Ahad, 21 Disember 2008

Nikmat

Nikmat. Sesuatu yang amat mudah dicari tetapi kadangkala kita lupa bahawa ia telah ditemui dan dikecapi. Nikmat anugerah Allah Maha Kaya. Melimpah ruah. Akan sentiasa kita temui kiranya kita berilmu dan selongkari. Tanpa ilmu kita miskin nikmat.

Ketika jahil dahulu, pada zaman remaja, saya beranggapan bahawa saya tidak pernah merasai nikmat kehidupan. Kejahilan itu menyebabkan saya menjadi anak petani yang kurang bersyukur kerana dilahirkan dalam kelompok kedaifan itu. Apa yang dialami ialah kesusahan dan kemiskinan. Tidak pernah ketika itu mana-mana guru menyogok kita bahawa kemiskinan dan kesusahan itu juga adalah suatu nikmat. Malah kita jahil kerana kita sering melihat kesusahan dari kaca mata penderitaan, kemiskinan, kekurangan, kelemahan dan kecacatan. Tetapi apabila kita dewasa atau didewasakan maka barulah kita terfikir akan rentetan-rentetan nikmat yang kita kecapi.

Ketika penyair Latiff Mohideen merayau di kota Jogjakarta awal tahun 70-an dulu. Beliau sering mahu menikmati beza wangian. Beliau cuba menikmati bau kobis busuk dengan najis kuda. Beza bau hanyir longkang dengan bau baju lapuk bertapuk. Malah entah apa-apa lagi yang hanya beliau sahaja yang dapat rasai nikmatnya. Saya sendiri tersenyum sinis apabila mengingati betapa nikmatnya Latiff mengunyah bilis mentah dari dalam kocek seluar sepanjang kembaranya dulu. Demikianlah anehnya nikmat yang tersulam dalam diri seseorang. Benarlah... 'Manakan sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu'.

Kini sesudah hampir 40 tahun menyendiri dari alam sawah tiba-tiba nikmat yang dulunya amat lumrah meresap dan menjiwai saya telah hadir kembali. Nikmat yang sepatutnya amat saya rasai dahulu kini meraba diri biarpun pada situasi yang ada bezanya. Nikmat dahulu cuma riang ria kerana upah. Kerja langsai. Dipuji ibu dan ayah. Lihat kesuburan padi membesar melampaui ketinggian diri. Memperolehi hasil yang setanding dengan daya usaha. Terlepas daripada ganguan tiak dan tikus.

Sekarang semua nikmat itu sekadar menjadi rindu-rinduan. Hanya ingatan sahaja yang berupaya mengembalikan nikmat itu. Teringat tin minyak tanah yang digantung untuk digoyang bagi menghalau burung ciak raya. Teringat air sawah yang diraup dengan tangan untuk diminum semasa perjalanan pulang dari persekolahan. Teringat bubur kacang 5 sen semangkuk di kantin.

Teringat musim layang-layang. Musim menangkul (tangguk ikan). Menunggu longgok padi. Memburu puyuh. Memburu belalang goh. Memanjat keriang. Main cakpelong. Kunyah cenderai, buah larak, buah rotan, cermai, asam dan janggus (gajus). Sesekali terjun sungai dan mencari buah nipah. Nikmat buah nipah ialah kentut sepanjang hari.

Kini nikmat yang masih berbaki itu hanya sekadar bau lumpur dibajak dan aroma bunga padi ketika bunting. Tiada lagi harum wangi emping digoreng. Apalagi untuk merasai nikmat nasi beras tumbuk. Lesong serindit pun sudah tiada. Untuk sekadar menghilangkan kerinduan ini saya kembali membaca 'Ranjau Sepanjang Jalan'. Terima kasih cikgu Shahnon kerana cikgu lebih awal diberi nikmat ini. Terima kasih kepada cikgu Yusof Hassan kerana memberikan saya ilmu dalam 'RSJ' untuk bekalan hidup. Setiap kali disebut 'RSJ" maka setiap kali pula ingatan saya kepada cikgu-cikgu semakin marak. Terima kasih cikgu.

Catatan:
Prof. Dato' Shahnon Ahmad
Prof. Dato' Yusoff Hassan

3 ulasan:

Unknown berkata...

kepahitan sering menghiris qalbu. kemanisan perubat syahdu.

Leenoh berkata...

Memanglah bila kita ingatkan kembali Lahuma dan isterinya berbanting tulang di dalam sawah dan bergelut dengan lintah kerbau.

Kita rasa seolah-0lah mereka tidak memiliki kebahagian langsung tetapi pada hakikatnya mungkin mereka mempunyai nikmat dan kebahagiaan melebihi mereka yang berada di kawasan perumahan mewah kerana nikmat dan bahagia itu terlalu maknawi.

Cerita Mansaari telah berjaya mengingatkan saya kembali ketika zaman remaja dahulu tentang seronoknya menangkap ikan dengan cara menggunakan serkap, mengail, tahan bubu, tahan taut, timba telaga dan lain-lain yang mana istilah tersebut tidak asing lagi bagi petani-petani di Kedah.

Sebenarnya sekarang ini kita pergi semakin jauh dari kampung halaman dan menuju ke suatu kampung yang lain,yang kekal abadi, ianya semakin hampir.

Semoga laluan yang kita sedang gunakan adalah laluan siratalmustaqiim.

Wallahhu aklam bissowab. Wassalam.

ManSaari berkata...

Leenoh.
Terima kasih atas ingatan. Nilai masa silam amat mahal dan tidak mungkin kembali. detik-detik tetap menghampiri tanpa tangguh. Benar. Namun nilai masa ini lebih mahal jika kita masih sia-siakan. semuga kita tidak dibelenggui kelekaan. Assalamualaikum.