Isnin, 7 April 2008

Waris 2

Warkah abah untuk seorang anak di rantau.

Mohd Azhan. Ia membawa makna 'kuat ingatan @ cerdas @ faham @ kekuatan hati'. Dia puteraku yang kedua. Masih bujang. Watak pendiamnya tertiris daripada resapan watak abahnya, tanpa banyak berlaku turasan. Segala suka dukanya dan rahsia disimpan kukuh. Dia turut menangis ketika saya ditujahi luka-luka dalam kehidupan. Bakat kreatif benar-benar diwarisi daripada saya yang pernah berkarya sejak zaman persekolahan dan aktif pada tahun-tahun 7o-an. Dia boleh pergi lebih jauh jika bakat yang dianugerahi itu diasah dengan sabar dan sedar. Pada penilaian saya bahasanya mempunyai kualiti bahasa baku yang diserapi pengaruh Inggeris dan Arab. Didikan dan disiplin pembelajaran yang didalaminya sendiri. Karya-karyanya yang tersiar di akhbar, dan majalah tempatan masih boleh dikategorikan sebagai bermutu kalau diukur mengikut piawaian karya remaja. Tidak manis untuk seorang abah memuji anaknya tetapi itulah kelemahan saya.

Pada peringkat awal kanak-kanak dia gemar membaca komik. Itulah satu-satunya bahan bacaan yang sangat tidak saya gemari. Dia merajuk dalam diam kerana hobinya dipertikaikan. Namun dalam diam pula dia mengumpul wang dan membelinya. Di perpustakaan kecil rumah kami berkotak-kotak siri komik yang tersimpan rapi. Hampir pelbagai siri dikumpulkannya. Ketika membelek-belek dalam usaha mengemaskinikan perpustakaan kami, saya mencedok untuk koleksi di mana-mana perlu. Percaya atau tidak jika dinilai komek-komek itu kos pembeliannya mencecah RM6,000.00. Sejak 2003 dia sudah ada blog sendiri. Maaf, tanpa izinnya saya perlu berlaku jujur untuk tidak memdedahkan pada kali ini. Salam daripada abah moga jujur bekerja, rajin, amanah, berkualiti, berbudi, berbahasa dan ingat apa yang seringkali abah ingatkan. Hanya itulah bekalan dan harga diri untuk kita bawa menemui-NYA kelak.

Tiada ulasan: