Jumaat, 13 Januari 2012

Mencari Bahagia

BOOM! Demikianlah himpunan dan demontrasi yang mendapat jaminan 'aman'. Himpunan dan demontrasi yang pada hemat saya sangat tidak perlu. Tiada logikanya kepada sesiapapun, dihimpun diberi liputan media secara berlebihan untuk mengheret rakyat yang kemudiaannya dibom. Nah! siapa ingin mengaku? Paling tidak kita akan saling menuding jari kepada sesiapa sahaja yang tidak secucuk dengan kita. Kita kemukakan pelbagai alasan agar kita tidak kelihatan terbabit dalam tragedi itu. PDRM tercalar lagi. Pertama kerana terlalu percaya kepada kepala demontrasi. Kedua kerana tidak dapat menghidu kemungkinan. Alih-alih kemungkinan itu dihala kepada PDRM. Dituduh sebagai dalang. Malang sekali. Akan bergemalah "harapkan pagar, pagar makan padi". Penjenayah tidur lena, PDRM bersengkang mata. Bak anugerah bunga kepada kera. Kelopak dighonyeh, wanginya terhidu tetapi menjadi bahan ketawa.

Pelbagai tata kelakuan yang dapat kita tonton dalam pelbagai situasi ketika demontrasi jalanan itu. Ada seperti 'kera termakan belacan'. Ada yang terkinja-kinja seperti pelanduk ditingkah rentak. Laungan tak berdinding, kata tak bertapis, hamun tidak berlapik. Padahnya kita simpan menjadi dendam untuk kelak dibuka gelanggang untuk kita bersanggang. 'Kita' itu siapa?

Kita menjadi lebih sakit hati jika kita menjadi pembaca tegar. Hati tidak lagi tenteram. Sentiasa terusik. Kiranya telahan saya salah maka bacalah, Utusan Malaysia kemudian baca pula Harakah. Baca Keadilah kemudian baca Berita Harian. Baca Star. Kalau ada kemahiran lebih bacalah Nang Yang Siang Pau. Kiranya kita berasa lega kerana kita tegar membaca maka itu sekaligus membawa erti bahawa kita bahagia hidup di Malaysia.

Tiada ulasan: