Rabu, 8 April 2009

Langit Terbuka

Tahniah kepada semua YB yang menang. Selamat bersidang secara santun dan berbudaya. Selesai sudah agenda negara atas nama demokrasi. Semua sudah memperolehi hak untuk bersuara. Biarpun ada yang telah menyatakan secara diam-diam mahu pun penyataan itu dipamerkan secara anak jantan berbicara. Kemenangan atau kekalahan menuntut agar diterima dengan pasrah yang tentunya secara demokrasi juga.

Saya selamanya agak mundur. Tidak suka kepada pilihan raya di Malaysia. Yang saya tidak suka adalah budaya kempennya yang sering keluar dari nilai murni dan susila bangsa Malaysia. Saya terkilan apabila berhadapan penceramah yang mengemosikan rakyat dengan maki hamun. Mengaibkan. Saling melepas kegeraman secara kurang sihat. Ucapan seringkali berbaur dengan ugutan, cacian, celaan, malah lebih malang lagi jika ia disusuli dengan fitnah dan cercaan.

Sesudah pilihanraya emosi pengikut tegar berkekalan dengan hujah yang pada hemat saya tidak lebih sebagai 'agenda menghalalkan cara'. Sesama penduduk bermasam muka. Kadangkala sesama kawan, sesama jiran dan sesama Islam. Situasi ini berlarutan hingga ia menjadi kudis bernanah dan membengkak dalam masyarakat.

Sepatutnya selesai pilihan raya maka berakhirlah mainan politik. Agenda utama adalah kembali kepada kehidupan damai ke arah membentuk kesejahteraan. Tiada lagi proses menidakkan pilihan rakyat. Buat dan laksanakan janji. Rakyat patut dipimpin ke arah aman dan damai. Rakyat patut mendapat hak daripada janji pemimpin tanpa berdasarkan aliran sokongan politik.

Tugas dan tanggungjawab pemimpin yang dipilih bukan sekadar bertelagah dasar tetapi sepatutnya berbicara secara sopan, berilmu, dan sepadu demi rakyat Malaysia. Keputusan yang diparlimenkan biarlah juga secara demokrasi iaitu kepatuhan kepada suara majoriti.

Pemimpin yang baik tidak akan mengajak rakyat bergocohan. Tidak perlu kempen berlebihan. Biarlah rakyat menjadi pemilih yang bijaksana berdasarkan prestasi kepimpinan. Kita sepatutnya terdidik sebagai umat kelas pertama. Malaysia telah bersedia dengan langit terbuka. Sihatkan minda dan lunakkan suara bicara. Tanpa 'kurang ajar' kita akan lebih bermaruah.

Tiada ulasan: