Sabtu, 5 April 2008

Waris 1

Haji Mohd Syakir, adalah terjemahan rasa kesyukuran kami kerana dikurniai putera sulung. Wataknya mencerminkan ketenangan, sehalusan budi, bahasanya teratur dan kadangkala sangat formal. Sewaktu di sekalah rendah ramai juga gurunya yang memberi komen bahawa agar sukar berbual dengan Mohd Syakir kerana bahasanya sangat baik, baku. Itu ilasan guru-gurunya dan rakan-rakan saya. Mungkin ulasan itu, ulasan yang jujur. Entah. Saya terima seadanya sahaja. Memadailah dan rasa sangat bersyukur kerana dianugerahi waris sebegini.

Mohd Syakir adalah satu-satunya putera saya yang mewarisi jejak. Jadi pendidik. Opsyen Bahasa Arab. Kira-kiranya, dia lebih pandai dari bapa dan ibunya dari segi berbahasa. Selain bahasa Arab, dia fasih berbahasa Inggeris, dan Mandarin. Tetapi belum ada calon isteri. Sebagai bapa saya bangga kerana dia jadi guru.

Apabila pensyarahnya beri markah 4 untuk kebanyakan item-item, dia naik gelabah. "Biar betul?" Semacam tidak percaya. Ketika buat persediaan mengajar dia tanya dan tanya. Nostalgia lama terseret ke dalam benak. Ketika di SK Sri Gunong, saya selalu juga panggil guru-guru JQaf dan bagi nasihat agar lebih bersedia untuk jadi guru yang berkesan, disukai murid, seronok untuk belajar dan lulus dengan cemerlang. Tapi tindakannya lambat. Ambil masa yang terlalu lama. Ketika P&P, susunan kasut di tangga surau pun tidak teratur, rehal rosak, meja rosak, surau tidak diceriakan. Peralatan tidak tersedia seperti yang sepatutnya. Ini mempamerkan kelemahan seseorang guru di mata seorang penilai.

Kita belajar Al-Quran pada zaman IT. Kenapa kita tidak gunakan kemudahan itu. Syakir ada beberapa BBM/IT. Insya-Allah akan dimasukkan dalam blog saya ini nanti. Percuma. Tetapi bukan semua. Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menadah. Tangan yang menadah, bila pula masanya untuk memberi? Cikgu boleh marahkan saya atau berasa tersinggung. Apa boleh buat, saya telah me'merdeka'kan diri saya daripada ikatan dan Akujanji Perkhidmatan Awam. Saya guna demokrasi seperti yang dibenarkan oleh perlembagaan negara kita. Jika baik jadikan penilaian saya itu sebagai cabaran untuk membuat perubahan. Jika saya salah menilaian anda, cuba-cubalah minta orang lain menilai cikgu. Cikgu mesti jujur. Teguran juga perlu jujur. Hanya orang yang rabun sahaja yang tidak nampak langit yang cerah. Kita akan berbau wangi jika kita berada di tengah-tengah lokasi yang kurang wangi tetapi adakah kita wangi di lokasi yang wangi?

Mujur juga saya tidak menjadi nazir. Kalau tidak, ramai guru tentu menyumpah dan menyampah. Saya akan jumpa Hishamuddin Hussin pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. kalau dia sibuk saya akan tulis surat. Dulu saya kerap berlapik, berbahasa kerana waktu itu saya masih berkhidmat. Saya wajib patuh dan tidak boleh menidakkan dasar. Pada waktu itu saya adalah pelaksana dasar dan bukan pembuat dasar. Kini saya merdeka. Beliau perlu diberitahu, matlamat khatam Al-Quran seperti dalam konsep dan dasar pelaksanaan JQAF di sekolah rendah. Kini apa sudah terjadi. Dasar pelaksanaan JQAF itu amat baik. Cuma pelaksanaan untuk mencapai matlamatnya sahaja yang saya pertikaikan. Pemantauan daripada KPM, JPN, PPD amat kurang. Apabila memantau jangan marah cikgu tetapi tunjuk contoh bagaimana cara menjadikan P&P JQAF berkesan.

Hishamuddin.
Jangan asyik julang keris. Jangan seru guru bekerja macam ajak pemuda Umno bekerja. Dia patut bezakan berucap di perhimpunan pemuda UMNO dengan berucap dengan guru. Dia kena jadi guru, belajar jadi guru untuk berucap kepada guru. Santun guru seperti kata Ahmad Bakhtiar; saya perturunkan berdasarkan ingatan 32 tahun lalu:
Makan seperti guru,
Berjalan seperti guru,
Berpakaian seperti guru,
Bercakap seperti guru,
Duduk seperti guru,
Tidur seperti guru,
Berkawan seperti guru,
Marah pun seperti guru.
Saya masih dipanggil cikgu. Mungkin hingga ke akhir hayat. Alangkah malunya jika kita hanya bekerja sebagai guru dan bukannya menjadi guru.

Tiada ulasan: