Termangu merenung perang politik tanah air menjadikan saya semakin majai untuk galak menumpang ruang, menulis serta berkongsi maklumat ke arah sejahtera. Namun PRU ke-12 dan pengamal tegar politik telah membawa rakyat bertelagah sehingga hilang fokus. Setiap parti siasah kita mempunyai penyokong dan penentang yang tentunya mendokong agenda propaganda masing-masing. Susuran itu maka tidak hairanlah jika para penulis blog dan pengulas/pengkritik cuba menyulam hujah dengan segala caca murba tanpa tapisan malah berbaur antara benar, kelabu dan palsu. Lebih malang lagi kerana semakin hari para pembaca blog semakin disogok dengan hidangan pemikiran yang beradun racunan berbanding penawar.
Kelompok rakyat turut disemarakkan emosi sehingga ke tahap rasuk rusuh. Marah, atau baran yang menggila. Maka episod caci maki mula berlarutan sehingga teguran dan kritikan tidak lagi beretika yang berupaya mempamerkan pemikiran matang, bernas dan bersisipkan kemurnian ilmu, pendapat dan hujah. Mengapa semakin tinggi kita dididik maka semakin rendah budi dan pekerti? Hakikat ini lebih mengecewakan kiranya kita menilai dari sudut pandangan didikan berteraskan Islam.
Ibu bapa dan guru-guru kita pasti kecewa kiranya anak didik yang menjadi penulis blog, pengulas dan pengkritik menggunakan gaya bahasa yang beradun dengan hamunan. Makian. Menggunakan kata-kata bermaruah rendah. Sebenarnya, martabat seseorang penulis diukur berdasarkan karyanya. Apakah dengan menggunakan bahasa sopan, dan kesantunan teguran akan menyebabkan mesejnya tidak mencapai tujuan? Gagal difahami.
Menjadi tanda tanya kita di manakah salahnya sumber pendidikan yang kuat merampas kesopanan dan kesusilaan yang disemai? Ibu bapa? Guru? Masyarakat? Pada hemat saya, para pemimpin politiklah yang kerap dan lebih gemar menggunakan 'bahasa samseng jalanan' yang melabelkan pihak lawan dengan kata-kata kesat. Malah di Parlimen yang mulia pun kata-kata tidak bersopan itu dituturi. Ia merebak hingga ke pentas pertemuan politik. Tidakkah ini mengecewakan?
Di dalam tulisan melalui blog-blog gejala itu lebih meruntun hati. Kata-kata kesat semakin menjadi mainan jari. Apakah amalan seperti ini direlai? Menggembirakan? Modal insan seperti inikah yang berupaya kita lahirkan setelah 51 tahun merdeka? Penulis dan penutur yang marah dengan 'berbahasa' pada penilaian saya adalah jauh lebih berkesan dan dihormati. Kita patut malu dengan segala bahasa caci maki seperti dalam blog tertentu. Lebih malu untuk kita ikuti ulasan dan komentar berikutnya. Peristiwa turun naik kerajaan Perak, isu derhaka dan isu Elizabeth Wong menjadi bukti bahawa kita semakin jauh tersasar. Lebih sedih lagi kiranya kita membuat rumusan bahawa yang bertarung dengan caci maki itu adalah di antara kita sesama Islam. Mengapa kita menjadi umat yang semakin mundur? Malah kenapa pula kita harus keluar landasan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan