Isnin, 21 April 2008

Seterika Arang

Memang seterika seperti ini masih mudah didapati. Yang penting saya masih mewarisi seterika yang saya dan kakak gunakan pada tahun-tahun 60-an dan di awal-awal tahun 70-an. Sekiranya ketiadaan arang kami akan bakar tempurung untuk memanaskannya. Sebelum seterika ini digosok ke kain ia perlu ditekap ke daun pisang. Mengapa? Saya juga sering bertanya tetapi jawapannya tetap sama iaitu... Mengapa?

Saya tidak tahu apakah khazanah ini akan dihargai oleh anak-anak saya. Tiada kenangan apa-apa pun untuk menusuk rasa jerih perih kehidupan masa silam ibu bapa mereka untuk dikongsi bersama. Tiada. Mereka hadir dalam serba ada. Ke sekolah dengan kereta. Lampu elektrik, air siap terpasang dalam rumah. Bilik air berlantai dan berdindingkan jubin. Masa awal kemerdekaan mana ada bilik air. Mandi sungai. Mereka tidak pernah alami suasana sebegitu.

Baju dan seluar sekolah kami mesti berkanji dan bernila. Jika tidak, kita akan dianggap seperti terlalu ulu. 'kekampungan'. Pada masa itu, mana ada budak kampung yang berbangga dengan kampungnya. Sebab utama ialah kemiskinan dan tanpa apa-apa kemudahan.

Seluar dan baju berkanji mesti diseterika sehingga lendit. berkilat. 'Sais' mesti terpacak. Mesti jaga hingga balik sekolah. Duduk mesti tertib supaya 'sais' tidak patah.

Demikianlah pelajar remaja masa itu. Kadang-kadang saya terfikir mungkin inilah salah satu sebab mengapa pelajar dahulu patuh dan berdisiplin ketika memperagakan pakaian sekolah. Kemas. Rapi. Cuma bezanya yang berseluar pendek agak terpendek manakala yang berseluar panjang terlalu sendat. Pelajar wanitanya.., Kahkahkehkeh.. Mana 'adanya' baju kurung, apalagi bertudung. Jahil betul kami pada masa itu. Semoga kejahilan kami diampuni Allah.

Tiada ulasan: