Ada dua isu yang menarik perhatian saya hari ini. Pertama berkaitan Debat antara YAB Lim Guan Eng dengan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang YBhg. Tan Sri Dr. Koh Tsoo Koon. Pada hemat saya YAB Lim Guan Eng masih menempatkan dirinya sebagai pembangkang bukan sebagai pemerintah. Dia tidak perlu berkokok untuk menjaja skendal tanah era tadbir Dr. Koh Tsoo Koon. Sebagai pemerintah Guan Eng bertanggungjawab untuk tadbir urus bagi membetulkan kesilapan. Jika sekiranya berlaku penyelewengan yang melibatkan salah laku maka beliau bertanggungjawab untuk dakwa kerajaan lalu mengikut proses undang-undang. Soal telus tidak timbul kerana apabila kes penyelewengan itu didakwa ikut proses undang-undang maka ia dengan sendirinya terheboh ke seluruh pelusuk negara.
Guan Eng memilih gaya seorang pemimpin pembangkang untuk menyelesaikan masalah. Apakah lagak seperti itu secocok dan bergaya sebagai seorang pemerintah? Benar, setiap pemimpin mempunyai gaya kepimpinan yang berbeza namun pemerintah tetap pemerintah dan dia bukan lagi pengorek dan penggali yang mendalami lobang kubur untuk dia terjun dan akhirnya dicacai.
Saya ternganga luas apabila Guan Eng membuat kenyataan 'BN telah memerintah 50 tahun tetapi gagal mengatasi kemiskinan tegar namun kerajaan pimpinannya akan mengatasi masalah itu dalam masa setahun sahaja'. Angkuh sekali. Saya tidak marah Guan Eng untuk bersungguh-sungguh mengatasi Kemiskinan Tegar tetapi mana ada rakyat yang waras dapat menerima pemimpin yang membuat kenyataan yang seangkuh itu. Ini juga masalah gali lubang kubur di mana kelak dia akan ditendang ke dalamnya. Musuh politik Guan Eng akan mencari hingga ke lubang cacing rakyat miskin tegar yang gagal dikesan dan gagal dipulih.
Isu kedua ialah kenyataan MB Perak tentang tangkapan Exconya yang disyaki rasuah. Apa ini mainan Umno? Mainan BN. atau ia memang mainan PKR. Saya teringat kata kawan-kawan tentang 'TUHAN BAYAR TUNAI'. 'LUDAH KE LANGIT AKHIRNYA TERTIMPA KE BATANG HIDUNG SENDIRI" Apa pun tuduhan boleh dibuat kepada seseorang selagi kita tidak diberi peluang untuk memegang kuasa dan memegang amanah namun apabila peluang itu diserahkan kepada kita maka ketika itu lurus atau bengkok akan jelas kelihatan. Ketika kita memerintah mengapa kita harus tuduh wujudnya konspirasi sedangkan kita jaja ketulusan, bersih dan keterbukaan.
Bagaimana agaknya jika September nanti apabila Pakatan Rakyat memerintah Malaysia seperti didakwa oleh saudara Anwar Ibrahim? Adakah semua polis dibersarakan?. Kakitangan BPR dilucut jawatan. Manakala kakitangan awam yang berlainan ideologi politik diminta berhenti. Jika semua kakitangan awam diragui maka siapakah yang bakal dipercayai apabila Pakatan Rakyat memerintah. Adakah semua kakitangan badan kehakiman negara diganti dengan pemimpin Majlis Peguam?
Jadilah pemerintah dan jangan masih membawa watak sebagai pembangkang. Jangan lebih lajak dari laju. Jangan sampai habis air sesungai tetapi arang tidak juga memutih. Jika tiada kematian maka tidak perlu kubur digali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan