Isnin, 19 Januari 2009

Sekalung Bunga

PRK Kuala Terengganu tamat. Sekalung bunga untuk PAS. Pas memang layak untuk menang. Apalagi jika ia terus bersisipkan Islam. Sepanjang tempoh kekosongan kerusi P036, saya langsung tidak memberi komen, ulasan atau tumpang bertanak. Tambah kuah pun tidak sekali. Diam, lihat dan dengar. Pada saya sesiapa pun yang mememangi kerusi tersebut, ia tidak menggusarkan. Entahlah. Entah mengapa kelesuan mendampingi isu politik menjadi semakin majai.

Biarlah UMNO/BN kalah. Biarlah mereka belajar sesuatu daripada kekalahan itu. Biar mereka belajar bermuhasabah diri. Ukur tanah biarlah berpeta. Ukur manusia biarlah berbaju dan berilmu . Generasi sesudah merdeka dan membesar dalam arus pendidikan moden tidak mudah dimomok dengan gula-gula. Sesuatu tanggapan dan pemikiran yang tertekap tidak mudah dipadam. Mereka juga tidak mudah termakan janji. Mereka kota apa yang mereka kata. Pengundi muda lebih bersepakat jika dibandingkan dengan permuafakatan di kalangan ahli UMNO.

Di kalangan UMNO, pemilihan calon untuk bertanding pun menjadi saingan. Lobi melobi. Wujud rantaian pro dan kontra. Yang memburukan kepimpinan UMNO adalah ahli UMNO sendiri. Isu kepimpinan yang cacat cela dibincangkan di warong kopi. Semua pelanggan warong tanpa mengira sama ada ahli atau tidak akan tahu segala daki, nanah, tahi, bangkai para pemimpin. Ia didedah tanpa selindung. Tanpa rahsia. Kelemahan UMNO terdedah oleh orang UMNO. Jijik sekali. Benar atau tidak sesuatu isu tidaklah bagitu penting tetapi cerita berangkai tersebut terus bersambung dari mulut ke mulut. Malanglah nasib seseorang pemimpin itu jika sekiranya cerita tersebut hanya sekadar rekaan. Apalagi jika ia sebenarnya adalah fitnah. Namun setiap para pelanggan warong akan menjadi tok dalang dan akan menjaja cerita itu tanpa had dan sempadan. Hebohlah ke seluruh kampung, cawangan dan bahagian. Cerita itu juga tidak mudah untuk dipadam.

Berbanding PAS, tenaga kerja UMNO adalah sukarelawan upahan. Tanpa upah kerja sukarela tidak berjalan. Pasangan bendera ditagihnya upah. Tunggu pondok gerakan mahukan upah. Pasang poster ~ upah. Angkut pengundi ~ upah. Rayu undi ~ Upah. Tiada upah tiada kerja. Maka para pemimpin terpaksa melabur wang. Inilah rentetan mengapa 'wang' menjadi hantu kepada ahli UMNO. Kemungkinankah bahawa UMNO kalah di Kuala Terengganu adalah kerana wang? Pertama kerana janji kosong. Kedua kerana terlebih janji. Ketiga kerana angkuh berjanji. Keempat kerana terlalu mewah dengan janji. Akhirnya, janji sudah ditafsirkan sebagai rasuah untuk memenangi pilihan raya semata-mata.

Berpadalah menghulur bunga. Biar wanginya sekadar untuk dihidu. Terlalu mewah dengan wangian dan bunga-bungaan maka ia akhirnya akan menjadi bunga rampai yang menjadi taburan pusara. Malang lagi jika ia dijadikan kalungan bunga untuk kenangan bahawa sebuah parti orang Melayu telah berkubur. Jarak waktu dan pengalaman yang mendatang mudah-mudahan akan mendidik PAS untuk bersiap sedia mengambil alih teraju kepimpinan Melayu Islam. Hanya ini sahaja pilihan yang ada. Jika PAS bertingkah tidak mengikut rentaknya maka orang Melayu akan menjadi kelapa hanyut diarak arus. UMNO berupaya bangkit tetapi tidak mudah kerana untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

Tiada ulasan: