Khamis, 9 April 2009

Hujan Rahmat

Hujan rahmat turun lagi. Cuaca baik kerana hujan masih merenjis bumi Malaysia. Hawa nyaman dan sejuk. Pohon menghijau segar. Lalu lintas lancar. Kenderaan bergerak sopan dan pelahan. Suis pendingin hawa ditutup.Tenaga dapat dijimat. Urusniaga tenang. Damai. Dalam hujan demontrasi jalanan juga lumpuh. Tiada pembesar suara yang membingitkan cuping telinga.

Nikmat hujan lebih terserlah apabila putik durian segar bugar. Manggis galak mencelah di sisi dedaunan. Petai berjuntaian. Air melimpah sawah. Ikan galak melompat tebing. Deru air di gelungan mengasyikkan. Esok lusa pasti anggerik menghulur sulur. Berbunga. Nikmat.

Sampah akan tertolak ke muara. Hanyut. Nikmatnya melihat perjalanan sampah berarak sesayup-sayupnya hingga hilang dari pandangan. Peniaga mengeluh namun pada masa inilah muhasabah diri akan menjelma secara tiba-tiba. Hujan dari Tuhan. Rezeki juga dari tuhan. Untung rugi, adalah nikmat jika kita tetap dengan bersyukur. Penoreh juga demikian. Penyodok sawit juga tentunya tidak terkecuali.

Hujan. Bukan cuaca buruk tetapi rahmat dan nikmat.

Tiada ulasan: