Rabu, 28 April 2010

Salah Siapa?

Pergi tidak akan kembali. Hilang tidak akan berganti. Takziah untuk keluarga Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah. Beliau mati ditembak polis. Untuk episod malang ini polis sekali lagi mencorengkan warna hitam untuk profesion mereka. Apapun penjelasan yang dibuat ia tetap 'hitam' pada sudut pandangan rakyat jelata yang hanya menagih dan ingin menumpang selamat. Kehitaman itu sukar untuk dilusuhkan. Tidak mudah terpadam.

Sebagai warga yang ingin hidup aman damai, maka tindakan polis sebegitu tentu sekali tidak dapat diizinkan. Jelas terpapar kecuaian. Hilang pertimbangan. Dangkal dalam membuat keputusan. Tiada ancaman ketara yang kelihatan untuk membolehkan pihak polis melepas peluru untuk mengakhiri riwayat hidup seorang warga kecil seperti Aminulrasyid. Itulah gambaran awal yang menjadi garapan dalam pemikiran rakyat tanpa menilai situasi sebenar kejadian malang itu dari sudut pandangan pihak polis.

Tindakan polis memang patut. Tepat. Cuma melepaskan tembakan itu yang kita pertikaikan. Tidak patut kerana pada penilaian awal kita pihak polis tidak menerima ancaman yang berbahaya daripada mangsa. Namun, kita perlu berlaku adil kepada polis. Patutkah pihak keluarga membiarkan remaja bawah umur, tanpa lesen memandu di jalan raya sibuk? Kita tentu tidak dapat menerima alasan bahawa tindakan memandu yang dilakukan oleh Allahyarham ini adalah perilakunya yang pertama. Tidak mungkin tanpa kemahiran asas 'memandu curi' Allahyarham akan berjaya dan berani berbuat demikian. Jadi salah siapa?

Di samping saya menitipkan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham, namun saya juga perlu menyatakan kekesalan yang amat sangat kerana pihak keluarga Aminurasyid lebih cuai dalam pendidikan dan mendisiplin anak. Nasi sudah menjadi bubur. Membiarkan anak memandu tanpa lesen dan tanpa kawalan pada usia remaja adalah kesilapan luar biasa. Sayang yang tidak bertempat. Ikut telunjuk. Maka akhirnya itulah bayaran yang terpaksa ditawarkan atas kesilapan kita. Saya kadangkala membayangkan bagaimana agaknya remaja yang tidak dapat dikawal oleh keluarga akan mempamerkan sikap dan peribadinya semasa di luar lingkungan kita. Semakin liar atau sebaliknya semakin jinak. Jika nasi ditanak biarlah menjadi nasi, jangan biarkan ia menjadi kerak hitam yang dibuang. Pengit baunya dijaja sekampung. Tukang masak dituduh cuai, hidangan yang dijamah dicela segala.

Episod ini memberikan saya pelajaran yang belum saya temui gurunya.

1 ulasan:

Najiro berkata...

Anak bangsa harus dibentuk dngan sebaik-baiknya.