Selasa, 31 Januari 2012

Langkawi 1.


Sempena Cuti Tahun Baru Cina 22,23, & 24 Januari 2012 saya sekeluarga tumpang bercuti. Yong semua anak menantu. Jeti Kuala Kedah padat dan sesak sejak awal pagi. Tempat letak kereta berlaba RM 5.00 daripada RM 15.00 sehari kepada RM 20.00. Sewa kereta juga bertokok. Kira kaut dan raih keuntungan. Bila lagi? Ketika ikan banyak kita pasang bubu di pintu air. Jenuh. Ketika kita mampu maka kita tidak merungut kerana kita berkeinginan. Kita hanya merungut jauh di sudut hati. Maka di kala itulah kita mula hendak menunding jari. Salah diri sendiri tetap kita sisihkan ke tepi.

Langkawi O langkawi.

Tahun 1970 saya ke langkawi menaiki bot ikan. Tambang seingat-ingat sekitar empat ringgit sahaja. Tumpangkan basikal dengan tambang tambahan RM3.00. Sekarang tambangnya sudah menokok kepada RM 23.00. Masih dikategorikan sebagai mampu bayar. Dulu, untuk ke makam mahsyuri kita perlu berbasikal. Kenderaan tidak ada. Kalau adapun cuma milik pegawai kerajaan. Jeti ke Langkawi terletak di Pekan China Alor Star. Di Tanjung Chali. Ketika itu Ampang Jajar belum dibena.

Dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi kita menaiki feri. Bot. Nasib saya dan isteri kurang baik kerana memperolehi feri yang pada hemat saya memalukan. Memalukan saya sebagai anak jati Kedah. Perjalanan ini hanya mengambil masa selama lebih kurang satu setengah jam sahaja tetapi Feri yang saya naiki amat memalukan. Luarannya kelihatan segak. Tandasnya masyaallah. Bukan sahaja kotor tetapi mangkuk tandasnya pecah bertampalkan simen putih. Permukaannya dicat dengan warna kopi susu. Saya bayangkan betapa bahayanya kepada para pengguna. Biaya menggantikan mangkuk tandas itu tidaklah memerlukan jumlah peruntukan yang besar namun diabaikan. Tunggu sehingga punggung tersula barulah ia akan diganti.

Apakah kerana sisa komohan di lepaskan terus ke laut maka ciri-ciri kebersihan langsung tidak diselenggara sebaiknya. Kotor. Berdaki. Berbau. Bertitik tolak dari situasi ini saya mula merepek. Apakah tidak ada penguat kuasa yang bertanggungjawab. Mana pegawai Kesihatan? Mana pegawai Jabatan Laut?. Mana penyelia Feri?. Mana pengusaha feri? Mana petugas-petugas feri?. Mana pegawai kementerian? Mana? mana? mana? Akhirnya mana Exco kerajaan yang bertanggungjawab untuk sekadar menjengok operasi pelancongan negeri.

Kita tidak pernah merasa malu kepada para pelancong luar negara dengan kemudahan yang tersangat lekeh dan jijik. Ekoran daripada bebehan saya itu maka minda kotor mata liar inipun menojah ke serata sudut. Cukupkah Jeket keselamatan untuk setiap penumpang. Pintu-pintu kecemasan adakah diperiksa. Mengapa tidak dipaparkan jumlah maksimum penumpang yang dibenarkan. Mengapa tidak dibuat pengumuman siapa nakhoda, siapa petugas? jangkaan ketibaan ke destinasi, dan jumlah penumpang di dalam feri. Penumpang juga berhak diberi tunjuk ajar menggunakan jeket. Semuanya diabai dan diambil ringan.


Saya belum sampai ke Langkawi. Masih mengomel di dalam feri.


1 ulasan:

LiMehad berkata...

Salam....
Begitulah selamanya yg kita tahu....sudah terhantuk baru nak tengadah.....tu pon sementara sakit. Hilang sakit maka kembalilah ke asal. Kata toke....'biaq depa sakit, asaikan aku tak sakit'....