Sabtu, 6 Februari 2010

Catatan Perjalanan IV

Saya anak kampung. Menjadi pendidik yang dikongkongi oleh ketegaran kerja. Pengetahuan tentang budaya kerja profesion lain menjadi agak asing. Semacam terpisah. Ketegaran dalam profesion keguruan mengasuh saya untuk sentiasa patuh taat. Dunia luar tidak begitu dipedulikan.

Pada 2006 saya didakwa di mahkamah sesyen Alor Setar. Pada 1996, saya menjadi penjamin kepada seorang sahabat baik saya yang membuat pinjaman bank. Mungkin disebabkan salah urus kewangan, maka dia gagal melunaskan hutang pinjamannya itu. Akhirnya, dia dan saya disaman.

Inilah pertama kali saya memasuki dewan mahkamah. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili oleh 12 orang peguam, tetapi saya seperti seorang dungu menyerah diri. Hadir dan duduk di ruang disediakan. Apabila hakim masuk, seorang anggota polis melaungkan, ''bangun!!". Kami semua taat dan patuh. Sebaik saja nama saya dipanggil, saya terpinga-pinga.

Tidak semena-mena peguam yang mewakili pihak bank menyatakan:

"Yang Arif, Defendan tidak hadir, saya mohon perintah engkar".

Sebaik selesai prosiding, saya menemui peguam berkenaan dan bertanya mengapa beliau mengatakan saya tidak hadir. Dia memarahi saya kerana saya tidak 'bangun' ketika kes saya disebut sebentar tadi. Demikianlah kita menjadi dungu pada ketika dan situasi yang di luar lingkungan dunia kehidupan kita. Pasrah.

Demikianlah bezanya dunia rakyat marhaen seperti saya berbanding dunia bangsawan seperti DSAI. Rakyat biasa terpaksa 'pandai-pandailah membawa diri'. Sesungguhnya kehidupan ini menganugerahkan sebuah 'kasta' yang mengheret kita untuk memasuki ruang piawaian yang tidak kita ingini. Kita menjadi bodoh, jahil jika kita tidak berilmu dan tidak berpengalaman.

Tiada ulasan: