Ahad, 19 April 2009

Percaturan Strategi di Penanti

Anwar calon DUN Penanti dan bakal Timbalan 1 Ketua Menteri Pulau Pinang? Bukan Mat Sabu?

Cuma jawatan sesudah menang di Penanti yang membatasi penglibatan pencalonan Anwar. Tidak mungkin Anwar rela untuk menjadi pencacai Lim Guan Eng. TKM1 bukan jawatan idaman Anwar. Untuk itu dan kerana itu maka mencari calon untuk jawatan TKM 1 memeningkan Anwar. Pertama, ramai yang menadah dan mengharap agar dipilih oleh Anwar. Kedua, kerana dalam PKR sudah ada nila yang meresap ke baldi susu. Anwar serba salah. Jika tidak mengapa pengisian jawatan itu tidak dilunasi sehingga kini?

Di Penanti, Mat Sabu memang sesuai tetapi Mat Sabu adalah calon katak sewaktu pilihan raya. Dia akan diletakkan untuk menjadi calon penggenap. Kalau tidak ada orang lain maka dialah akan dipilih. Jika ada dia akan diketepikan. Tetapi kita mesti ingat bahawa Mat Sabu adalah kawan rapat Guan Eng. Mereka sama-sama beristirahat di Kamunting. Mat Sabu adalah pemimpim PAS yang pertama jumpa Guan Eng dalam keadaan santai di mana Guan Eng berseluar catok. Malangnya kali ini Mat Sabu adalah calon PAS, yang mahu diisi adalah bekas lopak PKR. Sudikah PKR lepas jawatan TKM 1 kepada PAS? Dalam politik jarang ada isu mustahil. Itu pun jika Anwar jantan untuk berhadapan dengan protes senyap dalam PKR kelak.

Parlimen Kuala Kedah adalah tempat Mat Sabu biasa menang tetapi atas persetujuan PR maka kawasan Kuala Kedah diberikan pula kepada Ahmad Kassim dari PKR. Oleh yang demikian tidak terkejut jika Penanti diberi kepada PAS atas nama PR. Apalagi jika UMNO tidak lagi galak untuk ikut rentak PKR. UMNO mesti berani untuk tidak mengikut rentak PKR. Kalah menang tidak mengubah gaya goyah politik semasa. Menang akan ada isu sementelahan jika kalah pun pastinya lebih banyak isu. Cuma jika tidak ada pertandingan maka wang rakyat tidak dibazir dan emosi mereka tidak dibarasekamkan. Sebaliknya hasrat dan strategi pemimpin yang mencari kaedah untuk menghalalkan cara agar cepat dan dapat menjadi pemerintah segera terbantut.

Anwar berlumba dengan usianya. Jika Najib berjaya menawan citarasa rakyat dalam masa dia berkuasa maka akan musnahlah laluan mudah Anwar untuk tawan Malaysia. Usianya dan kudratnya semakin lama tentulah semakin usang. Tua.

Kekosongan DUN Penanti menuntut kebijaksanaan pemimpin. Najib tidak perlu ikut rentak. Inilah masa membuat pukulan pancung. Kemenangan percuma PKR di Penanti kelak sekadar mengesahkan akan belas kasihan UMNO kepada PKR yang ingin memenuhi kuota TKM 1. Lainlah jadinya jika UMNO menang di DUN Penanti itu akan membolehkan Pulau Pinang di tawan. Tapi situasi begitu belum boleh terjadi lagi. Namun ragam politik sememangnya sukar ditelah. Tidak semudah mencari anak ayam jantan dengan anak ayam betina. Lebih mudah menentukan tahi cicak kerana separuh putih, separuh hitam daripada membuat firasat politik.

Selamat beradu di Penanti.

Tiada ulasan: