Jumaat, 6 Februari 2009

Panggang Mencari Api

Politik semakin mengajar kita agar bertindak secara jahiliah. Akal diketepikan. DS Anwar Ibrahim yang menjadi jalak jalanan sejak tahun 60-an dan 70-an masih mengajak generasi muda Malaysia untuk menyelesaikan masalah dengan caranya. Cara jahiliah. Keluar dan berarak di jalanan. Anwar gagal menjadi politikus terhormat yang bertindak dengan akal budi secara Islam seperti yang dicanangkannya. Dia hanya akur jika dia memperolehi faedah tetapi sebaliknya keras dan liar jika kehendaknya gagal dicapai.

Sepatutnya Anwar sebagai pemimpin berlabelkan perjuangan Islam bertindak mengikut prinsip dan ciri-ciri yang lebih berhemah. Bertindak menegur salah laku pengikut. Dan tindakannya itu biarlah seelok-eloknya memperlihatkan beliau memiliki watak bakal seorang Perdana Menteri. Menentang, menderhaka, menyaman dan mempertikai keputusan Seri Sultan Perak dengan bersekongkol bersama DAP dan PAS samalah seperti membina tembok penghalang yang kelak menyukarkan laluan untuk kembali berkuasa di Perak. Sanggupkah Pakatan Rakyat menghadap Tuanku terhemoi-hemoi? Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sebagai pemerintah politik maka dapatkah hubungan baik antara kerajaan dan Raja dijalini? Pemimpin PR gelap mata. Lupa kandang yang bakal dimasuki. Berkubanglah dengan lumpur. Jahil. Gopoh. Celaru.

Tindakan Seri Sultan Perak untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri jauh lebih murni dan adil untuk rakyat. Pertama menghindarkan pembaziran wang rakyat untuk biaya pilihan raya. Kedua, menghindari proses caci maki yang memecah-belahkan bangsa jika diadakan pilihan raya. Ketiga, rebut kuasa tidak berkesudahan kerana rakyat seperti diperbodohkan. Keempat, ahli-ahli politik patut akur bahawa jika kehilangan majoriti maka secara anak jantan mereka patut menyerah. Kelima, apakah keputusan pilihan raya baru (jika diadakan) akan menjamin bahawa ia dihormati dan dapat menyelesaikan kemelut yang terjadi sekarang?

Anwar sebagai pemimpin perlu keluar dari kepompong demonstrasi jalanan. Lagak lajak yang sering mempertikaikan kuasa sesuatu institusi itu perlu diperhalusi secara matang dan mendalam. Anwar sering mempertikaikan sistem kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Polis dan apa sahaja agensi awam jika agensi itu tidak menyebelahinya. Saya sering bertanya bagaimana gaya dan kedudukannya jika institusi itu diwarisi oleh Pakatan Rakyat kelak sekiranya ia berkuasa. Adakah celaan seperti sekarang diteruskan. Semua pegawai awam yang tidak menyebelahinya sebelum memerintah dipecat. Adakah itu rupa bentuk pemerintah berteraskan demokrasi jika pemimpin tidak boleh ditegur.

Anwar pernah di ambang kuasa. Pernah menjawat jawatan TPM. Jabatan Peguam Negara itulah yang beliau berurusan untuk memperolehi nasihat. Pasukan polis itulah yang menjadi juruiring dan pemudah laluan kepadanya. Keselamatan diri dan jawatannya dikawal rapi. Situasi ini juga sedang dinikmati oleh Khalid Ibrahim, Nik Aziz, dan Azizan Razak. Malah Mohd. Nizar juga pernah merasai nikmat itu. Tetapi ketika turun takhta mengapa pegawai dan institusi itu dicerca?

Jika Ahli Parlimen Malaysia melompat ke pihak Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaaan Malaysia maka bagaimana agaknya lagak dan tindakan Anwar? Bubar Parlimen? Jauh panggang dari api. Sudah ditakdirkan bahawa Anwar masih juga dan masih lagi menjadi pembangkang. Hanya DIA yang Maha Mengetahui. Ambillah iktibar mengapa Nizar telah kehilangan kuasa yang dipinjamkan sementara itu. Diuji? Dihukum? Yang pasti hanya Dia yang Maha Mengetahui.

2 ulasan:

tali belati berkata...

TAKTIK POLITIK! HARUS DIINGAT BAHAWA SETIAP KALI PILIHANRAYA ISU YANG DIKEMUKAKAN IALAH DAP MENENTANG SEKERASNYA PENUBUHAN NEGARA ISLAM, PAS LANTANG MEMPERJUANGKAN ISLAM, PKR DUA-DUA ISU DIPERJUANGKAN HAKIKATNYA MEREKA SENTIASA BERSAMA.
TERKINI PAS KATA DAP,DAP KATA PKR, PAS+PKR TUNJUK PERASAAN, DAP DUDUK DIAM, HAKIKATNYA BERPECAHKAH MEREKA ATAU KITA AKAN TERPERANGKAP SENDIRI

ManSaari berkata...

Tali Belati.
Terima kasih kerana laluan.Yang pasti kita sering kali terperangkap
oleh kepintaran kita, namun kerana habuan dan haloba kita masuk jerat.

Ketika orang lain kekenyangan kita masih mencari hak kita yang kabur dan semakin terhakis. Hak kita hilang kerana kita terlalu bijaksana sehingga kita menganggap orang lain tidak cerdik.