Isnin, 12 Julai 2010

Parti Ikhwan Muslimin Malaysia.

Telah dua tahun berlalu. Luka umat melayu Islam masih belum diubati. Kita terus berpolitik berteraskan idologi sempit aras politik kelas ketiga. Bercakaran. Minda kita minda kelas bawahan biarpun kita berilmu. Berpendidikan. Bijaksana berhujah. Tindakan kita masih secocok dengan larian dan titipan sejarah yang tidak pernah berubah. Hari ini saya cedok semula tulisan lama yang saya tulis pada 27.7.08 untuk kita merenung kembali. Mudah-mudahan kita tidak berdendam. Kita tidak terlalu banyak menghabiskan masa untuk saling mencari salah. Jalan untuk kita membuat tranfomasi terhadap untung nasib bangsa mudah-mudahan pula, tidak terus menjadi semakin kabur dan lemah.

Cedokan semula:

20 Julai 2008 saya telah menyarankan dalam blog ini atas judul 'Impian Bangsa' agar UMNO dan Pas dibubarkan untuk menjenamakan sebuah parti siasah baru yang mewakili umat Islam seMalaysia. Tiba-tiba 21 Julai 2008 TG Dato' Nik Aziz membuat pandangan yang sama. Jika ia menjadi realiti maka ketuanan melayu berteraskan Islam akan mudah diurus dan terpelihara. Ugut dan gertak etnik lainnya akan berkurangan. Kita akan lebih gagah. Namun itu sahaja tidak mencukupi jika intipati ajaran Islam masih terdapat ketidakpatuhan. Masih ada rasuah. Fitnah. Dusta. Salah guna kuasa. Kroni. Bongkak. Sombong. Jahil. Pekerti songsang. Bahasa berbudaya rendah. Kita perlu pemimpin berwatak Islam, plot perjalanan kepimpinannya juga Islam. Bahasanya bahasa cerminan Islam. Urustadbirnya Islam.

Demi umat Islam dan Umat Melayu kita patut memikirkan betapa PR12 yang lepas kaum bukan Melayu menidakkan sokongan dengan bersatu menolak BN. Sedangkan orang Melayu berpecah undi kepada BN, PAS dan Keadilan. Peristiwa yang berurutan dengan hasil PR12 itu amat melukakan. Kita jangan leka berbangga dengan budi kerana budi dan jasa tidak lagi akan dikenang. Kita mesti berpegang kepada hakikat bahawa kita menang kitalah berkuasa dan kiranya kalah kita mesti menyerah. Ingatlah bahawa sesiapa yang memperolehi kemenangan maka dialah yang berhak mencorakkan hala tuju negara. Pada masa itu tiada lagi 'Kontrak Sosial' dan tiada lagi jalan pulang yang masih terbuka. Melayu Malaysia akan hilang dari peta yang dilukiskannya sejak dahulu kala. Sejarah akan diubah. Keistimewaan akan menjadi kenangan. Warisan dipadam. Air mata terendam manakala syiar Islam tenggelam bersama kesuraman.

Janganlah hingga ke takah itu baru kita terjaga dari mimpi ngeri. Igauan dan lamunan itu sudah pasti telah terlambat.Buburpun menjadi bueh-bueh basi. Bolehkah airmata kita ditakungi untuk disimpan sebagai tanda ingatan dan kenangan di muzium. Kita menjadi pesawah yang sawahnya telah habis terpawah. Kita menjadi pesilat gagah ketika menyambut negarawan yang bertukar wajah. Janganlah akhirnya anak cucu kita hanya layak menjadi jaga dan penyapu sampah di gedung mewah. Akhirnya cicit-cicit kita menjadi peminta sedekah. Orang lain lebih berani herdik dan jerkah. Marah dan serakah.

Isnin, 14 Jun 2010

Pengisian Perjalanan 1

Musim cuti yang sibuk. Tiada ruang untuk santai bersama keluarga. Setiap hari penuh dengan undangan majlis perkahwinan. Seperti tidak percaya dalam satu hari pernah mencecah 10 jemputan. Mana mungkin kita dapat memenuhi semua hajat tersebut. Apalagi jika jarak antara satu dengan yang lain itu berjauhan, kontra. Sungguh tak mungkin untuk ke utara, ke barat, ke timur dan kembali ke selatan dalam jarak waktu yang terbatas.

Di kampung ada 'Kenduri Derau'. Sebagai 'ahli sepakat' akan menjadi amat keberatan untuk meninggalkan "Kenduri Derau" semata-mata untuk menunaikan hajat ke majlis kenduri rakan-rakan. Amat tidak beretika. Semasa majlis kenduri kita, mereka sanggup tunggu dari pagi hingga ke petang, tetapi sesudah kenduri kita, kita mengambil sikap 'kacang lupakan kulit'. Makan sama-sama sekawah, seeloknya air sama-sama dicecah.

Di majlis kenduri banyak cerita menjadi penglipur lara. Zaman kanak-kanak warga emas menjadi tajuk. Tidak ada cerita duka. Nyatalah nostalgia masa silam kita tidak mungkin datang lagi. Ia kekal menjadi rentetan kenangan yang berulang. Nyatalah penceritaan itu akhirnya menghimpunkan catatan sejarah yang tidak pernah ditulis. Kelak anak cucu tidak dapat mengenal salasilah bangsa, tentang perjuangan, pendidikan, politik, sosio budaya, ekonomi dan sebagainya.

Sekadar catatan kenangan, elok saya senaraikan buah-buahan yang menjadi makanan kanak-kanak awal remaja 50-an dan 60-an. Rakan saya mengingatkan saya tentang cenderai, muyu, larak, kumui, keriang, keriang dot, cermai, nipah, setoi, setey, kandis, asam kumbang, buah rotan, pelada, mertajam, kerkau, randa, jagus, melaka, keranji, goncar, bidara, keduduk, letup, bacang, binjai, namnam, ceri, berembang, kerkup, mempelam bemban, mempelam telur dan mempelam berangan. Demikianlah sekadar imbauan yang hadir dan melintasi minda ketika ini. Jumpa lagi di laluan perjalanan yang lain.

Anehnya, pada setiap majlis kenduri pastinya ada saja ceritera yang terungkap. Ada tokok tambah. Menarik jika disulami dengan teka-teki. Dicampur dengan cerita loklaq. Namun, ia pasti tersisip pengajaran dan nasihat. Pokoknya, riang dari pagi hingga ke petang. Pulang dengan berbekalkan sekampit nasi berlauk dan sedikit cendera mata yang menjadi kenangan.

Isnin, 17 Mei 2010

Kenderaan Generasi Baru

Untuk meninggalkan warisan alam agar kekal hijau. Bersih. Nyaman. Basikal berkuasa bateri ini mampu milik. Tanpa cukai jalan. Tanpa insuran. Tanpa bunyi. Jika kehabisan kuasa, maka berkayuhlah. Sesuai untuk guru yang terpaksa berjalan jauh dari satu blok bangunan ke satu blok lain. Lebih sesuai untuk siswa siswi yang tinggal dalam kampus berulang alik ke kuliah.

Sabtu, 15 Mei 2010

Selamat Hari Guru

Istimewa untuk guru-guru:

SK Sri Gunung
SK Alor Besar
SK Dato Wan Mohd. Saman
SK Kuala Kedah
SMK Tunku Abdul Rahman

Khas untuk sahabat seluruh negara.

Sabtu, 8 Mei 2010

Rindu Ibu di Hari Ibu

Ibuku mungkin tidak sedar tentang 'Hari Ibu'. Tidak ada dalam memorinya. Jika ada ucapan daripada anak-anak, cucu-cucu atau cicit-cicit, dia mungkin terpinga-pinga. Tersenyum. Paling tidak dia akan kata "awat ni?". Maksudnya 'ada apa hal?'. Dalam kamus hidupnya tidak ada istilah ''Hari Ibu'.

Entri ini juga tidak mungkin dia akan membacanya. Rutin hariannya hanya membaca al-Quran dan Solat. Jika ada kekuatan dia akan berpuasa. Itupun jarang-jarang dapat dilakukan kerana terpaksa menelan ubat mengikut waktu atas nasihat doktor. Ibu cukup patuh. Dia ada raga ubat sendiri yang akan diarak ke mana sahaja dia pergi dan berada.

Ibu sudah di takah terakhir. Dia meneruskan sisa-sisa hidupnya dengan redha. Hidup matinya hanya untuk Allah 'Azzawajalla. Selebihnya menumpang bahagia anak-anak. Tidak lebih dan tidak kurang. Walaupun di mana dia berada, dia amat bahagia jika dihubungi oleh anak-anaknya. Suara cerianya jelas. Dia akan mengadu jika ada di antara kami tidak menghubunginya dalam jarak waktu yang lama. Lama dalam waktu lebih daripada seminggu.

Apabila mengadu suara ibu pasti tersisip kepiluan. Sebagai anak lelaki yang menjadi tempat dia menitip rasa hati, saya terpaksa menjadi kaunselor. Melerai rasa sedih. Membawa dia lari dari topik-topik kesedihan. Membicarakan hal-hal yang menjadi kesukaannya. Dia pasti ceria apabila dikhabar tentang kejayaan anak cucu cicitnya. Tentang kepulangan cucu cicit yang jauh di perantauan ke Teratak Kasih. Tentang sawah. Tentang kebun. Khabar tentang anak-anak saudara yang berkunjung. Yang bertanya khabar. Yang menyampai salam. Hanya ibuku satu-satunya waris yang masih ada. Semua saudara-saudaranya telah pergi mendahuluinya.

Seminggu lalu dia pulang ke Teratak Kasih. Kami sempat ke pusara ayah. Sempat bermalam di semua rumah anaknya. Saya pasti dia tentu gembira kerana dilayan oleh anak menantu. Cucu-cucu. Cicit-cicit. Kegembiraan itu amat mudah dikesan. Dari senyuman. Keriangan. Keceriaan. Dan dari bual bicara yang penuh dengan seloka dan ketawa. Pesanannya juga disulami dengan nasihat penuh padat.

Untuk Ibu. Moga terus memperolehi nikmat sihat. Hanya kasih sayang dapat saya hadiahkan untukmu. Halalkan makan minum saya. Halalkan segala baktimu yang takkan terbayar. Terima kasih kerana sudi mendidik saya. Terima kasih kerana ibu masih sayangkan saya seperti dulu dan tidak sedikitpun kekurangannya hingga kini. 'Selamat Hari Ibu', ibuku.

Rabu, 28 April 2010

Salah Siapa?

Pergi tidak akan kembali. Hilang tidak akan berganti. Takziah untuk keluarga Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah. Beliau mati ditembak polis. Untuk episod malang ini polis sekali lagi mencorengkan warna hitam untuk profesion mereka. Apapun penjelasan yang dibuat ia tetap 'hitam' pada sudut pandangan rakyat jelata yang hanya menagih dan ingin menumpang selamat. Kehitaman itu sukar untuk dilusuhkan. Tidak mudah terpadam.

Sebagai warga yang ingin hidup aman damai, maka tindakan polis sebegitu tentu sekali tidak dapat diizinkan. Jelas terpapar kecuaian. Hilang pertimbangan. Dangkal dalam membuat keputusan. Tiada ancaman ketara yang kelihatan untuk membolehkan pihak polis melepas peluru untuk mengakhiri riwayat hidup seorang warga kecil seperti Aminulrasyid. Itulah gambaran awal yang menjadi garapan dalam pemikiran rakyat tanpa menilai situasi sebenar kejadian malang itu dari sudut pandangan pihak polis.

Tindakan polis memang patut. Tepat. Cuma melepaskan tembakan itu yang kita pertikaikan. Tidak patut kerana pada penilaian awal kita pihak polis tidak menerima ancaman yang berbahaya daripada mangsa. Namun, kita perlu berlaku adil kepada polis. Patutkah pihak keluarga membiarkan remaja bawah umur, tanpa lesen memandu di jalan raya sibuk? Kita tentu tidak dapat menerima alasan bahawa tindakan memandu yang dilakukan oleh Allahyarham ini adalah perilakunya yang pertama. Tidak mungkin tanpa kemahiran asas 'memandu curi' Allahyarham akan berjaya dan berani berbuat demikian. Jadi salah siapa?

Di samping saya menitipkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham, namun saya juga perlu menyatakan kekesalan yang amat sangat kerana pihak keluarga Aminurasyid lebih cuai dalam pendidikan dan mendisiplin anak. Nasi sudah menjadi bubur. Membiarkan anak memandu tanpa lesen dan tanpa kawalan pada usia remaja adalah kesilapan luar biasa. Sayang yang tidak bertempat. Ikut telunjuk. Maka akhirnya itulah bayaran yang terpaksa ditawarkan atas kesilapan kita. Saya kadangkala membayangkan bagaimana agaknya remaja yang tidak dapat dikawal oleh keluarga akan mempamerkan sikap dan peribadinya semasa di luar lingkungan kita. Semakin liar atau sebaliknya semakin jinak. Jika nasi ditanak biarlah menjadi nasi, jangan biarkan ia menjadi kerak hitam yang dibuang. Pengit baunya dijaja sekampung. Tukang masak dituduh cuai, hidangan yang dijamah dicela segala.

Episod ini memberikan saya pelajaran yang belum saya temui gurunya.

Rabu, 14 April 2010

Suara 2

Kempen Kuasai Pulau Pinang PRU-13

Jika Melayu Islam bersatu. Jika sanggup ketepikan perbezaan Politik. Jika sanggup duduk semeja merancang strategi menawan Pulau Pinang, maka Melayu Islam akan jadi Ketua Menteri.

Malah, kita pasti jadi pemerintah. Bukan jadi koro. Bukan jadi itik kehausan. Bukan jadi anjing menyalak bukit. Bukan jadi pengemis cacat yang terpinggir. Jangan biarkan kesilapan berulang.

Pas dan UMNO kembalilah ke dasar perjuangan. Jangan biarkan hanya Perkasa ambil alih. Jangan bertenggek di sisi pemimpin yang kecewa. Jadi wira Melayu Islam bukan jadi jalak laga lari keluar gelanggang.

Hanya pemimpin yang koro, pengecut, bacul dan tidak ada t..0., sahaja akan mengatakan "Mustahil" untuk direalitikan.

Berdasarkan carta berikut, maka tilik dan teliti. Kemenangan pasti dicapai jika kita bersatu. Inilah masa kita berkempen dan berjuang habis-habisan. Kiranya tidak ada tindakan, maka jangan kita marah jika 'bahasa' terus terlelong. Peniaga Melayu Islam diterap periuk. Melayu pulau lari ke seberang.


Pulau Pinang

Kod Kawasan Parlimen DUN 1 DUN 2 DUN 3 DUN 4
P.041 Kepala Batas N.01 Penaga N.02 Bertam N.03 Pinang Tunggal
P.042 Tasek Gelugor N.04 Permatang Berangan N.05 Sungai Dua N.06 Telok Ayer Tawar
P.043 Bagan N.07 Sungai Puyu N.08 Bagan Jermal N.09 Bagan Dalam
P.044 Permatang Pauh N.10 Seberang Jaya N.11 Permatang Pasir N.12 Penanti
P.045 Bukit Mertajam N.13 Berapit N.14 Machang Bubuk N.15 Padang Lalang
P.046 Batu Kawan N.16 Perai N.17 Bukit Tengah N.18 Bukit Tambun
P.047 Nibong Tebal N.19 Jawi N.20 Sungai Bakap N.21 Sungai Acheh
P.048 Bukit Bendera N.22 Tanjong Bunga N.23 Air Putih N.24 Kebun Bunga N.25 Pulau Tikus
P.049 Tanjong N.26 Padang Kota N.27 Pengkalan Kota N.28 Komtar
P.050 Jelutong N.29 Datok Keramat N.30 Sungai Pinang N.31 Batu Lancang
P.051 Bukit Gelugor N.32 Seri Delima N.33 Air Itam N.34 Paya Terubong
P.052 Bayan Baru N.35 Batu Uban N.36 Pantai Jerejak N.37 Batu Maung
P.053 Balik Pulau N.38 Bayan Lepas N.39 Pulau Betong N.40 Telok Bahang

Selasa, 30 Mac 2010

Suara

(MEB dan nasib bangsaku Melayu)

Merdekakah Kita?

Biar aku bertanya

Merdekakah kita

Kiranya,

Tender dapat, kerja lambat, wang mahu cepat,

Merdekakah kita

Kiranya,

Kitalah hebat, kerja tidak dibuat, umpat mengumpat

Merdekakah kita

Kiranya,

Datang lewat, balik cepat , sapu apa yang dapat

Merdekakah kita

Kiranya,

Pangkat apa yang akan dinobat

Gaji berapa yang akan dapat

Merdekakah kita?

Merdekakah?

Biar aku bertanya

Merdekakah kita

Kiranya,

Kerja menyongsang arus

Kuasa tidak diurus

Laksana terputus-putus,

Merdekakah kita

Kiranya,

Kita asyik bertanya,

Awal akhir jawapannya pada kita

Kuasa, laksana, berjaya,

Cemerlang, gemilang, terbilang

Asal usulnya pada kita

Petualang, temberang, perancang jalang

Jawapannya pada kita

Ibadah, sedekah, amanah, musyawarah, tawakal, pasrah.

Merdekakah kita?

Merdekakah?

Biar aku bertanya

Merdekakah kita

Kiranya,

Hutan kian pupus, sungai kian terkambus

Bukit bukau kian hapus, jerubu kian berkabus

Merdekakah kita

kiranya

ditunda hari ini ke esok lusa

minggu ini ke minggu depan

bulan ini ke bulan depan

bulan depan ke tahun depan

lalu kita bertanya lagi

Siapakah pelaksana?

Siapa penjana?

Siapa patut di arena?

Merdekakah kita

Kiranya,

Jari menunding diri tidak lagi disedari

Diri ditelanjangi tidak lagi diinsafi

Merdekakah kita?

Merdekakah?

ii

Mari kita urus merdeka ini

Damai abadi desa tercinta

Permai berbudaya kota beretika

Kita merdeka di nusa jaya ini

Menjadi penyayang, dan penyumbang terbilang

Mari kita urus merdeka ini

Masjid menjadi masjid

Sekolah menjadi sekolah

Bandar menjadi bandar

Desa menjadi desa

Kota menjadi kota

Hutan menjadi hutan

Sungai menjadi sungai

Bukit menjadi bukit

Tasik menjadi tasik

Jalan menjadi jalan

Sawah menjadi sawah,

Getah menjadi getah

Murid menjadi murid

Gadis menjadi gadis

Teruna menjadi teruna

Dewasa menjadi dewasa

Tua menjadi tua

Segalanya menjadi

Akan menjadi

Terus menjadi.

Mari kita urus merdeka ini.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Khamis, 11 Mac 2010

Guan Eng Gali Terowong

'Pilihan raya PBT Guan Eng sedia jumpa Najib'. Saya selamanya tidak pernah ingin percaya kepada Abu Jahal Guan Eng. Muslihatnya sama seperti memasukkan garam ke dalam gula.

1. Mengapa perlu PBT diwar-war untuk dipilihan rayakan? Kelak siapakah calon-calonnya? Apakah hanya untuk mencinamalaysiakan PBT, maka suatu bentuk strategi perlu diprogramkan agar cita-cita itu tercapai.

2. Slogan 'kita mahu kembalikan kuasa kepada rakyat'. Untuk apa? Siapa penghuni majoriti di sesuatu PBT? Kelak siapa menguasai siapa dan kepada siapa habuan serta tumpuan diagihkan. Siapa akan dipinggir. Guan Eng tahu dan mengandaikan bahawa Melayu Islam dungu, sekali gus akur dengan saranannya. Ura-ura itu biar diwar-warkan dengan gah dan hebat supaya dapat mengaburkan hasratnya yang tersirat. Untuk melihat wajah maharaja Cina maka Melayu Islam kenalah pandai memakan sayur kangkong yang tidak dipotong.

3. Hujah Guan Eng, "pilihan raya ini adalah cara baik meningkatkan perkhidmatan ahli majlis yang dipilih". Bagaimana agaknya kalau ahli majlis yang dipilih terdiri daripada insan yang tiada pengalaman, tiada kemahiran, tiada ilmu berkaitan PBT. Mereka petah berhujah tetapi tidak betah bekerja untuk rakyat. Apalagi jika calon yang dipilih itu adalah insan yang tahu di mana letaknya habuan untuk dia menahan lukah dan bubu.

4. Alasan Guan Eng seterusnya, "apabila dipilih mereka kena bekerja keras untuk rakyat". Apakah ahli majlis PBT yang berfungsi sekarang tidak bekerja keras? Salah siapakah jika ahli majlis itu koro? Apakah mereka itu hanya menjadi senduk dan sudu? Sekadar cedok apa saja asalkan masuk tembolok. Secara halus, Guan Eng menghina ahli majlis yang sedang berkhidmat. Khidmat anda diperlecehkan. Makan gaji buta. Begitulah agaknya anggapan Guan Eng.

Najib sama sekali jangan terperangkap dengan muslihat Abu Jahal moden ini (Guan Eng). Jangan mudah melatah. Biarlah Guan Eng mundar mandir di luar jendela. Lihat sajalah. Jangan sesekali biarkan dia masuk kamar dan merampas segala isi rumah. Waspadalah kerana Guan Eng sanggup gali terowong untuk masuk ke dalam rumah.

Situasi 1

Gatal?
Kerana semut
Kerana nyamuk
Kerana miang
Kerana alahan

Kalau terasa gatal silalah garu
Jangan salahkan semut
Jangan salahkan nyamuk
Jangan salahkan miang

Jangan keliru.

Selasa, 23 Februari 2010

Kera

Duduk macam kera
Makan macam kera
Perangai macam kera
Tidur macam kera
Lompat macam kera
Main macam kera
Pakai macam kera
Telanjang macam kera
Bergaduh macam kera
Tersengih macam kera

Soalan kuiz:
Apa perbezaan kera dengan manusia?
Apa persamaan manusia dengan kera?