Tebang setinggi 29 ribu kaki dari aras laut tidak merisaukan. Pasrah. Hanya gumpalan awan dan kebiruan di dasar bumi mengembalikan imbauan akan ilmu geografi semasa di tingkatan lima 1968. Kembali mengenang akan isroq dan migraj rasullullah terhadap lapisan langit-langit. Subhanallah.

2.
3 Oktober 2011 saya mempersiapkan diri dan keperluan seadanya. Nyatalah kekuatan mental amat perlu untuk setiap jemaah. Dua tiga hari sebelum bertolak adalah hari-hari penuh cabaran yang memerlukan ketabahan, kesabaran, ketahanan dan ketakwaan. Hari-hari tanpa rehat kerana melayan tetamu, mempersiapkan diri dan mengurus dokumentasi serta bagasi. sesuntuk waktu yang tidak mungkin dapat dicuri. Belajar membedak waktu dan mengagihkan dengan serapi-rapinya adalah kerja paling sukar dalam jangka yang terkongkong sebegini. Masa terlalu laju. Lebih laju daripada lajak.

3.
Dalam kelompok jemaah, kita tidak mungkin menuntut hak kita dengan menafikan hak jemaah lain. Belajar menghormati hak orang lain memerlukan takah kesabaran yang tinggi. Ketegaran diri langsong tidak bernilai. Hanya ilmu dan akhlak serta ditokok dengan keimanan akan mendidik kita untuk mencari erti sebuah perjalanan suci dengan kebersihan hati yang terpupuk kejab diikat kejituan asuhan budi yang mantab. Ujian besar dalam perjalanan ini adalah kerana kita hadir dalam situasi di mana kita dibedakan oleh latar budaya dan susila. Malah dibezakan lagi oleh lokasi keintelektualan, emosi, siasah. adap dan usia. Perbezaan inilah kadangkala mempertembungkan jurang dan lompang yang melahirkan krisis kecil di kalangan jemaah. Inilah pelajaran yang tidak ada di bilik kuliah, di surau atau di masjid tetapi mudah dikutip dalam perjalanan.

4.
Tanpa sedar kita tetap membawa budaya hitam ke tanah suci. Ketika kita ingin menyerahkan diri dan memberi fokus kepada perjalanan suci, kita masih punya nafsu jahat lagi hitam untuk mengamalkan budaya yang tidak diizinkan. Masih ada di kalangan jemaah yang berkeinginan untuk mengambil selimut dan harta benda syarikat penerbangan atas nama 'cenderahati'. Demikianlah pelajaran yang dapat kita kutip. Hanya dengan ilmu kita dapat berjuang menidakkan kehendak nafsu untuk mengejar haji mabrur biarpun perjalanan kita masih di awan biru.

Catatan kecil untuk anak-anak.
untuk anak-anakku moga kamu tidak gemar mengambil hak orang, hak yang sebenarnya berstatus 'haram' untukmu miliki. Bersyukurlah dengan sedikit rezeki yang Allah berikan kepada kita daripada kita menyambar habuan orang lain. Hati yang bersih adalah untuk perjalanan yang bersih daripada rezeki yang bersih.
Mudah-mudahan kamu menjadi manusia yang terdidik. Itulah erti kasih kasih sayang kami berdua.

Tiada ulasan: