Selasa, 15 April 2008

Waris 4

Pesanan Paling Syahdu Untuk Seorang Lagi Anakku; Mohd. Najib.

Mohd. Najib menitip maksud 'yang cerdik'. Putera bongsu kami ini acapkali memperagakan kemanjaannya hingga keperingkat kecairan yang boleh menyebabkan kesukaran kepada ibunya untuk membuat teguran dan arahan. Watak kemanjaan itu seakan-akan hilang apabila beliau berinteraksi dengan saya. Budak cerdik memang cerdik juga untuk mencari helah dan menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi mengikut masa, tempat, suasana dan firasat. Rengekan dan bahasa budinya boleh mencairkan ratusan ringgit daripada ibunya. Sesekali dia meletakkan kepala ke ribaan ibunya maka akan tertunailah segala hasrat yang diidamkan. Cair. 2008 mencecah usia 17 tahun. Remaja. Masih belajar di SMK Dato' Syed Omar. Tingkatan 5.

Mohd Najib agak cemerlang dalam arena sukan. Semasa di SK Taman Uda dia sering mencuri-curi untuk mengambil bahagian dalam sukan tanpa pengetahuan saya. Pergi ke tempat latihan atas alasan 'hadir untuk aktiviti kokurikulum'. Bila dapat hadiah atau pingat barulah ditunjukkan. Saya tetap diam. Ini mungkin menyebabkan dia serba salah hinggakan dia tidak lagi aktif apabila berada di sekolah menengah. Sebagai guru saya memang utamakan akademik.

Mohd. Najib saya anggap mempunyai sifat amanah. Dia pernah terjumpa tas tangan berisikan barang kemas dan wang tunai ratusan ringgit di hentian rehat Lebuhraya Utara Selatan. Dia mempunyai cara tersendiri untuk mengembalikan tas tangan tersebut. Waktu itu dia masih di SKTU. Cara dia melapor dan menghubungi pemilik tas tangan itu menyebabkan kami beranggapan dia memang cerdik.

Tahun ini dia akan menghadapi peperiksaan SPM. Seperti ibu bapa yang lain juga, saya memang amat risau. Saya sukar menelah budak cerdik ini. Dia pandai atur waktu untuk ulangkaji. Biarpun saya sentiasa mengherdiknya dia tetap diam. Tetapi, diluar pengetahuan beliau, saya telah pergi untuk berjumpa gurunya. Entahlah. Mengikut gurunya 'Mohd. Najib, ok! Saya melopongkan mulut dan ulangi kembali kata-kata gurunya itu "OK????". Tetapi dengan seribu tujahan yang menjadi teka-teki mungkin hingga kepada keputusan SPM kelak. Mohd Najib, "Jangan hampakan abah, mama, abang , kakak dan GURUmu". Khusyuk bersembahyang, berdoa, pohon permudahkan urusanmu. Abah percaya kepada apa yang telah cikgu adik katakan kepada abah. Pengetua, PK HEM, GURU Pakar Bahasa Melayu, adalah kawan-kawan baik abah. Jangan malukan abah dan abah percaya Najib tidak akan memalukan abah dan mama. Hanya orang yang berjaya sahaja yang tahu akan nikmat sesuatu kejayaan itu.
Dan Najiblah di antara anak yang amat abah harapkan untuk tidak mengecewakan orang tuanya.

Abah sediakan motosikal KAU7972 itu demi kemudahan berulang alik semata-mata untuk belajar. Kawan abah ramai, KAU7972 tidak mungkin boleh terlalu bebas di Alor Setar. Tekun, tabah, dan hadapi cabaran. Proses belajar, "Dengar, faham, simpan, saring, dan keluarkan". Insya-Allah, mudah-mudahan usahamu diberkati.

1 ulasan:

tali belati berkata...

mohd najib, ingat! kemanjaan tidak akan menjadi awak manusia yang cemerlang, puan khadijah ingat manja anak biar berpada agar kemudian hari kelak tiada penyesalan yang tiada kesudahan, cikgu tanggung jawab awak untuk mengembalikan kemanjaan anak awak, tentu ada silap dimana-mana berkaitan awak menyebabkan najib jauh hati, semua perkara harus diperhatikan dalam menjana insan yang bernama najib agar menjadi hamba allah yang cemerlang macam abang sulong, abang kedua, kakak. jangan diletakan kesilapan dipihak lain semata-mata