Ahad, 6 April 2008

Waris 3

Saya namai dia dengan Mahfuzah. Ertinya terpelihara. Dia satu-satunya anak gadis saya. Pada hari pertama dia mendaftarkan diri untuk jadi siswi USM saya mulai memanggilnya 'Intan'. Di kalangan ahli keluarga hanya saya seorang sahaja yang memanggilnya sebegitu. Kenapa ya?

Dia cukup cekal, berani, berdikari, ramah, petah berhujah, kritis dan lantang. Semasa belajar di TADIKA Kemas Kampung Berjaya dia pernah jadi juruacara. Disulami dengan pantun. Hebat juga anak saya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dulu, saya pernah jadi Pemidato Terbaik MAYC. Kak Jah pernah jadi pembahas mewakili SM Seri Puteri KL untuk sekolah-sekolah berasrama penuh. Semasa Intan menjadi siswi USM dia pernah ke Pulau Hainan di China, dan ke University Yokohama di Jepun untuk seminar alam sekitar. Jauh di sudut hati saya bangga kerana dia merdeka dan berani bersuara meski pun tidak berminat untuk menceburi politik. Tetapi itu mungkin boleh berubah jika hati semakin marah demi melayu yang kian hilang identiti, tergadai dan ternganga.

Di rumah, Intan tetapkan disiplin. Makanan tidak boleh dibungkusi dengan polisterin. Botol plastik hanya boleh digunakan sekali sahaja. Untuk membeli makanan mesti bawa bekas makanan bertingkat. Ketika membeli kasut, kotak dan beg plastik ditinggalkan di kedai. Tidak perlu. Kami ikut dengan senyuman sebab adakalanya abang-abang dan adiknya sengaja buat protes untuk melihat reaksi Intan. Saya kasihan melihat telatahnya kerana semasa kami adakan jamuan keluarga, saudara-saudara saya membungkus makanan untuk dibawa pulang ikut sesuka hati sahaja. Kadang kala saya lihat dia diam penuh kesayuan. Untuk berlaku adil saya selalu katakan kepadanya 'tidak semua yang kita ingini akan kita perolehi dan hormatilah kemerdekaan orang lain di negara yang merdeka dan demokrasi. Kita hanya berupaya mendidik tetapi hanya orang yang terdidik sahaja yang akan mengamalkannya'.

Pada suatu hari dalam bulan Ramadan 1428 di kompleks deretan kedai PKNK Jalan Tun Razak, Alor Setar. Intan turun dari kereta yang sedang saya pandu untuk membeli barangan, tiba-tiba sekumpulan remaja dalam sebuah kereta membuang sampah. Intan dengan muka masam, marah, jengkel, gerutu, terus mengambil bungkusan plastik yang dilempar keluar dari kereta tersebut, lantas berkata sesuatu kepada pemuda-pemuda tersebut. Lucunya, dengan reaksi ketakutan pemuda-pemuda itu seakan memohon maaf dan keluar memungut baki bungkusan dan bergegas pergi. Saya tersenyum.

Sebaik sahaja Intan masuk ke dalam kereta :
- Kata apa?
- Tanya, kenapa buang sampah?
- Apa depa jawab ?
- Minta maaf, kami kutip, jangan saman kami puan.

Intan merengus, "Sudahlah tidak berpuasa, buang sampah ikut suka, tak hormat Ramadan"

Mansaari - Kalau budak-budak tu bagi penampar macam mana? Mereka 4 orang. Rupanya orang yang bersalah menjadi penakut. Iktibarnya, janganlah jadikan diri kita dipihak yang membuat @ melakukan kesalahan supaya kita jadi lebih berani.

Tiada ulasan: