Ahad, 10 Ogos 2008

Kekalutan

Menyemak ke sasaran perlaksanaan Perancangan Pemerintah dan janji pilihanraya dan kesan kenaikan harga kepada rakyat kini semakin menjadi tenat. Kenaikan harga makanan dan bahan makanan dan lain-lain bahan asas sokongan hidup sudah tidak terkawal. Kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan tidak seimbang. Melambung. Melonjak. Meningkat. Ia menjadi parah dan semakin membawa padah.

Semakan Pelaksanaan Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 telah selesai. Teguran telah dibuat. Tetapi apa sedang terjadi kepada semua perancangan 'Koridor' sama ada 'Koridor Utara' atau 'Koridor Timur'. Malap. Kesungguhan untuk merealisasikan perancangan tersebut seakan kabur. Wilayah pertanian seperti Perak Utara, Kedah dan Perlis kelihatan lesu. Sektor pertanian tetap terabai.

Petani di Kedah masih berhadapan dengan serangan 'gondang emas' dan 'tikus'. Gejala itu masih berleluasa. Apa tindakan kerajaan? Membiarkan petani untuk mengatasi serangan musuh pertanian itu secara sendirian sudah lama berlalu. Malah masalah itu semakin perit. Kerugian disebabkan oleh masalah ini jauh lebih besar daripada tanaman yang musnah akibat banjir.

Dengan harga upah untuk bersawah terus meningkat, dihimpit pula dengan harga baja 'bukan subsidi' membebankan dan ditambah dengan harga benih yang melambung maka para petani akhirnya hanya menerima wang subsidi padi sahaja sebagai pendapatan . Pendapatan 'hasil padi' jauh berkurangan berbanding kos mengurus. Maknanya kos untuk membiayai kerja-kerja persawahan amat tinggi disamping berhadapan serangan musuh pertanian. Apa tindakan kerajaan?

Kiranya masalah yang sedia ada masih tidak upaya dibaik pulih oleh kerajaan, bagaimana agaknya untuk melaksanakan projek dan program baru? Pemerintahan era Pak Lah hanya gah dengan nama 'Rancangan' tetapi 'para petani masih terbiar di takah lama. Malang lagi jika mereka inilah yang menjadi pengundi setia BN. Dan harapan rakyat agar Pak Lah tidak sama sekali cuba melepas tangan semata-mata kerana Kedah dan Perak ditadbir oleh pembangkang.

PakLah sepatutnya menjadi pelaksana bukan perancang. Kalaulah Pak Lah melaksanakan apa yang telah dirancang oleh Tun Mahathir berasaskan 'Wawasan 2020' maka dia kini berada di kedudukan yang kukuh. Jayakan apa yang telah dirancang, bukan mencantas. Beliau akan lebih dihormati. Sekarang telah lewat untuk berpusing 180 darjah. Kecelaruan dan keghairahan untuk meninta nama sebagai identiti kenangan untuk era peperintahannya telah merosakkan halatuju Malaysia. Perancangan zaman Mahathir terabai manakala rancangan 'tom-tom bak mak yong dedek' ala Pak Lah telah menjadi seperti 'pahat berbunyi rumah tak siap'.

Tiada ulasan: